“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak
kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu
pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”
Begitulah,
terus mantap dan kokoh Jameelah. Perempuan mukminah yang jarang-jarang sekali
wujud di dunia yang penuh kecam dan misteri ini.
Talhah bin
Hamid.
Tiga hari
berlalu sepi setelah malam pergolakan itu. Sepi dan lesu, sebagaimana lesunya
sungai yang cetek mengalir di antara batu batu yang besar di musim kemarau. Yang
hanya sekali sekala kedengaran adalah kocakan air yang lesu tanpa suara melanggar
batu batu besar di antaranya lalu menghasilkan riak riak air yang datang dan
pergi. Datang dan pergi.
Jameelah sudah redha. Sebelum sempat khabar besar itu sampai ke gegendang telinganya. Wanita mukminah yang solehah itu meskipun yang ditinggalkan oleh sang suaminya hanya zuriat yang baru berusia dua hari lebih, telah pun menerima sebarang takdir daripada Tuhan seadanya. Begitu kokoh dan tegar imannya, persis Hajar yang ditinggalkan terkapai kapai bersama Ismail a.s oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. di tengah tengah gurun, dataran pasir yang luas, tanpa bekalan yang mencukupinya.
Hajar tahu
Ibrahim bukan begitu melainkan ia perintah daripada Rabbul Izzati. Begitu juga
Jameelah. Ruh dan semangat Hajar mengalir dalam tubuhnya yang masih lemah itu. Pun
begitu dia tekad.
“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak
kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu
pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”
Terngiang-ngiang
kata-kata yang dihamburkan oleh mulutnya sendiri beberapa hari yang lalu, di
telinganya. Seakan menguji keimanannya. Jameelah tersenyum setelah mendapat
berita itu. Meski mata mengalirkan butiran butiran jernih natijah sifat
manusiawi padanya, namun dia gembira kerana doanya dimakbulkan.
Perjuangan
harus diteruskan. Harapan sentiasa ada. Begitulah kentalnya pegangan ibu
tunggal itu. Berkat didikan rabbani bermanhajkan al Quran. Dia yakin bahkan al
Quran sendiri sudah mebenarkan perihal itu, tatkala Ya’qub berpesan kepada
anak-anaknya,
“Hi anak-anakku pergilah kamu, maka carilah
berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat
Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang
kafir”
Pesanan Ya’qub
menusuk masuk, membumi dan mengakar ke dalam sanubari Jameelah, jauh ke dalam
lautan hatinya yang paling dalam. Rahmat Allah terlalu luas mencangkupi bumi
dan sesinya untuk dikecewakan apatah lagi ditangisi. Yang tidak dapat disangkal
lagi, bayi di pangkuannya itu, rahmat dari Ilahi. Akan dibesarkannya, meskipun
terpaksa mengharungi hari hari yang sukar agar bayi itu, Talhah bin Hamid kelak
menjadi perwira berdarah laksamana, yang bakal mencontohi sosok tubuh sahabat ar
Rasul saw, Talhah bin Ubaidillah.
***
“Allah berfirman dalam surah al Ahazab, ayat ke
dua puluh tiga,
“Di antara orang-orang mukmin itu ada
orang-orang yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah. Di anatara
mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada pula yang menunggu dan mereka
sedikit pun tidak mengubah (janji mereka)”
Kiyai Ahmed menghabiskan nafasnya sebelum sesi kisah sahabat pada pagi itu disambung. “Setelah membaca firman Allah ini, Rasulullah menatap wajah para sahabat, sambil menunjuk Talhah, lalu baginda besabda, “Barangsiapa yang suka melihat seorang laki-laki yang masih berjalan di muka bumi padahal ia telah memberikan nyawanya, hendaklah ia melihat Talhah”
Talhah bin
Hamid, matanya bersinar-sinar mendengar nama itu. Kata-kata kiyai masuk ke
dalam benaknya lalu membawa dia ke khayalan yang jauh, merentasi belantara,
membelah samudera. Seolah dapat dia bayangkan suasana di mana para sahabat
berkumpul dan mendengar sabda agung si Nabi.
“Talhah?”
“Talhah!?”
“Ya kiyai?”
“Kok kamu termenung jauh”
“Aku mahu jadi persis Talhah bin Ubaidillah
kiyai!”
Seluruh mata
menatap Talhah bin Hamid. Anak kecil yang baru berusia lapan tahun, begitu
deklaratif, prokmalatif, tiada segan silu. Terpancar keikhlasan di wajahnya
yang suci itu. Terlopong yang lain.
“Kenapa tidak disambung kisah Talhah itu kiyai?
Aku mahu dengarin lagi”
“Lho, kisahnya sudah habis, saat kau entah
terbang ke mana. Ke Kota Jakarta barangkali” Kiyai berseloroh. Kecewa Talhah. Yang
lainnya ketawa berdahak-dahak.
Namun hal
itu menjadi pembakar semangat buat anak kecil tinggalan pahlawan tanah air itu,
seorang pahlawan yang terbunuh di medan jihad membebaskan bumi Tuhan daripada
belenggu kaum kuffar. Sebagaimana bapaknya Hamid, deru darah kepahlawanan
mengalir laju di dalam pembuluh darah Talhah, menyala-nyala.
Seakan tidak
tertahan lagi dia, derap langkahnya lebih cepat daripada detak jantung yang
mengepam darah ke seluruh bahagian badan. Anak muda. Hamassah as syabab! Semangat pemuda,
yang tanpa diduga sekurun mendatang bakal menjadi pilar kebangkitan ummat!
Kota Jawa
meski sudah kembali tenang, tidak seperti beberapa tahun yang lalu, bebas dari
cengkaman Belanda dan Jepun, masih lagi sebahagian besar rakyatnya terutamanya
di kawasan desa pedalaman terpaksa berhadapan dengan hari hari yang panjang dan perit saban hari. Demi sesuap nasi dan meneruskan kelangsungan hidup, anak anak
seusia Talhah sudahpun dikerah membantu keluarga, berkelana di bumi Tuhan
mencari rezeki yang halal.
Mujurlah sepeninggalan
bapaknya, ada wang tabung yang Jameelah dan Hamid usahakan untuk hari tua
mereka. Hamid sudah pergi sebelum sempat memaknai erti tua. Jameelah yang
berseorangan tidak patah semangat membesarkan Talhah, amanah si suami yang
tercinta. Berbekalkan wang tabung dan perusahan tanaman padinya itu, dia
mencuba sekudrat yang ada membesarkan Talhah.
Talhah pula
tidak membesar menjadi anak yang besar kepala. Bahkan dia cukup memahami realiti
hidup yang sukar. Tanpa disuruh, sering kali dia turun ke bendang usai
pengajian di pesantren untuk menolong ibunya menguruskan sawah padi mereka. Hasil tanah sebidang itulah keduanya mampu menjamah sekurang-kurangnya sepinggan
nasi sehari, jika tidak dua.
Pada tengah
hari itu, dia mendapatkan ibunya.
“Talhah bin Ubaidilillah ibu!”
Tergamam Jameelah.
Langsung terlintas di benaknya pesanan Hamid sebelum dia menggabungkan diri
dengan jemaah jihad pada malam yang penuh syahdu itu,
“Namakan dia Talhah, supaya suatu hari nanti
dia berkembang besar dan mencontohi sosok tubuh yang digelar syahid yang masih
berjalan di muka bumi oleh Sang Nabi ”
Cangkul
yang menjadi rakan karibnya di sawah padi itu serta merta dilepaskan. Kedua tangannya
menggenggam erat bahu Talhah.
“Kamu belajar soal Talhah sahabat Nabi kita
hari ini?”
“Ya. Ibu tahu halnya dia?”
“Masakan tidak. Bapak kamu dahulu, memilih nama
Talhah bersempena Talhah bin Ubaidillah”
“Ya benar bu?”
“Apa kamu fikir ibu bohong?”
“Bu, ceritakan aku lagi soal Talhah bin
Ubaidillah, dan tentang ayahku”
Jameelah merapatkan
kepala anak lelakinya itu kedalam dakapan penuh mesranya. Sekali lagi. Menitis air
mata seorang ibu. Mengenangkan betapa rahmat Allah itu terlalu luas. Sosok tubuh
Hamid yang pernah menjadi pelindungnya menjadi kerinduan. “Hamid, anakmu ini
sudah besar, sudah persismu” Jameelah berbicara sendiri.
Di bawah naungan mentari
yang kian menghangat, burung-burung yang hinggap di pohon angsana, beberapa
hasta daripada posisi mereka menyaksikan suasana pilu itu. Bayu siang di dataran
sawah yang kosong, tiada halangan pergunungan bertiup mesra, menyapa kedua
tubuh mereka. Seolah-olah meraikan kehangatan hubungan si anak dan si ibu itu.
2 comments:
*pembuluh darah
*Tergamam
Sorry I can't resist the correction. The story is too beautiful for misspellings. Or typos, whatever.
Keep it up (Y)
edited.
jzkk
Post a Comment