Showing posts with label 683. Show all posts
Showing posts with label 683. Show all posts

Friday, May 2, 2014

IKHWAN 683 (2)




“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”
Begitulah, terus mantap dan kokoh Jameelah. Perempuan mukminah yang jarang-jarang sekali wujud di dunia yang penuh kecam dan misteri ini.

Talhah bin Hamid.


Tiga hari berlalu sepi setelah malam pergolakan itu. Sepi dan lesu, sebagaimana lesunya sungai yang cetek mengalir di antara batu batu yang besar di musim kemarau. Yang hanya sekali sekala kedengaran adalah kocakan air yang lesu tanpa suara melanggar batu batu besar di antaranya lalu menghasilkan riak riak air yang datang dan pergi. Datang dan pergi.


Jameelah sudah redha. Sebelum sempat khabar besar itu sampai ke gegendang telinganya. Wanita mukminah yang solehah itu meskipun yang ditinggalkan oleh sang suaminya hanya zuriat yang baru berusia dua hari lebih, telah pun menerima sebarang takdir daripada Tuhan seadanya. Begitu kokoh dan tegar imannya, persis Hajar yang ditinggalkan terkapai kapai bersama Ismail a.s oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. di tengah tengah gurun, dataran pasir yang luas, tanpa bekalan yang mencukupinya.

Hajar tahu Ibrahim bukan begitu melainkan ia perintah daripada Rabbul Izzati. Begitu juga Jameelah. Ruh dan semangat Hajar mengalir dalam tubuhnya yang masih lemah itu. Pun begitu dia tekad.


“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”


Terngiang-ngiang kata-kata yang dihamburkan oleh mulutnya sendiri beberapa hari yang lalu, di telinganya. Seakan menguji keimanannya. Jameelah tersenyum setelah mendapat berita itu. Meski mata mengalirkan butiran butiran jernih natijah sifat manusiawi padanya, namun dia gembira kerana doanya dimakbulkan.

Perjuangan harus diteruskan. Harapan sentiasa ada. Begitulah kentalnya pegangan ibu tunggal itu. Berkat didikan rabbani bermanhajkan al Quran. Dia yakin bahkan al Quran sendiri sudah mebenarkan perihal itu, tatkala Ya’qub berpesan kepada anak-anaknya,


“Hi anak-anakku pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”


Pesanan Ya’qub menusuk masuk, membumi dan mengakar ke dalam sanubari Jameelah, jauh ke dalam lautan hatinya yang paling dalam. Rahmat Allah terlalu luas mencangkupi bumi dan sesinya untuk dikecewakan apatah lagi ditangisi. Yang tidak dapat disangkal lagi, bayi di pangkuannya itu, rahmat dari Ilahi. Akan dibesarkannya, meskipun terpaksa mengharungi hari hari yang sukar agar bayi itu, Talhah bin Hamid kelak menjadi perwira berdarah laksamana, yang bakal mencontohi sosok tubuh sahabat ar Rasul saw, Talhah bin Ubaidillah.




***


“Allah berfirman dalam surah al Ahazab, ayat ke dua puluh tiga,

“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah. Di anatara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada pula yang menunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji mereka)”


Kiyai Ahmed menghabiskan nafasnya sebelum sesi kisah sahabat pada pagi itu disambung. “Setelah membaca firman Allah ini, Rasulullah menatap wajah para sahabat, sambil menunjuk Talhah, lalu baginda besabda, “Barangsiapa yang suka melihat seorang laki-laki yang masih berjalan di muka bumi padahal ia telah memberikan nyawanya, hendaklah ia melihat Talhah”


Talhah bin Hamid, matanya bersinar-sinar mendengar nama itu. Kata-kata kiyai masuk ke dalam benaknya lalu membawa dia ke khayalan yang jauh, merentasi belantara, membelah samudera. Seolah dapat dia bayangkan suasana di mana para sahabat berkumpul dan mendengar sabda agung si Nabi.


“Talhah?”

“Talhah!?”

“Ya kiyai?”

“Kok kamu termenung jauh”

“Aku mahu jadi persis Talhah bin Ubaidillah kiyai!”


Seluruh mata menatap Talhah bin Hamid. Anak kecil yang baru berusia lapan tahun, begitu deklaratif, prokmalatif, tiada segan silu. Terpancar keikhlasan di wajahnya yang suci itu. Terlopong yang lain.


“Kenapa tidak disambung kisah Talhah itu kiyai? Aku mahu dengarin lagi”

“Lho, kisahnya sudah habis, saat kau entah terbang ke mana. Ke Kota Jakarta barangkali” Kiyai berseloroh. Kecewa Talhah. Yang lainnya ketawa berdahak-dahak.


Namun hal itu menjadi pembakar semangat buat anak kecil tinggalan pahlawan tanah air itu, seorang pahlawan yang terbunuh di medan jihad membebaskan bumi Tuhan daripada belenggu kaum kuffar. Sebagaimana bapaknya Hamid, deru darah kepahlawanan mengalir laju di dalam pembuluh darah Talhah, menyala-nyala.

Seakan tidak tertahan lagi dia, derap langkahnya lebih cepat daripada detak jantung yang mengepam darah ke seluruh bahagian badan. Anak muda. Hamassah as syabab! Semangat pemuda, yang tanpa diduga sekurun mendatang bakal menjadi pilar kebangkitan ummat!


Kota Jawa meski sudah kembali tenang, tidak seperti beberapa tahun yang lalu, bebas dari cengkaman Belanda dan Jepun, masih lagi sebahagian besar rakyatnya terutamanya di kawasan desa pedalaman terpaksa berhadapan dengan hari hari yang panjang dan perit saban hari. Demi sesuap nasi dan meneruskan kelangsungan hidup, anak anak seusia Talhah sudahpun dikerah membantu keluarga, berkelana di bumi Tuhan mencari rezeki yang halal.


Mujurlah sepeninggalan bapaknya, ada wang tabung yang Jameelah dan Hamid usahakan untuk hari tua mereka. Hamid sudah pergi sebelum sempat memaknai erti tua. Jameelah yang berseorangan tidak patah semangat membesarkan Talhah, amanah si suami yang tercinta. Berbekalkan wang tabung dan perusahan tanaman padinya itu, dia mencuba sekudrat yang ada membesarkan Talhah.


Talhah pula tidak membesar menjadi anak yang besar kepala. Bahkan dia cukup memahami realiti hidup yang sukar. Tanpa disuruh, sering kali dia turun ke bendang usai pengajian di pesantren untuk menolong ibunya menguruskan sawah padi mereka. Hasil tanah sebidang itulah keduanya mampu menjamah sekurang-kurangnya sepinggan nasi sehari, jika tidak dua.


Pada tengah hari itu, dia mendapatkan ibunya.

“Talhah bin Ubaidilillah ibu!”


Tergamam Jameelah. Langsung terlintas di benaknya pesanan Hamid sebelum dia menggabungkan diri dengan jemaah jihad pada malam yang penuh syahdu itu,

“Namakan dia Talhah, supaya suatu hari nanti dia berkembang besar dan mencontohi sosok tubuh yang digelar syahid yang masih berjalan di muka bumi oleh Sang Nabi ”


Cangkul yang menjadi rakan karibnya di sawah padi itu serta merta dilepaskan. Kedua tangannya menggenggam erat bahu Talhah.


“Kamu belajar soal Talhah sahabat Nabi kita hari ini?”

“Ya. Ibu tahu halnya dia?”

“Masakan tidak. Bapak kamu dahulu, memilih nama Talhah bersempena Talhah bin Ubaidillah”

“Ya benar bu?”

“Apa kamu fikir ibu bohong?”

“Bu, ceritakan aku lagi soal Talhah bin Ubaidillah, dan tentang ayahku”


Jameelah merapatkan kepala anak lelakinya itu kedalam dakapan penuh mesranya. Sekali lagi. Menitis air mata seorang ibu. Mengenangkan betapa rahmat Allah itu terlalu luas. Sosok tubuh Hamid yang pernah menjadi pelindungnya menjadi kerinduan. “Hamid, anakmu ini sudah besar, sudah persismu” Jameelah berbicara sendiri.

Di bawah naungan mentari yang kian menghangat, burung-burung yang hinggap di pohon angsana, beberapa hasta daripada posisi mereka menyaksikan suasana pilu itu. Bayu siang di dataran sawah yang kosong, tiada halangan pergunungan bertiup mesra, menyapa kedua tubuh mereka. Seolah-olah meraikan kehangatan hubungan si anak dan si ibu itu.


Tuesday, April 29, 2014

IKHWAN 683 (1)







Tepat Jam 5.40 pagi, di dini hari Khamis yang suram dan sunyi itu, setelah hampir lebih tiga jam bertarung antara hidup dan mati, Jameelah selamat melahirkan putera sulungnya. Tahmid meniti, bertali arus di bibir Hamid. Tidak henti henti.


Usai dibaluti anugerah Ilahi yang baru sahaja menghiasai keluarga Hamid itu, dia mendukungnya lalu mengumandangkan azan di telinga kiri dan iqamah di telinga kanan bayi itu. Belum ada nama. Bahkan kedua pasangan itu seolah-olah tidak percaya. Di saat ketaatan berdoa dan keimanan dengan janji Sang Tuhan, keduanya sudah hampir 18 tahun bertarung antara harapan dan putus asa.

Lapan belas tahun. Satu perjuangan meneruskan legasi keluarga yang cukup lama dan pahit. Lapan belas tahun, di saat tetangga seusia mereka di waktu itu sudah memikirkan bakal menantu, memikirkan nama cucu, keduanya masih menunggu kehadiran seorang insan bernama sang anak. Hampir hampir sahaja harapan itu hilang.


Tiga minit yang lalu memisahkan sejarah lama dengan kehidupan mendatang sejauh-jauhnya. Sejauh mata bisa memandang, di lapangan gurun yang mendatar luas, tidak ada yang menghalang penglihatan itu berkelana ke hadapan kecuali ketulan batu kecil dan ribut pasir di gurun yang datang dan pergi. Sejauh itu.


Suara azan dan iqamah menghidupkan pagi yang suram dan hening, diselang-seli dengan suara  teriakan si bayi yang baru sahaja tiba ke dunia, yang siapa sangka lapan belas tahun mendatang bakal menjadikan dunia yang tampak mesra itu penjara. Siapa sangka. Hadirnya ditata penuh manja, namun masa depan bukan boleh dilakar di kanvas putih sesuka hati, sesuka rasa.


Pagi itu,


Belum sempat keringat yang mengalir sekelian banyak liang roma di sekujur tubuh wanita Melayu kacukan Jawa itu kering, kedengaran suara bingit di kampung mereka. Dingin dini hari beransur-ansur hangat. Dari celah celah lubang pada dinding papan rumah mereka yang bertiang dua belas itu, kelihatan cahaya obor api menjalar masuk.


Kedengaran gerombolan manusia berlari berteriakan, hiruk pikuk. Suasana cemas dapat dirasai oleh kedua Jameelah dan Hamid, meskipun mata belum menatap dengan yakin gerombolan yang berlari merentas hutan dan semak di kampung itu. Namun keimanan, cukup mendalam sehingga tidak perlu kepada pandangan mata yang banyakknya memesongkan manusia.

“Jepun menyerang, Jepun menyerang !”



Begitulah, kurang lebih kedengaran teriakan gegak gempita sekumpulan perwira kampung. Melaung dengan sehabis kudrat yang ada. Sehingga yang tinggal di hujung suara yang tenggelam timbul itu, cungapan nafas keletihan. Baki nafas yang resah tetapi bersemangat. Membangunkan yang tidur. Menggerakkan yang bangun. Dan yang paling penting, menghidupkan yang mati, mereka yang mati jauh lebih awal sebelum roh meninggalkan jasad. Mati dalam kealpaan dan kelalaian. Mati dalam kemewahan, ditenggelami harta, makanan dan perusahaan. Hidup yang sukar.


Semboyan jihad telah ditiup, bergema di setiap penjuru. Dari selatan mulanya, merebak ke timur kemudian terpantul ke barat dan kini sudah bertandan di bumi Tuhan sebelah utara. Semboyan jihad menentang musuh yang kurang ajar. Musuh yang tiada pegangan hidup kecuali kezaliman.


“Jangan Hamid ! Apa kau ingin anakmu ini yatim sedangkan dia belum sempat melihat sang mentari?!”


Rayu Jameelah. Air mata cinta yang boleh mencurangkan iman si suami mengalir laju, menyelusuri kedua belah pipinya.


Hamid buntu. Dia dilemma. Bayi itu, lama benar dia tunggu untuk ditatap dan dilayan sepenuh rasa. Namun pada waktu yang sama, seruan jihad, dari Allah dan Rasul telah pun bergema kuat, mengisi ruang-ruang kosong yang ada. Di satu sudut yang lain, bayi kecil itu menangis tidak henti-henti, makin kuat kedengaran tapak kaki para mujahid membelah bumi pada pagi yang belum cerah itu, makin kuat pula suara tangisannya. Seolah-olah memujuk-mujuk si ayah untuk terus tetap di pangkuan bonda yang hampir sahaja menawatkan riwayat menyambut kelahirannya.

Berat. Terasa beratnya.


Hampir sahaja Hamid berpaling dari seruan semboyan itu dan memilih dunia dek tangisan si isteri dan si anak yang baru sahaja kurang sepetang mengenali dunia. Namun di shadnya yang turun naik persis ombak di musim tengkujuh, turun dan naik, berombak dengan cepat itu, masih ada saki baki kalam suci al Quran yang ditekuni saban hari.


Mujur.


Akhirnya Hamid memilih untuk mengutamakan seruan yang menghidupkan itu daripada kehidupan yang pasti akan berakhir dengan kematian. Memilih suatu keputusan yang disambut baik oleh bumi dan seisinya.


“Namakan dia Talhah, supaya suatu hari nanti dia berkembang besar dan mencontohi sosok tubuh yang digelar syahid yang masih berjalan di muka bumi oleh Sang Nabi ”

Tegas. Hamid membulatkan tekad. Mengetepikan tipu daya dan mainan syaitan di sebalik air mata seorang isteri dan seorang anak. Suatu kata-kata yang cukup agung tetapi perit untuk diterima oleh si isteri.


“Apa kau sudah hilang waras? Lalu aku bagaimana?”

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan bagi mereka tentang urusan mereka..”


Terpacul keluar dari mulut Hamid wasiat daripada al Quran. Lalu akurlah si isteri dengan keputusan si suami. Tunduk penuh patuh dengan arahan dari Allah swt. Jameelah mengesat air mata yang mengalir makin laju dari kedua matanya. Kali ini air mata itu bukan lagi air mata yang keluar untuk memesonakan atau memesongkan si suami, tetapi air mata kekaguman dengan seorang laki-laki yang beriman dan bertaqwa yang sedang berdiri kokoh di sisinya.


“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”


Begitulah, terus mantap dan kokoh Jameelah. Perempuan mukminah yang jarang-jarang sekali wujud di dunia yang penuh kejam dan misteri ini.

Talhah bin Hamid.


Bersambung…..