Thursday, February 6, 2020

BAGAIMANA BOLEH FUTUR?




Izinkan kami menulis lagi pada malam yang hening ini berkongsi rasa dan tadabur apabila menghadap ayat-ayat Allah dengan pengalaman tarbiyah dan secebis ilmu. Pada ayat di bawah, Allah mengungkapkan dengan penuh kehairanan! Kaifa?! Bagaimana?

Satu persoalan timbul!

Bagaimana kamu boleh kufur, kembali kafir sedangkan dibaca ke atas kamu ayat-ayat Allah dan dalam kalangan kamu ada RasulNya!

Pelik!

وَكَيۡفَ تَكۡفُرُونَ وَأَنتُمۡ تُتۡلَىٰ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتُ ٱللَّهِ وَفِيكُمۡ رَسُولُهُۥۗ وَمَن يَعۡتَصِم بِٱللَّهِ فَقَدۡ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)?
-Sura Aal-E-Imran, Ayah 101

Apa yang pelik?

Pada amatan kami, ayat ini memberi isyarat bahawa dengan dua benda ini cukuplah untuk meyakinkan manusia untuk beriman  dan untuk terus istiqomah mendiami iman tersebut; iaitu melazimi ayat Qur’an dan adanya para Rasul yang mendampingi mereka. Dengan dua unsur ini, sepatutnya sangat pelik mereka masih kufur kepada Allah swt!

Dalam situasi tarbiyah kita, barangkali kita boleh anggap dua kunci atau unsur yang boleh membantu bahkan perlu bagi seorang akh untuk terus istiqomah dalam amal islami ialah tarbiyah bermanhaj yang berterusan dan hadirnya seorang sosok murabbi.

Jika terus hadir wasilah tarbiyah, sering dibacakan ayat-ayat Allah, mengkaji ilmu islam dan keluasan ilmu Allah ditambah pula adanya murabbi di sisi, bagaimana lagi antum boleh futur??

Inilah ibrah yang menjenguk masuk ke dalam kotak pemikiran kami. Betapa manusia itu berhajat kepada dua benda ini untuk terus bersemangat waja dalam amalnya; sumber tarbiyah dan seorang murabbi!

Saudaraku,

Betapa kita berhajat kepada tarbiyah.

Betapa berhajatnya kita pada tarbiyah, dengan materinya yang tersusun dan dengan seorang murabbi ini mengingatkan kita bagaimana hubungan guru dan pelajar dalam kesenjangan atau pemeringkatan dunia akademik.

Ketika kita masih di bangku sekolah, biasanya seorang guru mempunyai puluhan dan bahkan mungkin ratusan murid dengan seorang guru menjadi guru untuk beberapa kelas. Begitu tingkatan atau “darjah” kompleksiti dan tingkatan akademik ini menaik, ratio murid : guru semakin mengecil.

Atau lebih jelas kita lihat di IPT. Ketika kita berada di kelas undergraduate, seorang pensyarah menjadi rujukan ratusan siswa. Begitu siswa itu meningkat dari sarjana muda, sarjana dan sehingga kedoktoran, bilangan pelajarnya berkurang untuk setiap pensyarah atau penyelia.

Kerana apa?

Bukankah jika difikirkan logik, makin tinggi level akademik seseorang makin matang dan makin kurang kebergantungan dia kepada gurunya? Lalu kenapa seorang pensyarah tidak menyelia ratusan kalau tidak ribuan calon PhD pada satu-satu masa?

Ternyata, makin tinggi ilmu dan pemeringkatan akademik seseorang, makin dia memerlukan bimbingan khusus seorang guru, seorang murabbi. Begitu mudah hal ini difahami dalam dunia akademik. Pelajar akur betapa mereka berhajat kepada seorang sosok yang dinamakan penyelia tatkala pemeringkatan dalam akademik mereka menaik selangkah demi selangkah!

Nah, bagaimana dalam tarbiyah? Bukankah perkara sama juga berlaku?

Makin lama, mendalam tarbiyah dan tinggi pemeringkatan tarbiyah bermakna makin dia berhajat kepada sosok murabbi. Tidak ada istilah seseorang akh telahpun tamat institusi tarbiyah dan boleh menjadi alumni.

Sekiranya seseorang itu merasakan telah lama mengikuti program tarbiyah, telah menghafal separuh al-Quran dan sebilangan besar hadith Rasulullah maka dia sudah bersedia untuk membebaskan diri dari keterikatan pada sistem ini, ternyata itu satu kefahaman yang fatal. Bahkan di puncak level tarbiyahlah seseorang itu makin terdedah kepada pemesongan, penyelewengan dari ghayah yang asal dan berhadapan dengan jeneral syaitan yang lebih berpengalaman mengelabui pemikiran dan kejernihan hati manusia!

Jadi teruslah memeluk erat tarbiyah meskipun engkau telah melangkau jauh ke puncak iman. Kerana dengan tarbiyah dan adanya murabbi inilah kunci kalian tidak berpaling dan futur!


No comments: