Sunday, September 24, 2017

CINTA EKSKLUSIF;KHALIL




[Ibrahim, Khalil Allah]


Nampaknya kita tidak dapat move on daripada meninggalkan siri kisah nabi Ibrahim dengan panduan wahyu al-Quran & sunah yang suci dari Rasulullah saw.

Sorotan peribadi ikon agung Ibrahim as ini begitu banyak terselit dalam Quran, sehingga mengkaji setiap selitan ini tidak pernah menjemukan & setiap kali kajian dilakukan, sering kali perasaan ingin tahu lagi dan lagi menghantui diri kita


Siapa tidak tahu bagaimana Allah swt telah mengambil Nabi Ibrahim as sebagai kekasihnya, khalil (خليل ). Hal ini telah diberitakan kepada kita melalui petunjuk Quran berikut ;

وَاتَّخَذَ اللَّهُ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلًا

.... Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya( خليلاً ).

4: 125

Hanya yang memahami istilah khalil sahaja yang dapat memahami betapa istimewanya gelaran Khalil Allah ini. Lebih istimewa ia terpahat selamanya dalam al Quran al Karim.

Khalil. Hubungan istimewa, bersulamkan kasih dan cinta yang tidak boleh dikongsi. Ia bersifat eksklusif.

Selain Ibrahim as,
Rasulullah saw juga merupakan khalil ar-Rahman.

Diriwayatkan dari 'Abdullah:
Rasulullah () bersabda :

"Aku berlepas diri dari sebarang khalil, sekiranya aku ingin mengambil seorang khalil, nescaya aku akan mengambil Ibn Abu Quhafah (Abu Bakr) sebagai khalil. Tetapi sahabat kalian ini khalil Allah"

حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلاَنَ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ، أَخْبَرَنَا الثَّوْرِيُّ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ أَبِي الأَحْوَصِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

 ‏ "‏ أَبْرَأُ إِلَى كُلِّ خَلِيلٍ مِنْ خِلِّهِ وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلاً لاَتَّخَذْتُ ابْنَ أَبِي قُحَافَةَ خَلِيلاً وَإِنَّ صَاحِبَكُمْ خَلِيلُ اللَّهِ ‏"‏


Jami' al-Tirmidhi
(Terjemahan Penulis)


Petunjuk dari kalam Rasulullah ini memberi pencerahan kepada kita bagaimana hubungan seorang khalil. Ia tidak boleh dikongsi. Padahal boleh sahaja Rasulullah mengambil Abu Bakr juga sebagai khalil. Tetapi tidak. Khalil ialah hubungan eksklusif.

Jadi Ibrahim telah Allah ambil sebagai kesayangan-Nya. Khalil-Allah.

Alangkah istimewanya hubungan antara hamba & Tuhan ini.

Tetapi hubungan khalil ini ada bayarannya. Ia tidak boleh dicerobohi oleh kasih sayang yang melebihinya. Ia diuji untuk diabsahkan ketulenannya.

Setelah datang Ismail as dalam hidup Ibrahim as, barangkali status Allah sebagai khalil dalam hidup nabi Ibrahim bakal tergugat. Apakah Allah masih khalil, tidak dikongsi, no 1 dan paling utama?

Lalu Ismail diperintahkan untuk dikorbankan.

Persoalannya adakah Allah tidak tahu isi hati nabi Ibrahim as? Tidak. Allah Maha Mengetahui. Dia mengetahui segala isi hati.

Tetapi perintah berkorban kasih ini di-peristiwakan untuk dijadikan ukuran oleh kita semua.

Apakah kita mahu menjadi khalil Allah?

Jika ya, sudah bersediakan untuk berkorban kasih.?

No comments: