Friday, March 15, 2013

DI SATU JUMAAT


Hari ini, Jumaat, 15 March 2013. Tidak macam biasa. Paginya sunyi sahaja. Udara tenang. Bergerak ke setempat demi setempat dengan penuh hemah. Lembut menyapa mesra. Hitam malam dan dini hari pekat macam biasa. Tiada rembulan penuh mengambang di kanvas langit.

Di satu Jumaat.

Banyak benar yang aku belajar dan perhati hari ini. Terasa ingin kongsikan semuanya. Cereka di satu Jumaat.
Berpagi-pagi lagi usai Jemaah Subuh didirikan aku lihat sekeliling, ramai yang berpusu-pusu keluar. Ada urusan yang perlu diselesaikan selepas itu. Ada beberapa tubuh yang memilih, duduk duduk membaca ayat-ayatNya. Al Kahfi, mungkin. Ada yang bertebaran di sekitar surau berzikir, al mathurat. Tidak lupa yang bergegas. Ke kelas. Mengejar trip pertama. Kerana ada urusan yang belum dilunaskan.

Kemudian di kampus, waktu itu mentari sudah menghangat. Manusia-manusia sudah bertebaran, di sini dan di sana. Di satu musolla, ada tubuh yang bertemankan buku. Ada tubuh yang berbaringan. Kepenatan barangkali. Mungkin sahaja malam tadi panjang qiyamnya. Aku terus melihat ini.

Di dalam dewan pula aku lihat beraneka gelagatnya.

Di satu Jumaat.

Akhirnya. Pengakhiran yang kurang baik. Namun ia bukan untuk disesali. Riuh suasana. Berteriak merai. Tidak kurang yang diam menyepi. Risau. Namun ujian dunia yang satu dari ribuan sudah berlalu. Ku lihat mereka mereka ini begitu emosi. Besar benar signifikannya. Benarlah, berjaya benar anak-anak singa dijinakkan. Tatkala detik itu berkahir, mulalah port port hiburan dibanjiri.

Di kafetaria, aku melihat sekumpulan pelajar, lelaki dan perempuan,bergaul bebas, berbincang hangat. Ini mungkin yang dinamakan professionalism. International benar tempat ini. Seakan aku tidak pernah ke sini. Si perempuan yang rambutnya tidak bertutup, melibas ke kiri dan ke kanan. Aduh. Sakitnya. Yang lelaki tidak kurang. Ada juga. Dan aku mampu melihat, di depan mata.

Di satu Jumaat.

Sesi mengangkut pelajar pulang ke kolej bermula. Maka berpusulah. Berhimpit-himpitlah manusia ini. Mentari tegak di atas. Panas makin terik. Peluh-peluh mula dirembeskan. Baik laki mahupun yang perempuan, menanti-nanti, melulu-lulu. Ada yang bakal pulang ke rumah, ramainya yang bakal keluar berlibur. Mencari ketenangan mungkin. Menghilangkan kekusutan mungkin. Jumaat. Entah di mana nilainya.

Sebelum itu, di Jumaat yang sama, aku melihat di bawah khemah kanvas silver itu, ada sekumpulan manusia. Berpakaian yang seragam. Putih. Berseluar hitam. Di bawah khemah itu mereka menunggu tugas memandu bus-bus tadi. Di sementara itu, ada yang membaca berita. Ada yang hanyut menyedut dan menghembus asap rokok, ada yang berlawan dam haji, entah berapa kali haji sudah.

Bukan muda bukan remaja. Yang sudah berusia rata-ratanya. Bahkan bisa sahaja aku kata semuanya sudah kenal benar dunia. Lebih dahulu rasa di mana manis dan masam. Tapi entah. Seolah kehidupan pada pola pikir mereka berputar setempat. Bekerja dan menuggu waktu pulang. Aku melihat dan terilham. Maka aku garap di sini.

Di satu Jumaat.

Di balik pokok di taman, di kolej aku yang antarabangsa ini, berdiri kokoh sebuah pondok kayu. Hitam warnanya. Di situ pula kulihat sekumpulan manusia berbaju merah, motor merah, topi keledar pun merah. Serba merah mereka ini. Waktu itu aku menuruni anak tangga, bergegas ke masjid. Solah Jumaat mendekat. Tapi bisa lagi mereka baring-baring. Boleh sahaja berbual-bicara, berkongsi idea, mungkin.

Aneh.aku fahami bahasa percakapan mereka. Aku kira mereka juga Islam. Sepertimana aku. Yang lagi aneh, baik aku pulang usai selesai segalanya, mereka masih di situ. Di posisi sama. Takut aku. Maka aku bersangka baik. Aduh.

Di restoran itu pula, azan sudah berkumandang. Perniagaan makin laris. Seolah-olah azan menandakan lunch hour. Meriah benar. Manusia bermacam pakaian. Pakaian pejabat yang ramainya. Lelakilah yang mendominasi. Aneh. Padahal seruan yang wajib sudah berbunyi. Maka setelah sekian waktu, aku berjalan pulang lewati restoran yang sama, situasi tidak kurang bezanya. Aduh.

Hayya ‘ala solah !

Apakah mereka ini keliru?

Apa itu maksudnya marilah makan?

Di satu Jumaat.

Satu lagi pandangan kurang enak. Kali ini di rumah Allah itu. Lantang khatib berkhutbah di dalamnya, tidak kurang lantang mereka berpolitik di belakang. Aktiviti berbual mesra giat dijalankan. Asap rokok di sedut penuh rakus. Dilepaskan ke udara dengan kepuasan. Maka tiba waktu solat, berpusu lah mencari tempat, menegakan saf.

Usai solah, berpusu pula keluar. Bisa sahaja rombak pintu-pintu di situ.
Solat itu, entah, aku tak sanggup untuk huraikan.  
Apakah solat ?

Di satu Jumaat.

Cukuplah. Penat aku melihat.
Kali ini aku pulang. Ku tatap cermin.
Ku lihat lelaki dibalik cermin itu.

Aku tanya samanya,

“Apa yang kau dah buat?”

Sakitnya Ummat

8 comments:

Akhi. said...

T.T

Anonymous said...

Ayuh kita selamatkan ummah !!

Anonymous said...

kita hidup..untuk apa sebenarnya?

hidup,jika tujuannya adalah selain Allah..itu namanya hidup sia-sia.

subhanallah

aZlina aLi said...

best entry nie! teruskan menulis dgn baik :)

Anonymous said...

keep on working, keep on pushing.

moga tsabat di jalan ini inspector.

Inspector Saahab said...

Jazakumullahukhairan katheera ::

Muhammad PeacemakerIslam said...

Allahurabbi..
Cukup hati ini pedih meneliti,
Cukup benci juga pada sikap diri yang sekadar terasa cukup..

Ain Zayy said...

Di satu Jumaat.

Cukuplah. Penat aku melihat.
Kali ini aku pulang. Ku tatap cermin.
Ku lihat lelaki dibalik cermin itu.

Aku tanya samanya,

“Apa yang kau dah buat?”

Sakitnya Ummat