Thursday, August 13, 2015

AKHI FILLAH #3

Tadabur sepetang, bersama akhi Fillah.


Sebelum itu, kami ingin mengungkapkan kembali satu kata kata keramat yang diucapkan oleh Amirul Mukminin, Umar al Khattab r.a suatu ketika dahulu seputar menikmati kata-kata yang baik dari akh Fillah kita. Ujar beliau;

“Seandainya aku tidak berjuang di jalan Allah, atau meletakkan keningku di tanah kerana sujud kepada Allah, atau duduk semajlis dengan suatu kaum yang suka memungut perkataan baik sebagaimana mereka memungut buah masak yang terjatuh, tentu aku lebih suka mati sahaja menghadap Allah”

Begitulah bernilainya al-akh di sisi generasi awal agama ini, generasi salafu soleh. Duduk duduk bersama al-akh, dan memetik kata-kata yang baik daripada mereka persis petani menuai hasil tanaman, merupakan salah satu nikmat dunia bagi mereka.

Sheikh kita yang lain pula berkata seputar kata-kata yang baik;

“Sebaik-baik perkara ialah: Perkataan yang lembut, yang dikeluarkan dari lautan yang dalam, melalui ungkapan lidah seorang yang peramah dan berbudi”

-Muntalaq


Adunan yang cukup indah dan mempersonakan. Tidak perlu kita berlebih-lebih lagi dalam menghuraikannya. Ia dapat dihadam dengan sekali renungan. Ia terus menerjah masuk ke pintu kalbu dan menginsafkan kita. Di akhirnya, ego kita dijinakkan dengan persoalan, bagaimana kata katamu seharian akh? Bermanfaat ? Atau muslim yang lainnya tidak sejahtera dengan lisanmu?
Allah!


Tadabur kita.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya…”

(Al Kahfi :28)

Akhi Fillah,

Allah swt mulakan ayat ni dengan satu feel amar. Satu arahan. Wasbir. Jika tiada huruf wau tu, ia jadi isbir! Bersabarlah !

Sabar. Selalu kita dengar sabar dituntut dalam dua perkara.  Sabar dalam ketaatan kepada Allah dan sabar dalam menjauhi maksiat.  Sabar untuk terus taat, beribadah kepada Allah tatkala pelbagai ujian, godaan dunia mendatang, kita terus sabar. Keduanya, sabar untuk menjauhi larangan-laranganNya meskipun ia menarik mata kita, meskipun teruji shahwat kita, meskipun hampir kesemua orang di sekeliling kita melakukannya, kita dituntut sabar untuk menjauhi.


Menariknya, kali ini Quran mengajak kita melihat sabar dari dua sudut,  secara individu (nafsaka) dan collective (maaladzi)

Sabar ni hanya salah satu daripada berpuluh bahkan beratus ciri wajib ada pada sang daie.  Dan semua elemen ni, sebelum datang secara kolektif,  ia datang dari individu.  Dari diri kita.  Kemudian dibaiki dan dipercantik dalam komunitas, dan perkumpulan, dalam hidup berjemaah.

Berkomunitas. Berjemaah.

Sedar tak sedar,  manusia ni tidak dapat lari dari hidup berjemaah.  Kita perlukan orang lain untuk memenuhi keperluan hidup kita. Nak makan, nak kerja,  dapatkan rawatan kesihatan, menyekolahkan anak, baiki kereta, basuh baju di kedai dobi dan sebagainya.  Mustahil boleh hidup seorang. Cuba tengok dalam smartphone kita, bape puluh group what’sApp kita join. Kalau satu semester kita mengikuti tujuh subjek kuliah, paling kurang ada tujuh la group. Itu baru untuk pendidikan. Belum lagi ambil kira group group lain. Group taman perumahan, ajk surau, team bola, team badminton, rakan sekerja, kawan lama peringkat rendah, peringkat menengah, di universitas dan sebagainya. Ok banyk la point is.

Itu dah dikira community,  collective.  Busuk busuk pun organisasi ini, ada juga admin seorang mahupun dua. Meskipun ada dalam kalangan ahli group ini ada yang claim tidak suka pada jemaah, anti kepada keramaian, sedar tak sedar dia sendiri hidup berkomuniti. Nah!

Tetapi community yang bagaimana justeru kita perlu bersabar bersama ?

Kerana di luar sana ada begitu banyak sekali jenis jenis komuniti, yang matlamatnya bermacam-macam, hala tuju nye berbeza, topic perbincangan yang beragam bahkan ada yang bemanfaat dan tidak kurang juga yang memudaratkan. Kalau dalam kumpulan kumpulan manusia yang sering berbicara menggunakan kata-kata kesat dan berbicara perkara yang tidak senonoh, gossip gossip artis, memaki hamun pemimpin yang tidak disukai bahkan ada yang lebih teruk daripada itu, adakah kita digesa bersabar dan bersama mereka juga?


Allah jelaskan dua ciri cirinya. 

Pertama; "Yang menyeru Tuhan mereka di pagi dan senja hari.."

Perkataan 'yad'uu' didatangkan dalam bentuk fiil mudari' iaitu bentuk present and present continuous tense, sudah cukup menggambarkan betapa mereka terus menerus menyeru Tuhan.  Tetapi Allah tambahkan lagi rasanya dengan frasa di pagi dan senja hari.

Seolah olah komuniti yang di maksudkan adalah yang terbaik dalam menyeru tuhan mereka. Sepanjang masa.  Siang dan malam. Pagi dan petang. Wujudkah orang yang mengingati Allah, berzikir, berdoa, menyeru dan berdakwah kepada Allah dengan kadar kekerapan ini? ! Kedengaran mustahil di situ.

Ciri kedua ialah yang mengharapkan keredhaan Allah. ‘Yuriduna wajhahu’ . Sekali lagi Allah menggunakan perkataan berbentuk fiil mudhori’, yuriduuna, sentiasa berkehendak, terus menerus. Wajhahu pula secara literal bermaksud memalingkan wajah kepadaNya. Bertawajjuh kepada Allah.  Hidupnya menghala kepada Allah. Orientasinya ialah Allah.  Ghayahnya ialah Allah.  Allah semata-mata dan tiada yang lain. Allah adalah matlamat mereka.

Akhi Fillah,

Ciri kedua ini seakan sukar untuk terpenuhi. Bahkan ciri pertama juga. Orientasi hidup menentukan siapakah kita. Dan kita sering kali akan bersama, berkomuniti, memilih untuk rapat bersama dengan orang yang memiliki orientasi hidup, obsesi dan kesukaan yang sama dengan kita. Kita lebih senang bergaul dengan orang yang ‘sekepala’ dengan kita. Bak kata para saintis, ‘ada chemistry’

Akan tetapi, Allah menjelaskan bahawa jenis kepala, geng mahupun kumpulan yang berorientasikan Allah lah yang patut kita sabar, dan terus bersama mereka.

Mahal sungguh perkumpulan ini.  Seakan mustahil untuk wujud.

Akan tetapi Akhi Fillah,

Agak pelik bila Allah menyuruh kita bersabar dengan mereka yang diperincikan seperti di atas. Ironi. Sesempurna komuniti macam tu pun kita kena sabar ? Seakan ada satu pengajaran yang mahal buat kita, kepada duat ilaLlah yang memilih untuk bergerak dan menjalani kehidupan ini secara kolektif, bahawa betapa cemerlang mana pun sesuatu kumpulan manusia itu, akan ada cacat celanya.

Kerana sebenarnya tiada ada satu kumpulan manusia pun yang sempurna dan dapat memenuhi kehendak kita.  Maka kita diminta utuk sabarkan diri kita dan bersama mereka. Kita lah barangkali orang-orang yang berangan untuk jadi komuniti tersebut. Yang terus menerus menyeru,  berdoa dan berdakwah ilaLlah dan yang menjadikan Allah orientasi hidup.

Tetapi ada cacat cela kita, yang sama-sama kita kena sabarkan diri untuk terima, berlapang dada dan bantu. Ada dalam kalangan kita yang mungkin nak uruskan pakaian dalam pun tak lulus,  bersabarlah. Seteruk mana pun ikhwah kita,  inilah kumpulan manusia yang terbaik yang kita boleh dapatkan, untuk bersama, bersabar di jalam dakwah.

Allah swt akhiri ayat ni ;

“..Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”
Pengajaran yang sangat bermakna di jalan dakwah.

Ia menyentak kita untuk sedar. Harapan yang terlalu tinggi yang kita letakkan kepada rakan rakan kita, dai di jalan Allah itu dan mengharapkan kesempurnaan daripada mereka sering kali membuatkan kita kecewa dan kecundang. Tidak sedikit bahkan, yang meninggalkan jalan dakwah kerena kecewa di tangan al-akhnya.

Akhi Fillah,


Di hadapan kita adalah manusia yang tidak lebih dan tidak kurang seperti kita. Terimalah kepelbagaian ini, berjalanlah bersama, baikilah cacat cela itu dari masa ke masa dan bergembiralah kerana inilah kumpulan yang Allah maksudkan. Meskipun masih jauh untuk memenuhi standard piwaian al-Quran yang seakan tidak tercapai itu, sekurang-kurangnya dengan kumpulan ini kita jauh lebih terjaga dan terpelihara daripada godaan dunia, shahwat, panahan setan dan kumpulan kumpulan manusia yang telah pun lalai hati mereka.

Dekaplah perkumpulan mu itu, bersabar bersama mereka jauh lebih baik dari dikau bersendirian akhi. Beginilah di jalan dakwah, kita memetik nasihat dari al-Quran lalu kita mantapkan rabithah kita dan tetapkan derap langkah, terus maju bersama deru dakwah!


No comments: