Thursday, January 15, 2015

BANJIR, DI BAWAH NAUNGAN AL QURAN



Tidak awal dan tidaklah terlalu lambat.

Alhmdulillah saya sempat bermusafir ke Kelantan, untuk turut menuai hikmah melihat keadaan bumi Kelantan pasca banjir besar yang melanda negeri Pantai Timur itu baru-baru ini. Dari Kuala Lumpur, seperti biasanya perjalanan yang jauh, panjang dan memenatkan ke Kelantan memakan masa tidak kurang lapan jam namun kali ini semestinya lebih bermakna.





Hujan menurut al Quran, antaranya merupakan manifestasi kepada penduduknya yang banyak beristighfar, sebagaimana yang dijanjikan Nabi Nuh kepada kaumnya. Baginda mendakwahi kaumnya supaya beristighfar kepada Allah, nescaya;

“..Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepadamu..”
(Nuh:11)


Namun kita tidak tahu, dengan pengamatan yang terbatas ini, apakah hujan lebat yang berterusan yang menyebabkan banjir besar, merosakkan sebahagian harta, bahkan menyebabkan kemalangan jiwa ini masih berada dalam dataran manifestasi istighfar atau sebenarnya musibah buat penduduk bumi negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Kita tidak tahu, tetapi kita hanya mampu bersangka baik dengan takdir Allah swt.


Melihat bencana ini di bawah suluhan al Quran benar-benar memberikan pengalamn yang berbeza. Allah swt dalam banyak tempat dalam Quran menggesa kita untuk berjalan di muka bumi ini, untuk melihat kesan dan akibat daripada azab Allah buat umat-umat terdahulu. Antaranya pada ayat;


“Katakanlah, ‘berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan..”
(Al An’am;11)


Dalam keseluruhan al Quran, tidak kurang lima tempat Allah berbicara tentang mesej ini. Menekankan betapa pentingnya untuk berjalan dan melihat akibat yang ditinggalkan di muka bumi ini pasca dilanda azab Allah swt.


Frasa ‘kemudian perhatikanlah’ dalam bahasa Arab al Quran hadir dalam dua keadaan, sama ada ‘thummanzhuru’ atau ‘fanzhuru’. Apabila Allah swt menggunakan perkataan ‘thumma’, maka ia mengajak kita berjalan, sambil memerhatikan. Apabila perkataan ‘fa’ digunakan maka ayat itu mengajak kita untuk berjalan semata-mata untuk melihat kesan kesan tadi. Kita akan lebih menghargai perbezaan ini jika ditaddaburi ayat Quran melalui kaedah kaedah bahasa Arabnya.


Selain itu, perkataan perhatikan dalam bahasa Arab yang digunakan al Quran adalah ‘Nazhoro’. Ia bukan sekadar melihat sebagaimana perkataan ‘Ro’a’. Sebaliknya ia membawa maksud melihat dengan pengamatan yang mendalam. Melihat sambil berfikir, sehingga memberi kesan. Paling penting memberi kesan kepada iman kita, si yang melihat.


Sepanjang melalui Bandar Kuala Krai yang dikatakan lumpuh akibat banjir tempoh hari, ayat Quran ini seakan-akan terngiang-ngiang di telinga. Benar-benar memberi kesan. Seakan hidup ayat itu, dengan kesan banjir yang masih basah dan kelihatan segar di kiri dan kanan. Rumah rumah yang roboh, perabot yang berantakan di tepi tepi jalan, kenderaan yang tersadar rosak, peralatan eletrik yang terbiar, semuanya dalam keadaan tunggang langgang.

Teringat pula pada kata-kata seorang ahli saudara yang turut diuji dengan musibah banjir kali ini;


“Banjir yang berlaku menunjukkan kepada kita betapa tiada nailainya dunia yang kita usahakan hari hari, pagi petang siang malam”


Benar sekali. Sekali bah sahaja, semuanya lenyap dari pandangan mata. Mujurlah, jika itu yang dipelajari oleh mangsa mangsa yang diuji. Allah swt berfirman;


“Maka kepada ajaran manakah (selain al Quran) ini mereka akan beriman?”
(Al Mursalat :50)


Jika banjir adalah caranya, jalannya dan pelajarannya untuk menyentak kembali hamba hamba Allah ini kepada keimanan yang sebenar, maka kami sanggup dan redha dengan musibah ini. Allahu Akbar.


Begitu dahsyat Allah menguji rakyat Kelantan.

Perjalanan beberapa kilometer merentasi Bandar itu seakan berada dalam satu muzium pameran, melalui sebuah lorong gelap, yang mana kiri dan kanannya merupakan tinggalan sejarah, akibat daripada sekelumit kuasa Allah yang diperlihatkan di muka bumi. Yang memerhatikannya pasti tidak mampu meluahkan sebarang kata-kata, diam seribu bahasa.

Bumi Kelantan saya yakin bukan diuji kerana kedustaan mereka kepada Allah swt, pada taddabur dan amatan saya yang marhaen ini. Bahkan negeri Kelantan sarat dengan rakyat yang soleh, beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Bumi Kelantan sepanjang sejarah Islam di nusantara banyak memberanakkan tokoh agamawan yang terkemuka, yang tidak perlu dipanjanglebarkan lagi keunggulan ini.

Tetapi Kelantan yang dihuni oleh hamba-hamba yang mampu bersangka baik dengan perancangan Allah swt dipilih untuk menjadi ‘host’ kepada tanda kebesaran Allah swt. Mungkin bencana yang satu ini adalah teguran dan sentapan yang ditujukan kepada hamba hamba Allah yang berada di bumi lain, yang kononnya aman itu.


Lagi lagi bagi saya yang menetap di bahagian Pantai Barat Malaysia ini, pada pandangan kasar sahaja kami yakin, jauh sekali, kami lebih patut dibalas dengan musibah yang bahkan lagi dashyat, dengan bermacam gejala maksiat dan pesta kemungkaran kepada Allah secara beramai-ramai ini. Kita yang tidak diuji ini, tidak pantas berasa aman. Sebagaimana firman Allah;


“Atau apakah mereka merasa aman dari siksaan Allah (yang tidak terduga-duga) ? Tidak ada yang merasa aman dari siksaan Allah selain orang-orang yang rugi”
(Al A’raf :99)


Ya. Tidak pantas kita merasa aman. Hanya orang yang rugi merasa aman. Orang yang rugi antara lain al Quran menyifati mereka sebagi orang yang tidak beriman, beramal soleh yakni berpesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran, sebagaimana yang kita pelajarai tatkala menyoroti surah al Asr.


Dakwah, berpesan dengan kebenaran dan kesabaran, amar makruf nahi mungkar, siapa sangka mempunyai hubungan positif dengan azab Allah yang boleh hadir dalam bentuk bencana alam seperti banjir. Ya, positive relationship. Sains, secanggih manapun tidak mampu memberi jawapan kepada hal ini. Tidak mungkin ahli saintis menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai variables atau pemboleh ubah dalam kajian kajian mereka.


Tetapi bagi orang-orang yang beriman, kita melihat kejadian alam, berlakunya sunnah sunnah Allah ini lebih daripada sekadar pandangan akal semata-mata, sebaliknya kita melihat dengan panduan Rabbani, dengan kaca mata al Quran yang tidak dapat dipungkiri lagi.


Kelantan telah pun diuji. Mereka dipilih untuk membenarkan sebahagian daripada ayat-ayat Allah tatkala Allah berfirman;

“Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar..”
(Al Baqarah :155)


Kita berdoa-doa mudah-mudahan mereka yang diuji kali ini terdiri daripada orang-orang yang sabar, sabar sehingga melayakkan mereka menerima keampunan, rahmat dan petunjuk daripada Allah swt sebagaimana yang dijanjikan dalam ayat ayat yang berikutnya.


Buat kita yang kononnya masih aman ini, tidak digoncang rumah-rumah kita, tidak dihujani dengan batu batu berapi dari langit atau berbagai bentuk musibah yang lain, luangkan masa sejenak untuk memerhati. Bagaimana dengan amar makruf dan nahi mungkar di sekeliling kita. Lihatlah dengan padangan hati,


“..Kerana sesungguhnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada”
(Al Hajj:46)


Wallahu’alam

No comments: