Showing posts with label DIARI. Show all posts
Showing posts with label DIARI. Show all posts

Wednesday, December 11, 2013

ONE WORD : NAIVE



Dari tadi saya tertarik dengan kelibat makcik tu.

Pada hemah saya umurnya sudah melewati separuh abad. Sudah dikira warga emas. Saya juga yakin dia juga bukan warganegara Malaysia. Besar kemungkinan Indonesia. Ah. Tapi dia Islam. melihatkan dia memakai tudung ariani (?) hitam. Warnanya sudah pudar. Ada tompok tompok keputihan, mungkin peluh yang tersejat, jadi tompokan garam.

Baru balik kerja.
Barangkali.


Mungkin kerja sebagai tukang sapu. Saya assume. Kerana pakaian seragamnya persis yang dipakai makcik-makcik tukang bersih, tukang sapu di kolej saya dahulu. Ditangannya ada satu beg plastic. Berisi air mineral, gula gula mungkin, dan beberapa keping wang kertas, warna biru, buat bekal beli sarapan, atau mungkin buat bekal untuk satu-satunya hidangan hari ini.


Makcik tu pakai seluar hitam. Kaki seluarnya dilipat sehingga melepasi separuh betis. Astaghfirullah. Bukan saya mahu buka aib, kalau buka aib, sebenarnya saya buka aib sendiri kerana melihat aurat. Tapi inilah kehidupan dan reality yang mahu saya coretkan.

Naïf.



Sebenarnya, waktu itu hujan lebat. Rata-rata yang berdiri di situ melipat kaki seluar mereka sedikit tinggi. Alasannya kerana air bertakung di permukaan jalan. Takut basah kaki seluar. Dan rata-rata di situ bertemankan sekaki payung. Tapi tidak saya, dan tidak juga makcik itu. Saya juga perasan, makcik tu memakai selipar getah, bukan selipar jepun, tapi getahnya yang selalu diletak dalam tanda di masjid masjid yang mewah sedikit.


Seliparnya dibahagian sudah pecah.
Bahkan saya perasan kaki makcik itu pun sudah pecah pecah


Saya perhati makcik itu. Bukan ada niat tidak baik, tapi entah kenapa. Ada aura. Melihatkan kepenatan di wajahnya, saya turut penat.

Sudah hampir setengah jam. Ya setengah jam kami tunggu. Tapi bus yang dihajati belum tiba. Sudah banyak bus yang lalu dan berhenti di hadapan kami, tapi bukan ke destinasi yang saya mahu tuju. Juga bukan yang mahu dituju makcik tadi, kerana dia terus menunggu.

Makcik itu begitu antisipasi bus bus yang datang, tiap kali ada bus yang menghampiri, dia melangkah keluar di bawah hujan, cuba cuba membaca nombor bus yang tertera pada papan elektronik. Dan tiap kali bus yang lalu bukan yang diharapkan, dia kembali undur, kembali berteduh. Terpapar kekecewaan.


Setelah tunggu punya tunggu.


Akhirnya bus kami sampai. Ya. Kami ditakdrikan menaiki bus yang sama. Mungkin ada something yang Allah nak tunjuk pada saya, getus hati kecil. Waktu itu ramai-ramai mahu naik bus melalui pintu hadapan, saya pula berjalan masuk ke pintu belakang. Saya menunggu makcik tadi. Saya berdiri di bahagian belakang.


-----
Ok kat mana dah ? Lost jap.
Tadi saya stop pergi minum air.
-----


Saya tunggu makcik tu masuk. Apabila makcik tadi sentuh kad sentuh dan pergi dia (touch and go) pada papan elektronik tu, sempat pula saya baca baki yang tertera. Saya memang pelik. Kalau tak silap bakinya ada tujuh belas ringgit lebih lebih.


Tiba tiba saya terfikir,


“Makcik ni dah makan belum?”
“Kerja apa ye?”
“Mahu ke mana agaknya dia ni?”
“Sorang sorang ni tahu jalan nak balik?”


Dan banyak lagi.

Tapi bukan itu pointnya. Usai masuk, makcik itu berjalan, perlahan, sambil berpegang pada tiang tiang dalam bus tu. Kemudian dia duduk di satu bangku. Kepenatan. Ditambah sedikit lega, setelah lama menunggu.

Itulah kisah makcik tadi.
Yang saya dapat hari ini.


Saya mula sedar, sebenarnya saya memang aware, Cuma mungkin tadi satu sepak terajang buat saya. Saya mula sedar betapa susahnya hidup untuk dunia ini. Melihat gelagat makcik tadi mendorong saya untuk   melihat ke sekeliling. Makcik tadi hanyalah satu figura dari jutaan lautan manusia di sekeliling saya yang menjalani kehidupan yang skripnya hampir sama.


Petang itu semua sudah kelesuan dan kepenatan. Semuanya sudah tidak mampu mengukir senyuman. Yang mereka harapkan, cepat-cepat la wahai bus, hantar aku pulang. Yang free hair dah tak kesah rambut macam mana. Yang pakai alat soleh pun dah tak kesah fair atau tidak. Berbau pun dah tak kisah.

Penat saya melihat kepenatan ini.

Kerana ia terlalu jelas. seolah terpampang jelas pada raut wajah satu persatu mereka, kepenatan. Kedutan dan bintik bintik hitam menceritakan segalanya.

Kepenatan ini sanggup kita semua hadapi kerana kita mahu kan kehidupan ini. Atau mungkin statement yang lebih tepat kerana hidup mesti diteruskan. Dan rata-rata kita juga berharap, dengan pengorbanan kita ini, dengan penat lelah ini, suatu hari nanti ia akan berakhir. Suatu hari nanti akan tiba waktu untuk kita rehat.

Mungkin sebilangan besar mereka yang telah penat ini memilih untuk penat kerana dunia. Dan ada juga untuk akhirat sana. Tapi pada pandangan saya yang cetek ini, kenaifan masyarakat mungkin telah menyebabkan mereka buta, dan telah memilih untuk penat dunia semata.

Entah.

Ataupun mungkin mereka ada sedikit mengharap inilah yang terbaik mereka lakukan dalam hidup, mudah mudahan akhirat nanti mereka akan diganjari. Mungkin ada yang menyangka this is how life works, I have done my part. Inilah aku, hamba Tuhan.

Naif.

Kisah makcik tadi entah kenapa, terus terusan melekat dalam kepala saya. Dan saya terus teringat akan ayat ini, sambil saya diselubungi kesedihan.


Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya?"
(QS: Al-Kahfi Ayat: 103)

Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.
(QS: Al-Kahfi Ayat: 104)


Mereka menyangka mereka sudah penat di dunia, ada bahagian di akhirat sana. Mungkin menyangka kepenatan ini, kepenatan di jalan yang diberkahi. Saya bukan mengadili. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Saya ingin berkongsi kerisauan yang menyelubungi saya.


Apa nasib mereka ?
Kerana mereka terlalu naïf.
Dan dunia… terlalu memesona


Ayat seterusnya dalam surah sama mungkin sedikit melegakan;


Mereka itu orang-orang yang kufur terhadap ayat-ayat Tuhan mereka dan perjumpaan dengan Dia. Maka hapuslah amalan-amalan mereka, dan Kami tidak mengadakan suatu penilaian bagi mereka pada hari kiamat.
(QS: Al-Kahfi Ayat: 105)



Mungkin kita kembali senang hati. Ah ancaman ini untuk mereka yang engkar, kufur. In sha Allah mereka, kita semua masih beriman. Padahal rasa senang hati inilah yang menyebabkan kita berasa kita sudah lakukan yang terbaik. Rasa senang inilah yang menjadi satu ancaman pada kita.


--------------------


Selepas beberapa tika.
Sekitar merenung ayat yang sama, saya rasa kita perlu lebih risau pada diri sendiri. Kerana mereka naïf tentang ilmu. Sedang kita yang tahu ini, apa lagi hujahnya?

Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini,

So close to us. So close.
T.T


Bayangkan kita sudah berpenat penat di dunia, dan besarlah harapan ganjaran baik menanti di akhirat sana, tup tup, semuanya tidak berbaloi. Sebab itulah, hendaklah setiap masa kita, wang ringgit kita, komitmen kita, daya fikir kita, kita sumbang pada tempatnya. Supaya berbaloi.

Sunday, December 1, 2013

MEMAKNAI 'ENOJY'



Dari seseorang yang saya baru kenali,
dan kami berdua baru cuba mengenali dakwah dan tarbiyah


“Seronok buat benda ni. Tapi sayang dapat kat sini je. Bila kita lepak lepak dengan member lain, diorang mesti ajak pergi enjoy, tengok movie, main games dan macam lagi. Tapi diorang tak tahu, benda ni pun enjoy jugak sebenarnya”


‘Benda ni’
‘Enjoy’

Tempoh hari, tangan dari batang tubuh yang sama berkongsi di muka buku, usai membaca beberapa halaman majalah JOM yang  dihadiahkan oleh sahabat beliau yang baru beliau kenali dan mereka berdua yang baru cuba mengenali dakwah dan tabiyah,

Tulisnya,


[ "Thanks for entertaining me in dakwah". Fuhh mahal ayat sorang reader ni.. Tapi cukup tepat untuk gambarkan isi hati aku sekarang.. ]


Saya memilih untuk bersyukur dan bergembira. Dan saya berharap kegembiraan ini tidak akan berakhir di sini. Namun saya akan terus mencuba untuk bersyukur. In sha Allah



Katakanlah, “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hamba Nya dan rezeki yang baik?” Katakanlah, “Semua itu bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka sahaja) di hari kiamat”

Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui
7:32


Ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil bahawa Allah tidak mengharamkan perhiasan untuk hambaNya, tidak menghalang kita untuk berhibur dan enjoy. Cuma, sering saya tertanya apakah neraca yang Allah cuba sampaikan mengenai perhiasan, berhibur mahupun enjoy sama dengan apa yang kita fahami?

Tapi kali ini, saya makin memahami maknanya.


Membaca dan cuba mentaddabur ayat cintaNya bersama teman teman seperjuangan di saat kita tahu usaha itu diperhati dan in sha Allah diganjari, bukankah itu suatu hiburan? Bangun di sepertiga malam tatkala yang lain masih tidur, hanya kita dan Rabb, mengadu dan merintih bukankah itu suatu yang menghiburkan?

Merangkak, berjalan dan berlari bersama mereka yang mempunyai matlamat yang sama dengan kita, atas panduan al Quran dan Sunnah, merempuh segala cabaran dan rintangan, mehnah dan tribulasi, ujian dan fitnah, bukankah itu suatu yang cukup menghiburkan?

Sedar bahawa kita punya tujuan hidup, bahwa kita bukanlah diciptakan sia-sia dan lebih manis kita sedang berusaha untuk memenuhi tuntutan tuntutan tersebut di muka bumi ini, bukankah itu cukup mengujakan?

Bertemu dan berjumpa, berkenalan dan bermesra dengan figura figura yang hebat, yang setiap detiknya seharian digunakan untuk menegakkan kembali ad deen di muka bumi ini, yang saban hari lelah berfikir seputar menghidupkan jiwa umat yang makin tandus dan gersang, yang hamassahnya besar, bukankah itu suatu yang cukup menyeronokkan?

Belajar mengenali ad deen ini, cuba memahami nya, cuba memenuhi tuntutannya, memperdalam sunah ar Rasul dan berusaha berjalan atas jalan sunnah, berusaha memenuhi tanggungjawab sebagai umat Muhammad dan belajar untuk mencintai baginda, apakah ada hiburan yang lebih jiwa dambakan dari itu?


Benar,


“Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui”

Hanya yang merasai, mengetahui lalu memahami.

Kita semua, perlu kembali memaknai perkataan ‘enjoy’ kerana memang tidak ada salahnya jika yang kita fahami itu berada di bawah naungan al Quran



Di lautan nikmat dua makhluk berpisah

Yang satu menyelam yang lain tenggelam

Kau tahu apa bedanya ?

-Salim a Fillah

Thursday, November 28, 2013

PERHATI DAN FIKIR SEJENAK



Ye.



Kadang kadang kita mengharapkan sedikit keajaiban dalam hidup ini untuk menguatkan kepercayaan kita. Akan ada detik detik setelah kita penat, sakit dan kecewa dengan perjuangan ini, kita merasakan ada yang tidak kena. Kadang-kadang kita rasa kita berada di tempat yang salah. Lalu kita mengharapkan tanda-tanda dari langit yang boleh menenangkan kegelisahan itu.

Bahkan,

Bahkan nabi Allah Ibrahim a.s. yang berstatus nabi itu pun mengharapkan sedikit tanda untuk menguatkan keimanan yang sudah lama terdasar. Perhatikan ayat berikut;


Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata, “Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati”

Allah berfirman, “Belum yakinkah kamu?”

Ibrahim menjawab, “Aku telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap”

Allah berfirman, “Ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu diletakkan di atas tiap tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggilah mereka, nescaya mereka datang kepadamu segera”

Dan ketahuilah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Al Baqarah:260


Lagi, Nabi Zakaria pun hairan dan berasa ragu ragu bagaimana mungkin dia yang sudah lanjut usia beserta isterinya yang berstatus mandul pada hemahnya itu bisa memperoleh anak, lalu dia pinta tanda dari Allah.

Untuk ini, kalian boleh rujuk Surah Maryan ayat tujuh hingga sepuluh.


Begitulah. Maka boleh dikatakan ianya satu lumrah atau kebiasaan bagi seseorang yang bersifat manusiawi mengharapkan sedikit tanda untuk membenarkan apa dia meniti di titian yang haq atau bathil.

Bagi orang kebanyakan juga, mereka mengharapkan tanda tanda atau keajaiban daripada agama ini. Yelah, kata agama Allah, mesti ada ciri ciri kewahyuan kepada agama tersebut. Manusia sentiasa inginkan satu sumber yang jelas, yang boleh menguhkan kekuatan dia perbatasan.

Sebab itulah apabila ada kejadian kejadian ajaib yang melibatkan Islam, manusia manusia ini bersorak riang. Amal mereka bertambah. Keyakinan mereka kian mendasar. Sembang mereka makin kenchang. Dan setelah satu tempoh yang panjang, mereka kembali ragu dan mempersoalkan kebenaran itu. Mereka mengharapkan adanya tanda baharu, adanya isu baharu.

Umpamanya, keajaiban seperti masjid yang tidak roboh tatkala tsunami melanda, awan yang membentuk kalimah Allah, sejadah yang berzikir, cahaya putih dari kota Mekah, kalimah Muhammad pada kulit tembikai dan banyak lagi, ini semua menjadi tanda tanda yang menguatkan manusia kebanyakan ini.

Alahai.

Seperkara, anehnya tanda tanda ini walau sedikit sebanyak telah menguatkan keyakinan orang kita, tapi masih belum cukup untuk mereka membuahkan amal yang bersungguh, masih gagal orang kita untuk keluar berjihad. Masih perlahan perkembangan dakwah kita. Seolahnya, tanda tanda itu langsung tiada membawa erti.


Di zaman Rasulullah, tidak pula kedengaran tanda tanda ajaib ini. Tiada dalam mana-mana riwayat, hadith atau seerah tanda tanda seperti di atas. Tapi para sahabat terus menerus menawarkan jiwa mereka untuk kelangsungan agama ini. Medan jihad menjadi tempat transaksi antara manusia dan Allah, tempat membeli syurgaNya.

Ketahuilah pena telah diangkat dan lembaran telah kering.

Sebenarnya, al quran, cukuplah ia sebagai tanda kebesaran Allah. Cukuplah al quran itu meneguhkan hati kita, menguatkan keyakinan kita. Usahlah kita mengharapkan perkara yang remeh dan temeh.

Bahkan dalam banyak ayat al Quran Allah telah menjelaskan tanda tanda kebesaranNya. Namun, kebiasaanya ayat ayat ini diakhiri dengan persoalan, apakah kamu tidak memikirkannya ? apakah kamu tidak memerhatikannya?


Inilah kelemahan kita.

Gagal memerhati dan berfikir.


Sekarang berbalik kepada kita kita yang berasa lemah dan ragu, apa tandanya kita berada di jalan benar? Apakah orang-orang dalam tarbiyah, yang sudah meniti di jalan dakwah masih mengharapkan turunya gula gula dari langit ? Atau masih menuggu kalimah kalimah ini tumbuh atau terukir ada tanam-tanaman.

Alangkah!

Quran juga telah menjelaskan tanda untuk ini,


Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa itu Kami pergilirkan di antara manusia dan supaya Allah membedakan orang orang yang beriman supaya sebahagian kamu dijadikanNya syuhada’.

Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

Dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang kafir.
(Ali Imran 140-141)


Istiqomah. Kekalnya atau, masihnya kita atas jalan ini atas pilihan Allah, bermakna in sha Allah kita masih di jalan yang benar. Jika kita hadhir sekadar merosakkan saf saf orang beriman, tidak mustahil bahkan pasti Allah akan menarik balik hidayah dan taufiik ini.

Maka saudraku,

Masihkah kau ragu?

Atau sebenarnya kita juga gagal berfikir dan memerhati ?


Thursday, October 17, 2013

AL FALAH



Begini.

Secara umumnya saya berasal daripada sebuah keluarga yang hidup cukup terancang. Apa yang berlaku dalam hidup kami, sejak dari nenek, pakcik makcik, sepupu sepapat semuanya seakan berlegar di sekitar plan jangka masa panjang yang telah ditetapkan. Ewah.

Terutamanya apabila perancangan masa depan ini berkaitan dengan kerjaya. Dan termasuklah bab kahwin, bina rumah dan sebagainya. Namun, apabila tiba-tiba yang berlaku jauh diluar perancangan, semua akan panic dengan masa depan. Apabila yang berlaku jauh menyimpang daripada rancangan asal, seolah olah dunia sudah berakhir.

Soal kerjaya,

Apabila terkeluar dari trek asal, mulalah isu cerah atau gelap masa depan dipersoal. Soal berjaya atau tidak dijadikan isu. Seolahnya apabila terkeluar dari plan asal, sudah tidak lagi ada harapan. Musnah.



--------------------------


Bercakap soal berjaya, ianya suatu yang sangat subjektif.

Bagaimana ‘berjaya’ itu ditafsirkan bergantung kepada posisi individu atau entiti tersebut. Dalam mentality orang kita biasanya berjaya berkait rapat dengan kerjaya. Kalau seseorang itu memegang jawatan yang hebat, maka dia berjaya la jawabnya. Itu pun masih bergantung kepada posisi asal mereka.

Kalau yang bercakap itu dari masyarakat kelas biasa, mungkin biasa sahaja takrifan kejayaan bagi mereka. Kalau yang asal dari lingkungan masyarakat yang memang melihat kejayaan itu dari segi kebendaan, maka itulah neraca pertimbangan mereka.

Tapi bagi kita umat Islam, ada satu takrifan ‘berjaya’ yang sangat jelas yang telah diperincikan oleh Allah s.w.t dalam al Quran.


“Sungguh berjayalah orang-orang yang beriman”
(Al Mu’minun:1)


Ringkas.


Pertamanya orang beruntung atau berjaya itu ialah orang orang yang beriman, yang mana ciri ciri mereka diterangkan dengan jelas dalam ayat-ayat seterusnya. Namun dalam ayat ini, erti kejayaan masih samar sehinggalah kita ke ayat berikut;


“Mereka itulah orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”
(Al Mu’minun:10-11)


Berjaya yang cuba Allah terangkan (pada fahaman saya) ialah mereka yang mewarisi Firdaus, bukan calang-calang, syurga yang paling tinggi tingkatannya.


Perhatikan dalam ayat ini Allah tidak menggunakan frasa “Mereka akan masuk Syurga” tetapi menggunakan perkataan “Mewarisi”. Seolahnya, sekiranya syurga itu ada geran pemilikan, maka nama pemilik itu ialah mereka yang berjaya tadi.

Apa bezanya?


Kita tahu, semua orang yang beriman dengan Allah akan masuk syurga, tapi belum tentu terselamat daripada jilatan api neraka. Tapi apabila seseorang itu telah pun diiktiraf akan mewarisi syurga, dapat kita simpulkan mereka ini bila-bila masa sahaja boleh masuk syurga, tak perlu singgah ke neraka dahulu.

Secara tuntasnya,

Erti kejayaan yang sebenar adalah apabila seseorang itu dapat masuk ke syurga tanpa disentuh oleh api neraka. Itulah kejayaan yang sebenar. Itulah sepatutnya erti kejayaan yang kita semua, umat Islam patut hadam dan imani.


Persoalannya,

Nah, sekarang kerjaya apa yang dapat menjamin kejayaan ini?


( __________________ )

Saya tinggalkan ruang kosong di atas untuk anda isi.

Tapi masih, pemikiran kita masih berlegar dengan erti kejayaan yang bersifat duniawi, material semata. Mesej tulisan ini bukanlah bererti tak usah belajar, tak usah merancang, tak usah ikhtiar, tidak sama sekali, tapi anda faham maksud saya bukan ? -,-


Apa apa pun, sampai hari ini, kita yang kononnya nak membawa agenda Islam terpaksa menolak ketepi takrifan ini kerana tidak selari dengan sisi pandang masyarakat. Saya tidak kisah kerana besar manfaatnya buat dakwah ini, namun janganlah mereka yang berada dalam system tarbiyah turut memandang serong orang-orang yang telahpun ‘gagal’ pada mata masyarakat am.


Bahkan sebenarnya, tidak ada istilah kegagalan,
Yang ada hanya keputusan.


-Inspector Saahab

Sunday, September 29, 2013

SPECIAL EDITION : MASA DEPAN



Hidup kita ni ibarat memasak nasi lemak. Hakikatnya semua orang tahu bagaimana rupa nasi lemak. Hampir semua tahu bagaimana memasaknya, apa bahan-bahanya. Tapi sekiranya tiap tiap daripada kita diberikan bahan bahan tersebut dan disuruh untuk menghasilkan satu hidangan nasi lemak nescaya hasilnya berbeza. Rupanya mungkin sama, tapi rasa berbeza.


Cewah.

“Life is about making decision”

Begitulah kata-kata Pensyarah Ekonomi saya. Sering kali beliau ukap kata-kata ini dan mengklaimkan bahawa quotation itu dia yang punya. Ceh. Padahal sebelum  mengenali beliau, dah lapan belas ratus kali saya dengar ayat serba ringkas tapi cukup bermakna ini. Tapi takpelah.

Namun, betullah. Life is about making decision.

Setiap daripada kita telah banyak kali berhadapan dengan kondisi di mana kita harus membuat keputusan untuk terus ke hadapan. Kerana hidup juga ibarat percaturan buah catur, jika anda gagal membuat pilihan untuk mengorak langkah, anda tak akan ke mana. Ok bapak skema.

Pin point malam ini, ada keputusan yang kita buat biasa-biasa sahaja. Contoh nya dinner malam ini di mana, nak makan apa, pakai baju apa. Seolah-olah kita tidah merasai bahawa setiap tindakan itu satu pertimbangan.

Pada waktu yang sama, ada keputusan yang sangat berat yang harus kita lakukan.

Siang malam memikirkan keputusan tersebut. Kerana keputusan ini bakal mencorakkan masa depan kita. Masa depan kita semestinya bersama Islam. Ramai yang mencanang slogan kata ini, masa depan di tangan Islam, tapi sejauh mana kita merancang untuk memastikan keputusan kita yang getir itu untuk Islam?


Ok berbalik kepada membuat keputusan untuk masa depan.

Sebagai seorang duat, membuat keputusan yang tepat untuk masa depan dia dan dakwah adalah sangat penting. Bahkan, Islam sangat mengutamakan umatnya cakna dalam merancang masa depan. Mengambil contoh seruan dalam ayat berikut,


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan.
(Al Hasyr:18)


Mind you, permulaan ayat ini Allah merujuk kepada orang-orang yang beriman! Lantas memberi satu makna bahawa orang beriman merancang masa depannya. Orang yang sekadar go with the flow, watlek watpis, perlu menyemak balik status dirinya. Ah pedas.

Seterusnya dalam ayat yang sama, sebelum bercakap tentang persiapan hari esok, Allah menyeru kita untuk bertakwa kepada Allah ! Pada fahaman saya, inilah kunci neraca pertimbangan kita dalam membuat keputusan. Keputusan kita perlu didasari takwa. Takwa kepada Allah datang terlebih dahulu, mendahului kemahuan diri, kehendak masyarakat dan harapan orang terdekat.

Semasa memetik ayat ini, sebenarnya saya tidak berniat untuk menghurai panjang, tapi baru sebentar tadi terlintas di fikiran saya. Ayat ini sangat dekat dengan apa yang akan saya kongsi nanti. Dan pada hari yang mendatang in sha Allah.

Bertakwa la kepada Allah.


Dan hendaklah setiap kita memerhati apa yang telah kita lakukan untuk hari esok. Hari esok boleh jadi literally esok, atau minggu depan, atau lepas tahun baru Cina, atau setelah kita menemui ajal, dan mungkin juga merujuk pada hari kebangkitan. Hari esok.

Mesejnya seolah, pastikan kita bersiap untuk berhadapan dengan hari esok. Pastikan keputusan kita hari ini berbaloi. Selari dengan apa yang kita hajati untuk hari esok. Berguna untuk hari esok di dunia dan selayaknya berguna untuk di akhirat sana.

Persoalannya di sini,

Apakah keputusan, yang telah kita ambil, di mana kita berada di saat ini telah kita ambil kira dasar takwa dan berguna untuk hari esok?

Dan setelah itu, sekali lagi ada seruan untuk kita bertakwa kepada Allah. Nah! Dua kali seruan takwa dalam satu ayat. Pasti ada mesej yang sangat besar. Supaya kita tetap berada di jalan yang kita ambil dengan takwa.

Kerana tidak mustahil ada orang di permulaanya, yang dia nampak adalah ketakwaan, keputusan yang diambil didasari takwa, dan berguna untuk hari esok di dunia dan di akhirat. Namun lama kelamaan, yang kelihatan hanya hari esok di dunia semata. Seolah hari esok di akhirat nun terlalu jauh untuk difikirkan, dan takwa lantas diletak ketepi.

Allah!

-------------

Ok dan sekarang saya akan kecilkan skop perbincangan dalam konteks membuat keputusan untuk menspesifikasi padang (field) pembelajaran dan membina karier.

Saya secara peribadi baru sahaja melalui fasa membuat pilihan ini. Besarlah harapan saya agar fasa itu sudah berakhir. Namun apa pun boleh jadi selepas ini. Pada waktu itu, untuk mengambil keputusan yang demikian rupa, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Minat (nafsu), cita-cita kononnya, ibu bapa, sanak saudara, lapangan dakwah dan sebagainya. Nampak tak dakwah di tangga terakhir. Tolong jangan jadi macam saya.

Saya tidak pasti waktu itu adakah pertimbangan tersebut didasari takwa.
Saya juga tidak pasti apakah penafsiran “hari esok” dalam minda saya pada waktu itu.


Oh tidak, saya hampir pasti, “hari esok” yang saya nampak adalah bagaimana dengan kerja saya nanti, gajinya mencukupi atau tidak, boleh tanggung kos sara hidup, adakah saya akan menganggur nanti, nanti siapa la nak kahwin dengan saya kalau jadi itu dan ini. Ah! Terlalu duniawi “hari esok” saya.

Yang mendominasi kerungsingan, sudah pasti sama ada saya boleh survive atau tidak dengan kerjaya ini, financially. Fhew.

Tapi bila saya baca ayat Quran di atas, seolah olah ia membuka dimensi baru. Walaupun keputusan telah dibuat, takwa masih masih boleh dicari. Dan hari esok belum pasti, masih boleh diusahakan. Jika kita benar-benar tekad atas jalan ini atas dasar takwa, apa lagi yang harus saya khususnya risau, bukankah ini tips dari Allah sendiri?


Dan bagi para duat, apa pun bidang yang kita pilih, kita sebenarnya tidak pernah menganggur. Kerana dakwah adalah kerjaya kita. Kita akan menganggur jika kita tinggalkan dakwah ini.


“Jika tiada dakwah, maka menganggurlah para nabi”
-Kata seorang sheikh


Bagi anda yang telah membuat keputusan, renunglah sejenak. Takrifkan “hari esok” anda dengan baik.

Bagi yang belum membuat, atau bakal membuat keputusan, ambillah iktibar.


Dan setelah itu saudaraku,

Bertakwalah kepada Allah !