Showing posts with label SEERAH. Show all posts
Showing posts with label SEERAH. Show all posts

Monday, May 16, 2016

MURABBI AGUNG



Ehsan Media Social

 

“Dah, cukuplah wahai Rasulullah dengan permintaan kau kepada Tuhan mu itu”


Begitu ungkap Abu Bakr r.a. menjelang Perang Badr al-Kubra tatkala Rasulullah bermunajat yang mana lirih doa tersebut terpateri dalam kitab-kitab sirah. Satu doa yang cukup hebat, dari seorang Nabi penutup risalah;


“Ya Allah Ya Tuhanku, perkenankanlah apa yang telah Engkau janjikan, Ya Allah Ya Tuhanku, aku memohon restu akan janjiMu itu. Ya Allah Ya Tuhanku, sekiranya termusnah kelompok ini di hari ini nescaya Kau tidak akan disembah lagi…..”

Lalu baginda ulangi,


“Sekiranya Kau kehendaki, maka Kau tidak akan disembah lagi selepas hari ini untuk selama-lamanya…”


Inilah yang kita petik dari Kitab Seerah Nabawi karangan Syaikh Safiyurahman al-Mubakarakfuri. Ketika itu, selendang Rasulullah saw jatuh sehingga Abu Bakr r.a mengambil dan meletakkan semula pada bahu baginda saw.


Dalam banyak kesempatan meneliti kisah Rasulullah saw dan umat Islam generasi awal terdahulu, kita dapati di sekian perjalanan, kisah-kisah bagaimana para sahabat mengambil posisi membantu Rasulullah saw, menguatkan baginda, berkorban untuk baginda, taat dan tunduk pada arahan baginda saw. Mereka benar-benar berada di posisi menunjukkan kecintaan sejati kepada baginda. Posisi seorang sahabat yang ikhlas kepada sahabat yang lain. Mereka berada pada posisi seorang mutarabbi, yang sedang dan sedia ditarbiyah oleh murabbi mereka yakni Rasulullah saw.


Jarang-jarang sekali bahkan diketengahkan posisi yang diambil oleh Rasulullah saw pula, sebagai seorang sahabat yang membalas cinta dan pengorbanan sahabat baginda yang lain, sebagai seorang murabbi yang sedang mentarbiyah sahabat-sahabatnya. Mungkin juga kita tidak cakna menilai sejarah manusia hebat ini.


Lantas, satu keratan panorama sejarah yang direkod oleh al-Quran ini wajar diperhalusi oleh sekelian umat Islam.


Ketika perintah hijrah ke Madinah sampai kepada Rasulullah saw, lalu berangkat la baginda ditemani as-Siddiq, Abu Bakr r.a. Salah satu peristiwa dalam perjalanan yang begitu panjang itu disemadikan dalam al-Quran.



“Jika kamu tidak menolongnya, sesungguhnya Allah telah menolongnya iaitu ketika orang-orang kafir mengusirnya, sedangkan ia salah seorang dari dua orang ketika kedua-duanya berada dalam gua, ketika itu dia berkata kepada sahabatnya;

“Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”

 Maka Allah menurunkan ketenangan kepadanya dan membantunya dengan bala tentera yang tidak terlihat olehmu, dan Dia jadikan seruan orang kafir itu rendah dan firman Allah itulah yang tinggi, Allah MahaPerkasa, Maha Bijaksana”

(At Taubah :40)


Tidak perlu la kita huraikan dengan panjang lebar dan detailnya kisah yang cukup makruf ini. Tetapi mari sejenak melihat posisi yang diambil oleh Rasulullah saw dalam peristiwa yang bersejarah ini. Kali ini, ayat ke empat puluh surah at-Taubah ini mengangkat posisi Rasulullah sebagai seorang sahabat yang menenangkan sahabatnya yang lain.

Kata-katanya kepada Abu Bakr as Siddiq yang sedang rimas memikirkan keselamatan baginda itu;


“Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”


Cukup bersahaja dan menenangkan. Nah, bukankah Rasulullah saw juga memainkan peranan sebagai seorang sahabat? Bukankah ini satu sunnah yang baginda wariskan kepada kita, bagaimana lagaknya seorang sahabat itu, berada di samping temannya ketika senang dan susah, menenangkan sahabat yang bersedih dan rimas, dan mengingatkan si sahabat untuk terus bergantung kepada Allah swt.


Kisah ini mengajak kita merenung diri sendiri dan membayangkan bagaimana kisah persahabatan kita. Adakah selari dengan saranan yang digariskan oleh sunnah dan sejarah ini?


Tidak cukup sekadar itu. Daripada kisah ini juga dapat kita lihat posisi Rasulullah sebagai seorang murabbi agung, yang mentarbiyah sahabatnya, buktinya?


Sekali lagi ungkapan ini;

“Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”


Ya.


Sebagai seorang yang berstatus Nabi, yang mempunyai mukjizat, manusia utusan langit yang dijamin syurga, yang mana masa depan risalah pada waktu itu bergantung pada hayat baginda, boleh sahaja Rasulullah ungkapkan kepada Abu Bakr,


“Jangan sedih, aku kan Nabi”

“Jangan sedih, sesungguhnya aku memiliki mukjizat”

“Jangan risau wahai Abu Bakr, Allah pasti memeliharaku..”


Atau ungkapan-ungkapan lain yang seragam dengannya. Tetapi ternyata tidak. Bahkan baginda mengungkapkan,


“Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”


Subhanallah!

Ungkapan ringkas dan bersahaja ini, terkandung padanya nilai tarbiyah rabbaniyyah yang sangat tinggi melangit. Tatkala baginda berada di posisi seorang nabi, seorang yang memiiki mukjizat, yang pasti dilindungi Allah swt demi kemaslahatan risalah dan sebagainya, baginda memilih untuk menenangkan Abu Bakr r.a dengan meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah swt. Inilah dia sifat kemurabbian yang tertonjol pada baginda. Mendidik dan mentarbiyah anak binaannya untuk bertaut dan bertawakal kepada Allah swt.


Murabbi berjiwa rabbani, murabbi agung yang menjadi contoh buat sekalian ummat.


Alangkah rindunya kita pada sosok murabbi seperti ini. Yang saban hari, dalam saat segetir mana sekalipun, sentiasa mengingatkan untuk kembali dan menyerahkan segala urusan kepada Allah swt. Sosok murabbi yang mengajar kita mengenal Tuhan, berpandukan cahaya al-Quran dan sunnah.

Benarlah kata-kata masyhur;

“Jika tidak kerana Murabbi, aku tak kan kenal siapa Rabbi”


---


Selamat hari Murabbi buat semua


“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya, penghuni langit serta bumi sehinggakan semut yang berada di dalam lubangnya dan ikan-ikan (di lautan) berselawat ke atas guru yang mengajar kebaikan kepada manusia.”

-Hadis Riwayat Tirmizi (3685)

Monday, August 4, 2014

DILEMMA AGAMA






Satu fenomena yang menghairankan jika direnung kembali sejarah dakwah di Malaysia. Sejak tahun 60-an, saban tahun bukan tidak ramai pelajar pelajar Malaysia yang dihantar ke negara negara Timur Tengah seperti Mesir, Yaman, Madinah dan seumpamanya untuk mendalami pelbagai bidang ilmu agama, namun seakan keberagamaan masih lagi lesu di negara ini.


Above all, di tanah air kita pun sejak sekelian lama sudah ada sistem pondok yang mengajar aliran agama dan institusi pengajian moden yang membuka pengajian jurusan agama. Jika dihitung hitung, banyak sebenarnya agamawan yang telah diberanakkan oleh institusi institusi ini. Sudah ramai ustaz yang lahir. Yelah, paling koman, di sekolah sekolah baik  rendah mahupun menengah, ada sebilangan barisan ustaz yang berpendidikan agama yang mencari rezeki di sekelian tempat.


Jika dihitung, dicampur tambah dan dikumpul semuanya, sebenarnya kita bukan ketandusan mereka yang pakar untuk dijadikan rujukan dalam memahami deenul Islam ini. Mungkin kritikan ini tidak begitu kritis tanpa data yang terperinci dan pemerhatian yang penuh disiplin. Cuma, iyalah,satu persoalan yang wajar direnung-renung.


Ke mana pergi agamawan agamawan ini ?



Di saat isu memahami agama semakin rencam di negara, dengan pengaruh ideology yang bermacam, dakwah yang sunyi, perkembangan anak-anak watan yang berbangga dengan pendirian sebagai free thinker dan sebagainya, kita begitu mendambakan supaya graduan aliran agama ini tidak menikmati ilmu di rumah rumah mereka sahaja. Sudah pasti, tanggungjawab membela agama terletak di pundak setiap mereka yang bershahadah dengan kalimah syahadatain. Tanpa menafikan hakikat itu.


Benarlah,

Ada bezanya belajar agama kerana ingin hidup beragama dengan belajar dan mendalami agama sebagai sumber pendapatan. Sebab itu, menjadi agamawan tidak wajib, tetapi hidup beragama itu satu tuntutan. Tanpa menidakkan sumbangan segolongan agamawan yang benar benar lantang dan memainkan peranan di posisi yang sepatutnya.


Akhirnya,

Satu lagi hypothesis yang harus ditimbang kira, tahu kesemua hal dalam agama belum tentu menatijahkan faham bagaimana hidup beragama.

Umum maklum, sumber primer bagi Islam adalah al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Termasuklah sebahagian daripada sunnah ini ialah seerah Rasulullah saw yang sering dipandang sepi,  diajar sebagai sejarah, diceritakan sebagai seolah kisah-kisah penglipur lara.


Namun hampir pasti, mereka yang berada di jurusan agama mampu menguasai dengan baik ketiga tiga komponen ilmu ini. Al Quran, hadis dan seerah sebenarnya sumber sumber yang berkait rapat antara satu dengan yang lain. Ketiga sumber ilmu ini datang atau diterbitkan dalam tempoh waktu yang sama, sejajar dengan perjuangan Rasulullah saw melaksanakan misi kerasulan baginda.


Cuma, yang sampai kepada kita hari ini ialah helaian-helaian kertas, tafsiran dan kajian ketiga-tiga benda ini dalam bentuk ilmu semata. Maka, dipelajari juga sebagai ilmu, yang ditinggalkan adalah perjuangannya. Sebab itu, pengajian agama makin lama makin lesu dan kering, tidak menatijahkan amal. Meskipun saban tahun ramai graduan jurusan agama yang lahir, namun boleh dikatakan sangat sedikit impaknya kepada masyarakat.


Ilmu agama yang sampai hari ini, yang diajarkan di sekolah sekolah terpisah dengan ruhul jihad dan semangat nubuwwah.


Sebab itu tidak lagi wajar kita hairan lalu bertanya bagaimana mungkin seorang yang menghafal al Quran, mampu mengajarkan kitab tafsir muktabar dengan baik, menguasai bahasa Arab al Quran dengan ‘masyi’ nya, segala ilmu asbab nuzul ayat Quran dihujung jari tetapi tidak turun padang mendatangi masyarakat untuk menyampaikan dakwah. Masih ada golongan ini yang mengajar sekadar mendapatkan gaji bulanan lalu duduk-duduk berehat di rumah.


Tidak lagi wajar juga kita untuk menggaru kepala memikirkan, bagaimana seorang pelajar jurusan agama yang menguasai ilmu hadis, mampu bercakap tentang ilmu fiqh dan perbahasannya dengan baik, mampu menjelaskan tasawwur Islam sebijik sebagaimana tertulis di lembaian kertas-kertas kajian, tetapi masih merokok, solat bersendirian di rumah, menonton movies, mendatangi pusat pusat hiburan, berpasangan secara tidak halal dengan bukan mahram dan bermacam contoh yang boleh difikirkan bersama lagi.


Sekali lagi, usah la kita makin kecewa jika ada kenalan kita kelahiran jurusan agama yang mempelajari kitab-kitab seerah, mampu membandingkan pendapat sekelian ulama’ yang mempunyai khilaf dalam hal hal yang tertentu, menceritakan seerah dengan baik tetapi tidak mahu bersama berjuang sebagaiman perjuangan yang dihafal dalam seerah. Tidak mahu bersama rakyat marhaen menentang kezaliman. Tidak ada rasa keinginan meneladani semangat jihad dakwah yang ditonjolkan dalam seerah.


Kerana putusnya ilmu dengan ruhul jihad dan semangat nubuwah.


Allah Azza Wajal berfirman;



“Dan semua kisah dari rasul Kami ceritakan kepadamu ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu, dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman”
(Hud:120)



Semasa menulis kata pengantar bagi buku Figh Seerah Manhaj Haraki, Us KH Rahmat Abdullah telah memberi komentar yang mendalam akan ayat ini. Tulis beliau,


“Tema ayat ini merupakan salah satu sasaran memahami sirah atau fiqhus sirah. Mungkin timbul pertanyaan, “Bagaimana kita bisa mendapatkan apa yang diberikan kepada Rasul oleh Allah dengan jalan memahami dan membaca sejarah nabi-nabi atau rasul-rasul masa lampau itu?”


Dari ayat itu, nyata bahwa buat Rasulullah kisah-kisah yang Allah ungkapkan itu punya fungsi yang besar di antaranya, ‘Ma nutsabittu bihi fuadak’ (Apa yang dengannya Kami perkuat hatimu). ”

Tambah beliau,


“Sebagai pewaris Rasul, mesti para ulama pun mendapatkan tsabit dan tsabat dalam mempelajari sirah sehingga dengan sendirinya mereka berjalan dalam kehidupan dunia ini tahu ma’alim tanda-tanda yang jelas. Jika tidak, berarti ada yang tidak kena.”


“Sebagai mu’min” Tulisnya lagi, “Setiap orang berhak untuk mendapatkan nutsabittu itu kerana apa yang Allah berikan kepada seorang Rasul juga diberikan kepada umatnya, dalam artian hal hal yang bisa berlaku umum. Timbul pertanyaan, mengapa orang tidak mendapat tsabat itu?


Sebabnya, ia tidak berada dalam suatu gelombang yang sama dengan garis Rasul dan para sahabatnya. Kalau sirah ini sebagai satu sender (pemancar) siarannya akan ditangkap balik apabila kita memasangkan gelombang yang sama di receiver (penerima). Sebagai umat kita memiliki potensi dakwah, jika kita memasang gelombang diri, jiwa dan kehidupan sejajar atau parallel dengan gelombang para Rasul maka kisah-kisah itu mesti akan menghasilkan target tersebut”


Hal yang sama saya kira untuk penghayatan al Quran dan hadis.


Yang kurang pada kita atau pada agamawan kita yang banyaknya itu, bukan ilmu, tetapi tidak memposisikan diri agar parallel dengan gelombang Rasulullah saw. Belum jelas tujuan dan keberadaan di muka bumi ini.


Tidak hairanlah, saya berasa barangkali inilah antara hikmahnya mengapa Allah Azza Wajal meletakkan surah al Baqarah itu di bahagian hadapan dalam penyusunan al Quran meskipun ayat-ayatnya bersifat madaniyyah, mendahului surah-surah lain yang lebih dahulu turun mengikut jalur masa, kerana mesej utama surah ini berkisar tentang tujuan hidup manusia di muka bumi.


Setelah tujuan, tanggungjawab dan amanah itu difahami, maka apa yang datang setelah itu adalah untuk merealisirkan tujuan, amanah dan tanggungjawab tadi.


Problem statement nya sudah jelas.

Kita tidak mahu lagi merungut tentang problematikanya. Kita tidak mahu berbahas lalu dibiarkan tergantung. Kita mahukan solusi.


Alhamdulillah tarbiyah datang merawat kembali salah faham dan luka luka ini.


Persoalan seterusnya adalah berkenaan untuk setia dengan tarbiyah, untuk thabat dengan prinsip ini. Sampai bila binaan dakhili atau dalaman ini harus mengambil tempat ? Selarilah juga dengan tema surah Ali Imran yang tema utamanya berkenaan dengan thabat.

Namun yang itu kita cerita di lain hari.



Pokok pangkalnya, kembali mendalami agama, beserta dengan ruhul jihad dan semangat nubuwwah adalah menjadi tuntutan bukan sahaja buat agamawan bahkan buat setiap yang beragama, supaya ilmu itu tidak sekadar menatijahkan tahu, tetapi membawa kita ke dataran faham dengan ad deen ini.


Kerana ketahuilah kebaikan paling baik kurniaan Allah swt ialah kefahaman terhadap agama sebagaimana mafhum satu hadis yang dihafal banyak orang.


Wallahu’alam.

Thursday, June 5, 2014

HUBB WAL ITTIBA'




Terdapat beberapa kualiti yang ada pada golongan terbaik yang pernah dihasilkan oleh tarbiyah Islamiyyah yakni generasi sahabat radiaLlahu anhum ajmain yang tidak ada pada umat Islam hari ini. Pertamanya, mereka pernah ‘merasai’ keberadaan Rasulullah saw. Namun, keberadaan Rasulullah bukanlah hujah yang kukuh untuk memberi alasan kepada umat Islam hari ini untuk redha dengan penindasan yang makin tenat menekan umat Islam.


Sekiranya keberadaan Rasulullah yang menjadi kunci utama keberhasilan Islam mara setapak demi setapak sehingga menguasai sebahagian besar dunia, pastilah manusia hari ini dapat menggunakan hujah ini kelak di hadapan Allah swt. Jika hujah itu valid, maka tidak wajar lagi manusia menggalas tugas dakwah hari ini.


Tetapi kualiti yang membezakan generasi pertama itu dengan kita hari ini antara lain adalah bagaimana mereka berinteraksi dengan al Quran. Mereka merupakan generasi al Quran yang unik. Satu term yang dipopularkan oleh Sayyid Quttb dan diperjelas dengan baik dalam bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan.


Adapun kualiti lain yang tidak ada pada kita hari ini ialah bagaimana kita berinteraksi dengan Rasulullah yang sudah pergi. Secara mudahnya, bagaimana kita mencintai Rasulullah saw. Itulah juga yang membezakan kita dengan para sahabat baginda saw.




Mutakhir ini, di negara tercinta Malaysia, bukan tak kerap bahkan terlebih kerap diadakan majlis memupuk cinta kepada Nabi saw atau dengan nama komersialnya Malam Cinta Rasul, atau Malaysia Berselawat, Selangor Berselawat, Bt Jalil Berselawat dan pelbagai lagi.


Alhamdulillah, sambutannya luar biasa. Barisan menteri bahkan turun padang, menghidupkan suasana. Cumanya, betulkah kita sudah benar benar cinta Rasulullah saw ?


Mencintai Rasulullah saw.


Bak kata Doc Maza dalam bentuk ayat yang telah diubahsuai,

Cinta kepada Rasulullah perlu dilengkapi dengan mengikut sunnah baginda saw. Hub yakni cinta perlu dilengkapi dengan ittiba’ yakni ikut. Cinta dan ikutan adalah dua perkara yang berbeza.



Ada orang sangat sayang, kasih dan cinta kepada Rasulullah. Tetapi malangnya mereka tidak ikut Rasulullah. Sebagai contoh, Abu Thalib, bapa saudara Rasulullah saw sendiri. Saya yakin, tidak ada dalam kalangan kita hari ini yang mampu menandingi kasih dan cintanya Abu Thalib kepada Sang Nabi sehingga beliau sanggup berhadapan dengan kaumnya sendiri untuk mempertahankan Nabi saw.


Tetapi malangnya, Abu Tahlib pergi menghadap Tuhannya tanpa sempat mengucap kalimah syahadatain. Tidak mengikut serta menyaksikan kebenaran yang dibawa oleh Nabi saw.


Ada juga orang yang ikut  tetapi tidak cinta. Mereka terpaksa ikut Nabi saw untuk melindungi kepentingan diri kerana di waktu waktu demikian, menuruti sunnah adalah satu trending. Contoh yang jelas, Abdullah bin Ubai, bapa Munafiq di zaman Madinah. Beliau ikut Rasulullah, dengar pada arahan. Mengekspresikan ‘keimanannya’. Turun bersolat dan bersetuju ikut berperang di awalnya meskipun membelot di saat akhir.


Ini kerana di zaman Madinah, Rasulullah saw menjadi ikutan. Orang yang tidak ikut Rasulullah akan disisih dalam kalangan masyarakat. Maka untuk menjaga kepentingan, mereka mengikut sunnah sunnah Rasulullah saw meskipun di hati ada perasaan benci.


Ini contoh di zaman dahulu. Sudah pasti manusia fe’el ini wujud hari ini. Yang ikut tanpa cinta atau cinta tanpa ikut.


Sebagai contoh, apabila timbul isu isu penghinaan kepada Rasulullah, berapa ramai pejuang Islam alam maya yang cinta kepada Rasulullah saw tampil mempertahankan imej Rasulullah. Mereka buat demontrasi menentang pihak yang menghina. Mencaci dan meghina mereka ini dengan kata-kata sesat. Bergaduh di alam maya. Reply post. Buat page. Invite friends. Bawa spanduk dan turun di jalan. Dek kerana cinta kepada Rasulullah.


Tetapi berapa pula sebenarnya dalam kalangan pencinta tegar Nabi saw ini yang benar benar mempraktikkan sunah baginda ar Rasul dalam kehidupan seharian. Berapa ramai yang turun solat berjemaah. Yang membaca kita kitab hadis yang sohih. Berapa ramai yang membaca seerah hidup dan perjuangan Nabi. Dan paling penting berapa ramai yang turun kepada masyarakat dan menyampaikan dakwah, yakni sunnah terbesar Nabi saw?


Cinta, tetapi tidak ikut.

Yang ikut tetapi tidak cinta pula, masih wujudkah ?
Haruslah.


Kalau kita lihat hari ini perniagaan perniagaan yang menggunakan imej ala-ala mengikut sunnah tetapi untuk kepentingan diri. Adanya individu yang memakai pakaian sunnah tetapi untuk melariskan produk mereka. Ada yang menghafal banyak hadis untuk menarik kepercayaan orang ramai lalu ditawarkanlah produk produk mereka.

Samalah seperti orang yang menggunakan nama Islam untuk menarik pelanggan. Contoh mudah, institusi institusi kewangan yang terang terang diuruskan oleh bukan Islam tetapi adanya nama Islam atau berasaskan sistem Islam,mengikut sunnah gitu kerana permintaan semasa. Hong Leong Islamic Bank, bukankah mengikut sunnah itu?


Begitulah.

Tidak lengkap cinta tanpa ikut dan ikut tanpa cinta.


Konflik besar kita hari ini ialah kita mampu cinta, atau menyatakan cinta, tetapi sukar sekali untuk kita ikut Rasulullah saw. Mengikut Rasulullah memerlukan kita untuk mengorbankan kemewahan hidup, sikap mementingkan diri, harta, tenaga dan emosi. Sukar! Padahal bukankah cinta itu membutuhkan pengorbanan?


Kalau kita hari ini cinta tetapi tidak ikut, sebenarnya cinta itu harus diragui. Cinta Abu Thalib adalah atas dasar hubungan nasab. Kalau kita kata cinta tetapi tidak ikut, maka atas alasan apa?


Mencintai dan mengikut Rasulullah adalah kewajipan, perintah dan tanggungjawab.
Al Quran banyak menggariskan hal ini;


“Katakanlah inilah jalanku. Aku mengajak kalian kearah Allah swt atas kejelasan. Aku dan orang orang yang mengikutiku dan Maha Suci Allah dan aku tidak sama sekali termasuk golongan yang musyrik”
(Yusuf;108)


“Inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu ikuti. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, kelak kamu akan bercerai berai dari jalanNya. Inilah dipesankan oleh Tuhanmu kepadamu mudah mudahan kamu bertaqwa”
(Al An’am :153)

“Katakanlah, ‘Kalau kamu benar benar kasihkan Allah maka ikutilahku, nescaya Allah akan mengasihimu”
(Ali Imran :31)


Dan di ayat ayat yang lain.

Buat para duat pula, yang sudah tahu benar akan hakikat ini, yang sudah menghafal sekelian banyak ayat berkenaan ini, tidak lain artikel ini merupakan peringatan buat kita kerana kita sudah melaungkan azam dalam siri siri daurah dan program tarbiyah untuk mengikuti jalan ini, untuk membuktikan kecintaan kita pada Rasulullah saw.


Saudaraku,


Aku hidangi kalian dengan keratan tulisan Syeikh Fathi Yakan dalam buku Bahtera Penyelamat untuk kita sama-sama renungkan;


Kecintaan kepada Rasul sayogianya mendorong seseorang menjejaki sunnah beliau. Iltizom dengan syariatnya dan bersama-sama Rasulullah dalam susah senangnya. Mengamalkan sunnahnya, baik dalam hidup persendirian mahupun dalam hidup bermasyarakat.

Rasa cinta kepada Rasul ini hendaknya lebih besar dan hebat di sisi pendakwah dari rasa kasih kepada keluarga anak dan manusia seluruhnya. Mereka hendaklah insaf bahawa para leluhur Islam pada zaman silam tidak menempa martabat “khairan ummatin ukhrijat linnas” melainkan kerana kehebatan cinta mereka kepada Rasulullah.

Satu contoh yang nyata ialah peristiwa Sa’ad bin Rabie. Ketika beliau hendak menghembuskan nafas terakhirnya di Medan Uhud, beliau menoleh kepada Zaid bin Thabit. Dengan perlahan lahan beliau berkata, “Sampaikanlah salamku kepada Rasulullah, katakanlah bahawa aku telah menghidu bau syurga. Katakan kepada kaumku golongan Ansar bahawa tidak ada apa-apa alasan untuk kamu sekiranya Rasulullah diapa-apakan sedangkan di kalangan kamu masih ada orang yang hidup”.

Suatu contoh yang lain mengenai seorang wanita Ansar. Bapanya, saudara lelaki dan suaminya, semuanya terbunuh dalam pertempuran di Medan Uhud. Tetapi apabila disampaikan berita kepadanya ia bertanya, “Bagaimana dengan Rasulullah?”

Orang-orang yang menyampaikan berita itu lalu menjawab, “Rasulullah Alhamdulillah sepertimana yang anda harapkan selamat” Wanita itu berkata, “Tunjukkan aku di mana Rasulullah agar dapat kulihat”. Sebaik sahaja ia melihat Rasulullah iapun berkata, “Jika engkau selamat, maka segala musibah yang lain adalah enteng”


Subhanallah !


Maka sudah benarkah cinta kita ini?

Tuesday, May 27, 2014

OF ISRA' MI'RAJ & PALESTINE (I)



Menurut kitab seerah Raheeq Makhtum, terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ dalam penetapan tarikh terjadinya Isra’ wal mi’raj. Ada yang mengatakan ia terjadi pada tahun Allah memuliakan Nabi saw dengan nubuwwah. Dan antara lain, ada yang  berpendapat ia terjadi pada malam tanggal 27 Rejab tahun ke sepuluh an Nubuwwah.

Hari ini, calendar tahunan kita memilih untuk mengazetkan tarikh 27 Rejab sebagai tarikh memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang sangat epic itu.

Cuma, suka juga saya untuk berkongsi bahawa tarikh ini ditolak oleh sebahagian ilmuwan kerana pada waktu itu Saidatina Khadijah belum meninggal, padahal pensyariatan solat berlaku setelah beliau meninggal. Pun begitu, penetapan tarikh dan perbezaan pandangan ini tidak menjadi masalah untuk kita mengutip ibrah yang sangat banyak melalui peristiwa Isra’ dan mi’raj ini.

Saban tahun di bulan Rejab siri siri kuliah Isra’ Mi’raj akan mengambil tempat dalam pelbagai bentuk majlis ilmu. Dan sepanjang lima tahun saya bersekolah dan menetap di asrama, maka lima kali lah paling kurang saya mendengar kuliah tentang peristiwa Isra’ Mi’raj yang disampaikan oleh beberapa penyampai jemputan  dengan cara penyampaian dan perspektif yang berbeza.

Namun begitu, kuliah kuliah Isra’ Mi’raj yang saya lalui dahulu hanya tinggal sebagai satu kuliah yang harus dijalankan sekadar melengkapi agenda tahunan surau di sebuah sekolah berasrama penuh yang terletak di sebuah Bandar yang terpencil di sebuah negeri di persisiran pantai di semenanjung Malaysia. Penceritaan sejarahnya dibentangkan sekadar kuliah untuk mengisi kekosongan waktu, yang diakhir dengan secebis nasihat yang sudah dapat dijangkakan.

Pun begitu, kuliah atau penceritaan Isra’ Mi’raj tidak pernah mengecewakan. Kerana terlalu banyak kisah menarik yang dapat kami dengar, diserikan lagi dengan banyak perkara epic yang berlaku pada Nabi saw pada malam tersebut menyebabkan kami mendengar dengan terkun dan focus.
 
 (Google)

Namun, jarang sekali bahkan tidak pernah pengkuliah yang hadhir mengkaitkan kisah Isra’ Mi’raj dengan keakraban hubungan setiap manusia yang melafazkan kalimah toyyibah syahadatain dengan masjid al aqsa ataupun kota al Quds. Isi utama kuliah ini biasanya didominasi dengan perintah solat, pertemuan Rasulullah dengan para anbiya dan kisah Abu Bakr r.a yang sering membenarkan kata-kata Nabi saw.

Disebabkan adanya bahagian penting yang tertinggal dalam menyampaikan pengajaran tentang Isra’ Mi’raj ini, saban tahun semakin diingati Isra’ dan Mi’raj, semakin dilupai saudara seakidah kita di kota al Quds. Sehinggalah tarbiyah menghubungkan kembali pertalian yang hampir putus itu. Saya secara jujur harus berterima kasih kepada tarbiyah atas kesedaran ini.


Memetik tulisan Ust Hasrizal dalam blogpostnya, beliau melontarkan satu persoalan yang sangat menarik tentang Isra’ dan Mi’raj yang dipandang sebelah mata oleh sebahagian besar Muslim.


Tulis beliau;



“Jika motif peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj adalah hanya untuk urusan peribadi antara Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan Tuhannya, nescaya perjalanan boleh berlaku secara langsung dari al-Masjid al-Haram di Mekah ke Sidrah al-Muntaha, tanpa perlu ‘transit’ di al-Masjid al-Aqsa di Palestin. Akan tetapi, persinggahan di bumi Palestin pada kejadian luar biasa berkenaan, mempunyai signifikasi yang perlu hidup hingga ke akhir zaman, sebagai kelangsungan nilai Palestin sebelum-sebelumnya ”



Ya. Persoalan ini sepatutnya memandu rasa ingin tahu kita tentang nilai Masjid al Aqsa secara khususnya dan kota al Quds secara amnya di sisi setiap muslim.


Terlalu banyak perkaitannya sebenarnya, yang tidak mampu saya nukilkan di sini. Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam, bumi al Quds yang diberkahi dan direkod dalam al Quran itu, bumi kelahiran para anbiya dan ilmuwan Islam serta keberkahannya yang melimpah sehingga ke kekuasaan politik dunia itu  ada hubungan yang rapat dengan kita semua.


Tetapi kelalaian masyarakat Islam dunia secara am nya beserta pengaruh tangan tangan ghaib yang mengalih perhatian kita daripada mengambil tahu tentang perkembangan bumi yang sedang menangis itu telah menyebabkan hubungan yang akrab sudah renggang. Hubungan sejarah sudah kita lupakan. Nilai sentiment yang ada pada bumi itu tidak lagi dirasai oleh generasi mendatang. Hubungan akidah telah dibatasi dengan sempadan kebangsaan dan kenegaraan.



Membebsakan al Aqsa merupakan satu perjuangan yang kewajibannya terletak di pundak setiap muslim, atas satu alasan yang cukup kukuh, menafikan halangan halangan yang ada yakni atas alasan akidah. Sekiranya setiap muslim yang bertebaran di seluruh dunia kembali melihat kewajipan ini, dan bersatu untuk membebaskan kota yang diberkahi itu, maka pasti musuh Allah, zionis yang makin menggila itu panas punggung.


Untuk mengelakkan hal ini berlaku, memastikan api perjuangan terus malap, dan untuk melalaikan setiap muslim daripada kewajipan mereka, kita dibekalkan dengan tugas tugas remeh yang melarutkan. Umat islam dipecah belahkan dengan pelbagai fahaman yang mengatasi hubungan akidah. Perpecahan yang menyakitkan, yang malangnya harga perpecahan itu terpaksa dibayar oleh saudara seakidah yang terus menerus ditindas di kota al Quds.


Teori memecahbelahkan musuh untuk mengangkat diri sendiri ini sudah dipraktikkan oleh Fira’un seperti mana yang direkodkan dalam surah al Qhassas ;



“Sesungguhnya Fira’un telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan mereka, menyembelih anak laki-laki dan membiarkan anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan”

(Al Qhassas:4)


Seolahnya ruh dan ciri-ciri yang dinyatakan dalam ayat di atas ada pada musuh umat Islam hari ini. Dan perincian tentang mangsanya juga sama. Rupa rupanya walaupun Fi’raun sudah lama riwayatnya tamat, tetapi saki perjuangannya masih ada, diteruskan oleh Zionis yang dilaknat itu.


Jika diperhatikan hari ini, umat Islam berpecah belah yang tidak dapat dinafikan lagi. Ada yang berperang sesama sendiri. Ada yang berkelahi kerana berbeza fahaman politik. Berkelahi kerana berlainan pegangan mazhab. Sebahagian ditindas dan sebahagian lagi hidup mewah meratah hak bersama. Anak-anak Islam di bumi bergolak dibunuh tanpa belas, baik lelaki mahupun perempuan.


Dan sebahagian umat yang masih hidup senang lenang sekadar duduk menangisi di hadapan skrin, berpeluk tubuh, berputih mata. Mereka dilemma. Tersepit antara membantu atau menjaga kepentingan diri. Begitulah dahsyatnya perpecahan yang berlaku ini. Hati hati muslim tidak lagi bersatu, meskipun jumlah mereka ramai.


Al Quds telah membuka mata kita semua, membongkarkan ciri ciri sebahagian besar umat ini. Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang mengilhamkan kita semua untuk masih memperingati peristiwa Isra’ ini dan masih ada yang berfikiran waras mengheret kita ke dataran fikir yang lebih luas.


Kedatangan Isra’ dan Mi’raj kali ini dan pada tahun tahun yang mendatang sepatutnya kita lihat melalui kaca mata yang berbeza, yakni melalui kaca mata untuk membebaskan al Quds. Isra’ dan mi’raj sepatutnya diraikan dengan semangat baharu yang lebih membara untuk kita sama-sama memainkan peranan di posisi masing-masing untuk meleraikan kuasa durjana Negara Haram Israel.


...Bersambung...in sha Allah


Wallahu’alam