Showing posts with label EVENT. Show all posts
Showing posts with label EVENT. Show all posts

Sunday, July 13, 2014

MUSLIM, PALESTINE & MAS'ULLIYAH




Konflik Palestine-Israel yang makin menggila kebelakangan ini menyeru kita semua untuk melihat kembali sejarah dua kelompok manusia ini melalui suluhan sejarah yang di bawa oleh al Quran.


Al Ikhtilaf Fil Ard


Sekiranya tugas manusia di muka bumi ini untuk beribadah dalam bentuk amal amal fardi semata-mata seperti solat, puasa, zakat, berzikir, bangun malam, menyendiri di masjid masjid sepanjang hari semata-mata, maka tidak ada lagi beza manusia dengan makhluk lain yang diciptakan Allah swt kerana kesemua mereka turut bertasbih memuji Allah. Dalam erti kata lain, makhluk makhluk ini turut memanifestasikan ta’abud (pengibadatan) mereka kepada Allah dalam bentuk yang sesuai dengan fitrah ciptaan mereka.


Sekiranya dikatakan bekerja mencari rezeki itu satu bentuk ibadah, sebenarnya haiwan pun mencari rezeki mereka dengan metodologi yang sesuai dengan sifat kehaiwanan mereka, lantas juga dikira sebagai satu ibadah. Sekiranya dikatakan membina sebuah keluarga dan melahirkan zuriat untuk pertambahan umat Islam sebagai maifestasi ibadah, maka sekali lagi, tikus tikus di pasar malam turut beranak pinak.


Amat malang bagi manusia yang memahami konsep tujuan hidup mereka di atas muka bumi ini dengan definisi sesempit ini, yakni sekitar menunaikan amalan amalan fardhu yang tertera pada rukun Islam yang lima, mencari rezeki untuk membina keluarga, berkerjaya, berkembang biak, sehingga ke hujung nyawa.


Tanpa menafikan suruhan suruhan beribadah seperti yang dinyatakan tadi, antara lain tujuan utama diciptakan manusia di muka bumi ini ialah supaya Allah swt dapat menyerahkan amanah kepimpinan kepada manusia untuk mentadbir bumi dan seisinya sesuai dengan kehendak Allah swt yang digarispandu oleh al Quran. Inilah yang dikatakan al ikhtilaf fil ard, atau pengkhilafatan di muka bumi ini, sebagaimana firman Allah swt;



Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Sesungguhnya aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi”

(Al Baqarah:30)



Meskipun ayat Quran dalam surah al Baqarah ini diturunkan di zaman Rasulullah s.a.w lewat perjuangan baginda di Madinah, namun sejarah mas’uliiyah atau tanggungjawab kepimpinan di muka bumi telah bermula sejak Nabi Adam as diuturunkan di muka bumi, lantas menjadi manusia pertama meneraju tampuk kepimpinan yang diamanahkan oleh Allah swt.



Bani Israel Yang Terpilih



Secara ringkasnya, sepanjang sejarah amanah kepimpinan ini telah bertukar tangan daripada satu bangsa ke bangsa yang lain yang dipimpin oleh nabi-nabi yang diutuskan. Sebab amanah ini bertukar tangan adalah kerana kegagalan manusia yang diamanahkan itu untuk melaksanakan amanah ini, ekoran kemaksiatan yang mereka lakukan kepada Allah swt.


Sehinggalah  amanah itu sampai kepada nabi Ibrahim a.s;


Dan (ingatlah) ketika Ibrahim a.s diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dia (Allah ) berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai pemimpin bagi seluruh manusia”


Dia (Ibrahim) berkata, “Dan (juga) dari anak-cucuku?” Allah berfirman, “(Benar, tetapi) janjiKu tidak berlaku bagi orang yang zalim”

(Al Baqarah :124)




Nabi Ibrahim merupakan contoh teladan dalam melaksanakan amanah kepimpinan ini. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang zuriat yang diangkat menjadi nabi yakni Nabi Ishaq dan Nabi Ismail. Dari susur galur Nabi Ishaq, lahir Nabi Ya’qub yang juga digelar Israel. Daripada keturunan ini, lahir Bani Israel dan kesemua nabi yang lahir setelah itu adalah dari Bani Israel untuk memimpin Bani Israel kecuali Rasulullah s.a.w.


Waktu itu, Bani Israel merupakan kumpulan manusia yang dimuliakan Allah swt yang diberikan amanah kepimpinan di muka bumi. Mereka merupakan umat yang paling lama memegang amanah ini berbanding umat umat sebelum itu dan sepanjang memegang amanah ini, Baitul Maqdis menjadi kiblat dalam melaksanakan amanah kekhilafahan ini.


Sepanjang sejarah Bani Israel, mereka telah melakukan banyak kesilapan bahkan kemungkaran yang besar dalam menjalankan amanah ini. Banyak nabi diutuskan kepada mereka namun mereka mendustakan utusan utusan Allah ini. Mereka juga dengan melampui batas membunuh sebahagian nabi yang diutuskan. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan.


Sebab itu kita dapati dalam al Quran sangat banyak cerita tentang Bani Israel kerana pengalaman, kemungkaran, kesilapan dan penyelewengan yang mereka lakukan sepanjang menjadi bangsa pilihan itu merupakan pengajaran pengajaran berguna buat umat Islam, bangsa muslim yang kini mengambil alih amanah besar ini.


Bani Israel begitu menikmati amanah kepimpinan ini sehingga mereka merasakan mereka adalah anak Tuhan, kekasih Allah, bangsa pilihan, bangsa yang mulia sehingga tidak mengiktiraf kedudukan bangsa bangsa lain.


Bak kata Pak Samad,

Apabila terlalu lama berkuasa
Kuasa dijadikan harta


Sebab itu, apabila mendapat tahu nabi terakhir yakni Muhammad b Abdullah saw lahir dari kalangan bangsa Arab, bukan dari kalangan mereka, Bani Israel yang beragama Yahudi itu memulakan kempen dan siri penentangan kepada Rasulullah saw terutama semasa berada di Madinah. Mereka sedia maklum, kewujudan Rasulullah saw dan pengikut baginda yang berbangsa muslim itu bakal mengambil alih kepimpinan di muka bumi ini.


Agamawan  mereka sudah tahu akan hal ini. Namun, disebabkan kesombongan dan rasa selesa dan kemegahan yang diwarisi dek terlalu lama memimpin manusia, sebahagian daripada ahli kitab ini menyembunyikan kebenaran ini. Perbuatan mereka banyak kali ditempelak oleh Allah swt dalam al Quran.


Di sinilah bermulanya konflik Israel-Muslim.


Ia makin hangat tatkala Allah swt memerintahkan Rasulullah saw dan umat Islam yang pada awalnya menjadikan Baitul Maqdis sebagai kiblat pertama bertukar supaya menjadikan Ka’abah, Baitullah sebagai kiblat baharu, sebagai symbol rasmi penyerahan amanah kempimpinan kepada umat Islam.


Perkara ini berlaku usai penghijrahan muhajireen ke Madinah, setelah mereka membentuk satu perkumpulan manusia yang kuat dan sedia untuk menggalas amanah ini.

Inilah yang menjadi tema utama perbicaraan dalam Surah al Baqarah, yang disusun Allah swt di awal al Quran, yakni kisah berkenaan menyediakan umat Islam untuk menjadi bangsa seterusnya yang memimpin bumi ini.

Ulas Sayyid Quttb,

“Mulai juzu’ ini dari Surah al-Baqarah kita dapati pembicaraannya ditekankan pada penyediaan kaum Muslimin untuk memikul tugas amanah agung, iaitu amanah ‘aqidah Islam dan amanah khilafah di bumi atas nama ‘aqidah walaupun dari satu masa ke satu masa kita masih menemui perdebatan dengan musuh-musuh kaum Muslimin yang menentang mereka terutama Bani Israel, di mana kaum Muslimin menghadapi komplot komplot, tipudaya dan penentangan mereka terhadap dasar-dasar ‘aqidah dan terhadap kewujudan kaum Muslimin.
 
Begitu juga kita dapat menemui berbagai-bagai arahan dan perintah Ilahi kepada kaum Muslimin untuk menghadapi penentangan dan peperangan yang berbagai-bagai cara dan rupa yang dilancarkan oleh musuh-musuh mereka, dan untuk menghindari jalan-jalan gelincir yang telah menjatuhkan Bani Israel sebelum ini.”


So What ?


Saudaraku,


Sejak dari Nabi Adam sehingga ke saat ini, meskipun amanah kepimpinan itu bertukar tangan entah berapa banyak kali, akidah yang diajarkan Allah kepada manusia keseluruhannya sama sahaja yakni akidah mentauhidkan Allah, yang dibezakan hanyalah syariat dalam pengibadatan.


Tidak kira dari zaman mana, dan bangsa mana pun, sekiranya seorang hamba itu hari ini berpegang dengan ajaran yang benar dan mentauhidkan Allah, mereka adalah muslim. Dan hari ini sehinggalah ke akhir zaman nanti, umat Islam, merentasi kepelbagaian bangsa merupakan umat yang dipilih untuk memegang amanah kekhilafahan di muka bumi.


Maka menjadi tanggungjawab setiap muslim, setiap mereka yang mengucapkan kalimah tauhid untuk mempertahankan setiap inci bumi supaya mendapat naungan Islam, lebih lebih lagi bagi tanah yang dihuni oleh umat Islam sendiri.


Berkenaan Baitul Maqdis, Palestine atau Bumi al Quds secara keseluruhannya, begitu banyak dan dekat sejarah bumi barokah itu dengan sejarah manusia, sejarah muslim dan sejarah amanah kepimpinan di muka bumi ini. Perjuangan kita membebaskan bumi al Quds daripada cengkaman Israel yang tidak sedar diri itu sepatutnya bukan sekadar atas alasan kasihan atau isu kemanusiaan sebaliknya isu aqidah.


Setiap muslim sepatutnya berasa ‘izzah dengan amanah kekhilafahan yang dipikul di pundak kita masing-masing dan rasa terpanggil untuk memuliakan seluruh isi bumi dengan naungan Islam seperti suatu ketika dahulu. Mas’uliyyah yang berada di bahu kita ini akan dipersoalkan. Sangat tidak wajar dan pengecut jika kita biarkan kita bangsa pilihan Allah swt ini ditindas dan diperlakukan bagai binatang oleh satu bangsa manusia yang mana riwayat kepimpinanya sudah tamat.


Peralihan kiblat suatu ketika dahulu yang menjadi pemutus kepada Bani Isarel sebagai khalifah dan pemula bagi umat Islam sebagai pemimpin seterusnya di muka bumi merupakan pertembungan dua keturunan daripada dua anak Ibarhim a.s . Kita sepatutnya belajar daripada kegagalan Bani Israel yang dinyatakan dalam al Quran dan melaksanakan misi ini sebagaimana dikehendaki Allah swt.


Malangnya, mana mungkin umat Islam mengambil teladan dan sedar akan mas’uliyyah ini sekiranya kita tidak membaca apatah lagi memahami al Quran yang ada di tangan kita ini. Mana mungkin kita semua tahu akan tujuan hidup yang sebenar, amanah dan tanggunjawab yang sebenar sekiranya kita tidak kembali kepada al Quran.

Sehingga la waktu itu datang, kita akan terus lena, selesa dan berasa sudah sempurna kewujudan di dunia ini dengan melakukan ibadah ibadah fardi, menguruskan hidup masing-masing dan mengharapkan kematian yang baik.


Berbalik kepada yang berlaku di Palestine, ia merupakan konflik Israel-Muslim, bukan Israel-Palestine. Sesungguhnya umat Islam di Palestine sedang berjuang mewakili kesemua umat Islam dan sedang melaksanakan mas’uliyyah kekhilafahan yang sepatutnya dikongsi bersama seluruh bangsa muslim.


Tidak mengapalah, kita akan terus tunggu dan lihat dengan penuh lemah dan tidak berdaya dan yakin bahawa ini masalah Pelestine, bukan masalah umat Islam, dan kita akan meneruskan hidup seperti biasa dengan ketidakpeduliaan ini. Kita akan terus melihat dan menunggu akan datang hamba-hamba Allah swt yang membenarkan firmannya;


Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.
Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
(Al Isra’ :7)



Cuma satu soalan retorika, mengapa mereka yang bukan muslim, yang tidak tahu menahu tentang amanah kepimpinan, yang tidak membaca al Quran dan menghayati kisah pertukaran kiblat dan sebagainya lebih kedepan dalam melindungi Palestin ?

Gambar : Ehsan Facebook

Tuesday, May 27, 2014

OF ISRA' MI'RAJ & PALESTINE (I)



Menurut kitab seerah Raheeq Makhtum, terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ dalam penetapan tarikh terjadinya Isra’ wal mi’raj. Ada yang mengatakan ia terjadi pada tahun Allah memuliakan Nabi saw dengan nubuwwah. Dan antara lain, ada yang  berpendapat ia terjadi pada malam tanggal 27 Rejab tahun ke sepuluh an Nubuwwah.

Hari ini, calendar tahunan kita memilih untuk mengazetkan tarikh 27 Rejab sebagai tarikh memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang sangat epic itu.

Cuma, suka juga saya untuk berkongsi bahawa tarikh ini ditolak oleh sebahagian ilmuwan kerana pada waktu itu Saidatina Khadijah belum meninggal, padahal pensyariatan solat berlaku setelah beliau meninggal. Pun begitu, penetapan tarikh dan perbezaan pandangan ini tidak menjadi masalah untuk kita mengutip ibrah yang sangat banyak melalui peristiwa Isra’ dan mi’raj ini.

Saban tahun di bulan Rejab siri siri kuliah Isra’ Mi’raj akan mengambil tempat dalam pelbagai bentuk majlis ilmu. Dan sepanjang lima tahun saya bersekolah dan menetap di asrama, maka lima kali lah paling kurang saya mendengar kuliah tentang peristiwa Isra’ Mi’raj yang disampaikan oleh beberapa penyampai jemputan  dengan cara penyampaian dan perspektif yang berbeza.

Namun begitu, kuliah kuliah Isra’ Mi’raj yang saya lalui dahulu hanya tinggal sebagai satu kuliah yang harus dijalankan sekadar melengkapi agenda tahunan surau di sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di sebuah Bandar yang terpencil di sebuah negeri di persisiran pantai di semenanjung Malaysia. Penceritaan sejarahnya dibentangkan sekadar kuliah untuk mengisi kekosongan waktu, yang diakhir dengan secebis nasihat yang sudah dapat dijangkakan.

Pun begitu, kuliah atau penceritaan Isra’ Mi’raj tidak pernah mengecewakan. Kerana terlalu banyak kisah menarik yang dapat kami dengar, diserikan lagi dengan banyak perkara epic yang berlaku pada Nabi saw pada malam tersebut menyebabkan kami mendengar dengan terkun dan focus.
 
 (Google)

Namun, jarang sekali bahkan tidak pernah pengkuliah yang hadhir mengkaitkan kisah Isra’ Mi’raj dengan keakraban hubungan setiap manusia yang melafazkan kalimah toyyibah syahadatain dengan masjid al aqsa ataupun kota al Quds. Isi utama kuliah ini biasanya didominasi dengan perintah solat, pertemuan Rasulullah dengan para anbiya dan kisah Abu Bakr r.a yang sering membenarkan kata-kata Nabi saw.

Disebabkan adanya bahagian penting yang tertinggal dalam menyampaikan pengajaran tentang Isra’ Mi’raj ini, saban tahun semakin diingati Isra’ dan Mi’raj, semakin dilupai saudara seakidah kita di kota al Quds. Sehinggalah tarbiyah menghubungkan kembali pertalian yang hampir putus itu. Saya secara jujur harus berterima kasih kepada tarbiyah atas kesedaran ini.


Memetik tulisan Ust Hasrizal dalam blogpostnya, beliau melontarkan satu persoalan yang sangat menarik tentang Isra’ dan Mi’raj yang dipandang sebelah mata oleh sebahagian besar Muslim.


Tulis beliau;



“Jika motif peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj adalah hanya untuk urusan peribadi antara Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan Tuhannya, nescaya perjalanan boleh berlaku secara langsung dari al-Masjid al-Haram di Mekah ke Sidrah al-Muntaha, tanpa perlu ‘transit’ di al-Masjid al-Aqsa di Palestin. Akan tetapi, persinggahan di bumi Palestin pada kejadian luar biasa berkenaan, mempunyai signifikasi yang perlu hidup hingga ke akhir zaman, sebagai kelangsungan nilai Palestin sebelum-sebelumnya ”



Ya. Persoalan ini sepatutnya memandu rasa ingin tahu kita tentang nilai Masjid al Aqsa secara khususnya dan kota al Quds secara amnya di sisi setiap muslim.


Terlalu banyak perkaitannya sebenarnya, yang tidak mampu saya nukilkan di sini. Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam, bumi al Quds yang diberkahi dan direkod dalam al Quran itu, bumi kelahiran para anbiya dan ilmuwan Islam serta keberkahannya yang melimpah sehingga ke kekuasaan politik dunia itu  ada hubungan yang rapat dengan kita semua.


Tetapi kelalaian masyarakat Islam dunia secara am nya beserta pengaruh tangan tangan ghaib yang mengalih perhatian kita daripada mengambil tahu tentang perkembangan bumi yang sedang menangis itu telah menyebabkan hubungan yang akrab sudah renggang. Hubungan sejarah sudah kita lupakan. Nilai sentiment yang ada pada bumi itu tidak lagi dirasai oleh generasi mendatang. Hubungan akidah telah dibatasi dengan sempadan kebangsaan dan kenegaraan.



Membebsakan al Aqsa merupakan satu perjuangan yang kewajibannya terletak di pundak setiap muslim, atas satu alasan yang cukup kukuh, menafikan halangan halangan yang ada yakni atas alasan akidah. Sekiranya setiap muslim yang bertebaran di seluruh dunia kembali melihat kewajipan ini, dan bersatu untuk membebaskan kota yang diberkahi itu, maka pasti musuh Allah, zionis yang makin menggila itu panas punggung.


Untuk mengelakkan hal ini berlaku, memastikan api perjuangan terus malap, dan untuk melalaikan setiap muslim daripada kewajipan mereka, kita dibekalkan dengan tugas tugas remeh yang melarutkan. Umat islam dipecah belahkan dengan pelbagai fahaman yang mengatasi hubungan akidah. Perpecahan yang menyakitkan, yang malangnya harga perpecahan itu terpaksa dibayar oleh saudara seakidah yang terus menerus ditindas di kota al Quds.


Teori memecahbelahkan musuh untuk mengangkat diri sendiri ini sudah dipraktikkan oleh Fira’un seperti mana yang direkodkan dalam surah al Qhassas ;



“Sesungguhnya Fira’un telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan mereka, menyembelih anak laki-laki dan membiarkan anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan”

(Al Qhassas:4)


Seolahnya ruh dan ciri-ciri yang dinyatakan dalam ayat di atas ada pada musuh umat Islam hari ini. Dan perincian tentang mangsanya juga sama. Rupa rupanya walaupun Fi’raun sudah lama riwayatnya tamat, tetapi saki perjuangannya masih ada, diteruskan oleh Zionis yang dilaknat itu.


Jika diperhatikan hari ini, umat Islam berpecah belah yang tidak dapat dinafikan lagi. Ada yang berperang sesama sendiri. Ada yang berkelahi kerana berbeza fahaman politik. Berkelahi kerana berlainan pegangan mazhab. Sebahagian ditindas dan sebahagian lagi hidup mewah meratah hak bersama. Anak-anak Islam di bumi bergolak dibunuh tanpa belas, baik lelaki mahupun perempuan.


Dan sebahagian umat yang masih hidup senang lenang sekadar duduk menangisi di hadapan skrin, berpeluk tubuh, berputih mata. Mereka dilemma. Tersepit antara membantu atau menjaga kepentingan diri. Begitulah dahsyatnya perpecahan yang berlaku ini. Hati hati muslim tidak lagi bersatu, meskipun jumlah mereka ramai.


Al Quds telah membuka mata kita semua, membongkarkan ciri ciri sebahagian besar umat ini. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang mengilhamkan kita semua untuk masih memperingati peristiwa Isra’ ini dan masih ada yang berfikiran waras mengheret kita ke dataran fikir yang lebih luas.


Kedatangan Isra’ dan Mi’raj kali ini dan pada tahun tahun yang mendatang sepatutnya kita lihat melalui kaca mata yang berbeza, yakni melalui kaca mata untuk membebaskan al Quds. Isra’ dan mi’raj sepatutnya diraikan dengan semangat baharu yang lebih membara untuk kita sama-sama memainkan peranan di posisi masing-masing untuk meleraikan kuasa durjana Negara Haram Israel.


...Bersambung...in sha Allah


Wallahu’alam

Friday, May 16, 2014

MENGETUK PINTU LANGIT




 Facebook



Di suatu masa, saya membaca karya puisi daripada Gus Mus dan daripada A. Samad Said, lalu mulalah saya gatal tangan menulis beberapa bait puisi, yang mungkin tiada nilai estetik juga tiada kualiti pada nilainya. Di kesempatan yang lain, saya membaca buku-buku karya SalimA. Fillah, lalu tulisan saya mula diserikan dengan perkataan perkataan jawa yang kekadang maksudnya  melencong apabila diterjemah ke bahasa ibu kita.


Begitulah, pengalaman menulis, penuh cuba-cuba. Pada selang waktu yang seterusnya, saya membaca karya-karya agung Sayyid Quttb, maka mode penulisan saya serta merta berubah, serius dan tegas. Di waktu lain pula, saya membaca tulisan Imam al Banna dan Sheikh Al Maududi ataupun Sheikh Muntalaq, maka tulisan saya jadi kaku. Apabila ditimbang tara,jauh tiada content.


Pun begitu, semangat menulis tidak pernah menjunam mati, meski sering turun naik di setiap sela waktu. Saya terlalu baharu belajar menulis, belum memiliki gaya tersendiri. Ada sahaja bayangan penulisan buku buku yang saya baca dalam picisan picisan yang berlalu. Tidak mengapalah, bukankah meniru itu satu proses pembelajaran?


Terbaru saya mula meminati karya Ustaz Hasrizal, dan mula ke toko buku untuk mendapatkan hasil tangan daripada HAMKA, ulama’ seberang. Begitu juga dengan tulisan bahasa Inggeris yang berbentuk novel. Dan saya juga pernah bahkan mungkin masih bercita-cita untuk menulis novel picisan berbahasa Inggeris. Tidak banyak yang saya tahu, hanya nama seperti Khaled Hosseini dan Akhtar Ayyad.


Sebelum ini saya merupakan seorang pelajar berlatar belakangkan pendidikan sains tulen yang sudah pasti secara normanya bukan mereka yang menulis. Menulis adalah kerja orang sains social, pada hukum masyarakat yang biasa. Tetapi hari ini, hampir semua sudah mampu berkarya, kerana benar, menulis itu ajaib, melonjatkan daya mahu ke tingkatan yang lebih tinggi.


Apabila mahu menulis, tips nya mesti membaca. Seorang al akh pernah bercerita atau berkongsi tentang tips menulis, katanya ada lima langkah.

Lalu ditanya,

“Yang pertama apa?”

Jawabnya,


“Membaca”

“Kedua?”

“Membaca”

“Lalu ketiganya?”

“Membaca lagi”

“Keempat?”

“Membaca”

“Kelima?”

“Menulis”


Seorang daripada kami pula bertanya,


“Kenapa kelima pun tidak membaca?”

“Kalau kelima pun membaca, itu tips membaca”


Lalu gelak tawa berderai sesama kami.

Maka saya yang tidak suka membaca ini ‘terpaksa’ membaca kerana ingin menulis. Dari satu sudut, itulah kelebihan dan keajaibannya.


Salim A Fillah pernah memberi satu komentar tentang menulis;

"Menulis adalah mengujikan pemahaman kepada khalayak; yang dari berbagai sisi bisa memberi penyaksamaan dan penilaian. Kita memang membaca buku, menyimak kajian, hadir dalam seminar dan sarasehan. Tetapi kebenaran pemahaman kita belum tentu terjaminkan. Maka menulislah; agar jutaan pembaca menjadi guru yang meluruskan kebengkokan, mengingatkan keterluputan, dan membetulkan kekeliruan."


Begitulah peri pentingnya menulis, menguji kefahaman. Dalam gerabak dakwah dan tarbiyah, penulisan antara cara lain yang efektif untuk menyebarkan fikrah yang ingin di bawa kepada objek atau target dakwah. Bahkan ada yang memahiri seni berdakwah ekoran membaca banya materi yang ditinggalkan oleh mereka yang terlebih dahulu menapaki jalan ini.


Di Malaysia, sangat ramai yang mampu menulis. Di saat ledakan pengaruh facebook, hampir kesemua yang memiliki akaun laman social ini mula belajar menulis, sekecil kecil penulisan status sehingga la mula memberi komentar komentar berkenaan isu semasa. Meskipun banyaknya yang datang bukan dari akal yang tenang tetapi emosi yang terganggu.


Entah mengapa, orang kita yang ramai mampu menulis lebih cenderung bermain dengan isu. Alangkah indahnya jika ada sinergi sesama mereka ini untuk luangkan masa dan menulis bahan bahan yang lebih ilmiah, sampaikan Islam dengan tulisan kepada yang terdekat, sebarkan kebahagian dan keharmonian. Pendiri dakwah yang baru mula bertatih, sangat membutuhkan karya-karya ini untuk membimbing mereka.


Saya berkeinginan untuk menyumbang dengan penulisan ini. Namun, ketandusan ilmu di dada menyebabkan iradah itu sering malap. Tidak banyak yang mampu saya kongsi. Meskipun banyak, tidak banyak pula yang bermanfaat. Itulah cabarannya. Nak tak nak, perlulah si penulis terlebih dahulu mendulang ilmu di segenap juzuk.


Menulis ini sebenarnya kerja yang murni. Dalam Quran ada surah yang diberi nama Qalam yang bermaksud pena dan Allah ada bersumpah dengan menggunakan qalam, yang bermaksud “Demi Pena”


Begitulah, sehingga terpateri abadi dalam kitab yang dibaca sekelian umat manusia. Pun begitu, apa-apa yang murni sekalipun apabila berada di tangan manusia yang cintakan kefasadan dan bercita-cita membangkitkan fitnah yang sedang lena, hancur binasa juga masyarakat kerana pena. Ini juga cabaran menulis, antara dosa dan pahala.


Antara lain cabaran yang paling menggugah jiwa adalah untuk menghidupkan kata-kata itu dalam amal seharian. Jika tidak berlaku, kata-kata yang berjela jela itu berlalu sepi, sesepi dakwah di Malaysia gamaknya. Saya sendiri, kualiti perbicaraan yang diketengahkan tidak ada dalam diri saya. Namun, buat saya dan anda, kita sama-samalah pohon doa agar diberi kekuatan untuk meniupkan nafas pada kata-kata dan hasil tulisan kita.



Kata-kata kita yang menyeru manusia kepada Allah ini adalah kata-kata yang paling mulia, sebagaimana firman Allah;


 "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata:"Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri."
(Fushshilat : 33)



Sayyid Qutb ketika menafsirkan ayat ini berkata :

"Kalimah-kalimah dakwah yang diucapkan oleh pendakwah adalah paling baik kalimahnya, ia berada pada barisan pertama di antara kalimah-kalimah yang baik yang mendaki ke langit."

Subhanallah, mengujakan bukan. Semoga kata-kata kita itu dan ini benar benar sampai dan mengetuk pintu langit agar Allah memberi barokah kepada setiap abjad dan ayat, juga kepada mereka yang mengajarkan kita bagaimana menggunakan mata pena. Semoga kebaikan yang melimpah ruah itu sampai mengangkat darjat ibu bapa kita, juga para guru kita. Maka di kesempatan ini, selamat hari guru saya ucapkan kepada para guru, kerana mengajarkan murid mu ini menggunakan mata pena.

Akhir daripada saya yang hina
Menulislah !