Showing posts with label AKHI. Show all posts
Showing posts with label AKHI. Show all posts

Thursday, August 13, 2015

AKHI FILLAH #3

Tadabur sepetang, bersama akhi Fillah.


Sebelum itu, kami ingin mengungkapkan kembali satu kata kata keramat yang diucapkan oleh Amirul Mukminin, Umar al Khattab r.a suatu ketika dahulu seputar menikmati kata-kata yang baik dari akh Fillah kita. Ujar beliau;

“Seandainya aku tidak berjuang di jalan Allah, atau meletakkan keningku di tanah kerana sujud kepada Allah, atau duduk semajlis dengan suatu kaum yang suka memungut perkataan baik sebagaimana mereka memungut buah masak yang terjatuh, tentu aku lebih suka mati sahaja menghadap Allah”

Begitulah bernilainya al-akh di sisi generasi awal agama ini, generasi salafu soleh. Duduk duduk bersama al-akh, dan memetik kata-kata yang baik daripada mereka persis petani menuai hasil tanaman, merupakan salah satu nikmat dunia bagi mereka.

Sheikh kita yang lain pula berkata seputar kata-kata yang baik;

“Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, melalui ungkapan lidah seorang yang peramah dan berbudi”

-Muntalaq


Adunan yang cukup indah dan mempersonakan. Tidak perlu kita berlebih-lebih lagi dalam menghuraikannya. Ia dapat dihadam dengan sekali renungan. Ia terus menerjah masuk ke pintu kalbu dan menginsafkan kita. Di akhirnya, ego kita dijinakkan dengan persoalan, bagaimana kata katamu seharian akh? Bermanfaat ? Atau muslim yang lainnya tidak sejahtera dengan lisanmu?
Allah!


Tadabur kita.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya…”

(Al Kahfi :28)

Akhi Fillah,

Allah swt mulakan ayat ni dengan satu feel amar. Satu arahan. Wasbir. Jika tiada huruf wau tu, ia jadi isbir! Bersabarlah !

Sabar. Selalu kita dengar sabar dituntut dalam dua perkara.  Sabar dalam ketaatan kepada Allah dan sabar dalam menjauhi maksiat.  Sabar untuk terus taat, beribadah kepada Allah tatkala pelbagai ujian, godaan dunia mendatang, kita terus sabar. Keduanya, sabar untuk menjauhi larangan-laranganNya meskipun ia menarik mata kita, meskipun teruji shahwat kita, meskipun hampir kesemua orang di sekeliling kita melakukannya, kita dituntut sabar untuk menjauhi.


Menariknya, kali ini Quran mengajak kita melihat sabar dari dua sudut,  secara individu (nafsaka) dan collective (maaladzi)

Sabar ni hanya salah satu daripada berpuluh bahkan beratus ciri wajib ada pada sang daie.  Dan semua elemen ni, sebelum datang secara kolektif,  ia datang dari individu.  Dari diri kita.  Kemudian dibaiki dan dipercantik dalam komunitas, dan perkumpulan, dalam hidup berjemaah.

Berkomunitas. Berjemaah.

Sedar tak sedar,  manusia ni tidak dapat lari dari hidup berjemaah.  Kita perlukan orang lain untuk memenuhi keperluan hidup kita. Nak makan, nak kerja,  dapatkan rawatan kesihatan, menyekolahkan anak, baiki kereta, basuh baju di kedai dobi dan sebagainya.  Mustahil boleh hidup seorang. Cuba tengok dalam smartphone kita, bape puluh group what’sApp kita join. Kalau satu semester kita mengikuti tujuh subjek kuliah, paling kurang ada tujuh la group. Itu baru untuk pendidikan. Belum lagi ambil kira group group lain. Group taman perumahan, ajk surau, team bola, team badminton, rakan sekerja, kawan lama peringkat rendah, peringkat menengah, di universitas dan sebagainya. Ok banyk la point is.

Itu dah dikira community,  collective.  Busuk busuk pun organisasi ini, ada juga admin seorang mahupun dua. Meskipun ada dalam kalangan ahli group ini ada yang claim tidak suka pada jemaah, anti kepada keramaian, sedar tak sedar dia sendiri hidup berkomuniti. Nah!

Tetapi community yang bagaimana justeru kita perlu bersabar bersama ?

Kerana di luar sana ada begitu banyak sekali jenis jenis komuniti, yang matlamatnya bermacam-macam, hala tuju nye berbeza, topic perbincangan yang beragam bahkan ada yang bemanfaat dan tidak kurang juga yang memudaratkan. Kalau dalam kumpulan kumpulan manusia yang sering berbicara menggunakan kata-kata kesat dan berbicara perkara yang tidak senonoh, gossip gossip artis, memaki hamun pemimpin yang tidak disukai bahkan ada yang lebih teruk daripada itu, adakah kita digesa bersabar dan bersama mereka juga?


Allah jelaskan dua ciri cirinya. 

Pertama; "Yang menyeru Tuhan mereka di pagi dan senja hari.."

Perkataan 'yad'uu' didatangkan dalam bentuk fiil mudari' iaitu bentuk present and present continuous tense, sudah cukup menggambarkan betapa mereka terus menerus menyeru Tuhan.  Tetapi Allah tambahkan lagi rasanya dengan frasa di pagi dan senja hari.

Seolah olah komuniti yang di maksudkan adalah yang terbaik dalam menyeru tuhan mereka. Sepanjang masa.  Siang dan malam. Pagi dan petang. Wujudkah orang yang mengingati Allah, berzikir, berdoa, menyeru dan berdakwah kepada Allah dengan kadar kekerapan ini? ! Kedengaran mustahil di situ.

Ciri kedua ialah yang mengharapkan keredhaan Allah. ‘Yuriduna wajhahu’ . Sekali lagi Allah menggunakan perkataan berbentuk fiil mudhori’, yuriduuna, sentiasa berkehendak, terus menerus. Wajhahu pula secara literal bermaksud memalingkan wajah kepadaNya. Bertawajjuh kepada Allah.  Hidupnya menghala kepada Allah. Orientasinya ialah Allah.  Ghayahnya ialah Allah.  Allah semata-mata dan tiada yang lain. Allah adalah matlamat mereka.

Akhi Fillah,

Ciri kedua ini seakan sukar untuk terpenuhi. Bahkan ciri pertama juga. Orientasi hidup menentukan siapakah kita. Dan kita sering kali akan bersama, berkomuniti, memilih untuk rapat bersama dengan orang yang memiliki orientasi hidup, obsesi dan kesukaan yang sama dengan kita. Kita lebih senang bergaul dengan orang yang ‘sekepala’ dengan kita. Bak kata para saintis, ‘ada chemistry’

Akan tetapi, Allah menjelaskan bahawa jenis kepala, geng mahupun kumpulan yang berorientasikan Allah lah yang patut kita sabar, dan terus bersama mereka.

Mahal sungguh perkumpulan ini.  Seakan mustahil untuk wujud.

Akan tetapi Akhi Fillah,

Agak pelik bila Allah menyuruh kita bersabar dengan mereka yang diperincikan seperti di atas. Ironi. Sesempurna komuniti macam tu pun kita kena sabar ? Seakan ada satu pengajaran yang mahal buat kita, kepada duat ilaLlah yang memilih untuk bergerak dan menjalani kehidupan ini secara kolektif, bahawa betapa cemerlang mana pun sesuatu kumpulan manusia itu, akan ada cacat celanya.

Kerana sebenarnya tiada ada satu kumpulan manusia pun yang sempurna dan dapat memenuhi kehendak kita.  Maka kita diminta utuk sabarkan diri kita dan bersama mereka. Kita lah barangkali orang-orang yang berangan untuk jadi komuniti tersebut. Yang terus menerus menyeru,  berdoa dan berdakwah ilaLlah dan yang menjadikan Allah orientasi hidup.

Tetapi ada cacat cela kita, yang sama-sama kita kena sabarkan diri untuk terima, berlapang dada dan bantu. Ada dalam kalangan kita yang mungkin nak uruskan pakaian dalam pun tak lulus,  bersabarlah. Seteruk mana pun ikhwah kita,  inilah kumpulan manusia yang terbaik yang kita boleh dapatkan, untuk bersama, bersabar di jalam dakwah.

Allah swt akhiri ayat ni ;

“..Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”
Pengajaran yang sangat bermakna di jalan dakwah.

Ia menyentak kita untuk sedar. Harapan yang terlalu tinggi yang kita letakkan kepada rakan rakan kita, dai di jalan Allah itu dan mengharapkan kesempurnaan daripada mereka sering kali membuatkan kita kecewa dan kecundang. Tidak sedikit bahkan, yang meninggalkan jalan dakwah kerena kecewa di tangan al-akhnya.

Akhi Fillah,


Di hadapan kita adalah manusia yang tidak lebih dan tidak kurang seperti kita. Terimalah kepelbagaian ini, berjalanlah bersama, baikilah cacat cela itu dari masa ke masa dan bergembiralah kerana inilah kumpulan yang Allah maksudkan. Meskipun masih jauh untuk memenuhi standard piwaian al-Quran yang seakan tidak tercapai itu, sekurang-kurangnya dengan kumpulan ini kita jauh lebih terjaga dan terpelihara daripada godaan dunia, shahwat, panahan setan dan kumpulan kumpulan manusia yang telah pun lalai hati mereka.

Dekaplah perkumpulan mu itu, bersabar bersama mereka jauh lebih baik dari dikau bersendirian akhi. Beginilah di jalan dakwah, kita memetik nasihat dari al-Quran lalu kita mantapkan rabithah kita dan tetapkan derap langkah, terus maju bersama deru dakwah!


Thursday, July 23, 2015

AKHI FILLAH #2

Akhi Fillah,



Siapalah yang masih memilih untuk setia bersama kami, merenung ke dalam diri, mempelajari apa yang dijahili, meluaskan upaya fikir, meninjau sekitar ayat Quran dan nasihat tarbawi yang ringkas. Siapalah yang masih memilih untuk setia dengan tazkirah ringan, bahan-bahan halaqah, perkongsian tarbawi, isu kemurabbian dan picisan picisan yang seakan-akan tidak membawa kita ke mana-mana. Siapalah yang masih memilih untuk setia dengan tarbiyah,mengidupkan kembali al Quran dalam jiwanya dan orang lain, membacakan kitab kitab terdahulu dan berbicara soal pembinaan rijal. Siapalah!

Tatkala semakin ramai, meskipun dari kalangan kita yang terpikat dengan isu, tergoda dengan berita sensasi dan gossip panas, cair dengan pergolakan politik yang mengiasi halaman depan akhbar tempatan mahupun antarabangsa, menjuarai carta teratas senarai berita panas dan terlaris. Seakan begitu ganjil, sumbang dan tidak releven suara suara kita ini. Alangkah!
Pun begitu ini bukanlah entry kecewa, putus asa, rasa tiada harapan, murung dan sebagainya kerana harapan sentiasa ada. Er.


Firman Allah swt;



“Wahai manusia! Kamulah yang faqir (memerlukan) kepada Allah, dan Allah Maha Kaya (tidak memerlukan) lagi Maha Terpuji”
(Fatir , 35:15)


Tidak mengapalah jika golongan ini yang sedikit. Bukan keramaian yang kita harapkan. Bukan kemeriahan yang kita harapkan. Bukan sambutan yang kita harapkan. Bukan popularity yang kita harapkan. Bukan masyhurnya berita berita tarbiyah yang kita harapkan. Bukan kuatnya sokongan dan dokongan manusia menyebut-nyebut nama kita yang kita harapkan. Kerana sungguh kita adalah hamba yang faqir dan mengharap kepada Allah swt semata-mata.

Sepotong ayat yang ringkas ini, membuatkan kita insaf. Ia melunturkan ego dan somehow memberi motivasi untuk tegar, untuk istiqomah, maju dan mara ke depan, bersama nadi dakwah, di tangan kanan kita al Quran dan di tangan kiri kita as sunnah, terus berjalan menebarkan cahaya dan kita hanya berharap kepada Allah swt.


Allah swt pula on the other hand, tidak pernah mengharap dan berhajat kepada kita mahupun sesiapapun. Allah Mahakaya dan Mahaterpuji. Jika seluruh manusia di muka bumi mempunyai sekeping hati yang kufur, tidak membenarkan Keesaan Allah swt, sedikit pun tidak akan mengubah hakikat ini. Jika seluruh manusia mempunyai iman seperti firaun yang hanya beriman di saat nyawa sudah  di kerongkong lantas baru berkata, ‘amantu bi Rabbi Musa’, ia tidak memberi apa apa kesan kepada Allah swt. Allah MahaKaya, tetap kaya, Mahaterpuji dan tetap Terpuji meskipun hambanya yang hina dina ini sunyi daripada memujiNya.


Akhi Fillah,


Dan sesiapa yang masih memilih untuk setia atas jalan ini, marilah kita kembalikan suasana tarbiyah dan dakwah itu. Hidupkan ia tatkala kita bersendirian atau beramai-ramai. Hidupkan ia tatkala kita kuat mahupun lemah. Hidupkan ia tatkala kita didekati mahupun dimusuhi. Hidupkan ia tatkala kita disanjung mahupun dicerca. Hidupkan ia tatkala kita kelapangan waktu atau kesibukan. Tatkala kita miskin mahupun kaya, sihat mahupun sakit, senang mahupun susah, terasa berat mahupun ringan, hidupkanlan. Sementara kita masih hidup dan punyai kesempatan.

Dan tatkala kita mati meninggalkan dunia yang fana’ ini, pastikan suasana dakwah dan tarbiyah terus hidup dan mengesani orang lain.


Bestnya tulis dan cakap, pesan dan nasihat, tetapi untuk put the words into practice, hanya Dia yang tahu betapa susah atau betapa kita beralasan kan.


Wahai orang yang faqir!

Bukankah engkau faqir dan mengharap daripada Allah swt ?

Sunday, July 12, 2015

ENGKAU BUKAN YANG DAHULU!



Engkau yang dahulu bukan yang sekarang.

Begitulah kurang lebih keratan lirik lagu yang dimainkan di corong radio tempoh hari. Ia tidak berada di carta yang teratas mahupun yang di bawah. Pasca Muktamar PAS yang penuh dengan kontroversi tempoh hari ini, penyanyi veteran Negara yang mula berkecimpung dalam arena politik mendedikasikan lagu ini buat PAS, merujuk kepada PAS yang kini bukan yang dahulu. Sudah pasti ada mesej tersembunyi yang Makcik Aishah mahu sampaikan.

Kita tinggalkan Aishah, PAS dan Muktamarnya.

Bahkan manusia pun berubah. Hari hari kita berubah. Perubahan adalah wajib berlaku. Saban detik dan saat, cell cell baharu terhasil daripada hasil proses mitosis, menggantikan cell lama yang mati. Gabungan cells yang banyak ini membentuk tisu yang baharu, lebih segar dan menghidupkan untuk fizikal makhluk yang bernyawa.

Pokok yang baru tumbuh dari semaian biji benih pun mengalami perubahan fizikal. Jika semalamnya akarnya berukuran 5 milimiter, barangkali sudah bertambah hari ini, seterusnya untuk esok dan hari berikutnya.

Bahkan al Quran dahulu telah menyampaikan berita ini kepada kita;


“Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Tetapi wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal”

(Ar Rahman : 26-27)


Tidak dapat disangkal lagi akan perubahan perubahan yang berlaku. Yang perlu kita renungkan sejenak di sini, rugilah orang yang fizikalnya berubah, makin berisi, makin sehat, kehidupan makin baik dengan nikmat nikmat kurniaan Allah swt, gaji bertambah angkanya, tetapi spiritually tidak ada perubahan. Lewat ibadah ibadah khususnya, hanya pergerakan pergerakan kosong.

Sungguh, ia memuhasabahi kita!


Tinggalkan sejenak muhasabah yang ringkas ini.

Khowatir Surah Ali Imran

Tekanan hidup yang makin dahsyat setelah hijrah ke Madinah serta adanya ujian ujian bentuk baharu menyebabkan ada isu perubahan prinsip, akidah dan pegangan berlegar legar dalam kalangan masyarakat Muslim Madinah semasa zaman Nabi SAW. Begitulah khulasah Syed Quttb lewat menafsirkan secara kasar Surah Ali Imran sebelum perbicaraan ayat ke ayat. Ataupun boleh kita katakan itulah yang difahami penulis tatkala menyelusuri karya Syed Quttb itu.


Usai perang Badar al Kubra yang menghadiahkan harta rampasan yang sangat dahsyat buat para sahabat yang rata-ratanya berlatar belakangkan orang susah, miskin dan membutuhkan keperluan hidup itu, sedikit sebanyak prinsip dan perjuangan kaum Muslim tergoyahkan. Itulah kali pertama ‘dunia’  dibuka dan dihamparkan di depan mata mereka. Sehingga ada yang bertanya tanya soal pembahagian harta rampasan perang, seolah olah tidak ada topik lain yang patut dijadikan bualan.


Kemudian, kehidupan di Madinah merupakan titik mula interaksi besar besar-besaran Masyarakat Muslim dengan kaum Yahudi. Interaksi dengan Yahudi dalam kehidupan seharian di Madinah pada tahun tahun terawal pasca Hijrah sungguh menguji iman dan prinsip mereka. Yahudi yang begitu licik itu, dikatakan tidak henti henti melancarkan kempen dan propaganda untuk mensaiko muslim untuk meragui kepercayaan mereka.


Isu kenabian, peralihan kiblat dan sebagainya dijadikan modal politik mereka. Sebagai respon kepada pertarungan pemikiran, psiko war yang sangat dahsyat ini, banyak kali teguran teguran keras terhadap Ahli Kitab disisipkan sepanjang Surah Ali Imran. Ia memberi gambaran betapa ter-efeknya kaum muslimin terhadap kempen Yahudi ini sehingga teguran teguran dari langit turun untuk menyelesaikan isu dan konflik ini.


Tidak cukup dengan itu, kaum muslimin diuji pula dengan peristiwa peperangan Uhud yang secara kesimpulannya boleh kita katakan Kaum muslim mengalami kekalahan dan moral mereka begitu teruji. Ramai sahabat yang besar dan utama syahid dalam peperangan tersebut. Termasuklah penghulu syurga, Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. bapa saudara Nabi SAW sendiri.


Cukuplah pakej ujian ini untuk menggoyahkan prinsip umat Islam daripada generasi terbaik itu. Lebih lebih lagi bagi yang baru sahaja memeluk Islam, yang masih belum mantap fikrah dan iman mereka.

Maka turunlah Surah Ali Imran di sepanjang tahun tahun terawal pasca Hijrah Madinah untuk menyelesaikan isu isu ini, dan mengubati para sahabat, yang sama ada terkesan secara kepercayaan mahupun pola fikir mereka.


Mungkin, mungkin ada yang sudah berubah pada waktu.

Barangkali ada yang sudah menyanyikan bait lirik tadi;

‘Engkau yang dahulu, bukan yang sekarang…’


Sehinggakan di pertengahan Surah, Allah swt mengingatkan kita semua akan satu perkara yang sangat besar. Perkara yang sudah mungkin dilupai oleh muslim Madinah setelah melalui kehidupan yang beragam setelah hijrah Madinah, juga yang mungkin telah dilupai oleh sebahagian besar daripada kita hari ini, yang sudah beberapa tahun melewati usia tarbiyah.


Sengkang waktu yang lama, perjalanan hidup yang makin berliku dalam usaha memenuhi tuntutan shahadah kita, dengan bisikan bisikan dunia yang datang dalam pelbagai bentuk yang kadang kadang tampak islami, barangkali kita sendiri sudah pun berubah, dari segi prinsipnya. Mungkin juga perubahan ini langsung berlaku kerana kekecewaan di jalan dakwah, kerana konflik sesama ahli gerakan islam dan kerana masalah masalah dalaman yang tidak menemukan titik penghujungnya.

Bahkan ia benar benar berlaku!

Allah swt mengingatkan kita semua akan sebuah perjanjian, mithsaq…!


“Dan ingatlah ketika Allah mengambil (mithsaq) perjanjian dari para nabi, “Sungguh apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya”

Allah berfirman, “Apakah kamu berikrar dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?” Mereka menjawab, “Kami berikrar”. Allah berfirman, “Kalau begitu saksikanlah dan Aku menjadi saksi bersamamu”

(Ali Imran :81)


Dalam karya Muntalaq, Sheikh Ahmad Rashid memberi komentar berikut seputar ayat ini,
Nabi Ibrahim a.s, Musa a.s., Isa a.s. dan seluruh para nabi a.s. telah mengambil bai’ah dari orang yang beriman dengan mereka supaya beriman dan membantu Muhammad saw menghadapi kufur jika sekiranya Nabi Muhammad diutuskan dan mereka masih hidup

Beliau turut sempat menukil kembali kata kata Ibnu Abbas r.a. tentang ayat ini;

‘Setiap kali Allah mengutuskan seorang nabi, Dia mesti mengambil perjanjian bahawa sekiranya Allah mengutus Muhammad saw, nabi itu mesti beriman kepada nabi Muhammad saw dan menolong baginda. Allah juga menyuruh nabi itu meminta umatnya berjanji sekiranya Muhammad saw diutus di zaman mereka hidup, mereka juga mesti beriman kepada Muhammad saw dan mesti menolong baginda saw’


Oleh itu, kita sebagai pewaris dan sebahagian daripada umat Nabi Muhammad saw pada hari ini adalah lebih wajib, lebih patut dan lebih utama memberikan perjanjian tersebut.


Perjanjian untuk beriman dan membantu Nabi SAW. Membantu meneruskan tugas tugas kenabian, membantu melaksanakan mesej dakwah di muka bumi ini.

Untuk menambahkan lagi perisa ayat ini,

Perhatikanlah, perkataan ‘mithsaq’ digunakan. Ada beberapa perkataan lain dalam bahasa Arab yang boleh membawa maksud perjanjian. Tetapi  perkataan mithsaq adalah yang paling tempat untuk keadaan ini kerana membawa kesan yang dalam, sesuai dengan mesej yang sangat besar. Ia bukan sekadar perjanjian biasa-biasa. Bukan janji temu untuk berjumpa dengan fulan dan fulanah di sekelain tempat. Bukan sekadar perjanjian dalam proses jual beli, tetapi berjanji untuk melaksanakan satu amanah yang sangat berat, besar dan dahsyat. Satu amanah yang tidak dapat dihuraikan dengan mana-mana kosa kata.

Sebagaimana orang Melayu menggunakan perkataan watikah, alih bahasa daripada perkataan mithsaq, untuk memberi amanah pelantikan kepimpinan kepada seseorang untuk menerajui mana-mana organisasi, begitulah ruh perkataan mithsaq, bahkan lebih tinggi tingkatannya. To place trust in anyone. Frasa simple nye begitula.

Lihatlah betapa bermakna dan memberi kesannya ayat ini. Dan ia dibawakan dalam surah Ali Imran ini, setelah kita berbicara tentang bentuk bentuk ujian yang dialami oleh kaum Muslim Madinah. Allah menyentak kita semua untuk kembali mengingati perjanjian yang telah diambil, amanah yang telah diletakkan pada kedua bahu kita dan mengingatkan kita akan prinsip prinsip islam yang kita pernah laung-laungkan sebelum ini.


Akhi Fillah,

Mari lah kita kenang-kenangkan kembali siapa kita. Bagaimana kita bermula, bagaimana episod episod awal, detik detik awal kita bersama gerabak tarbiyah dan dakwah. Luangkan sedikit masa untuk merenung amal amal kita sepanjang kita berada atas jalan ini dan lihatlah ke dalam diri kita hari ini. Apakah kita masih berpegang teguh dengan prinsip prinsip yang diajarkan dalam halaqah kita dahulu.

Setelah setahun, dua tahun, tiga tahun bahkan puluhan tahun bersama halaqah, adakah kita masih berada di lapangan amal dan melakukan kerja kerja membina manusia, mencari individu yang terbaik untuk dibentuk dalam halaqah? Kita yang dahulunya tidak penat dan lesu berkongsi tentang keterujaan melakukan kerja kerja mentaqwin manusia, mentarbiyah, hadir ke halaqah mingguan dan program program tarbawi, adakah kita masih bersama semua itu?

Kerana  diriku melihatmu dari jauh wahai akhi, engkau yang sekarang bukan yang dahulu.

Dari jauh kulihat, prinsip prinsip dakwah sudah mula meluntur dalam gerak kerja mu.

Kerja kerja membina manusia, mengajak mereka kepada islam dengan cara yang kita imani dahulu sudah makin lesu. Bahkan kau tampak bahagia dengan kerja kerja lain. Tidak perlulah kita senaraikan kerja kerja lain itu.

Akhi,


Apakah yang berlaku ?
Apakah dunia telah menyelinap masuk ke dalam hatimu?
Apakah aku telah membuatkan engkau kecewa lalu kau membawa diri?
Apakah?


Cerita cerita sedih ini, tidak mahu kami kenangkan lagi. Penulis berpendapat, sangat wajar seluruh aktivis gerakan islam, mereka yang bersama halaqah, sama ada pernah atau masih istiqomah, ataupun sudahpun melupakan sebahagian daripada kerja kerja dakwi yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu untuk menyimak kembali makna makna tersembunyi daripada surah Ali Imran ini.

Buat kali pertama ia turun untuk menyelesaikan isu dan konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat muslim di era Nabi saw, menenangkan mereka, mengembalikan mereka ke landasan yang betul dan mengingatkan akan tugas dan tanggungjawab mereka di muka bumi.

Kali ini, surah yang sama, struktur ayat dan mesej yang sama, tidak berubah walau sedikit pun terbentang di hadapan kita untuk kita tuai manfaat dan khasiatnya.

Penulis telah bersetuju dengan Syeikh Amr Khaled yang telah memilih tema “At thabat” bagi keseluruhan surah Ali Imran ini. Ya, tema yang tepat mengikut pikiran kita. At thabat, keteguhan. Teguh dengan prinsip dan perjuangan kita.

Sesuai lah juga dengan penutup surah ini, Allah swt menggesa kita untuk thabat;


“Hai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetap bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung!”
(Ali Imran :200)



Terjemahan yang kurang tepat. Telusurilah text aslinya untuk mendapatkan zouq, rasa bagi kalam Allah ini. Akhir sekali, tidaklah aku menulis untukmu akhi dan untuk diriku jua, melainkan kita tergolong dalam kalangan orang yang beruntung!

Saturday, June 13, 2015

AKHI FILLAH #1


Kami tuliskan untukmu akhi fillah.

Seorang akh bertanya,
"Masih ingatkah durah pertama kita dulu dulu, sewaktu kita sama-sama menghadiri ISK ?"

Persoalan itu dimatikan disitu. Ia mengajak kesemua ikhwah yang membaca pesanan ringkas di pagi yang baharu sahaja menampakkan dirinya, mengambil masa masing-masing untuk melakukan renungan ke atas diri sendiri, dengan renungan yang tajam dan mendalam.

Begitulah.

Pengalaman adalah sejarah. Seorang tokoh pula pernah menitipkan pesanan kepada kita;

“Sejarah adalah tentera Allah yang menguatkan”

Tidak ada yang tidak benar akan statement ini. Barangkali,  kenyataan ini mampu menjawab persoalan yang bermain di benak fikiran sebahagian daripada kita, mengapakah hampir 70% persen daripada ayat ayat Quran berbicara tentang kisah kisah, sama ada kisah para Anbiya yang mendahului Nabi saw, cerita umat terdahulu, cerita ikon hamba Allah seperti Lukmanul Hakim, Zulkarnain dan banyak lagi cerita yang berselerakan sepanjang tiga puluh juzuk Quran itu. Dan antara sekelian banyak cerita itu pula, kisah Nabi Musa a.s mendominasi bahagian yang besar kisah dalam Quran.

Ada beberapa hikmah yang dapat kita sama-sama fikirkan.

