Showing posts with label ISLAMIC FINANCE. Show all posts
Showing posts with label ISLAMIC FINANCE. Show all posts

Saturday, October 21, 2017

PEOPLE OVER INSTITUTION






Kadang-kadang apabila kita meneroka terlalu lama dan dalam (in depth) dalam bidang kewangan islam, terdetik juga perasaan bahawa system ini atau aturan satu cabang dalam kehidupan ini terlalu ideal. Seakan-akan sukar untuk menghidupkan teori-teori yang dikaji, yang diceramahkan dalam bilik-bilik kuliah dan yang menghiasi artikel jurnal ahli akademik sekalian. Misalannya, konsep perjanjian dalam proses menjayakan sesuatu urusniaga yang patuh syariah.


Apabila pinjaman mahupun loan tidak lagi diizinkan kerana unsur ribanya, maka operasi-operasi ini secara teknikal diubah menjadi jual beli. Ia menjadi masalah apabila urusan jual beli ini bukan sehala semata-mata, tetapi melalui beberapa peringkat. Sebagai contoh, seorang yang berhasrat untuk membeli sebuah kereta dengan pengedar yang sudah tentu tidak mempunyai cash yang mencukupi, kini tidak boleh sewenang-wenang pergi ke bank dan membuat pinjaman pembiayaan belian kereta.

Sebaliknya prosesnya menjadi seperti; 

1)      Pembeli menyatakan hasratnya untuk membeli kereta berkenaan kepada pihak bank

2)      Pihak bank bersetuju untuk ‘bantu’ belikan terlebih dahulu daripada pengedar dan kemudian menjual kepada pembeli dengan bayaran ansuran beserta mark-up . 
3)      Pembeli akan membeli dari pihak bank seperti yang dijanjikan setelah bank terlebih dahulu membeli dari pengedar. 


Dalam kes di atas, sekurang-kurangnya terdapat dua peringkat jual beli. Ini semata-mata dilakukan untuk mengelakkan jalan riba.



Namun perasankah kita, bahawa ada kelompongan dalam proses ini yang mungkin merugikan sesetengah pihak. Sebagai contoh, sekiranya step ketiga akhirnya tidak berlaku kerana pembeli mungkir janji. Bukankah bank akan bersedih atas urusniaga yang mengecewakan itu?


Betapa sebenarnya kita memerlukan bukan sahaja teori kewangan islam yang baik, tetapi kita perlukan juga orang-orang islam yang jujur dan tidak mungkir janji untuk menjayakan keseluruhan aturan hidup yang indah ini. Alangkah idealnya!


Perjanjian dalam menjayakan jual ini dalam dunia kewangan islam dijenamakan sebagai wa’d, mengambil term arabnya yang mungkin dengan itu menonjolkan ke’islam’annya. Mungkin!

Jadi, isu kebarangkalian berlakunya ketidakjujuran dalam pelaksanaan urusniaga ini telah menyebabkan para pakar berbincang panjang, apakah perjanjian ini mengikat si pemberi janji atau tidak. Kita beriman bahawa orang yang munkir janji menempuh azab di akhirat. Namun, sanggupkah entity bernama bank itu tunggu keuntungan di hari akhirat?


Wa’d atau unilateral promise merupakan suatu janji yang dibuat oleh satu pihak kepada pihak yang lain untuk melakukan sesuatu perkara. Para ulama berpendapat bahawa memenuhi janji adalah wajib dari segi agama, namun mereka masih mempunyai pandangan berbeza di dalam menentukan sama ada wa’d bersifat mengikat atau tidak. (Shofian 2008)


Akhirnya kita akur, di hadapan proses-proses ini bahawa, betapa pentingnya untuk mewujudkan Islamic man, orang islam yang mempunyai worldview islam, kerangka pemikiran islam yang dinamakan fikrah islam, sebelum kita duduk berhari-hari dalam seminar yang membosankan memikirkan pembangunan instrument dan institusi. Kerana jika pelaksana yakni modal insannya tidak cukup islam, janganlah diharapkan system ini menjanjikan kebahagiaan yang berpanjangan.

Namun, siapakah yang peduli akan pandangan kami yang hingusan ini.

Monday, August 21, 2017

SCARCITY MENURUT TELUNJUK WAHYU



 
Dua masalah utama yang menyebabkan munculnya disipilin ilmu ekonomi menurut pandangan ekonomi konvensional ialah sumber yang terhad dan juga keinginan manusia yang tidak terhad. Dua konflik ini melanda kehidupan manusia sehingga dikatakan munculnya ilmu perekonomian untuk membantu menguruskan sumber yang terhad yang sudah tertentu tidak mampu memenuhi keinginan manusia yang tidak terhad.


Sesetengah ahli ekonomi, mereka telah mendefinisikan ekonomi sebagai: "sains sosial yang mengkaji gelagat individu dan masyarakat membuat pilihan yang cekap dalam menggunakan sumber-sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak yang tidak terhad.” (Ahmad,2001).
Persoalannya, adakah pandangan ini selari dengan islam?

Sejak ekonomi islam mula mendapat tempat dalam lapangan kajian akademik, muncullah jaguh ekonomi islam dengan kerangka pemikiran islam atau islamic worldview menyaggah tanggapan atau isu yang dibangkitkan ini menggunakan dalil Quran dan Sunnah disertakan pendapat dan tafsiran ulamak muktabar.


Masalah sumber yang terhad atau ‘scarcity’ sebenarnya tidak tepat di sisi islam. Ini kerana, Allah swt telah menyediakan keperluan dan sumber yang mencukupi untuk seluruh manusia di bumi. Begitu banyak ayat Quran yang begitu sorih (jelas) berbicara akan fakta ini.


Namun begitu, sumber-sumber ini mungkin kelihatan ataupun ditanggap sebagai terhad bukan kerana keadaan alam ini, tetapi kerana kelemahan manusia itu sendiri. Ia sama ada manusia gagal menguruskan sumber yang memang mencukupi bahkan banyak itu ataupun ilmu-ilmu yang ada pada manusia belum mampu menerokai kekayaan sumber alam ini ataupun juga kerana kedangkalan manusia yang melihat sumber dari sudut kebendaan semata-mata.


Jadi adakah mempelajari ilmu ekonomi merupakan suatu yang sia-sia?

Ternyata tidak!


Mereka yang menuntut ilmu ini di bawah naungan wahyu dan sunnah pasti menemukan satu tempoh tarbiyah rabbaniyah yang tinggi nilainya. Dengan ilmu ekonomi inilah kita berasa kerdilnya ilmu manusia dalam meneroka sumber alam ini. Sungguh menginsafkan. Betapa ia mengajak kita membesarkan Allah swt, selaku pemilik Tunggal alam ini. Begitu banyak rahsia dan khazanah alam yang belum mampu kita terokai. Alangkah!

Jadi, kita keluar dari masalah asas yang didakwa oleh ahli ekonomi konvensional ini dengan keimanan bahawa sumber sebenarnya tidak terhad. Pada waktu yang sama, kita akui kelemahan diri kita dalam menyikapi sumber alam ini sehingga ia tampak terhad. Lalu apakah yang boleh kita pelajari lagi?


Di sinilah tuntunan wahyu memainkan peranan.

Allah swt mengajarkan manusia satu formula untuk berinteraksi dengan batasan ini melalui kitabnya yang tinggi dan mulia itu. Kitab yang datang dari sisi Allah, berupa kalam Allah swt itu diiktiraf ketinggian nilainya. Sehingga mengkaji rahsia-rahsia isi Quran mengangkat pemikiran umat ke suatu tingkatan yang tidak mampu diangkat oleh mana-mana kajian lain selain kajian Al-Quran.


A004 
Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami - sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh


Tetapi sedihnya hakikat ini tidak lagi diketahui secara umum. Jika tahu pun, belum lagi sampai ke dataran mahu mengamalkannya. Masih ramai umat islam terpusu-pusu dan terhegeh-hegeh mencari ketinggian dan kemuliaan dengan instrumen yang lain sehingga ada yang menempuh jalan kebathilan.

Bersambung?


Rujukan
Ahmad, S. (2001). Masalah Asas Ekonomi Dan Penyelesaiannya Menurut Islam. Jurnal Syariah, 9(1), 77–90.