Friday, May 3, 2013

TADABBUR #4



Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.

Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

2:186


Tiada yang lebih indah dan menyenangkan hati melainkan ayat chentaNya ini. Di saat seluruh dunia menghimpit kita dari depan dan belakang, dari kiri dan kanan, dari atas dan bawah. Di saat terang mentari pun masih kelihatan malap. Di saat kita berada di dalam terowong, kecil, panjang seakan tiada penghujung. Kita berjalan mencari jalan keluar, tiba-tiba ayat ini menghadirkan satu harapan, memberi lonjakan semangat bahawa di hujung sana cahaya sudah mula kelihatan, pasti ada jalan keluar.

Apa pun masalah yang melanda hidup kita, pasti ada jalan penyelesaiannya.
Bapak ah ayat.

Ayat ini ditujukan kepada semua. Kepada bumi dan seisinya. Kepada hamba-hambaNya. Bahkah jika ada mahkluk di planet-planet lain, maka ayat ini juga untuk mereka. Untuk siapa? Kitalah. Kita semua. Baik yang tidak soleh. Baik yang sering sahaja melakukan maksiat. Baik yang sering tersasar dari lapangan sebenar. Baik yang sering lupa bersyukur kerana itu semua tidak mengubah hakikat kita seorang hamba, hamba Allah dan ayat ini membawa berita kepada kita.


“Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka)”

Sessungguhnya Allah sentiasa hampir kepada hamba-hambaNya. Satu statement yang jelas. Statement yang memberitahu kepada kita bahawa Dia sentiasa di situ, menanti dan menunggu rintih kita naik dan menjulang ke langit. Dia sentiasa ada dan cukup untuk kita. Tidak perlu kita kejar. Datanglah dekat sahaja. Ke marilah. Dia mengajak kita. Dia tidak pernah pergi meninggalkan kita.

Maka apa pun keadaan kita, jangan lupa kita ada Allah. Bila kita punya Allah, usah risau benda lain. Bila kita punya Allah, yang Maha Besar,Maha Berkuasa, maka yang lain di dunia tampak kecil dan tidak bertenaga. Lemah tiada daya. Katakan sahaja, hai masalah, aku punya Allah. Katakan sahaja,hai masa yang menghimpit aku punya Allah. Hai musuh-musuhku, aku punya Allah.

Lanjutan ayat tadi

“Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa”

Wah ! Ini berita banyak bagus. Maka berdoalah. Dia perkenankan permohonan doa-doa kita. Marilah kita pasang cita dan harapan, hamburkan doa-doa, titipkan impian-impian besar sekalipun, pasti Allah memakbulkannya. Cuma.

Ada tiga persyaratan

Pertamanya, doa, harapan dan cita yang diimpikan mestilah disandar kepadanya.

“..apabila dia berdoa kepadaKu”

Berdoa kepada Allah sahaja. Itu yang pertama. Usah meminta dari manusia. Usah mengharap dari yang tidak berkuasa. Usah bergantung pada yang tidak kekal. Kembalilah kepada Allah. Berdoa kepadaNya, dan kepadaNya sahajalah.

Kerana kita hambaNya. Macam mana pun kita, tidak pernah ada sekatan antara kita dan Dia. Maka berdoalah kepadaNya.

Seterusnya,

Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu)”

Maka kita, usai berdoa jangan goyang kaki. Usai berdoa jangan terus mebuta dalam selimut. Bangkitlah dan bekerja. Perintah-perintahnya, laksanakan. Perbaiki amal-amal shalih. Larangan-laranganNya, jangan didekati apatah lagi mencuba-cuba untuk melibatkan diri. Usai berdoa maka berusahalah!

Seterusnya, terpaling penting,


“...dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul..”


Seruan beriman di frasa ini bukan bermakna suruhan untuk beriman kepada Allah, malah lebih dari itu. Kerana, pada hakikatnya, orang-orang yang berdoa dan bermunajat kepada Allah, sebelum apa-apa mereka mestilah terlebih dahulu sudah beriman, percaya akan kewujudan Allah. Sudah ada iman dalam diri mereka, maka lantas mereka berdoa, hasil tarbiyah iman tadi.

Tapi kali ini, beriman kali ini mengajak kita percaya dan yakin bahawa doa-doa tadi bakal dimakbulkan, benar-benar dimakbulkan.

Ini juga memberi khabar kepada kita bahawa butuh iman untuk menyakini doa tadi dimakbulkan. Maknanya doa-doa tadi tidak lantas akan dimakbulkan. Mungkin ditangguh. Mungkin perlu dipanjatkan berkali-kali. Maka perlu iman dan keyakinan bahawa ia bakal dimakbulkan. Maka bersabarlah dalam berdoa.

Percayalah kepada janji Allah.
Berbaik sangkalah kepadaNya.

Indah bukan, pengajaran yang berjela-jela dari sepotong ayat yang siapa sangka bakal mengubah persepsi kita terhadap harapan dalam berdoa, harapan dalam Islam. Maka apa lagi yang ditunggu-tunggu? Berdoalah? Bermunajatlah. Jangan biarkan waktu kita berlalu sepi tanpa doa.

Doakan saya juga.

Ini kalilah!!

3 comments:

Anonymous said...

moga sesi tadabbur sebegini lebih banyak perkongsiannya dan lebih banyak ayat yang yang dikorek .

Muhammad Faiz bin Othman said...

Ini kalilah akh :)

Anonymous said...

Semoga banyak lagi post sesi tadabbur ni. Sgt membantu