Sunday, April 14, 2019

SETIA DENGAN DAKWAH



Sebenarnya kami sudah hampir melupakan kewujudan blog ini. Keinginan menulis memang ada namun disebabkan jiwa akademik yang menebal menyebabkan saya tidak sanggup untuk menghidangkan anda dengan tulisan tulisan yang tidak bermutu, terutamanya tanpa rujukan. Ketahuilah rujukan memang ada namun memasukkan rujukan seperti tulisan-tulisan ilmiah memang memakan masa yang banyak.

Dan siapakah lagi yang masih mengambil manfaat? Bukankah site kegemaran daie muda hari ini ialah MalaysiaKini, MalaysiaDateline, SarwakPost dan sebagainya? Tiada berita sensasi di sini. Semuanya hanya picisan yang dianggap sudah tidak seiring dengan zaman. Tiada kemaskini tentang PRU, PRK, ataupun  isu 1MDB. Tetapi, ya kita tuliskan juga, kerana permintaan seorang dua yang masih setia.

Setia dengan dakwah ialah satu topik yang tidak mampu ditulis oleh orang yang masih hidup. Hanya pengalaman mereka yang telah pergi menjadi hujah kita. Satu tajuk yang berat. Sebab itu kali ini kita mengambil satu panorama yang indah dari Qur'an, berkenaan mereka yang telah pergi namun masih setia, melangkaui hujung nyawa.


Lelaki Dari Hujung Kota

وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung kota itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -

Yasin : 20

Kisah lelaki dari hujung kota yang berlari tercungap-cungap memberi nasihat kepada kaumnya ini sering menjadi taujihat kita buat para Ikhwah dalam jilsah tafakur kita. Mari kita renungkan semula.

Ada satu mesej besar beliau ajarkan, iaitu al-wafa', setia dengan dakwah.

Pada beberapa ayat berikutnya, dibawakan siri nasihat yang beliau ungkapkan tidak henti henti. Meskipun nasihat itu tidak membuah hasil, tetapi Allah telah memahatkan lisan lelaki itu sebagai tanda penghormatan & penghargaan atas usahanya itu. Bukankah, effort counts?

Kemudian,

Ayat Qur'an melompat ke satu pemandangan yang indah,

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -

Yasin : 26

Dalam tafsirnya, al-Imam Ibnu Kathir merekodkan pandangan
Mujahid yang mengatakan bahwa, dikatakan kepada lelaki itu,

"Masuklah ke surga."

Dikatakan demikian karena dia gugur dalam membela agama Allah, maka sudah merupakan keharusan baginya masuk surga. Setelah ia melihat pahala yang diterimanya, Ia berkata,

"Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui.(Yasin: 26)

Qatadah mengatakan bahwa tidaklah engkau menjumpai orang yang benar-benar mukmin, melainkan dia adalah seorang yang mengharapkan kebaikan bagimu, dan tidaklah engkau jumpai dia sebagai seorang penipu


Di sinilah kita ketemukan kesetiaan, al wafa' kepada dakwah yang diajarkan oleh lelaki berkenaan. Setelah ia menikmati tiket ekspress ke syurga, beliau mengatakan :

"Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui"

Subhanallah.

Daie sejati yang masih tetap memikirkan nasib para mad'unya meskipun telah terbentang syurga di hadapannya.

Ungkapan penuh perasaan ini menegur kita Ikhwah dengan halus, jika lelaki hujung kota ini masih setia walaupun sudah memasuki syurga, lalu mengapa dengan secebis nikmat dunia kita langsung berpaling?


No comments: