Satu fenomena
yang menghairankan jika direnung kembali sejarah dakwah di Malaysia. Sejak tahun
60-an, saban tahun bukan tidak ramai pelajar pelajar Malaysia yang dihantar ke
negara negara Timur Tengah seperti Mesir, Yaman, Madinah dan seumpamanya untuk
mendalami pelbagai bidang ilmu agama, namun seakan keberagamaan masih lagi lesu
di negara ini.
Above all,
di tanah air kita pun sejak sekelian lama sudah ada sistem pondok yang mengajar
aliran agama dan institusi pengajian moden yang membuka pengajian jurusan
agama. Jika dihitung hitung, banyak sebenarnya agamawan yang telah diberanakkan
oleh institusi institusi ini. Sudah ramai ustaz yang lahir. Yelah, paling
koman, di sekolah sekolah baik rendah
mahupun menengah, ada sebilangan barisan ustaz yang berpendidikan agama yang
mencari rezeki di sekelian tempat.
Jika dihitung,
dicampur tambah dan dikumpul semuanya, sebenarnya kita bukan ketandusan mereka
yang pakar untuk dijadikan rujukan dalam memahami deenul Islam ini. Mungkin kritikan
ini tidak begitu kritis tanpa data yang terperinci dan pemerhatian yang penuh
disiplin. Cuma, iyalah,satu persoalan yang wajar direnung-renung.
Ke mana
pergi agamawan agamawan ini ?
Di saat isu
memahami agama semakin rencam di negara, dengan pengaruh ideology yang
bermacam, dakwah yang sunyi, perkembangan anak-anak watan yang berbangga dengan
pendirian sebagai free thinker dan sebagainya, kita begitu mendambakan supaya
graduan aliran agama ini tidak menikmati ilmu di rumah rumah mereka sahaja. Sudah
pasti, tanggungjawab membela agama terletak di pundak setiap mereka yang
bershahadah dengan kalimah syahadatain. Tanpa menafikan hakikat itu.
Benarlah,
Ada bezanya
belajar agama kerana ingin hidup beragama dengan belajar dan mendalami agama
sebagai sumber pendapatan. Sebab itu, menjadi agamawan tidak wajib, tetapi
hidup beragama itu satu tuntutan. Tanpa menidakkan sumbangan segolongan
agamawan yang benar benar lantang dan memainkan peranan di posisi yang
sepatutnya.
Akhirnya,
Satu lagi
hypothesis yang harus ditimbang kira, tahu kesemua hal dalam agama belum tentu
menatijahkan faham bagaimana hidup beragama.
Umum maklum,
sumber primer bagi Islam adalah al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Termasuklah
sebahagian daripada sunnah ini ialah seerah Rasulullah saw yang sering
dipandang sepi, diajar sebagai sejarah,
diceritakan sebagai seolah kisah-kisah penglipur lara.
Namun hampir
pasti, mereka yang berada di jurusan agama mampu menguasai dengan baik ketiga
tiga komponen ilmu ini. Al Quran, hadis dan seerah sebenarnya sumber sumber
yang berkait rapat antara satu dengan yang lain. Ketiga sumber ilmu ini datang
atau diterbitkan dalam tempoh waktu yang sama, sejajar dengan perjuangan
Rasulullah saw melaksanakan misi kerasulan baginda.
Cuma, yang
sampai kepada kita hari ini ialah helaian-helaian kertas, tafsiran dan kajian
ketiga-tiga benda ini dalam bentuk ilmu semata. Maka, dipelajari juga sebagai
ilmu, yang ditinggalkan adalah perjuangannya. Sebab itu, pengajian agama makin
lama makin lesu dan kering, tidak menatijahkan amal. Meskipun saban tahun ramai
graduan jurusan agama yang lahir, namun boleh dikatakan sangat sedikit impaknya
kepada masyarakat.
Ilmu agama
yang sampai hari ini, yang diajarkan di sekolah sekolah terpisah dengan ruhul
jihad dan semangat nubuwwah.
Sebab itu
tidak lagi wajar kita hairan lalu bertanya bagaimana mungkin seorang yang
menghafal al Quran, mampu mengajarkan kitab tafsir muktabar dengan baik,
menguasai bahasa Arab al Quran dengan ‘masyi’ nya, segala ilmu asbab nuzul ayat
Quran dihujung jari tetapi tidak turun padang mendatangi masyarakat untuk
menyampaikan dakwah. Masih ada golongan ini yang mengajar sekadar mendapatkan
gaji bulanan lalu duduk-duduk berehat di rumah.
Tidak lagi
wajar juga kita untuk menggaru kepala memikirkan, bagaimana seorang pelajar
jurusan agama yang menguasai ilmu hadis, mampu bercakap tentang ilmu fiqh dan
perbahasannya dengan baik, mampu menjelaskan tasawwur Islam sebijik sebagaimana
tertulis di lembaian kertas-kertas kajian, tetapi masih merokok, solat
bersendirian di rumah, menonton movies, mendatangi pusat pusat hiburan, berpasangan
secara tidak halal dengan bukan mahram dan bermacam contoh yang boleh
difikirkan bersama lagi.
Sekali lagi,
usah la kita makin kecewa jika ada kenalan kita kelahiran jurusan agama yang
mempelajari kitab-kitab seerah, mampu membandingkan pendapat sekelian ulama’
yang mempunyai khilaf dalam hal hal yang tertentu, menceritakan seerah dengan
baik tetapi tidak mahu bersama berjuang sebagaiman perjuangan yang dihafal
dalam seerah. Tidak mahu bersama rakyat marhaen menentang kezaliman. Tidak ada
rasa keinginan meneladani semangat jihad dakwah yang ditonjolkan dalam seerah.
Kerana putusnya
ilmu dengan ruhul jihad dan semangat nubuwah.
Allah Azza
Wajal berfirman;
“Dan semua kisah dari rasul Kami ceritakan
kepadamu ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu, dan dalam surat
ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi
orang-orang yang beriman”
(Hud:120)
Semasa
menulis kata pengantar bagi buku Figh Seerah Manhaj Haraki, Us KH Rahmat
Abdullah telah memberi komentar yang mendalam akan ayat ini. Tulis beliau,
“Tema ayat
ini merupakan salah satu sasaran memahami sirah atau fiqhus sirah. Mungkin timbul
pertanyaan, “Bagaimana kita bisa mendapatkan apa yang diberikan kepada Rasul
oleh Allah dengan jalan memahami dan membaca sejarah nabi-nabi atau rasul-rasul
masa lampau itu?”
Dari ayat
itu, nyata bahwa buat Rasulullah kisah-kisah yang Allah ungkapkan itu punya
fungsi yang besar di antaranya, ‘Ma nutsabittu bihi fuadak’ (Apa yang dengannya
Kami perkuat hatimu). ”
Tambah beliau,
“Sebagai
pewaris Rasul, mesti para ulama pun mendapatkan tsabit dan tsabat dalam
mempelajari sirah sehingga dengan sendirinya mereka berjalan dalam kehidupan
dunia ini tahu ma’alim tanda-tanda yang jelas. Jika tidak, berarti ada yang
tidak kena.”
“Sebagai mu’min”
Tulisnya lagi, “Setiap orang berhak untuk mendapatkan nutsabittu itu kerana apa
yang Allah berikan kepada seorang Rasul juga diberikan kepada umatnya, dalam
artian hal hal yang bisa berlaku umum. Timbul pertanyaan, mengapa orang tidak
mendapat tsabat itu?
Sebabnya,
ia tidak berada dalam suatu gelombang yang sama dengan garis Rasul dan para sahabatnya.
Kalau sirah ini sebagai satu sender (pemancar) siarannya akan ditangkap balik
apabila kita memasangkan gelombang yang sama di receiver (penerima). Sebagai umat
kita memiliki potensi dakwah, jika kita memasang gelombang diri, jiwa dan
kehidupan sejajar atau parallel dengan gelombang para Rasul maka kisah-kisah
itu mesti akan menghasilkan target tersebut”
Hal yang
sama saya kira untuk penghayatan al Quran dan hadis.
Yang kurang
pada kita atau pada agamawan kita yang banyaknya itu, bukan ilmu, tetapi tidak
memposisikan diri agar parallel dengan gelombang Rasulullah saw. Belum jelas
tujuan dan keberadaan di muka bumi ini.
Tidak hairanlah,
saya berasa barangkali inilah antara hikmahnya mengapa Allah Azza Wajal
meletakkan surah al Baqarah itu di bahagian hadapan dalam penyusunan al Quran
meskipun ayat-ayatnya bersifat madaniyyah, mendahului surah-surah lain yang
lebih dahulu turun mengikut jalur masa, kerana mesej utama surah ini berkisar
tentang tujuan hidup manusia di muka bumi.
Setelah tujuan,
tanggungjawab dan amanah itu difahami, maka apa yang datang setelah itu adalah
untuk merealisirkan tujuan, amanah dan tanggungjawab tadi.
Problem statement
nya sudah jelas.
Kita tidak
mahu lagi merungut tentang problematikanya. Kita tidak mahu berbahas lalu
dibiarkan tergantung. Kita mahukan solusi.
Alhamdulillah
tarbiyah datang merawat kembali salah faham dan luka luka ini.
Persoalan seterusnya
adalah berkenaan untuk setia dengan tarbiyah, untuk thabat dengan prinsip ini. Sampai
bila binaan dakhili atau dalaman ini harus mengambil tempat ? Selarilah juga
dengan tema surah Ali Imran yang tema utamanya berkenaan dengan thabat.
Namun yang
itu kita cerita di lain hari.
Pokok pangkalnya,
kembali mendalami agama, beserta dengan ruhul jihad dan semangat nubuwwah
adalah menjadi tuntutan bukan sahaja buat agamawan bahkan buat setiap yang
beragama, supaya ilmu itu tidak sekadar menatijahkan tahu, tetapi membawa kita
ke dataran faham dengan ad deen ini.
Kerana ketahuilah
kebaikan paling baik kurniaan Allah swt ialah kefahaman terhadap agama
sebagaimana mafhum satu hadis yang dihafal banyak orang.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment