Wednesday, July 31, 2019

RUMAH YANG TERBIAR


Mengisi jiwa rohani dengan cahaya Al-Qur’an adalah suatu yang teramat dituntut. Sehinggakan Rasulullah membuat perumpamaan peribadi yang tidak ada padanya hafalan Al-Qur’an seperti rumah yang terbiar.


Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنَ القُرْآنِ كَالبَيْتِ الخَرِبِ

Maksudnya: “Orang yang tidak ada di dalam rongganya (dadanya) sepotong pun ayat dari Al-Quran adalah seperti rumah yang ditinggalkan kosong”.

[Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 2913] [Hadith dinilai oleh Imam al-Tirmizi sebagai Hasan Sahih]

Ini merupakan satu perumpamaan yang tepat dan tajam maksudnya.

كالبيت الخرب

Seperti rumah yang ditinggalkan kosong.

Albait alkhoribi juga boleh dimaksudkan rumah yang tidak selamat diduduki dan dihancurkan.

Ia mengingatkan kita kepada peristiwa Yahudi di zaman Rasulullah yang telah menghancurkan rumah-rumah mereka kerana mereka diserang perasaan tidak nyaman dan selamat.

Firman Allah ;

وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ....


"... serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan dengan tangan orang-orang yang beriman....

-Sura Al-Hashr, Ayah 2

Bayangkan, itulah keadaan rongga dan tubuh kita tanpa Al-qur'an 😢

Tempat yang tidak selamat diduduki. Itulah keadaan hati yang kosong dari Al-qur'an. Suram dari cahaya hidayah. Bagaimana dari tempat terbiar ini kita mengharapkan intuition, atau petunjuk petunjuk yang membimbing kita? 😭

Bahkan, sering kali tempat yang terbiar akan menjadi sarang binatang buas lagi merbahaya. Agaknya makhluk apakah pula yang berada di dada yang sunyi dari Al-Qur’an.

Tidak perlu ditanya lagi!

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -

-Sura An-Nas, Ayah 5

مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ

"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

-Sura An-Nas, Ayah 6

Marilah Ikhwah, kita isi dada kita dengan Al-qur'an. Semoga ia terang benderang sehingga menjadi tempat yang nyaman untuk hidayah datang berkunjung.

Wallahu'alam


Tuesday, July 30, 2019

NAZAR SEORANG IBU


 

Ikon wanita al-Qur’an berikutnya yang akan menjadi teladan kita ialah Isteri Imran yang wataknya hanya sekali muncul iaitu dalam surah Ali Imran, surah tentang keluarga Imran. Mungkin kita perlu memberi sedikit fokus di waktu yang lain untuk belajar dari Hamba Allah bernama Imran ini. Apakah keistimewaan beliau sehingga satu surah al-Qur’an yang bilangan ayat mencecah 200 banyaknya itu diberi nama “Keluarga Imran” atau Ali Imran, luar biasa!

Bersangkutan kisah Isteri Imran yang muncul hanya sekali tetapi cukup signifikan ini ialah babak penuh intim ketika beliau merintih dan berbicara dengan Allah Azza Wajal sebagaimana difirmankan-Nya;


إِذۡ قَالَتِ ٱمۡرَأَتُ عِمۡرَٰنَ رَبِّ إِنِّي نَذَرۡتُ لَكَ مَا فِي بَطۡنِي مُحَرَّرٗا فَتَقَبَّلۡ مِنِّيٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas, maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
-Surah Ali Imran, Ayat 35

Isteri Imran adalah ibu Maryam, yaitu Hannah binti Faqudz. Muhammad bin Ishaq berkata: “Hannah binti Faqudz adalah seorang wanita yang tidak pernah hamil. Suatu hari ia melihat seekor burung memberi makan anak-anaknya, maka ia pun ingin mendapatkan anak. Lalu ia berdoa kepada Allah agar memberinya seorang anak. Dan Allah pun mengabulkan doa-nya. Setelah suaminya melakukan hubungan badan dengannya, maka ia pun hamil. Inilah riwayat yang sampai kepada kita melalui pembacaan kitab  Tafsir Imam Ibnu Kathir dan kita menyerahkan sepenuh kepercayaan (thiqah) kepadanya.

Ujar beliau lagi dalam tafsirnya;


Setelah benar-benar hamil, ia bernazar agar anaknya menjadi anak yang tulus beribadah dan khusus untuk beribadah, berkhidmah ke Baitul Maqdis seraya berucap:

(“Ya Rabb-ku, sesungguhnya aku bernadzar kepada-Mu anak yang dalam kandunganku ini menjadi hamba yang shalih dan berkhidmat (di Baitul Magdis). Karena itu terimalah (nadzar) itu dariku. Sesungguhnya Engkau YangMahamendengar lagi Mahamengetahui.”)


Subhanallah! 1001 pelajaran yang boleh dikupas dari nazar Isteri Imran ini. Satu nazar yang sungguh menakjubkan, apatah lagi apabila kita mengingatkan hubungan kejiwaan seorang ibu dan anak.
Isteri Imran setelah mendapati dirinya telah hamil, menazarkan supaya bayi dalam kandungan itu lahir dan menjadi muharrar, berkhidmat untuk agama, berkhidmat di Baitul Maqdis sebagaimana pandangan mufassiriin. Luar biasa hebatnya nazar seorang ibu.

Jika dilihat dari sudut bahasa Arab, مُحَرَّرٗا bererti bebas, tidak terikat. Free from any attachments. Seolah-olah dalam nazar ini Isteri Maryam berjanji bahawa anak yang akan lahir itu akan dipastikannya bebas dari sebarang keterikatan supaya semata-mata terikat dan taat kepada Allah, semata-mata berkhidmat untuk agama. Termasuklah, bebas dari kongkongan beliau, seorang ibu! 

Luar biasa.


Anak adalah anugerah yang dinantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin apatah lagi untuk seorang wanita bergelar isteri. Tidak lengkap hidupnya jika tidak bergelar seorang ibu dan memiliki anak. Sering kali anak-anak diikat oleh ibu bapa supaya tumbuh dengan besar dan matang untuk akhirnya berkhidmat kepada kedua-dua orang tuanya. Itulah barangkali inspirasi orang tua kita, secara umumnya.

Tetapi tidak bagi Isteri Maryam. Sudahlah anak yang seorang ini sudah lama ditunggu, tetapi dia tetap menazarkan si anak untuk Allah SWT. Buat para wanita dan juga kaum ibu, bagaimana harus kita meneladani kisah ini?

Tidak lain, didiklah anak-anak untuk berbakti kepada agama Allah SWT, kepada Islam, bukan semata-mata sebagai pembantu kita di usia senja. Jangan berpuas hati jika anak-anak kita tumbuh besar sekadar menjadi anak yang soleh yang berbakti kepada orang tuanya, tetapi berhajatlah lebih dari itu supaya mereka menjadi anak panah islam yang menggerunkan musuh-musuh islam. Janganlah disekat anak-anak sekiranya mereka ingin terlibat aktif dalam kumpulan-kumpuln islam yang benar dan terbimbing. Jangan dihalang mereka belajar berdakwah dan terlibat dengan amal-amal sosial untuk agama ini.

Betapa kita berhajatkan lebih ramai ibu-ibu yang mempunyai pemikiran seperti Isteri Imran. Rahimnya dipersiapkan untuk melahirkan khadam umat. Itulah yang dibanggakannya, apabila anaknya termasuk dalam daftar nama para pejuang agama.