Showing posts with label KIBLAT. Show all posts
Showing posts with label KIBLAT. Show all posts

Saturday, June 6, 2015

RUHUL JADID


Ulamak ada yang berkhilaf pendapat dalam membenarkan process aborsi, pengguguran janin dalam  rahim ibu. Ada yang melarang kerasa kerana ia satu perbuatan jenayah. Ada yang membenarkan atas maslahah yang lebih besar terutama untuk kesihatan si ibu, tetapi dengan syarat sebelum kandungan menjenguk hari yang ke 120. Ini kerana pada hari yang 120, jasad janin ditiupkan ruh padanya lantas menjadilah ia makhluk yang bernyawa.


“Dari Abu ‘Abdirrahman Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu, dia berkata : bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, “Sesungguhnya tiap-tiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibunya selama 40 hari berupa nutfah, kemudian menjadi ‘Alaqah (segumpal darah) selama itu juga lalu menjadi Mudhghah (segumpal daging) selama itu juga, kemudian diutuslah Malaikat untuk meniupkan ruh kepadanya........”

Hingga ke akhir matannya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Besar sungguh peranan ruh. Ia memberi kehidupan dan nilai pada jasad. Begitulah, pada manusia, mesti ada ruh dan jasad. Jasad hanyalah kerangka semata-mata, sekadar warna kulit, tulang belulang, otot-otot dan rupa paras yang tidak bernilai tanpa adanya ruh. Ruh la yang memberikan ia kehidupan, yang menyegarkan, reviving!

Apabila jasad manusia dipisahkan daripada ruhnya, maka ia akan menjadi bangkai, yang akan membusuk, disinggahi ulat ulat decomposer, berbau hanyir dan lama-lama memburuk, mereput dan lenyaplah dari pandangan. Sebab itulah, betapa siapapun individu itu waktu hayatnya, baik bergelar perdana Menteri, Ratu Cantik, Ratu Rock, Ustaz, Mursyidul Am, Sultan ataupun siapa-siapa sahaja baik yang diangkat keperibadiannya di dunia mahupun tidak dipandang manusia, usai ruh meninggalkan jasad mereka, akhirnya mereka ke kuburan juga!

Meskipun Ratu Cantik! Ya!
Layaknya, skrip yang sama untuk kita!

Malangnya di dunia yang begitu sementara ini, manusia memandang sesama mereka melalui pandangan jasad. Mereka menilai berdasarkan rupa paras, warna kulit, apa status socialnya, kepemilikan equity nya, dari keturunan mana, bangsawan? Negarawan? Agamawan? Angkasawan? Dan manusia melabel label berdasarkan pandangan dangkal ini!

Yang hitam legam, buruk wajahnya, disisihkan! Engkau Cina mesti mahu tindas Melayu! Melayu mesti makan rasuah!Arab mesti suka hisap shisha! Dan sebagainya.


Habislah keharmonian hidup di alam buana ini dicarik carik dek pandangan dangkal ini. Mujurlah Tuhan tidak zalim begitu. Tempat kembali nanti, sama ada yang baik atau yang buruk, bukan berdasarkan jasad. Tetapi Allah swt melihat amal dan hati kita kita semua, sebagaimana yang Nabi saw ajarkan dalam satu hadis yang dihafal banyak orang.

Kita tinggalkan kemelut manusia yang makin menjadi jadi belakangan ini. Tinggalkan isu. Kerana. “Mereka yang tidak sibuk dengan ilmu akan sibuk dengan isu”, tuntas seorang yang kita segani.


Selain daripada apa yang kita faham secara bahasa apa itu ruh, yakni tiupan ruh yang memberi kehidupan pada jasad manusia, pada sudut lain, ruh berbilang bilang maknanya. Ruh, adalah apa apa yang memberi makna, nilai dan kehidupan pada sesuatu.

Dalam Al Quran,

Banyak surah yang dimulai dengan huruf huruf yang terpisah seperti Aliff Lam Min, Ya Siin dan sebagainya pada 29 permulaan surah al Quran. Huruf huruf ini digelar muqotto’aat. Huruf huruf ini, tidak sesiapapun yang mengetahui maksudnya melainkan Allah swt.

Namun ada yang berpendapat ada hikamh tersendiri kenapa Allah menggunakan teknik ini dalam al Quran. Ia sebagai satu cabaran buat mereka yang meragui al Quran atau yang mengatakan al Quran itu ciptaan Nabi saw. Huruf huruf ini seakan memberitahu,

“Ya al Quran ini memang komponennya terdiri daripada huruf huruf lazim dan dikenali oleh orang Arab, maka cubalah kamu cantumkan jadikan satu ayat semisalnya!”

Mengambil gist firman Allah yang satu ini;


“ Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang al-Qur’an yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal al-Qur’an itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang memang benar. ”

(Al Baqarah :23)

Namun sudah pasti cabaran ini tidak mampu dijayakan. Meskipun mereka yang meragui itu mempunyai resources yang sama, yakni kenal dan berupaya mencantumkan huruf huruf tadi, tetapi tidak mampu menandingi al Quran kerana mereka mungkin ada jasad ayat, tetapi tidak ada nilai, makna dan kehidupan. Ayat rekaan mereka tidak ada ruh!

Maka marilah bertaubat, jika masih meragui Quran!
Itu ruh pada al Quran.

Lihatlah oleh kalian, satu nashkah surat khabar baharu berharga sekitar seringgit hingga dua ringgit, tetapi puluhan bahkan mungkin mencecah ratusan naskah surat khabar lama, belum tentu dapat menjamni pulangan yang sama, tatkala kita menjualnya di pusat kitar semula atau pada Pakcik yang setia dengan slogan, “Surat khabar lama, surat khabar lama” di kawasan perumahan rumah kita itu.

Kerana surat khabar lama sudah kehilangan ruh. Surat khabar baharu, tinggi nilainya kerana ada ruh, nilai yang boleh ditawarkan kepada pembaca pada saat dan ketika itu juga. Berita berita terkini, itulah ruh yang memberi makna kepada senaskah akhbar!.


Ruh pada senaskah akhbar harian.


Begitula juga kita dapati pada buku buku pendidikan yang melambung tinggi harganya. Sebuah buku teks A-Level yang mungkin hanya jumlah halaman 200 mukasurat boleh bernilai seratus hingga ke dua ratsu ringgit. Padahal material kasarnya, hanyalah kertas kertas A4 yang boleh dibeli dengan jumlah yang sama pada harga kurang sepuluh ringgit

Tetapi apa yang membezakan buku buku teks dan himpunan kertas kertas kosong adalah pada isinya, pada padatan ilmu yang tertulis. Ilmu itulah ruh, yang memberi nilai pada si buku.

Ruh pada sebuah buku.

Cukuplah kiranya contoh contoh yang sudah kita soroti untuk memaknai ruh dalam jasad yang berbilang bilang. Pada al Quran, pada senaskah akhbar dan sebuah buku.
Cumanya,

Umat kita yang kian tenat dan hampir hampir sahaja menuju ke kuburan sebelum ajal ini, apakah ruh bagi kita. Apa pula ruh untuk menghidupkan umat ini kembali? Supaya umat islam yang kita cintai ini, ummah ini kembali bernilai, terangkat izzahnya, didaulatkan maruahnya, dan hidup sebagaimana hidupnya generasi Sahabat Nabi saw.

Apakah ruh itu?

Allah swt berfirman;

“..Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka..”

(Ar Ra’du :11)

Saudaraku,

Ayat quran yang sering menghiasi slot lot motivasi ini sering disalah terjemahkan. Untuk mengubah sesuatu kaum, bukanlah kaum itu mengubah nasib mereka. Tidak pantas. Kerana Allah lah yang selayaknya berbuat demikian. Tetapi Allah menghadirkan satu formula, Allah tidak akan ubah sesuatu kaum, sehinggalah mereka ubah apa yang ada paa diri mereka, ma bi anfusihim.

Apa yang ada pada sebuah kaum? Apa komponen bagi satu kaum? Tidak syak agi, individu lah yang menjadi komponen komponen kecil sebuah kaum. Cukuplah sebenarnya, satu kaum itu dihidupkan dengan sebilangan individu, dengan perubahan sekumpulan individu. Individu inilah yang akan memberikan makna, nilai dan kehidupan pada kaum tersebut. Inidividu inilah yang menjadi ruh ruh baharu dalam jasad kaum itu. Ruh baharu dalam jasad umah!

Nahnu ruhul jadid fi jasadil ummah!

Itulah slogan yang kita laung-laungkan, agung-agungkan. Ruh baharu. Arus baharu. Untuk membaiki kehidupan umat islam.

Tetapi apa kualiti yang kita ada sebenanrya untuk menjadi ruh yang menghidupkan ini? Pertanyaan yang serius. Jika sekadar hidup, tidur, bangun tidur, makan dan menelaah mukabuku, bermain games di waktu lapang dan mengunjungi panggung wayang di hujung minggu, maka sudah tentu nama kita tidak tersenarai dalam senarai ruh ruh yang menggerakkan ummah.

Siapakah kita?


Jika seorang Yusuf a.s. mempunyai relevansi untuk dibawa ke istana dari penjara untuk membuat satu perubahan, diterima pihak istana, diangkat menjadi menteri kewangan dan mengubah kondisi hidup rakyat Mesir ketika itu dengan kebolehan menakwil mimpinya, apa pula relevansi kita?

Apakah kita relevan ?



Thursday, January 15, 2015

BANJIR, DI BAWAH NAUNGAN AL QURAN



Tidak awal dan tidaklah terlalu lambat.

Alhmdulillah saya sempat bermusafir ke Kelantan, untuk turut menuai hikmah melihat keadaan bumi Kelantan pasca banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur itu baru-baru ini. Dari Kuala Lumpur, seperti biasanya perjalanan yang jauh, panjang dan memenatkan ke Kelantan memakan masa tidak kurang lapan jam namun kali ini semestinya lebih bermakna.





Hujan menurut al Quran, antaranya merupakan manifestasi kepada penduduknya yang banyak beristighfar, sebagaimana yang dijanjikan Nabi Nuh kepada kaumnya. Baginda mendakwahi kaumnya supaya beristighfar kepada Allah, nescaya;

“..Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu..”
(Nuh:11)


Namun kita tidak tahu, dengan pengamatan yang terbatas ini, apakah hujan lebat yang berterusan yang menyebabkan banjir besar, merosakkan sebahagian harta, bahkan menyebabkan kemalangan jiwa ini masih berada dalam dataran manifestasi istighfar atau sebenarnya musibah buat penduduk bumi negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kita tidak tahu, tetapi kita hanya mampu bersangka baik dengan takdir Allah swt.


Melihat bencana ini di bawah suluhan al Quran benar-benar memberikan pengalamn yang berbeza. Allah swt dalam banyak tempat dalam Quran menggesa kita untuk berjalan di muka bumi ini, untuk melihat kesan dan akibat daripada azab Allah buat umat-umat terdahulu. Antaranya pada ayat;


“Katakanlah, ‘berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan..”
(Al An’am;11)


Dalam keseluruhan al Quran, tidak kurang lima tempat Allah berbicara tentang mesej ini. Menekankan betapa pentingnya untuk berjalan dan melihat akibat yang ditinggalkan di muka bumi ini pasca dilanda azab Allah swt.


Frasa ‘kemudian perhatikanlah’ dalam bahasa Arab al Quran hadir dalam dua keadaan, sama ada ‘thummanzhuru’ atau ‘fanzhuru’. Apabila Allah swt menggunakan perkataan ‘thumma’, maka ia mengajak kita berjalan, sambil memerhatikan. Apabila perkataan ‘fa’ digunakan maka ayat itu mengajak kita untuk berjalan semata-mata untuk melihat kesan kesan tadi. Kita akan lebih menghargai perbezaan ini jika ditaddaburi ayat Quran melalui kaedah kaedah bahasa Arabnya.


Selain itu, perkataan perhatikan dalam bahasa Arab yang digunakan al Quran adalah ‘Nazhoro’. Ia bukan sekadar melihat sebagaimana perkataan ‘Ro’a’. Sebaliknya ia membawa maksud melihat dengan pengamatan yang mendalam. Melihat sambil berfikir, sehingga memberi kesan. Paling penting memberi kesan kepada iman kita, si yang melihat.


Sepanjang melalui Bandar Kuala Krai yang dikatakan lumpuh akibat banjir tempoh hari, ayat Quran ini seakan-akan terngiang-ngiang di telinga. Benar-benar memberi kesan. Seakan hidup ayat itu, dengan kesan banjir yang masih basah dan kelihatan segar di kiri dan kanan. Rumah rumah yang roboh, perabot yang berantakan di tepi tepi jalan, kenderaan yang tersadar rosak, peralatan eletrik yang terbiar, semuanya dalam keadaan tunggang langgang.

Teringat pula pada kata-kata seorang ahli saudara yang turut diuji dengan musibah banjir kali ini;


“Banjir yang berlaku menunjukkan kepada kita betapa tiada nailainya dunia yang kita usahakan hari hari, pagi petang siang malam”


Benar sekali. Sekali bah sahaja, semuanya lenyap dari pandangan mata. Mujurlah, jika itu yang dipelajari oleh mangsa mangsa yang diuji. Allah swt berfirman;


“Maka kepada ajaran manakah (selain al Quran) ini mereka akan beriman?”
(Al Mursalat :50)


Jika banjir adalah caranya, jalannya dan pelajarannya untuk menyentak kembali hamba hamba Allah ini kepada keimanan yang sebenar, maka kami sanggup dan redha dengan musibah ini. Allahu Akbar.


Begitu dahsyat Allah menguji rakyat Kelantan.

Perjalanan beberapa kilometer merentasi Bandar itu seakan berada dalam satu muzium pameran, melalui sebuah lorong gelap, yang mana kiri dan kanannya merupakan tinggalan sejarah, akibat daripada sekelumit kuasa Allah yang diperlihatkan di muka bumi. Yang memerhatikannya pasti tidak mampu meluahkan sebarang kata-kata, diam seribu bahasa.

Bumi Kelantan saya yakin bukan diuji kerana kedustaan mereka kepada Allah swt, pada taddabur dan amatan saya yang marhaen ini. Bahkan negeri Kelantan sarat dengan rakyat yang soleh, beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Bumi Kelantan sepanjang sejarah Islam di nusantara banyak memberanakkan tokoh agamawan yang terkemuka, yang tidak perlu dipanjanglebarkan lagi keunggulan ini.

Tetapi Kelantan yang dihuni oleh hamba-hamba yang mampu bersangka baik dengan perancangan Allah swt dipilih untuk menjadi ‘host’ kepada tanda kebesaran Allah swt. Mungkin bencana yang satu ini adalah teguran dan sentapan yang ditujukan kepada hamba hamba Allah yang berada di bumi lain, yang kononnya aman itu.


Lagi lagi bagi saya yang menetap di bahagian Pantai Barat Malaysia ini, pada pandangan kasar sahaja kami yakin, jauh sekali, kami lebih patut dibalas dengan musibah yang bahkan lagi dashyat, dengan bermacam gejala maksiat dan pesta kemungkaran kepada Allah secara beramai-ramai ini. Kita yang tidak diuji ini, tidak pantas berasa aman. Sebagaimana firman Allah;


“Atau apakah mereka merasa aman dari siksaan Allah (yang tidak terduga-duga) ? Tidak ada yang merasa aman dari siksaan Allah selain orang-orang yang rugi”
(Al A’raf :99)


Ya. Tidak pantas kita merasa aman. Hanya orang yang rugi merasa aman. Orang yang rugi antara lain al Quran menyifati mereka sebagi orang yang tidak beriman, beramal soleh yakni berpesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran, sebagaimana yang kita pelajarai tatkala menyoroti surah al Asr.


Dakwah, berpesan dengan kebenaran dan kesabaran, amar makruf nahi mungkar, siapa sangka mempunyai hubungan positif dengan azab Allah yang boleh hadir dalam bentuk bencana alam seperti banjir. Ya, positive relationship. Sains, secanggih manapun tidak mampu memberi jawapan kepada hal ini. Tidak mungkin ahli saintis menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai variables atau pemboleh ubah dalam kajian kajian mereka.


Tetapi bagi orang-orang yang beriman, kita melihat kejadian alam, berlakunya sunnah sunnah Allah ini lebih daripada sekadar pandangan akal semata-mata, sebaliknya kita melihat dengan panduan Rabbani, dengan kaca mata al Quran yang tidak dapat dipungkiri lagi.


Kelantan telah pun diuji. Mereka dipilih untuk membenarkan sebahagian daripada ayat-ayat Allah tatkala Allah berfirman;

“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar..”
(Al Baqarah :155)


Kita berdoa-doa mudah-mudahan mereka yang diuji kali ini terdiri daripada orang-orang yang sabar, sabar sehingga melayakkan mereka menerima keampunan, rahmat dan petunjuk daripada Allah swt sebagaimana yang dijanjikan dalam ayat ayat yang berikutnya.


Buat kita yang kononnya masih aman ini, tidak digoncang rumah-rumah kita, tidak dihujani dengan batu batu berapi dari langit atau berbagai bentuk musibah yang lain, luangkan masa sejenak untuk memerhati. Bagaimana dengan amar makruf dan nahi mungkar di sekeliling kita. Lihatlah dengan padangan hati,


“..Kerana sesungguhnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”
(Al Hajj:46)


Wallahu’alam