Wednesday, October 29, 2014

MURABBI





Nabi Ibrahim a.s sebagaimana kita kenal, seorang nabi yang berwawasan jauh, telah mengajarkan kepada kita betapa tingginya nilai sosok bergelar Rasul, tatkala baginda berdoa kepada Allah swt;


“Ya Tuhan kami, utuskanlah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka kitab dan hikmah serta menyucikan mereka”

(Al Baqarah :129)


Begitu Nabi Ibrahim a.s memahami akan peri pentingnya untuk keturunan beliau sentiasa dipandu oleh seorang Rasul, dan begitulah signifikannya doa ini sehingga Allah swt ‘sudi’ untuk mengabadikannya dalam kitab al QuranNya ini.


Lebih menakjubkan daripada itu, bagaimana response daripada Sang Khaliq, tatkala Dia berbicara tentang pengutusan seorang Rasul, Allah swt mulakan dengan frasa yang cukup indah dan mahal;


“Dan agar Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan supaya kamu mendapat petunjuk.”


Disusuli dengan ayat berikutnya yang membuatkan kita makin takjub;


“Sebagaimana Kami telah mengutuskan kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al kitab dan al hikmah serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui”

(Al Baqarah :151)


Subhanallah!

Basah sungguh ayat ini. Rupa-rupanya, pengutusan seorang Rasul dari kalangan kita itu merupakan kesempurnaan nikmat. Rupa-rupanya mereka yang tidak mendapatkan seorang utusan untuk diikuti dan diteladani, meskipun hidup bertimbunkan permata dan wang ringgit belum mencapai tahap kesempurnaan nikmat di dunia apatah lagi di akhirat yang kekal itu. Maka beruntunglah kalian yang mengikuti para Rasul.


Yang membuatkan atau patut membuatkan kita cemburu ialah bahawa Rasul yang diutus sebenarnya adalah satu sosok yang dipilih sebagai medium untuk memakbulkan doa Nabi Ibrahim as. Dan kita cemburu dengan sosok itu kerana seorang utusan itu diutuskan untuk menyempurnakan nikmat dari Allah swt kepada para hambaNya. Beruntunglah para Rasul!


Cuma, setelah kita merenungkan hal ini sedalam-dalamnya, kita tertanya-tanya kehairanan, para Rasul sudah tiada hari ini. Sudah diangkat atau ditamatkan riwayat mereka melainkan Nabi Isa a.s yang kita menantikan kemunculannya. Maka apakah wajar lagi ayat ini kita baca? Lebih lebih lagi apabila kita renungi frasa ‘dari kalangan kamu’, apakah mesej yang cuba Allah swt sampaikan sebenarnya?


Kita juga tertanya-tanya, jika pemilihan seorang rasul atau satu utusan sudah berakhir, kenikmatan menjadi utusan berhenti di detik wafatnya Rasul terakhir Muhammad saw, maka sungguh ayat ini membuatkan kita kecewa tidak berkesudahan. Seolah-olahnya peluang untuk menjadi si utusan, peluang untuk menjadi medium dimakbulkan doa dan peluang untuk menjadi jalan kesempurnaan nikmat kepada umat manusia sudah tertutup.


Kemudian, kita kembali merenungi hal hal yang berbangkit ini.


Sebenarnya kita mula terfikir, apakah yang Nabi Ibrahim a.s harapkan daripada doanya yang lejen ini? Kita dapati baginda bukan mengharapkan diutus seorang lelaki yang kemudian diberi watikah pelantikan seorang Rasul dengan turunnya wahyu kepada dia, akan tetapi yang menjadi fokusnya ialah tugas dan kefungsian seorang Rasul itu, untuk menyelamatkan anak keturunannya.


Kita juga faham, apalah sangat kesempurnaan nikmat jika sekadar ada seorang lelaki yang mempunyai title Rasul pada namanya dalam kalangan kita. Maka kita fahami bahawa yang jalan  penyempurnaan nikmat itu adalah melalui seorang utusan yang melakukan kerja kerja yang diperincikan dalam ayat ayat yang kita baca tadi. Kerasulan sebenarnya bukan pada kata nama, tetapi kata kerja.


Tidak hairanlah, ayat ayat ini diperincikan, seorang Rasul, dari kalangan kamu, yang melakukan tiga perkara utama;


Membacakan ayat ayatNya
Menyucikan
Mengajarkan kitab dan hikmah


Saudaraku,


Tidak dapat disangkal lagi, kita semua beriman bahawa pengutusan Rasul beserta wahyu telah pun tamat. Bahawa Rasulullah saw, junjungan besar kita merupakan Rasul terakhir, dan tidak ada lagi Rasul setelah baginda saw. Kita juga beriman bahawa wahyu telah sempurna, pena telah diangkat dan lembaran telah pun kering.


Tetapi kita juga meyakini bahawa tugas tugas kerasulan masih belum tamat dengan tamatnya riwayat Rasulullah saw. Kita yakin bahawa doa Nabi Ibrahim tidak terhenti di situ. Kita yakin, anugerah kesempurnaan nikmat masih terbuka luas untuk kita dan generasi generasi mendatang. Dan apa yang membuatkan kita lebih yakin, dalam kalangan kita sebenanrnya masih ada hamba-hamba Allah yang Allah bangkitkan dan pilih untuk meneruskan legasi kerasulan ini, melakukan tiga kerja utama yang kita nyatakan tadi.


Dan sosok itu hari ini kita gelar mereka sebagai seorang Murabbi.


Alangkah mulianya sebenarnya kerja kerja seorang murabbi itu. Alangkah mulianya mereka yang sanggup mengambil cabaran dan menggalas amanah ini, untuk melakukan saki baki perjuangan yang masih berterusan ini. Kerana mereka sedang menamakan diri mereka untuk dijadikan sebagai satu jalan daripda jalan jalan pengabulan doa Ibrahim a.s dan jalan jalan penyempurnaan nikmat ke atas umah ini.


Tetapi,

Siapakah yang sanggup sebenarnya?


Tidak ramai yang sanggup kerana titik rujukan yang Allah hadirkan kepada kita terlalu agung iaitu Rasulullah saw sendiri sebagai benchmark layaknya karakter seorang murabbi. Susah benar. Tetapi susah itu berbaloi. Susah itu berbaloi.

Mengetahui hakikat ini, mengajarkan kita dua perkara,


Pertamanya hargailah kehadiran sosok yang bergelar murabbi itu. Meskipun banyak kekurangan dan kelemahannya, dia adalah antara sedikit sekali orang yang berani untuk menyelamatkan umah ini. Datangnya dari jauh semata-mata untuk menyantuni kita. Tiada pertalian darah tetapi menatang kita lebih daripada ahli keluarga kandungnya. Tiada gaji dibayar untuk urusan itu bahkan dia tidak mengharapkan apa apa meskipun ucapan terima kasih. Kerana seorang murabbi itu semata-mata mengharapkan imbalan daripada Allah swt.


Dan lebih daripada itu, dia sangat berkeinginan agar kita ini selamat daripada azab Allah Azza Wajal yang sungguh dahsyat tidak tergambar itu. Cukuplah kita simpulkan perasaan seorang murabbi itu, kasih dan cintanya kepada mutarabbinya dengan sepotong ayat Quran;


“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang orang mukmin”

(At Taubah :128)


Subhanallah!  
Kata-kata siapakah yang lebih benar daripada firman Allah swt ini?!


Maka bercucurlah air mata mereka yang mengenangkan sosok Nabi Muhammad saw yang begitu banyak berkorban untuk kita. Dan bercucurlah air mata mereka yang akhirnya baru merasai bahawa kehadiran sosok seorang murabbi benar benar merupakan kesempurnaan nikmat untuknya.


Selawat dan salam ke atas baginda Rasulullah saw
Dan semoga Allah swt merahmati para murabbi dan membalas jasa kalian dengan setimpalnya bahkan lebih daripada apa yang kalian korbankan!


Yang keduanya, setelah kita meneliti abjad demi abjad sehingga ke detik dan perkataan ini, kita dapati kita tidak lagi mampu beralasan untuk tidak menjadi seorang murabbi. Jika belum, maka malam ini kita tidak mampu tidur lena sebagaimana selalunya. Jika kita sedang membina karakter kemurabbian dalam diri kita, maka kita tidak sanggup untuk berlengah lengah lagi.


Cukuplah di sini.

Permudahkanlah urusan kami ya Allah

No comments: