Sunday, December 15, 2019

AMANAT UNTUK PEMUDA



Ayuh kita hayati beberapa baris pesanan dari Imam Hasan al-Banna di bawah untuk para pemuda dan sampaikan kepada pemuda-pemuda yang lain, yang belum sampai kepada pengetahuan mereka mesej dan amanat ini.


***
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keimanan, keikhlasan, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.

Kesimpulan ini ialah kerana asas keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.

Itulah sebabnya maka angkatan pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.

Allah SWT berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.
(Surah al-Kahfi, Ayat 13)

Dengan kesimpulan inilah maka kamu angkatan pemuda akan menghadapai kewapian yang bertambah banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipat ganda, malah dari sinilah maka amanah  yang dipikul ke atas bahu kamu itu bertambah menjadi lebih berat. Oleh itu hendaklah kamu berfikir panjang lebar, mestilah bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap untuk tampil ke hadapan menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak mereka dengan sempurna melalui angkatan pemuda sendiri.[1]

***

Daripada sebahagian kecil risalah untuk pemuda di atas dapat kita simpulkan bahawa pemuda sepanjang zaman adalah;


1)      Pilar kebangkitan setiap umat
2)      Rahsia kekuatan dalam setiap kebangkitan; dan
3)      Pengibar panji setiap fikrah


Ini selari dengan firman Allah yang dinaqalkan di atas. Tidak hairanlah siri serangan pemikiran banyak bertumpu untuk menyerang anak-anak muda. Apabila anak muda telah terpesong, maka bangunan islam hanya tunggu masa untuk rebah dan ranap. Kebangkitan adalah mustahil tanpa pemuda. Kekuatannya hilang dan tiada lagi angkatan yang akan mengibarkan panji fikrah islam.

Pemuda Contoh Bernama Ibrahim

Fikrah islam yang cergas dan mekar di tangan pemuda contoh telah dibuktikan oleh al-Qur’an melalui kisah usaha dakwah yang gigih dan giat oleh Nabi Ibrahim as. Setelah beliau memukul dan memecahkan berhala yang menjadi tandingan bagi Allah SWT dan disembahi oleh kaumnya, maka gegak gempita la keadaan kaumnya mencari pelaku bagi perbuatan berkenaan.

Allah SWT berfirman;

قَالُواْ مَن فَعَلَ هَٰذَا بِـَٔالِهَتِنَآ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلظَّلِمِينَ
(Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim".
-Sura Al-Anbiya', Ayah 59


Mereka bertanya-tanya sesama mereka, tidak menjangkakan adanya saingan lain terhadap tuhan mereka. Kelihatan muncul fikrah lain yang menyalahi apa yang mereka lakukan selama ini. Fikrah yang positif dan aktif. Fikrah yang bangkit menentang kemungkaran. Bukan fikrah yang negatif dan pasif. Siapakah pelakunya?!

قَالُواْ سَمِعۡنَا فَتٗى يَذۡكُرُهُمۡ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبۡرَٰهِيمُ

(Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya".
-Sura Al-Anbiya', Ayah 60

Ketika sesi berbincang dan saling bertanya-tanya itu berlangsung, maka sebahagian mereka terus menuduh dan menyebut nama Nabi Ibrahim. Tidak nama suspek-suspek yang lain. Yang terpacul keluar, terus nama Nabi Ibrahim. Lebih menarik mereka menyifati beliau sebagai seorang anak muda.

Apakah maksudnya kepada kita?

Maksudnya Nabi Ibrahim walaupun seorang diri membawa fikrah islam yang sahih itu, telah dikenali oleh kaumnya. Dia telah menjadi satu angkatan muda yang kuat walaupun seorang diri. Beliau telah menjadi pilar bagi fikrah islam. Beliau telah menjadi rahsia kekuatan bagi fikrah islam meskipun perlu berhadapan dengan kumpulan sesat yang ramai dan kuat. Dan ternyata panji fikrah islam telah berkibar megah di tangannya sehingga ia dikenali umum.

Paling penting, ketika ini semua berlaku, beliau merupakan seorang anak muda. Nah, apa pula anak muda kita lakukan untuk mempertahan fikrah islam daripada diseleweng dan dijumudkan oleh musuh-musuh islam melalui pelbagai serangan?


[1] Hassan al-Banna, Risalah Wahai Pemuda

No comments:

Post a Comment