Tuesday, September 19, 2017

LELAKI INI MENINGGALKAN 3 PELAJARAN BERHARGA






[Persiapan Menjadi Imam-Pemimpin] 


وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya.

Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia".

Ibrahim berkata: "(Dan saya mohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim".

2: 124


Sebagai persiapan untuk menjadi imam, pemimpin bagi seluruh manusia, Allah swt telah menguji Nabi-Nya Ibrahim as dengan beberapa arahan ataupun disebut كلمات.

Sungguh menakjubkan, kesemua perintah, kalimat itu disempurnakan oleh beliau.

Tidak perlulah kita sebutkan sekian banyak ujian berupa perintah atau persiapan untuk melahirkan pemimpin umat ini. Bermula sejak usia remaja sehingga menuju usia emas..


Persoalan yang menarik untuk difikirkan di sini, betulkah akhirnya ramai yang beriman dengan Nabi Ibrahim dan umat manusia di zamannya mengangkat beliau sebagai pemimpin?

Bukankah pada suatu ketika Nabi Ibrahim pernah berkata kepada isteri baginda Sarah;

يَا سَارَةُ، لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرُكِ

Yakni,

"Wahai Sarah, tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang beriman selainku dan dirimu..."

Ternyata Allah swt memiliki ukuran kepimpinan tersendiri. Insya Allah jika berpeluang kita akan kupas penafsirannya daripada rujukan-rujukan yang muktabar dan taddabur yang menggerakkan.


Namun pelajaran yang lebih besar ialah bagaimana Nabi Ibrahim as lulus kesemua كلمات itu.

Al-Quran menyifatkan response Nabi Ibrahim pada arahan arahan tersebut dengan frasa;


فَأَتَمَّهُنَّ
Lalu dia menyempurnakannya.


Sekurang-kurangnya ada tiga pelajaran berharga daripada perkataan فَأَتَمَّهُنَّ ini.

1) Penggunaan harf ف sebagai kata hubung antara arahan & pelaksanaan.

Huruf ف digunakan dalam kaedah bahasa Arab untuk menunjukkan tertib & terus menerus tanpa jeda waktu ( لترتيب وتعقب ) berbeza dengan kata penghubung ثم yang menunjukkan tertib tetapi dipisahkan dengan jeda waktu.

Huruf ف dalam frasa فَأَتَمَّهُنَّ ini membawa maksud yang sangat signifikan. Ini menunjukkan Nabi Ibrahim tidak lengah mahupun bertangguh-tangguh tatkala menerima arahan Allah swt. Dia tidak biarkan berlalunya waktu yang lama antara arahan & pelaksanaan. Ia segera menyahut. Tanpa ragu. Sudah tentu sikap segera merespon ini (سرعة الاستجابة ) yang ada pada Nabi Ibrahim dapat kita garisbawahkan dalam kisah kisah lejen beliau..


2) Pelajaran kedua daripada perkataan فَأَتَمَّهُنَّ ialah, ia berasal dari perkataan tamam( تمم ) yang bermaksud sempurna atau complete.

Kesempurnaan ini adalah mengikut ukuran pemberi arahan, bukan pelaksana. Ia mengikut selera dan kehendak Allah swt, meskipun bercanggah dengan citarasa beliau. Misalannya, apabila perintah mengkehendaki beliau menyembelih anaknya, maka itulah yang sempurna.... Meskipun ternyata tidak memihak keinginan manusiawi beliau.

Tetapi Nabi Ibrahim mengajar kita, dalam memenuhi arahan Allah swt, yang didahulukan adalah kehendak Allah bukan kehendak kita. Kesempurnaan itu terletak pada garis panduan wahyu, bukan menerusi kaca mata kita.

3) Pelajaran ketiga pula berkenaan bagaimana frasa ini dibawakan dalam bentuk fiil mudhari’ ataupun dalam Bahasa Inggerisnya ‘present continuous tense’. 

Ia bermaksud, bukan sekali dua atau bukan sekadar kisah-kisah lepas dan lampau, tetapi Nabi Ibrahim terus-menerus menyempurnakan perintah Allah. Ia tetap konsisten. Tetap istiqomah. Bukan ketika arahan itu mudah. Bukan ketika dia punya kesempatan, waktu luang, kesihatan yang baik dan segala macam kesenangan. Tidak. Arahan-arahan Allah itu disempurnakan dalam pelbagai keadaan. Sejak dari muda remaja sehingga tua renta meniti usia emas, Nabi Ibrahim tetap memberikan yang terbaik dalam berinteraksi dengan arahan-arahan Allah swt.

Dengan sikap sikap beginilah melayakkan Nabi Ibrahim diangkat menjadi imam bagi manusia. Figur yang diikuti dan diingati.

Selawat dan salam ke atas Ibrahim as.




[Iklan Program Qiyamulail Bulanan]



PM Kami di Facebook untuk sebarang pencerahan :)

No comments: