Konflik Palestine-Israel
yang makin menggila kebelakangan ini menyeru kita semua untuk melihat kembali
sejarah dua kelompok manusia ini melalui suluhan sejarah yang di bawa oleh al Quran.
Al
Ikhtilaf Fil Ard
Sekiranya tugas
manusia di muka bumi ini untuk beribadah dalam bentuk amal amal fardi
semata-mata seperti solat, puasa, zakat, berzikir, bangun malam, menyendiri di
masjid masjid sepanjang hari semata-mata, maka tidak ada lagi beza manusia
dengan makhluk lain yang diciptakan Allah swt kerana kesemua mereka turut
bertasbih memuji Allah. Dalam erti kata lain, makhluk makhluk ini turut
memanifestasikan ta’abud (pengibadatan) mereka kepada Allah dalam bentuk yang
sesuai dengan fitrah ciptaan mereka.
Sekiranya dikatakan
bekerja mencari rezeki itu satu bentuk ibadah, sebenarnya haiwan pun mencari
rezeki mereka dengan metodologi yang sesuai dengan sifat kehaiwanan mereka,
lantas juga dikira sebagai satu ibadah. Sekiranya dikatakan membina sebuah
keluarga dan melahirkan zuriat untuk pertambahan umat Islam sebagai maifestasi
ibadah, maka sekali lagi, tikus tikus di pasar malam turut beranak pinak.
Amat malang
bagi manusia yang memahami konsep tujuan hidup mereka di atas muka bumi ini
dengan definisi sesempit ini, yakni sekitar menunaikan amalan amalan fardhu
yang tertera pada rukun Islam yang lima, mencari rezeki untuk membina keluarga,
berkerjaya, berkembang biak, sehingga ke hujung nyawa.
Tanpa menafikan
suruhan suruhan beribadah seperti yang dinyatakan tadi, antara lain tujuan
utama diciptakan manusia di muka bumi ini ialah supaya Allah swt dapat
menyerahkan amanah kepimpinan kepada manusia untuk mentadbir bumi dan seisinya
sesuai dengan kehendak Allah swt yang digarispandu oleh al Quran. Inilah yang
dikatakan al ikhtilaf fil ard, atau pengkhilafatan di muka bumi ini, sebagaimana
firman Allah swt;
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada
para malaikat, “Sesungguhnya aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi”
(Al Baqarah:30)
Meskipun ayat
Quran dalam surah al Baqarah ini diturunkan di zaman Rasulullah s.a.w lewat
perjuangan baginda di Madinah, namun sejarah mas’uliiyah atau tanggungjawab
kepimpinan di muka bumi telah bermula sejak Nabi Adam as diuturunkan di muka
bumi, lantas menjadi manusia pertama meneraju tampuk kepimpinan yang
diamanahkan oleh Allah swt.
Bani
Israel Yang Terpilih
Secara ringkasnya,
sepanjang sejarah amanah kepimpinan ini telah bertukar tangan daripada satu
bangsa ke bangsa yang lain yang dipimpin oleh nabi-nabi yang diutuskan. Sebab amanah
ini bertukar tangan adalah kerana kegagalan manusia yang diamanahkan itu untuk
melaksanakan amanah ini, ekoran kemaksiatan yang mereka lakukan kepada Allah
swt.
Sehinggalah
amanah itu sampai kepada nabi Ibrahim
a.s;
Dan (ingatlah) ketika Ibrahim a.s diuji
Tuhannya dengan beberapa kalimat lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Dia (Allah
) berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai pemimpin bagi seluruh
manusia”
Dia (Ibrahim) berkata, “Dan (juga) dari
anak-cucuku?” Allah berfirman, “(Benar, tetapi) janjiKu tidak berlaku bagi
orang yang zalim”
(Al Baqarah :124)
Nabi
Ibrahim merupakan contoh teladan dalam melaksanakan amanah kepimpinan ini. Nabi
Ibrahim mempunyai dua orang zuriat yang diangkat menjadi nabi yakni Nabi Ishaq
dan Nabi Ismail. Dari susur galur Nabi Ishaq, lahir Nabi Ya’qub yang juga
digelar Israel. Daripada keturunan ini, lahir Bani Israel dan kesemua nabi yang
lahir setelah itu adalah dari Bani Israel untuk memimpin Bani Israel kecuali
Rasulullah s.a.w.
Waktu itu,
Bani Israel merupakan kumpulan manusia yang dimuliakan Allah swt yang diberikan
amanah kepimpinan di muka bumi. Mereka merupakan umat yang paling lama memegang
amanah ini berbanding umat umat sebelum itu dan sepanjang memegang amanah ini,
Baitul Maqdis menjadi kiblat dalam melaksanakan amanah kekhilafahan ini.
Sepanjang
sejarah Bani Israel, mereka telah melakukan banyak kesilapan bahkan kemungkaran
yang besar dalam menjalankan amanah ini. Banyak nabi diutuskan kepada mereka
namun mereka mendustakan utusan utusan Allah ini. Mereka juga dengan melampui
batas membunuh sebahagian nabi yang diutuskan. Banyak penyelewengan yang telah
dilakukan.
Sebab itu
kita dapati dalam al Quran sangat banyak cerita tentang Bani Israel kerana
pengalaman, kemungkaran, kesilapan dan penyelewengan yang mereka lakukan
sepanjang menjadi bangsa pilihan itu merupakan pengajaran pengajaran berguna
buat umat Islam, bangsa muslim yang kini mengambil alih amanah besar ini.
Bani Israel
begitu menikmati amanah kepimpinan ini sehingga mereka merasakan mereka adalah
anak Tuhan, kekasih Allah, bangsa pilihan, bangsa yang mulia sehingga tidak
mengiktiraf kedudukan bangsa bangsa lain.
Bak kata
Pak Samad,
Apabila
terlalu lama berkuasa
Kuasa dijadikan harta
Kuasa dijadikan harta
Sebab itu,
apabila mendapat tahu nabi terakhir yakni Muhammad b Abdullah saw lahir dari
kalangan bangsa Arab, bukan dari kalangan mereka, Bani Israel yang beragama
Yahudi itu memulakan kempen dan siri penentangan kepada Rasulullah saw terutama
semasa berada di Madinah. Mereka sedia maklum, kewujudan Rasulullah saw dan
pengikut baginda yang berbangsa muslim itu bakal mengambil alih kepimpinan di
muka bumi ini.
Agamawan mereka sudah tahu akan hal ini. Namun,
disebabkan kesombongan dan rasa selesa dan kemegahan yang diwarisi dek terlalu
lama memimpin manusia, sebahagian daripada ahli kitab ini menyembunyikan
kebenaran ini. Perbuatan mereka banyak kali ditempelak oleh Allah swt dalam al
Quran.
Di sinilah
bermulanya konflik Israel-Muslim.
Ia makin
hangat tatkala Allah swt memerintahkan Rasulullah saw dan umat Islam yang pada
awalnya menjadikan Baitul Maqdis sebagai kiblat pertama bertukar supaya
menjadikan Ka’abah, Baitullah sebagai kiblat baharu, sebagai symbol rasmi
penyerahan amanah kempimpinan kepada umat Islam.
Perkara ini berlaku usai penghijrahan
muhajireen ke Madinah, setelah mereka membentuk satu perkumpulan manusia yang
kuat dan sedia untuk menggalas amanah ini.
Inilah yang menjadi tema utama
perbicaraan dalam Surah al Baqarah, yang disusun Allah swt di awal al Quran,
yakni kisah berkenaan menyediakan umat Islam untuk menjadi bangsa seterusnya
yang memimpin bumi ini.
Ulas Sayyid Quttb,
“Mulai juzu’ ini dari Surah al-Baqarah
kita dapati pembicaraannya ditekankan pada penyediaan kaum Muslimin untuk
memikul tugas amanah agung, iaitu amanah ‘aqidah Islam dan amanah khilafah di
bumi atas nama ‘aqidah walaupun dari satu masa ke satu masa kita masih menemui
perdebatan dengan musuh-musuh kaum Muslimin yang menentang mereka terutama Bani
Israel, di mana kaum Muslimin menghadapi komplot komplot, tipudaya dan penentangan
mereka terhadap dasar-dasar ‘aqidah dan terhadap kewujudan kaum Muslimin.
Begitu juga kita dapat menemui
berbagai-bagai arahan dan perintah Ilahi kepada kaum Muslimin untuk menghadapi
penentangan dan peperangan yang berbagai-bagai cara dan rupa yang dilancarkan
oleh musuh-musuh mereka, dan untuk menghindari jalan-jalan gelincir yang telah
menjatuhkan Bani Israel sebelum ini.”
So What
?
Saudaraku,
Sejak dari
Nabi Adam sehingga ke saat ini, meskipun amanah kepimpinan itu bertukar tangan
entah berapa banyak kali, akidah yang diajarkan Allah kepada manusia
keseluruhannya sama sahaja yakni akidah mentauhidkan Allah, yang dibezakan
hanyalah syariat dalam pengibadatan.
Tidak kira
dari zaman mana, dan bangsa mana pun, sekiranya seorang hamba itu hari ini
berpegang dengan ajaran yang benar dan mentauhidkan Allah, mereka adalah muslim.
Dan hari ini sehinggalah ke akhir zaman nanti, umat Islam, merentasi kepelbagaian
bangsa merupakan umat yang dipilih untuk memegang amanah kekhilafahan di muka
bumi.
Maka menjadi
tanggungjawab setiap muslim, setiap mereka yang mengucapkan kalimah tauhid
untuk mempertahankan setiap inci bumi supaya mendapat naungan Islam, lebih
lebih lagi bagi tanah yang dihuni oleh umat Islam sendiri.
Berkenaan Baitul
Maqdis, Palestine atau Bumi al Quds secara keseluruhannya, begitu banyak dan
dekat sejarah bumi barokah itu dengan sejarah manusia, sejarah muslim dan sejarah
amanah kepimpinan di muka bumi ini. Perjuangan kita membebaskan bumi al Quds
daripada cengkaman Israel yang tidak sedar diri itu sepatutnya bukan sekadar
atas alasan kasihan atau isu kemanusiaan sebaliknya isu aqidah.
Setiap muslim
sepatutnya berasa ‘izzah dengan amanah kekhilafahan yang dipikul di pundak kita
masing-masing dan rasa terpanggil untuk memuliakan seluruh isi bumi dengan
naungan Islam seperti suatu ketika dahulu. Mas’uliyyah yang berada di bahu kita
ini akan dipersoalkan. Sangat tidak wajar dan pengecut jika kita biarkan kita
bangsa pilihan Allah swt ini ditindas dan diperlakukan bagai binatang oleh satu
bangsa manusia yang mana riwayat kepimpinanya sudah tamat.
Peralihan
kiblat suatu ketika dahulu yang menjadi pemutus kepada Bani Isarel sebagai
khalifah dan pemula bagi umat Islam sebagai pemimpin seterusnya di muka bumi
merupakan pertembungan dua keturunan daripada dua anak Ibarhim a.s . Kita
sepatutnya belajar daripada kegagalan Bani Israel yang dinyatakan dalam al
Quran dan melaksanakan misi ini sebagaimana dikehendaki Allah swt.
Malangnya,
mana mungkin umat Islam mengambil teladan dan sedar akan mas’uliyyah ini sekiranya
kita tidak membaca apatah lagi memahami al Quran yang ada di tangan kita ini. Mana
mungkin kita semua tahu akan tujuan hidup yang sebenar, amanah dan tanggunjawab
yang sebenar sekiranya kita tidak kembali kepada al Quran.
Sehingga la
waktu itu datang, kita akan terus lena, selesa dan berasa sudah sempurna
kewujudan di dunia ini dengan melakukan ibadah ibadah fardi, menguruskan hidup
masing-masing dan mengharapkan kematian yang baik.
Berbalik kepada
yang berlaku di Palestine, ia merupakan konflik Israel-Muslim, bukan
Israel-Palestine. Sesungguhnya umat Islam di Palestine sedang berjuang mewakili
kesemua umat Islam dan sedang melaksanakan mas’uliyyah kekhilafahan yang
sepatutnya dikongsi bersama seluruh bangsa muslim.
Tidak mengapalah,
kita akan terus tunggu dan lihat dengan penuh lemah dan tidak berdaya dan yakin
bahawa ini masalah Pelestine, bukan masalah umat Islam, dan kita akan meneruskan
hidup seperti biasa dengan ketidakpeduliaan ini. Kita akan terus melihat dan
menunggu akan datang hamba-hamba Allah swt yang membenarkan firmannya;
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan
adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga.
Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu)
kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu
(dengan penghinaan) dan untuk memasuki Masjid (al-Masjid al-Aqsa) sebagaimana
mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa
sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
(Al Isra’
:7)
Cuma satu soalan retorika, mengapa
mereka yang bukan muslim, yang tidak tahu menahu tentang amanah kepimpinan,
yang tidak membaca al Quran dan menghayati kisah pertukaran kiblat dan
sebagainya lebih kedepan dalam melindungi Palestin ?
Gambar : Ehsan Facebook
2 comments:
Salam. Kata2 sayid Qutb tu dari tafsir zilal ye?
Wasalam. ya.
Post a Comment