Wednesday, November 14, 2012

DI MANA TASBIHMU?

Memandang ke kanan dan ke kiri. Ke belakang dan jauh kehadapan, pandangan  yang merentasi sejauh mata bisa merungkai apa yang tersurat. Derap air kali, dari situ kudengar tasbih memuji Tuhan. Lambaian lembut pepohon sena, dari situ kedengar tasbih memuji Tuhan. Kulat-kulat yang tumbuh menghiasi permukaan bumi, dari situ kudengar tasbih memuji Tuhan.

Ikan-ikan yang menyulusuri batu batan sekitar tepian tasik, dari situ juga kudengar tasbih memuji Tuhan. Gerombolan burung memutih dan menghiasi angkasa raya, bebas bertandan ke sini dan ke sana, dari situ juga kudengar tasbih memuji Tuhan. Dikala malam kian memekat, cengkerik mendendangkan lagu semalam, dicelah-celah kelembutan simfoni dari situ juga kudengar tasbih memuji Tuhan.

Aku baca firmanNya, kubaca dan kubaca. Tidak hairanlah.

Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa,  Maha Bijaksana
(Al Hadid :1)

Aku baca lagi firmanNya. Kutemu jawapan. Tidak hairanlah.

Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa,  Maha Bijaksana
(Al Hasyr:1)

Aku baca lagi firmanNya, dan aku tahu kenapa. Tidak hairanlah.

Apa yang di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah. Dialah Yang Maha Perkasa,  Maha Bijaksana
(As Saff :1)



Aku baca lagi, lagi dan lagi. Sama. firmanNya berbunyi sama. Perkhabaran yang sama. Tidak hairanlah dari timur dan barat, dari utara dan selatan, dari atas dan bawah, kiri dan kanan aku dengar tasbih makhluk mahkluk Tuhan ini memujiNya. FirmanNya sudah ada jawapan.

Aku maju kehadapan. Aneh. 

Kulihat makhluk tadi diperlaku diperguna. Aku lihat alam kian tercemar. Kerosakan di sini dan di sana. Teriakan dan tangisan bergempita. Sungguh aneh. Alam terbiar tidak dijaga. Burung-burung yang diperangkap buat puas nafsu yang buta. Samudera yang dikotori tanpa ada rasa. Ikan tercungap-cungap dipermukaan sungai menanggung derita. Angkara siapakah ini? Tangan siapa kah menjadi punca?

Telah tampak keruskaan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)
(Ar Rum:41)

Tangan-tangan manusia. Akukah manusia itu? Bangsa aku disebut dalam firmanNya, melakukan kerosakan. Malu aku. Menutup muka dengan tangan yang sama. Di situ ada peringatan. Agar aku dan bangsa manusiaku kembali ke jalan yang benar. Pulang kembali berpaut di bawah cahaya Tuhan. Apakah aku sahaja yang melihat ini? Yang membaca firmanNya? Masihkah ada harapan?

Aku maju.

Masih kudengar dari celah-celah daun itu tasbih. Dari sungai yang sama, masih ada tasbih. Aku kagum sejenak. Meskipun alam buana diperlaku sebegitu rupa, masih ada tasbih. Walau gunung sudah secebis cuma, masih ada tasbih. Walau pokok rebah menyembah bumi, masih ada tasbih. Ikan ikan itu walau sudah tampak ajal masih mampu senyum melagukan tasbih. Masih bertasbih.

Aku cari jawapan. Aneh sungguh.

Dialah yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
(Al Baqarah:29)

Subahanallah

Dan setelah itu bumi Dia hamparkan. Darinya Dia pancarkan mata air dan ditumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Dan gunung-ganang Dia pancangkan dengan teguh, semua itu untuk kesenanganmu dan untuk hewan-hewan ternakmu.
(An Nazi’at :30-33)

Subhanallah

Tidak hairanlah. Tidak hairanlah. Sekelian kalinya mereka terus bertasbih. Berterima kasih kepada Penguasa Alam. Apa yang ada dibumi berasa terhormat dapat berkhidmat buat aku dan bangsaku. Berasa terpuji dapat melengkapi aku dan bangsaku. Mereka bertasbih dan akan terus bertasbih. Kerana diberi peluang menabur jasa kepada khalifah alam ini.

Untuk aku dan manusia, bangsaku.
Namun, wahai bangsa manusia,

DI MANA TASBIH MU ?

2 comments:

aku-bukan-robot. said...

yang lain-lain sering bertasbih memujiNya. tapi manusia itu selalu alpa. sedang manusia sebaik-baik kejadian. sigh! fuhh.

moga tak hilang tasbih. tahmid. dan takbir dari hati & bibir.

Samara said...

jazakallah akhi.