Sunday, June 1, 2014

KEBAHAGIAAN BERDOA




Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka  sesungguhnya Aku sentiasa hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.

2:186


Ayat Quran di atas menggambarkan bahawa Allah sangat mesra dengan para hambaNya. Mana tidaknya, jika kita perhatikan betul betul, Allah berfirman kepada Rasulullah saw,

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku...”


Lalu pertanyaan yang ditanya oleh para hamba kepada Sang Nabi dijawab sendiri oleh Allah swt,


“Sesungguhnya Aku sentiasa hampir”
“Fainni qoribb”


Kita mungkin menjangkakan ayat ini berbunyi, “Katakan kepada mereka bahawa sesungguhnya Aku dekat”


Tetapi Allah telah secara langsung dan tanpa perantaraan menjawab pertanyaan setiap hamba yang bertanya tentangNya bahawa Dia sesungguhnya dekat. Subhanallah! Maka jika kita ada tertanya-tanya di manakah Allah ? Sesungguhnya Allah telah terlebih dahulu menjawab pertanyaan ini, dengan jawapan yang begitu menenangkan, bahawa Dia sesungguhnya dekat.


Tidak cukup lagi, Allah swt dalam ayat ini telah menjemput kesemua hambaNya untuk bedoa kepadaNya dengan memberi jaminan bahawa setiap doa yang didoakan kepadaNya akan dimakbulkan.


Kata orang, doa itu senjata mukmin. Sehinggakan ada yang berkata dan memutar belitkan kenyatan ini dan mengaitkan dengan isu cadburry yang hanyat sekejap di Negara tercinta. Kata orang itu, ekoran doa itu senjata mukmin, maka orang Islam didedahkan dengan diet yang mengandungi DNA babi yang haram dimakan supaya doa-doa mereka tidak dimakbulkan. Dangkal.

Selingan.



Berbalik kepada tawaran berdoa tadi, ia dibuka seluas luasnya kepada semua hamba Allah. Allah tidak pernah rasis dalam membuka tawaran ini. Allah swt tidak mengkhususkan bahawa tawaran ini terbuka kepada mereka yang beriman sahaja. Atau kepada mereka yang berserban sahaja. Atau kepada mereka yang mengambil jurusan agama sahaja.


Tetapi Allah telah dengan jelas memulakan ayat ini dengan perkataan ‘ibadi’, yakni hamba-hambaKu. Siapakah hamba hamba Allah ? Kita semua. Meskipun kita sering melanggar perintah Allah. Meskipun kita tidak memakai jubah. Meskipun kita jarang jarang berperangai seperti seorang hamba, tetapi hakikat yang tidak dapat diubah, kita adalah hamba Allah.


Begitulah mesranya Allah dalam menyantuni para hambaNya, yang sepatutnya setiap kali meneliti ayat ini membuatkan kita tersentuh dan terharu. Lebih terharu daripada sekadar mendapat sekeping pesanan ringkas daripada yang tersayang.


Doa.


Dalam kehidupan kita ini, doa merupakan suatu perkara yang sangat luar biasa. Doa merupakan satu rahmat dan manifestasi cinta Allah kepada para hambaNya. Sebagai seorang hamba, sepatutnya kehidupan seharian kita tidak patut terpisah daripada berdoa kepada Allah swt. Lebih lebih lagi bagi para duat, yang seharian berdepan dengan cabaran mengembankan risalah dakwah ini.


Bahkan, perkataan duat, da’ie dan dakwah itu sendiri berasal dari kata dasar yang sama dengan doa. Huruf ‘dal’ dan ‘ain’. Seruan.


Sebelum ini, saya ingatkan kita hanya berdoa apabila setelah selesai solat. Sebelum bersama tarbiyah, saya sendiri jarang jarang menghargai nilai sebuah doa. Jarang jarang mengimani bahawa doa merupakan satu bahagian besar dalam kehidupan beragama. Mungkin kerana didedahkan dengan rutin bahawa berdoa itu mesti selepas solat.


Kemudian doa yang dibaca dalam bahasa arab yang tidak difahami, menyebabkan doa doa yang dilantun dahulu tidak melekat dalam hati. Doa dalam fahaman yang dahulu tidak menghadirkan ketenangan apatah lagi keimanan bahawa ia bermakna. Lebih lebih lagi pada waktu itu belum sepenuhnya memaknai ayat Allah di atas.


Namun betapa mudahnya Islam, betapa mudahnya untuk berdoa. Doa lah apa sahaja, dalam bahasa apa sekalipun, di mana dan di sela waktu dan tika bila bila sekalipun, Allah akan sentiasa sudi mendengar dan memakbulkannya.


Kita sebenarnya jarang jarang sekali merenung satu nikmat ini, yakni betapa nikmatnya doa-doa yang telah dimakbulkan. Pernahkah doa kita dimakbulkan ?

Sudah tentu.

Tetapi pernahkan kita mensyukuri nikmat dimakbulkan doa doa ini?


To be who we are today, saya yakin banyak cabaran, rintangan dan kesusahan yang telah kita lalui. Di setiap peringkat hidup, kita berdoa supaya Allah swt keluarkan kita daripada kesusahan kesusahan tersebut, dan tanpa disedari hari ini kita telah pun berada di posisi ini. Bukankah itu kerana doa kita suatu ketika dahulu?


Sebagai contoh ringkas, sejak di bangku sekolah kita berdoa supaya lidah kita difasihkan, dada kita dilapangkan untuk menuntut ilmu dan supaya urusan kita dimudahkan. Jika kita lihat sejenak kepada diri kita hari ini, kita Berjaya menuntut ilmu dan cemerlang rata-ratanya. Kita berjaya hadapi setiap konflik kehidupan dengan dada yang lapang. Urusan sukar telah dimudahkan dan kita atasi kesemuanya dengan baik.

Bukankah itu tandanya doa kita dimakbulkan?


Ya.

Sebahagian besar daripada doa yang kita pernah baca, telah pun kita lupakan. Kerana nikmat dimakbulkan doa itu berlalu begitu sahaja tanpa sempat kita syukuri. Yang kita tahu hanya bertanya, bilakah doa-doaku ini akan dimakbulkan?


Kunci untuk doa itu dimakbulkan adalah keimanan bahawa ia akan dimakbulkan dan dengan kesabaran. Dalam ayat Quran yang dipetik di atas, sambungannya pada ayat yang sama,


“...Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu, dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul..”


Allah swt mensyaratkan supaya kita berdoa. Menyahut seruan berdoa. Dan yang paling penting adalah untuk beriman. Nah, beriman dengan apa ?


Secara logiknya, seruan beriman ini bukanlah beriman kepada Allah, bukan beriman bahawa wujudnya Allah atau Allah itu Tuhan kerana in the first place, mereka yang berdoa kepada Allah sudah pun mempunyai keimanan keimanan ini. Orang yang berdoa kepada Allah mestilah sudah settle urusan keimanan dengan Allah.


Yang perlu kita imani sekarang ialah benar benar doa-doa kita itu akan dimakbulkan. Cuma bila? Dari situ perlukan kesabaran.


Dalam ayat yang lain daripada surah yang sama, Allah berfirman,


“Dan mohonlah dengan sabar dan solat.
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”


Saudaraku,

Sabarlah dalam berdoa. Jika kalian bertanya, sabar yang bagaimana? Maka mari kita lihat sebentar contoh hamba Allah yang sabar dalam berdoa yang juga telah dibawakan kepada kita oleh al Quran, yakni kisah doa Nabi Ibrahim a.s.

Direkodkan dalam surah al Baqarah, setelah Ibrahim a.s selesai membina dasar dasar Baitullah dengan Isamil a.s di Kota Mekah, antara doa yang dilantunkannya ialah;


“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al Kitab, dan al hikmah serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”

(Al Baqarah :129)


Dan pada pendapat anda lah, bilakah bumi Mekah itu menjadi dataran bumi yang menyaksikan doa ini dimakbulkan ? Ya, apabila Muhammad bin Abdullah itu dilahirkan dan diangkat menjadi Rasul terakhir buat umat ini.

Dan berapa lamakah jarak antara doa dan waktu mustajabnya itu? Para ilmuwan sejarah berpendapat hampir 4000 tahun jarak masanya. 

Empat ribu tahun, menanti doa dimakbulkan memerlukan satu keimanan yang mendalam terhadap janji Allah dan membutuhkan kesabaran yang tinggi. Begitu indah pengajaran yang dapat kita kutip daripada kisah bapa kita Ibrahim a.s ini dalam kita menekuni kebahagiaan berdoa.


Buat kalian yang belum berdoa, berdoalah. Buat yang sudah berdoa dan yang sedang, teruslah dengan doa kalian. Nantikanlah keajaibannya ! Doakan untuk diriku juga !


Allahumma baariklana fi sya’ban, wabalighna ramadhan


Wallahu’alam

2 comments:

chad_NH said...

ya betullah apa yang kita doakan telah kita lupakan.

dulu ada seseorang pernah kata.
manusia itu memang selalu lupa syukur pada apa yang dia ada sebab tu sentiasa mengukur apa yang dia tiada.

asyik memandang pada apa yang tidak didapat,sampai lupa terlalu banyak yang telah kita ada.

ntah berapa banyak doa kita yang Allah telah kabul.

fuhh . manusia kan.
err? bila susah je ingat Allah, bila senang. lupa diri. sigh!
(cuba check an-nahl 53-54)
.

penulisan kat sini makin matang rasanya, thumbs up!moga tsabat!

Inspector Saahab said...

In sha Allah
jzkk