Showing posts with label IBRAHIM. Show all posts
Showing posts with label IBRAHIM. Show all posts

Sunday, September 24, 2017

CINTA EKSKLUSIF;KHALIL




[Ibrahim, Khalil Allah]


Nampaknya kita tidak dapat move on daripada meninggalkan siri kisah nabi Ibrahim dengan panduan wahyu al-Quran & sunah yang suci dari Rasulullah saw.

Sorotan peribadi ikon agung Ibrahim as ini begitu banyak terselit dalam Quran, sehingga mengkaji setiap selitan ini tidak pernah menjemukan & setiap kali kajian dilakukan, sering kali perasaan ingin tahu lagi dan lagi menghantui diri kita


Siapa tidak tahu bagaimana Allah swt telah mengambil Nabi Ibrahim as sebagai kekasihnya, khalil (خليل ). Hal ini telah diberitakan kepada kita melalui petunjuk Quran berikut ;

وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

.... Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya( خليلاً ).

4: 125

Hanya yang memahami istilah khalil sahaja yang dapat memahami betapa istimewanya gelaran Khalil Allah ini. Lebih istimewa ia terpahat selamanya dalam al Quran al Karim.

Khalil. Hubungan istimewa, bersulamkan kasih dan cinta yang tidak boleh dikongsi. Ia bersifat eksklusif.

Selain Ibrahim as,
Rasulullah saw juga merupakan khalil ar-Rahman.

Diriwayatkan dari 'Abdullah:
Rasulullah () bersabda :

"Aku berlepas diri dari sebarang khalil, sekiranya aku ingin mengambil seorang khalil, nescaya aku akan mengambil Ibn Abu Quhafah (Abu Bakr) sebagai khalil. Tetapi sahabat kalian ini khalil Allah"

حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلاَنَ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا الثَّوْرِيُّ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ أَبِي الأَحْوَصِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

 ‏ "‏ أَبْرَأُ إِلَى كُلِّ خَلِيلٍ مِنْ خِلِّهِ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً لاَتَّخَذْتُ ابْنَ أَبِي قُحَافَةَ خَلِيلاً وَإِنَّ صَاحِبَكُمْ خَلِيلُ اللَّهِ ‏"‏


Jami' al-Tirmidhi
(Terjemahan Penulis)


Petunjuk dari kalam Rasulullah ini memberi pencerahan kepada kita bagaimana hubungan seorang khalil. Ia tidak boleh dikongsi. Padahal boleh sahaja Rasulullah mengambil Abu Bakr juga sebagai khalil. Tetapi tidak. Khalil ialah hubungan eksklusif.

Jadi Ibrahim telah Allah ambil sebagai kesayangan-Nya. Khalil-Allah.

Alangkah istimewanya hubungan antara hamba & Tuhan ini.

Tetapi hubungan khalil ini ada bayarannya. Ia tidak boleh dicerobohi oleh kasih sayang yang melebihinya. Ia diuji untuk diabsahkan ketulenannya.

Setelah datang Ismail as dalam hidup Ibrahim as, barangkali status Allah sebagai khalil dalam hidup nabi Ibrahim bakal tergugat. Apakah Allah masih khalil, tidak dikongsi, no 1 dan paling utama?

Lalu Ismail diperintahkan untuk dikorbankan.

Persoalannya adakah Allah tidak tahu isi hati nabi Ibrahim as? Tidak. Allah Maha Mengetahui. Dia mengetahui segala isi hati.

Tetapi perintah berkorban kasih ini di-peristiwakan untuk dijadikan ukuran oleh kita semua.

Apakah kita mahu menjadi khalil Allah?

Jika ya, sudah bersediakan untuk berkorban kasih.?

Saturday, September 23, 2017

BAGAIMANA SEHARUSNYA PEMUDA?







Ada 3 ayat Quran yang berbicara tentang uswah hasanah dari para Nabi Allah, yakni teladan yang baik dan saranan mencontohi mereka.

Namun yang menariknya, hanya nama nabi Ibrahim as disebut secara langsung dan terang (explicit) oleh al Quran iaitu pada ayat berikut ;

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ


Sesungguhnya telah ada suri tauladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia....

60 : 4

Sementara pada ayat yang mengangkat sosok Rasulullah saw, Nabi Muhammad sebagai uswah hasanah, al-Quran menyebut ;

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

33:21

Perkataan Rasulullah meskipun difahami merujuk kepada Nabi Muhammad, namun dari segi lafaznya agak umum. Sebaliknya, Allah menyebut nama nabi Ibrahim.

Ini merupakan satu bentuk penghormatan kepada nabi Allah Ibrahim as.

Terlalu banyak sisi kehidupan pada kisah Nabi Ibrahim itu yang boleh kita soroti seterusnya teladani.

Antaranya yang boleh kami kongsikan sosok nabi Ibrahim sewaktu usia muda baginda.

Ketika meniti usia kepermudaan baginda, nabi Ibrahim telah meninggalkan kesan yang signifikan dalam kalangan kaumnya dalam usaha menentang segala bentuk kesyirikan kepada Allah swt.

Usaha ini direkod oleh al Quran;

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

Mereka berkata: "Kami dengar ada seorang pemuda yang menyebut berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim".

21 : 60

Perjuangan Nabi Ibrahim ini dirasai oleh kaumnya sehingga apabila mereka dapati tuhan tuhan yang mereka sembah berupa berhala itu dipecah hancur oleh seseorang, terus nama nabi Ibrahim la yang disebut-sebut. Tidak ada suspek yang lain.

Mereka menggelar nabi Ibrahim sebagai seorang فتى atau pemuda belia seperti mana perkataan yang sama menggambarkan pemuda kahfi (إنهم فتية ). Ini menunjukkan waktu muda nabi Ibrahim sudah dihabiskan dalam siri perjuangan agama.

Lebih menarik, usaha nabi Ibrahim yang keseorangan ini telah menimbulkan persoalan (التساؤلات ) dalam kalangan kaumnya. Dapat kita bayangkan bahawa usaha solo ini merupakan usaha yang bersungguh-sungguh tidak mengenal siang mahupun malam.

Layaklah Allah membersihkan nama Ibrahim yang disebut-sebut oleh kaumnya itu dalam konotasi yang negatif, sebagai uswah sebenarnya, contoh yang terbaik.

Alangkah baiknya di musim eid adha ini kita mengenang pengorbanan Nabi Ibrahim dalam bentuk yang lebih hidup & menggerakkan, bukan sekadar ritual semata-mata. Sesungguhnya kita berhajat untuk menjadi pemuda seperti itu.

Selawat dan salam ke atas Ibrahim as.


Semoga dapat lagi kita kupas pengajaran hidup nabi Ibrahim as di kesempatan yang lain insya Allah

Tuesday, September 19, 2017

LELAKI INI MENINGGALKAN 3 PELAJARAN BERHARGA






[Persiapan Menjadi Imam-Pemimpin] 


وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia".

Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim".

2: 124


Sebagai persiapan untuk menjadi imam, pemimpin bagi seluruh manusia, Allah swt telah menguji Nabi-Nya Ibrahim as dengan beberapa arahan ataupun disebut كلمات.

Sungguh menakjubkan, kesemua perintah, kalimat itu disempurnakan oleh beliau.

Tidak perlulah kita sebutkan sekian banyak ujian berupa perintah atau persiapan untuk melahirkan pemimpin umat ini. Bermula sejak usia remaja sehingga menuju usia emas..


Persoalan yang menarik untuk difikirkan di sini, betulkah akhirnya ramai yang beriman dengan Nabi Ibrahim dan umat manusia di zamannya mengangkat beliau sebagai pemimpin?

Bukankah pada suatu ketika Nabi Ibrahim pernah berkata kepada isteri baginda Sarah;

يَا سَارَةُ، لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرُكِ

Yakni,

"Wahai Sarah, tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang beriman selainku dan dirimu..."

Ternyata Allah swt memiliki ukuran kepimpinan tersendiri. Insya Allah jika berpeluang kita akan kupas penafsirannya daripada rujukan-rujukan yang muktabar dan taddabur yang menggerakkan.


Namun pelajaran yang lebih besar ialah bagaimana Nabi Ibrahim as lulus kesemua كلمات itu.

Al-Quran menyifatkan response Nabi Ibrahim pada arahan arahan tersebut dengan frasa;


فَأَتَمَّهُنَّ
Lalu dia menyempurnakannya.


Sekurang-kurangnya ada tiga pelajaran berharga daripada perkataan فَأَتَمَّهُنَّ ini.

1) Penggunaan harf ف sebagai kata hubung antara arahan & pelaksanaan.

Huruf ف digunakan dalam kaedah bahasa Arab untuk menunjukkan tertib & terus menerus tanpa jeda waktu ( لترتيب وتعقب ) berbeza dengan kata penghubung ثم yang menunjukkan tertib tetapi dipisahkan dengan jeda waktu.

Huruf ف dalam frasa فَأَتَمَّهُنَّ ini membawa maksud yang sangat signifikan. Ini menunjukkan Nabi Ibrahim tidak lengah mahupun bertangguh-tangguh tatkala menerima arahan Allah swt. Dia tidak biarkan berlalunya waktu yang lama antara arahan & pelaksanaan. Ia segera menyahut. Tanpa ragu. Sudah tentu sikap segera merespon ini (سرعة الاستجابة ) yang ada pada Nabi Ibrahim dapat kita garisbawahkan dalam kisah kisah lejen beliau..


2) Pelajaran kedua daripada perkataan فَأَتَمَّهُنَّ ialah, ia berasal dari perkataan tamam( تمم ) yang bermaksud sempurna atau complete.

Kesempurnaan ini adalah mengikut ukuran pemberi arahan, bukan pelaksana. Ia mengikut selera dan kehendak Allah swt, meskipun bercanggah dengan citarasa beliau. Misalannya, apabila perintah mengkehendaki beliau menyembelih anaknya, maka itulah yang sempurna.... Meskipun ternyata tidak memihak keinginan manusiawi beliau.

Tetapi Nabi Ibrahim mengajar kita, dalam memenuhi arahan Allah swt, yang didahulukan adalah kehendak Allah bukan kehendak kita. Kesempurnaan itu terletak pada garis panduan wahyu, bukan menerusi kaca mata kita.

3) Pelajaran ketiga pula berkenaan bagaimana frasa ini dibawakan dalam bentuk fiil mudhari’ ataupun dalam Bahasa Inggerisnya ‘present continuous tense’. 

Ia bermaksud, bukan sekali dua atau bukan sekadar kisah-kisah lepas dan lampau, tetapi Nabi Ibrahim terus-menerus menyempurnakan perintah Allah. Ia tetap konsisten. Tetap istiqomah. Bukan ketika arahan itu mudah. Bukan ketika dia punya kesempatan, waktu luang, kesihatan yang baik dan segala macam kesenangan. Tidak. Arahan-arahan Allah itu disempurnakan dalam pelbagai keadaan. Sejak dari muda remaja sehingga tua renta meniti usia emas, Nabi Ibrahim tetap memberikan yang terbaik dalam berinteraksi dengan arahan-arahan Allah swt.

Dengan sikap sikap beginilah melayakkan Nabi Ibrahim diangkat menjadi imam bagi manusia. Figur yang diikuti dan diingati.

Selawat dan salam ke atas Ibrahim as.




[Iklan Program Qiyamulail Bulanan]



PM Kami di Facebook untuk sebarang pencerahan :)