Pertamanya, kisah-kisah yang dipetakan dalam Quran ini menjadi dalil aqli bahawa Quran itu bukan rekaan Rasulullah saw kerana ia membariskan cerita cerita umat terdahulu, yang mustahil Rasulullah saw mengetahuinya jika dia manusia biasa. Keduanya, Quran ini tidak dibanjiri dengan kisah Rasulullah sendiri. Jika Rasulullah mencipta al Quran untuk menjadi bahan rujukan pengikutnya, pastilah ia penuh dengan cerita tentang dirinya, pasti ia ‘syok sendiri’ dalam mengkaryakan kitab itu.

Selain itu, sejarah dan pengalaman yang lampau ini telah menjadi aset pengalaman yang berharga buat Rasulullah, para sahabat dan mereka yang datang kemudian yang mengikuti jalan tarbiyah dan dakwah ini. Ia adalah sejarah, tentera Allah yang menguatkan. Sebagaimana satu firman ini;

“Dan kesemua kisah dari rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu, dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran dan pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman”
(Hud :120)


“Dengannya Kami teguhkan hatimu…”


Tidak perlulah kita perpanjangkan lagi betapa benarnya sejarah dan pengalaman ini mampu menguatkan hati. Hati. Hm. Ia merupakan makhluk yang unik. Ia merupakan raja kepada seluruh jasad bagaimana sabda Nabi saw dalam satu hadis yang cukup makruf. Dan raja kepada badan ini pula sangat cepat bolak baliknya.

Ada yang mengatakan,

“Hati lebih cepat berbolak balik daripada air yang menggelegak”

Perumpamaan yang sangat baik!

Akhi fillah,

Begitulah di jalan dakwah ini, tatkala sudah melewati sebahagian perjalanan dan menempuh sesuatu jarak, kita mula merasai kelainannya. Permulaanya adalah sesuatu yang menggembirakan tatkala kita dipertemukan dengan hamba hamba Allah yang soleh, mencuba cuba benda baharu, menikmati hidup di bawah bayangan al Quran dan sebagainya. Namun entah kenapa, setelah satu tempoh waktu, kemanisan dan kebasahan itu sedikit demi sedikit telah hilang.

Sehinggakan symptom terakhir yang sungguh membuatkan kita terkilan, kita dapati rakan kita yang dahulunya duduk bersila bersama dalam halaqah mingguan telah pun menarik diri dari jalan dakwah. Di waktu yang lain, kita dapati ikhwah yang pernah menjadi mas’ul peringkat daerah bahkan nasional sudah tidak dapat dihubungi. Rupanya sudah menjalani kehidupan seperti hamba hamba Allah yang lain.

Begitulah kesan hati. Bolak baliknya itu sungguh cepat dan tidak dapat disangka-sangka. Barangkali inilah alasan terbesar kenapa kisah kisah terdahulu membanjiri isi al Quran, dibawakan dalam bentuk dan tema tema yang berbeza-beza. Seolah olahnya, pada waktu pertama kali al Quran diturunkan, dapat kita agak bahawa masyarakat Muslim yang terbaik ketika itu mengalami konflik dalaman dan krisis bolak balik hati. Ia adalah sunahtullah di jalan dakwah.

Sebab itu kami ingin mengajak kita semua merenung kisah kisah terdahulu. Kita cuba himpunkan sekelumit cerita daripada mereka yang terlebih dahulu menapaki jalan ini untuk menjadi sumber kekuatan buat hati hati kita. Kami cuba usahakan sedaya mungkin mendapatkan kisah kisah terbaik ini untuk tatapan kami dan kalian. Usaha yang tidak seberapa ini adalah sangat minimal. Selebihnya kita serahkan kepada Allah swt.

Sheikah Muhammad Ahamad ar Rashid pun telah melakukan perkara yang sama. Dalam karyanya yang bertajuk, ‘Tazkiratun Naqib’ beliau menulis satu subtopik yang bertajuk Mengingatkan Detik Permulaan.

Marilah kita renungkan kembali kata al akh tadi;

"Masih ingatkah durah pertama kita dulu dulu, sewaktu kita sama-sama menghadiri ISK ?"


Akhi Fillah,

Sungguh kami menantikanmu kembali.