It has been quite sometime since I last posted something
here. After so long, it feels like a stranger to write here. The air is now
different. I can say almost everything is now different, peculiar and
unfimiliar. Tetibe.
English terus!
As quoted,
“Setiap urusan ada masa-masanya”
Boleh jadi kadang-kadang Allah swt dengan penuh sifat
RahmatNya mentakdirkan kita sekeping masa, sekelumit waktu daripada baki hidup
yang penuh dengan harapan ini untuk bersendiri, bermuhasabah dan bertafakur. Menyepi
dan menyendiri bukan bermakna berundur. Akan tetapi ia adalah proses
mengumpulkan kekuatan dan bekalan untuk kembali tampil dengan semangat,
kefahaman dan harapan baru!
Itulah mungkin yang boleh dikatakan. Sudah hampir bahkan
sepurnama lebih paparan alam maya ini sunyi daripada khabar berita.
Sedikit tadabur, mengenangkan perayaan Idul Adha yang bakal
menjenguk kita buat sekelian kalinya insya Allah.
لَنْ
يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِنْ يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ
مِنْكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا
هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Daging-daging haiwan korban dan darahnya itu sekali-kali
tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang
dapat mencapainya.
Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya
kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu.
Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat
baik.
(Al Hajj :37)
---
Allah swt memang menggesa kita mencari jalan, wasilah untuk
mendekatkan diri kita kepadanya sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam ayat ke
35 surah al Maidah, (rujuk 5:35). Adapun begitu, wasilah ini mestilah selari
dengan apa yang disampaikan oleh ar Rasul Muhammad saw. Antara wasilahnya ialah dengan melakukan
ibadah qorban.
Bahkan qorban dari segi bahasa bermaksud qarib, yakni dekat.
Ia merupakan satu ibadah dalam usaha mendekatkan diri hamba yang melakukan
ibadah qorban kepada Allah swt. Ia bukan sekadar sebuah pesta menyembelih
haiwan ternakan, berkenduri dan bertanding siapa yang lebih banyak bahagian
qorbannya.
Dek kemerosotan ekonomi yang meruncing ini, pasti ramai yang
tidak mampu untuk melakukan ibadah ini dan terpaksa berputih mata. Dengan harga
bahagian korban yang perlu disempurnakan meningkat saban tahun, bukan tak ramai
yang terpaksa menangguhkan dahulu hajat mereka. Tidak mengapa. Sungguh, Allah
swt, tidak ada yang dapat menandingi keadilan-Nya. Kerana Allah nyatakan, bukan
daging mahupun darah haiwan yang sampai kepada Allah swt, akan tetapi
ketaqwaan.
Jika tidak berkemampuan berkorban dari sudut ini, maka
marilah kita cari wasilah lain untuk mendekati Allah swt. Asalkan berbasiskan ketaqwaan
kepada Allah swt.
Berkorban untuk agama yang indah ini dari segi masanya,
tenaga, buah fikiran dan lain lain juga merupakan wasilah untuk mencari
keredhaan Allah. Idul adha yang bakal kunjung dua hari lagi merupakan satu
teguran dan peringatan untuk kita melihat pengorbanan kita dalam menegakkannya
ad deen ini. 10 Zulhijjah saban tahun dan hari hari tasyriq yang mengirinya
merupakan momen yang baik untuk kita semua, terlebih utama mereka yang menamakan
diri mereka duat ila Llah untuk merenung dan menghisab diri sendiri, dalam
rangka melihat sejauh mana pengorbanan dalam rangka mendekatkan diri kepada
Allah telah kita lakukan?
Peluang dan ruang untuk melakukan pengorbanan sebenarnya
peluang yang Allah swt buka seluas-luasnya untuk kita mengagung dan membesarkan
Allah swt. Bukan peluang beramal lantas merasa bangga, ujub dan takabur
terhadap diri sendiri! Tidak sama sekali. Akan tetapi nikmat hidayah yang
disuluhkan kepada kita membutuhkan kita untuk terus menerus membesarkan Allah
swt dalam hidup kita. Membesarkan Allah swt melebihi diri sendiri, kerjaya,
keluarga bahkan apa sahaja yang kita temui di persimpangan hidup ini.
Para ulamak tafsir ada yang bersetuju bahawa kelompok ayat
kedua yang diturunkan kepada ar Rasul saw setelah surah al Alaq ayat 1 hingga 5
ialah surah al Mudathir dari ayat pertama hingga ayat ke tujuh. Dalam kelompok
ayat ini, ia dibahagikan kepada tiga kluster atau komponen (seruan, arahan
berdakwah dan persiapan-persiapan dakwah).
Ayat ketiga memulakan persiapan yang perlu dilakukan oleh
Rasulullah saw dan mereka yang mengikuti baginda.
Persiapan pertama ialah,
“Dan Tuhanmu, besarkanlah!”
Warabbaka, fakabbir
Dari sudut bahasa Arab, ayat ini dibawakan dalam bentuk songsang
atau pasif, kerana maf’ulu bih, yakni entiti yang diperlakukan (dibesarkan) ke
atasnya berada di pangkal ayat, dalam kes ini ialah ‘Rabbaka’. Maka, ia membawa
maksud extra daripada terjemahan semata-mata. Ia bukan sekadar bermaksud, dan
Tuhanmu, besarkanlah.
Akan tetapi lebih intense, mendalam dan tinggi zouqnya.
Ia seolah-olah menggesa Rasulullah saw dengan suruhan;
Dan Tuhanmu, hanya Tuhanmu, besarkanlah! Bukannya benda
lain, hanya Tuhanmu. Hanya Allah swt yang wajar dibesarkan, no satu, datang
mendahului perkara-perkara lain. Tatkala para duat memahami ayat ini dan
mengaplikasi dalam hidup mereka, maka dakwah akan kelihatan mudah, mudah
terlaksana meskipun ada waktu waktunya ia sangat berat dan meresahkan jiwa. Akan
tetapi, tatkala Allah swt telah dibesrakan, yang berat terasa ringan. Yang susah
teras senang. Yang meresahan terasa mendamaikan. Begitulah!
Untuk kita para duat pula, di Idul Adha ini, sejauh mana
telah kita besarkan Allah swt dalam hidup kita? Bolehkah kita tunduk di hadapan
hukum Allah ? Tunduk dan patuh pada perancangan dakwah? Tunduk untuk meninggikan
firman firman Allah ? Tidak menghiraukan sebarang kesulitan di jalan dakwah
kerana Allah telah kita besarkan ?
Sudahkah kita sampai ke tahap ini?
Sungguh berat bukan!
Akan tetapi, ia adalah khabar gembira buat orang yang
berbuat baik. Ia terasa indah, tenang dan berita yang dinantikan oleh
orang-orang yang bersangatan dalam berbuat baik, bagi orang yang jiwa dan
seluruh kehidupan mereka sinonim dengan kebaikan. Khabar gembira bahawa yang
sampai kepada Allah adalah ketaqwaan. Maka pengorbanan dalam rangka mendekatkan
diri kepada Allah terbuka luas untuk kesemua hamba-Nya.
Akhi Fillah,
Terasa sangat dekat bukan ayat ini dengan kita? Begitulah al
Quran, sentiasa kena dengan kondisi para duat, kapan pun kita membaca dan
merenungnya. Kita tidak pernah bosan dengan interaksi interaksi kita dengan al
Quran. Kita sentiasa ternanti-nanti dengan kefahaman kefahaman baharu yang
Allah bakal kurniakan.
Cumanya, entah bilakah kita akan beramal dengannya?
Salam Idul Adha 1436
No comments:
Post a Comment