Showing posts with label KEBANGKITAN. Show all posts
Showing posts with label KEBANGKITAN. Show all posts

Wednesday, December 5, 2012

MENIUP ROH KEBANGKITAN III

Orang yang hatinya luhur
Kata-katanya membekas
Luhurnya kerana iman
Membekasnya kerana haq

Aku melihat di luar sana, nafas-nafas dakwah semakin segar berhembusan. Nafas dakwah berterbangan bersama kebenaran, melikat di udara sekitar. Nafas dakwah yang jelas lagi hakiki ini meresap masuk bersama mahabbah dari satu corong ke corong yang lain. Nafas yang membersih dan membangkitkan ini bertiup bersama semangat perjuangan yang tidak kenal erti bermalas-malasan.

Kata, pena dan tinta berteriakan mengajak manusia kembali berpaut di bawah cahaya Tuhan. Kata, pena dan tinta ini mengisi ruang kosong alam buana. Kata merentasi samudera. Pena merentasi pasak-pasak bumi, tinta bergema dan bergempita tanpa suara, menghubungkan titik titik jambatan antara manusia dan Pemilik Alam ini. Semangat kebangkitan yang semarak ini aku lihat bukan sekadar bertiup setempat dan bermusim, tapi berselerakan dan berterusan.

Patah tumbuh hilang berganti, sebatang demi sebatang tubuh jasad bersama roh mengangkat tangan dan melaungkan azam untuk bersama bertiup dengan semangat kebangkitan.


 
Insan-insan ini bukan malaikat sifatnya. Walau semangat yang diusung ada perjuangan namun aku lihat masih ada kealpaan dan kelesuan. Bila masa musuh halus datang menyengat. Kealpaan yang hinggap di laut dalam bersembunyi disebalik laungan kata dan gema sorak membawa bersama fitnah perjuangan. Aku melihat ini dilitupi hal-hal remeh yang yang tidak butuh sekelip perhatian pun. Yang gajahnya adalah kealpaan namun tidak disadari kerana virus yang sekecil zarah bikin semangat pudar dan sakit lalu pinta perhatian.

Ukhuwah dan mahabbah adapun bisa tercetus dalam kebersamaan namun kualitinya bukan pada kebersamaan. Berukhuwah itu aku melihat sebagai satu ibadah apabila Tuhan alam buana merakamkan ukhuwah dalam Mukjizat teragung yang dikurniakan pada kekasihNya. Ibadah itu juga jika tidak dibawa bersama dalam semangat perjuangan maka sia-sia lah ia. Tidak mungkin tempat dan pengakhiran yang dicita-cita oleh semangat perjuangan bisa digapai walau segaung usaha diperjudikan.

Ukhuwah itu mulia, namun kemuliaannya hari ini dikotori dan tercemar. Bukan masam muka yang mencemarkan. Bukan kealpaan bertanya sihat yang menjadi punca. Bukan ketiadaan momen momen tawa yang mengotori ukhuwah. Tapi hakikat iman yang kian menjunam. Apabila jahiliyah dan bisikan halus yang menyengat dan meniupkan bara api, ukhuwah tersungkur. Iman yang harus diteliti. Jahiliyah yang tersisa pada amal yang harus diperangi. Sengatan bisa mahkluk Tuhan yang tidak kelihatan, membisik ke dalam dada, yang senantiasa mencari peluang, itu yang harus dipohon perlindungan.

Namun sekali lagi kealpaan yang busuk dan bernanah itu mengaburi mata. Di saat semangat bertiup semerbak bersama haruman perjuangan, satu tika nanti wangian kemenangan seakan jauh dari harapan. Bila mana semangat tidak lagi bergerak seiring dengan ukhuwah dan mahabbah, bukan lagi satu haruman sebuah perjuangan. Bahkan kesan sakitnya melahirkan kelesuan. Kealpaan dan kelesuan yang berterusan. Di mata zahir, tampak ada semangat namun dari laut dalam itu, api sedang marak. Satu persatu batang tubuh patah. Patah tumbuh, datang yang berganti. Aku melihat ini.




Adapun yang patah tumbuh lagi, yang hilang ada pengganti, namun andai pintu jahiliyah, kerendahan iman dan bisikan musuh perjuangan tidak dibendung, mana mungkin cita itu terkecap. Maka aku tuliskan ini supaya perjuangan bukan sia-sia. Supaya yang berjuang bukan dalam kerugian. Maka aku berpesan dengan kebenaran yang diilhamkan, berpesan dengan kesabaran yang datang dalam diam.

Baik pulih imanmu.
Kembali pada Tuhan
Sujudlah wahai insan
Merendahlah



Sunday, September 23, 2012

MENIUP ROH KEBANGKITAN II


Kealpaan yang kian membumi dalam setiap individu muslim masa kini, ketidakfahaman tentang Islam serta serangan pemikiran menyebabkan garisan pemisah tidak lagi kelihatan dengan jelas. Hidup di dunia tidak lain hanyalah sebuah pertempuran antara dua seteru. Pertarungan yang sengit ini melibatkan dua pihak, pertempuran antara hitam dan putih, pertempuran antara yang haq dan yang batil, pertempuran antara Islam dan jahiliyah.

Garis masa makhluk ciptaan Ilahi bermula dengan kehidupan, daripada tiada diadakan. Kemudian setiap jasad yang dicipta dianugerahi roh, melangkah ke bumi sebagai tempat persinggahan, sebagai sebahagian daripada battalion pertempuran. Pilihan untuk berada di mana-mana pihak adalah terletak pada asas kefahaman tentang tujuan penciptaan hidup,atas asas iman dan takwa.

Setelah itu,setiap yang bernyawa merasai maut. Kehidupan dunia berakhir, berlakunya kiamat kecil. Kematian ini juga bersifat sementara, sebagai tempat rehat bagi yang menang serta azab bagi yang kalah. Yang haq sentiasa menang dan yang batil adalah yang tertewas. Ini adalah hakikat yang dinafikan ramai. Cahaya al haq tidak pernah dan tidak akan pernah padam meskipun di dunia kemenangan bagi al haq kelihatan jauh dari genggaman.

Alam sementara ini disusuli dengan fasa kebangkitan. Kebangkitan setelah kematian, merupakan kebangkitan yang berkekalan. Hidup setelah mati merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para pejuang al haq. Di sini bermulanya negeri pembalasan yang sebenar, sementara kehidupan dunia yang pernah didiami dahulu jauh dtinggalkan dibelakang dan tidak mempunyai sebarang nilai lagi.

Tempoh kelangsungan bagi kehidupan setelah mati adalah berkekalan, tiada garisan masa penamat. Pertarungan sudah berakhir. Pada fasa itu, anugerah dan ganjaran diberikan kepada rijal-rijal yang berjihad untuk yang putih manakala siksaan dan azab yang pedih dijatuhkan kepada penegak-penegak panji hitam. Pada tika itu, suara-suara penyesalan meraung-raung memohon dikembalikan ke medan pertempuran namun sesalan itu tidak membawa sebarang erti.

Kita,di manakah ?

Thursday, June 28, 2012

MENIUP ROH KEBANGKITAN

Meniup roh kebangkitan

Islam tidak akan tertegak atas tapak jahiliyah. Hati yang sakit, jiwa yang mati, kealpaan yang membarah menutup rapat pintu cahaya untuk menyuluh sekali lagi. Namun begitu, hal ini bukanlah alasan untuk sekalian umat mengambil jalan keluar untuk terus membiarkan senario ini menular. Obor-obor semangat sudah menyala di segenap ceruk bumi Tuhan ini, dahagakan cahaya Islam untuk menerangi hari-hari mendatang.

Ar-Rasul, para sahabat dan sejarah telah membuktikan Islam bukan sesuatu yang rumit dan bukan suatu kaedah yang menolak pembaharuan. Dakwah Rasulullah S.A.W. selama dua puluh tiga tahun melahirkan benih-benih kebangkitan pejuang Islam yang mengiyakan kebenaran Islam. Setelah sempurna dakwah itu, Sang Pencipta mewafatkan hamba kesayangannya atas keyakinan Islam akan terus mampu tertegak di bumiNya.


Bersama Baginda, berdiri teguh dibelakangnya para sahabat yang dibina atas asas yang kukuh, akidah yang benar, dan jiwa yang suci untuk mendokong pejuangan dakwah Islam. Kelangsungan risalah diteruskan para sahabat setelah kepergian Baginda Ar-Rasul. Era sahabat berlalu menyaksikan dunia bernaung dibawah cahaya yang terang benderang. Islam terus berada pada takhta tertinggi dan diterima umum meskipun di sana ada kehadiran pegangan yang lain.

Zaman itu telah berlalu. Setelah suatu tempoh yang jauh, Islam sampai kepada umat hari ini. Tali tali perjuangan terus bersambung sehingga risalah diturunkan kepada ummat sekarang. Namun cahaya yang terang benderang tidak lagi menerangi segenap ruang. Kebanjiran fahaman yang menusuk masuk dan memahat hati hati umat mematikan jiwa. Umat terus sakit dan alpa. Lebih parah tidak ramai yang menyedari dan berasa tidak senang akan kealpaan yang menguasai kewarasan mereka.

Penyakit hati menular dengan begitu cepat, mendiami banyak individu. Kecintaan akan dunia mengambil alih takhta tertinggi seraya menolak Islam ke tepi. Namun perjuangan menegakkan kembali panji-panji al-Haq tidak pernah berhenti dan tidak akan berhenti. Masih ada saki baki perjuangan yang akan meletakkan sejarah kembali mengambil tempat di hadapan. Takhta tertinggi bakal kembali kepada Islam dengan semangat kebangkitan rijal-rijal yang mula merasai sakitnya hati, matinya jiwa dan busuknya kealpaan.


Meskipun ada yang menolak untuk turut sama menjejak kaki, menghulur bantuan, menginfak tenaga dalam gerabak perjuangan ini, hal ini langsung tidak merugikan perjuangan itu. Keenggangan ini langsung tidak akan mematikan semangat rija-rijal untuk terus mara ke hadapan mengibarkan panji-panji kebenaran. Bilangan yang ramai di luar sana yang masih tidak sebati dengan perjuangan menentang kebatilan ini bukan sesuatu yang perlu diratapi.

Cahaya kebenaran Islam tidak akan pernah padam meskipun ada kumpulan yang cuba menyimbah air kebatilan. Ini janji Pemilik bumi ini. Hakikat ini harus dilihat dan dipandang serius oleh jiwa-jiwa yang masih belum berpadu dengan kebangkitan yang benar ini supaya merasa kegesaan dan perlunya untuk turut hadir meskipun Islam tidak pernah memerlukan mana-mana pihak. Untuk mereka yang masih ragu-ragu atau berasa sudah terlambat, yakinlah bukan durasi usia yang diperhitungkan.

Suatu lagi hakikat yang umat perlu sedar bahawasanya Islam bukanlah satu agama yang ajaib. Panduan dan program yang direncana oleh Tuhan ini tidak akan tertegak sendiri tanpa ada jiwa-jiwa yang mendokongnya. Peraturan alam ini bersifat mati. Jiwa-jiwa yang hidup yang bakal menghidupkanya. Sunnahtullahnya akan ada golongan yang berada di bawah peraturan alam ini, berjuang untuk melaksanakannya. Dan mereka ini adalah khalifah yang dipilih Tuhan untuk meneruskan kebangkitan ini.

Hari ini saya menemui jawapan, kenapa Kebangkitan Kedua.

Bersambung…