Showing posts with label UKHUWATI FILLAH. Show all posts
Showing posts with label UKHUWATI FILLAH. Show all posts

Tuesday, February 12, 2013

BUKAN SEKADAR DI BAJU-T


“Ag, kau dah makan?”

“Belum” Sekilas Ag memandang teman sebiliknya
yang baru keluar dari bilik air.

Badan Emir masih basah. Masih ada butir butir air mengalir dari tubuhnya. Dia cepat-cepat berlari anak ke bilik. Emir capai sehelai pelikat yang tersadar atas katil.

Ag tarik kerusi perlahan-lahan. Dia labuhkan diri di meja belajar. Fail-fail lutsinar dari beg hitam jenama Acer dikeluarkan. Kertas-kertas putih yang mengandungi angka-angka Matematic dibelek. Berkali-kali.

“Bila nak makan?” Lanjutan dari Emir.

Sambil sambil tu dia mengkilas kain pelikat petak-petak berwarna gabungan unggu gelap dengan hitam. Emir kemudian mengeringkan rambutnya yang masih lembab dengan tuala tadi sebelum disidai tuala tu.

“Entah. Aku ikut kau” ringkas dari Ag.

“10 Minit lagi, ok ? Aku dhuha jap ek”

Emir hampar sejadah di antara katil mereka.

Kertas-kertas yang dikelurakan dari fail tadi disimpan kembali. Battery fully charged. Emir gapai HTC Sense di penjuru meja. Dicabut wayar charger. Suis ditekan. Off.

“Lama seyh kau solat”

 “Lebih masa ke? Ala sori la”

Ig gegas bangun.
Kerusi ditolak ke dalam meja.
Emir cepat-cepat capai seluar Jeans Mustang. Disarungnya laju-laju.
Suis lampu kipas ditutup. Dua-dua keluar. Gelap.

Emir. Ag.



------------


“Roti kosong satu, roti bum satu, ok”

“Minum?”

“Kasi saya Milo suam”

“Lagi?” Laju je Mamak ambik order.

“Eh jap Mamak, kansel Milo. Bagi saya Horlick. Milo kena boikot”

Ag senyap je. Dari tadi matanya tatap HTC Sense tu. Agak-agak tembus juga. Entah ada apa yang dicari. Entah apa yang ditunggu.

“Ag kau nak makan apa?”

“Ha?.. Nasi Lemak ada?”

“Ada. Minum?”

“Air suam”

“Dah cukup semua ye. Roti kosong satu, bum satu, nasi lemak satu, Horlick suam satu air suam satu?. Ok?”

“Cantik la Mamak”


Mamak berlalu. Pagi tu masih awal. Duduk kejap datang dua tiga Mak Cik bawak keropok lekor. Makcik tadi jual keropok. Belum masak. Emir tolak baik baik. Suspicious Makcik Makcik ni. Bergerak bawah agensi mungkin. Muka sama. Datang dengan van, balik pun dengan van. Ramai-ramai.

Entah kat mana anak-anak diorang.

Dua tiga minit, semua senyap.

“Kau ok tak Ag?”

Emir mula dulu. Tak tahan tengok kawannya.
Gelisah semacam.

“Maksud kau? Define ok”

Eh. Er.  

Emir tak tahu nak cakap apa. Buntu.
Keliru.

Dia tahu Ag ada salah faham dengan Khalis. Dah seminggu, tak baik-baik lagi keduanya. Komplikated pula. Remaja. Eh.


“Air suam, Horlick suam, siap”

Cekap. Mamak datang bawak air. Emir senyum saja.
Tanda penghargaan.

“Peh, terbaek la Horlick Mamak ni, kau nak rasa?”

“Takpela” Ag. Ada sesuatu.

“Khalis dah ok?” Emir beranikan diri.

Tiba-tiba. Tiba-tiba Ag letak HTC Sense atas meja. Diteguknya air suam, dua tiag kali juga. Sekali sekala Ag pandang Emir. Senyap lagi.

Emir pula awkward. Dikacaunya Horlick suam tadi dengan sudu. Berkali-kali. Minum sikit-sikit.

“Dia tu payah la Mir”

“Kau dah cakap dengan dia eh?”

“Dah. Aku dah mintak maaf, bagi hadiah baju semua”

“Oh.”

Emir, lega.

“Dua tiga hari lagi baik la kot”

“Aku pun tak tahu la, susah sangat. Tak tahu la pula dia sensitive macam tu”

Duduk dua tiga minit lagi. Nasi Lemak sampai.
Roti kosong pun sampai. Rotu bung je belum lagi.
Dua-dua jamu diri masing-masing. Khusyuk.

“Ag..hmm, kau tahu tak?”

“Tahu apa?”

“Ukhuwah bukan sekadar pada baju T tau”


Roti bung siap!

Tuesday, January 29, 2013

BUKAN TENTANG GEMBIRA



Kadang-kadang kita tak sedar, banyak hak hak yang belum kita tunaikan. Dalam berukhwuah, bukan semuanya tentang gembira Dalam system tarbiyah permulaanya kita larut berukhuwah. Sibuk menghayun tangan, berjalan seiringan, makan berdulangan dengan teman seangkatan. Bersama bila gembira.

Kebersamaan seakan lenyap di pertengahan jalan. Kerana di sini, banyak simpang yang kita harus tempuh. Dan tiada satu simpang pun yang sepatutnya menjejaskan hala tuju kita. Namun di saat ini akan ada yang tertipu lalu mengambil keputusan untuk belok ke kiri dan ke kanan.

Bila tiba masa ini, yang indah tadi bertukar pahit, masin, tawar dan pelbagai rasa yang tidak menyenangkan lagi. Bila tiba waktu ini, kita mula rasa kering. Mula hilang kamus yang benar-benar mampu mendefinasikan ukhuwah. Apatah lagi di tambah fillah pada hujungnya. Apa itu?

Awalnya memang menyeronokkan,
Pertengahannya menyakitkan kekadang.
Semakin kita kenal, semakin jauh pula
Dan orang kata di akhirnya ada bahagia. Mungkin.

Dalam berukhuwah, bukan semuanya tentang gembira. Ada masa yang menyakitkan. Masa masa inilah kebenaran dasar ukhuwah teruji. Dalam naungan apakah.
Kebenaran itu mesti ditegakkan walau pahit. Kadang kerana ukhuwah, kebenaran diketepikan. Kita 
tak sedar, ada satu garisan pemisah yang sangat halus yang mebezakan frasa membiarkan dan memberi ruang. Bila ada masalah dalam kalangan mereka yang berukuhwah, manisnya bertukar tawar.

Atas alasan memeri ruang kepada mereka yang mempunyai permasalahan, kita sebenarnya membiarkan mereka terkapai-kapai. Ukhuwah seperti ini sebenarnya mencemarkan terminalogi ukuhwah itu sendiri.

Orang-orang yang membiarkan mereka yang sedang berada dalam keretakan ini sebenarnya telah mencuri hak-hak dalam ukhuwah. Sedar tak sedar, kita sudah lama menjadi pencuri, dalam berukhuwah. Bila masa rakan kita ditimpa masalah kita biarkan mereka. Kita berhujah dengan alasan memberi mereka ruang dan peluang. Tanpa sadar sebenarnya di saat itulah peranan kita teramat dibutuhkan.

Saya sudah jemu.

Dibiarkan.

Dan paling jemu membiarkan.
Terbakar.

Ukhuwah itu sebenarnya satu syariat. Mereka yang berukhuwah atas dasar iman, berukhuwah kerana memahami firman ukhuwah sang Pencipta sebenarnya sedang menyahut seruan ibadah yang tak ramai mampu melihat maksud ayat ukhwah. Mu’min itu bersaudara. Ah. Sering saja didengari.

Tapi masih, ukuhwah pada mata kita yang gembira.

Ukhuwah,
Bukan semuanya tentang gembira.


-------


Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, "Muslim yang satu adalah bersaudara dengan muslim yang lain, oleh kerana itu, dia tidak boleh mengkhianati, mendustakan dan membiarkannya.

Setiap muslim yang satu terhadap muslim yang lain haram mengganggu kehormatannya, hartanya dan darahnya, takwa itu ada di sini (Baginda menunjukkan dadanya) seseorang itu cukup jahat jika dia menghina saudaranya sesama muslim"

Riwayat Tirmizi


--------


Hari ini saya melihat dengan mata sendiri ramai yang kecewa. Ramai yang sudah belok ke kiri dan kanan. Tidak kurang jugak yang serta merta turun dari bahtera ini dan memilih untuk karam di tengah lautan kerana kecewa.

Kekecewaan ini semuanya bermula dengan harapan. Mereka mengharapkan sesuatu daripada ukhuwah yang pada permulaanya dibina atas dasar iman namun di saat memerlukan mereka keliru. Apakah benar iman yang mendasari ukhuwah tadi. Terlalu ramai mangsa harapan ini dibiarkan dalam kekecewaan.


Salah siapa?

Entah.

Saya sendiri belum cukup ilmu untuk menyalahkan sesiapa. Kerana saya masih kurang jelas, bagaimanakah rupa dan hakikat amal orang yang berukhuwah atas dasar iman yang sebenar. Apabila dikatakan iman itu ada turun dan naik, apakah ukhwuah juga ada waktu waktu retaknya?

Entah.

Yang pasti, bukan semuanya tentang gembira.

Apabila dikatakan berkuhwuah itu semanis nangka madu, saya ragui itu, apakah ia pengharapan palsu? 
Yang akhirnya adalah kekecewaan?

Monday, December 10, 2012

KEAKRABAN YANG HILANG




Tatkala matahari berlegar legar di singgah sananya
Sambil samudera berombak lembut
Dan hujan turun menyirami bumi
Deruan simfoni membangkit memori lalu

Aku duduk memencilkan diri
Mengenangkan sejarah dahulu
Cerita suka dan duka antara kita
Terpapar jelas di kamar ingatan

Tersimpul rapi oleh masa yang berlalu
Seraya aku bersihkan debu-debu itu
Jernih...memori kembali segar dalam pandangan
Keakraban itu semakin dekat

Namun tidak mmpu kucapai
Kerana kita masing-masing mengejar kemahuan diri
Bingkas aku bangun dan menarik nafas sedalam-dalamnya
Lalu aku hembuskan bersama tekad mencari keakraban itu

Akhi,

Dalam pentas hidupmu dan diriku, manusia datang dan pergi. Bersama dan berjauhan. Namun cinta itu yang tinggal. Apalah nilai kecintaan jika tidak didasari iman. Aku dan engkau ketahui hakikat alam ini. Tapi mengapa akhi, saat masih di sisi, saat masih dekat sudah terasa keberjauhan. Baru semalam kita menyemai kasih bersulamkan janji. Hilang pergi beretakan.

Aku lihat dirimu begitu mencintai Allah. Tunduk penuh ketaatan. Aku terpesona. Lalu aku iltizam untuk mencintaimu kerana cintamu itu. Cinta ini, ciptaanNya. Andai cintamu padaNya sudah layu maka ketahuilah cintaku padamu juga mulai goyah.

Dan aku bersaksi cinta kita mulai pudar. Aku sedar. Tidak bukan kerana cintaku kepadaNya sudah longlai. Bukan engkau yang menjauhi tapi diriku yang mencemari. Aku juga sedar engkau juga memerhati namun dibisukan sahaja. Aku sedar engkau juga mengamati namun dibiarkan sahaja.

Lalu aku karangkan di sini kerana aku ingin cinta itu terus bersemi. Kerana aku yakin kalian turut merasa. Bukankah kita ini melayari laut yang sama?

Penat sebenarnya, kecewa dalam harapan. 
Aku silap kerana memikirkanmu sempurna
Bahkan aku pun jauh tidak

---------
Si Kidal

Saturday, September 15, 2012

AKHI, MU'MIN ITU BERSAUDARA

Adi perlahan menarik laci meja belajarnya. Buku-buku A-level itu disusun mengikut saiz dan subjek. Kemas. Buku-buku yang sudah lama, dimamah usia, yang sudah mulai pudar warnanya itu dimasukkan ke dalam kotak untuk dibawa pulang. Satu persatu.

Sekali sekala dia menyapu permukaan buku-buku itu, kasar. Penuh memori.

Tiba-tiba, sekeping gambar jatuh beserta sepucuk surat dari selitan sebuah buku usang. Dia kaget sejenak. Senyuman yang datang dari laut dalam hatinya terukir ceria, penuh makna. Dia membuka lipatan surat tersebut, dan membaca kata-kata yang tertera perlahan-lahan.

Akhi sayang,

Sudah hampir genap setahun kita berukhuwah. Kini tiba masa untuk diri ini berkelana ke bumi Tuhan ini untuk melebar sayap fikrah kita. Terima kasih akhi. Terima kasih. Akhi, sungguh mu’min itu bersaudara...

“Akhi, diri ini juga ingin mengikut jejakmu..”

Adi berbisik sendirian.

--------------------------------------------

Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain..Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Bismillah.

Di saat Salman Al-Farisi merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama, dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah.

Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi, penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah.. Alhamdulillah”

Terpancul kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya.

Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya.

Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya”, berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang utama.

Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“Silakan tuan..” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan..”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua. Sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman.

Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

“Allahu Akbar.. Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti”dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” Air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.


-------------------------

P/s: Petikan kisah ini diambil dari buku Jalan Cinta Para PejuangSalim A. Fillah

Dan orang-orang (Ansar) yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan mereka(Muhajrin), mereka mencintai orang berhijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka(Muhajirin) dan mereka mengutamakan (Muhajirin) atas dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukannya. Dan siapa dijaga dirinya dari kekikiran maka mereka itulah orang-orang yang beruntung

(Al-Hasyr :9)


Ukhuwah. Berlapang dada. Berjayakah aku?

Akhi..