Wednesday, August 23, 2017

UMAR AL-KHATTAB MEMANG BENAR!




“Berhajatlah..!” Ungkap Amirul Mukmini Umar al-Khattab kepada para sahabat disekeliling beliau dalam satu pertemuan.


Para sahabat yang hadir terpinga-pinga dengan usulan Umar ini. Lalu ada yang merespon, “Aku impikan bilik ini dipenuhi dengan emas dan perak, supaya boleh diinfaqkan di jalan Allah swt” Subhanallah! Itulah impian para sahabat.


Kemudian yang lain ada juga menjawab, “Aku hajatkan bilik ini dipenuhi dengan berlian dan permata, supaya boleh dibelanjakan di jalan Allah” Subhanallah.

Umar terus berkata, “Berhajatlah...”


Dikatakan kepada beliau, “Kami tidak tahu apa lagi yang hendak dihajatkan...apa hajatmu wahai Amirul Mukminin?”

Apa jawapan Amirul Mukminin? Mungkin tidak perlu diceritakan di sini.

Kerana ia  cukup makruf.


Kita semua tahu akan kisah ini. Kita dibesarkan dengan kisah ini. Kita telah belajar banyak perkara dari kisah ini. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan video dialog Amirul Mukminin ini telah kita ulang-ulang sejak mungkin pertemuan tarbiyah pertama kita. Sebahagian besar daripada kita mungkin juga telah ‘wasiatkan’ kisah dan dialog beserta pelajaran yang kita ambil kepada anak didik dan mutarabbi kita.


Kita mungkin telah habiskan waktu-waktu awal kita ditarbiyah dengan pelajaran dari Amirul Mukminin ini iaitu dengan doktrin, binalah orang!

Ya, binalah orang!


Ungkapan dan kefahaman ini telah merasuk diri kita. Sehingga sebahagian daripada kita lupakan diri sendiri. Sehingga ada yang terlalu bersemangat dan mengabaikan aspek lain dalam masa-masa sehariannya seperti belajar, bersukan, pulang ke kampung dan bersosial dengan teman-teman lain. Sehingga ada yang memandang pelik dengan toifah (kumpulan kecil) yang dibentuk di kolej-kolej kita dahulu. Sehingga kita menerima beberapa labelan.

Namun itu tidak lama.

“Binalah manusia...”


Rupanya itu ungkapan yang mempunyai tamat tempoh. Masa berlalu dan ia telah menjadi sejarah.
Seorang akh telah mengungkapkannya kembali tidak lama dari saat pesanan ini kami tulis di sini. Dia telah merenung nasib yang menimpa dirinya dan mendapatkan pelajaran yang sangat berguna dari dialog atau kisah Amirul Muknini r.a ini.

Akh kita ini seolah berkata,


“Akhi, setelah hampir 8 tahun bersama tarbiyah, bila dah mula bekerja barulah aku faham betul-betul pelajaran dari kisah ‘tamannau’ Umar itu”

Lalu dikatakan kepada beliau;


“Apa maksudmu wahai saudaraku?”



“Setelah masuk hospital untuk memulakan karier Tobib, hampir keseluruhan waktuku dibelanjakan untuk kerja-kerja di hospital sehingga tidak ada yang tersisa lagi untuk tujuan tajmik apatah lagi takwin dan seterusnya. Hari demi hari berlalu. Di akhir bulan aku mendapat habuannya berupa emas dan perak atau mungkin juga berlian dan permata seperti  yang diimpikan oleh para sahabat..namun...”

“Namun apakah?”

“Namun, tiada seorang pun dapat kubina untuk menegakkan islam ini. Wang empat angka dihujung bulan itu bertambah tetapi Umar lebih benar dan tepat. Kita perlukan Abu Ubaidah al-Jarrah ataupun Muaz bin Jabbal. Bukannya emas dan permata mahupun berlian dan perak..”


Umar al-Khattab memang benar.


Dan akh kita juga telah memahami sesuatu yang berharga. Binalah orang. Ia bukan doktrin semata-mata. Meskipun mengambil masa lapan tahun untuk memahmi kalam salaf ini dengan sebenar-benarnya. Usahakan dahulu membina dan melihat ke hadapan. Engkau akan dapati, tidak ada sia-sianya jika kita ikut telunjuk Umar al-Khattab ini.

Kami harapkan kalian telah pun dapat mengagak apakah jawapan Umar tadi.


Ya. Beliau mengimpikan bilik itu dipenuhi oleh para rijal yang kualitinya seperti Abu Ubaidah al-Jarrah ataupun Muaz B Jabbal.


Adakah kita masih bersama Umar ?


Jika ya, di manakah Abu Ubaidah? Muaz?


Atau kita menunggu lapan tahun lagi untuk menginsafi?!


-Siri Tarbiyah Underground

No comments: