[Dia Tidak akan Mensia-siakan Kita]
Imam Bukhari meriwayatkan satu hadis yang
panjang berkenaan bagaimana peristiwa bapa kita, Ibrahim as meninggalkan isteri
baginda Hajar & Ismail di bumi Mekah yang tandus, tiada air, tanaman apatah
lagi hidupan lain.
Hadis ni disampaikan melalui jalur Ibn
Abbas ra dan imam Bukhari memasukkannya dalam bab Para Nabi.
Ada beberapa kalimaat luar biasa yang tidak
wajar kita sisihkan dalam kisah yang bersejarah ini. Terutamanya berkenaan
sikap dan keimanan Hajar dalam berinteraksi dengan perintah Allah swt.
Ayuh kita simak keratan hadis ini;
ثُمَّ قَفَّى إِبْرَاهِيمُ مُنْطَلِقًا فَتَبِعَتْهُ
أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَقَالَتْ يَا إِبْرَاهِيمُ أَيْنَ تَذْهَبُ وَتَتْرُكُنَا بِهَذَا
الْوَادِي الَّذِي لَيْسَ فِيهِ إِنْسٌ وَلاَ شَىْءٌ؟
Kemudian Ibrahim pun berangkat meninggalkan
Hajar & Ismail. Lalu ia diikuti oleh Ummu Ismail seraya berkata,
"Wahai Ibrahim, ke mana engkau hendak
pergi?
Apakah engkau membiarkan kami di lembah
yang tiada seorang manusia pun di sini dan tiada apa apa?"
Begitulah sang isteri kebingungan,
melihatkan kelibat si suami yang meninggalkan mereka sehelai sepinggang anak
beranak tanpa sebarang pesanan mahupun nota ringkas. Alangkah pilunya hati
mengenangkan posisi Ummu Ismail ini.
فَقَالَتْ لَهُ ذَلِكَ مِرَارًا، وَجَعَلَ
لاَ يَلْتَفِتُ إِلَيْهَ
Ummu Ismail mengulangi pertanyaannya tetapi
ternyata tiada respon. Ibrahim terus berlalu, tabahkan diri.
Kemudian Ummu Ismail mengagak dan bertanya
sebagaimana berikut ;
فَقَالَتْ لَهُ آللَّهُ الَّذِي أَمَرَكَ
بِهَذَا قَالَ نَعَم
Lalu dia berkata, "Adakah Allah yang
memerintahkan engkau tentang ini?"
Jawab Ibrahim "Ya".
Alangkah indahnya sangka baik Hajar ini. Yang
datang dalam fikiran dia ternyata bukan prasangka buruk kepada si suami, tetapi
terus dapat menangkap bahawa ini adalah perintah Allah swt.
Response beliau yang selanjutnya adalah
yang wajib kita teladani ;
ْ. قَالَت
Dia (Hajar) berkata
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا.
"Jika begitu, Dia (Allah) tidak akan
mensia-siakan kita".
Subhanallah.
Jawapan yang penuh keimanan. Ringkas dan
mantap.
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Begitulah Hajar bersikap tatkala mengambil
sesuatu perintah dari Allah. Meskipun perintahnya luar biasa, tidak logik pada
pandangan manusia dan berkemungkinan memudaratkan. Tetapi dengan yakin, jika
dari Allah, Dia tidak akan sia-siakan.
Begitulah akhi sepatutnya kita mengambil
keputusan dan perintah dari Allah. Keputusan yang didasari neraca Quran, dakwah
dan tarbiah tidak perlu dikhuatiri. Peluklah ia dengan ungkapan ;
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Jika begitu, Dia tidak akan mensia-siakan
kita.
Selanjutnya, dengan kalimat ini, Hajar
mengupayakan dirinya membina kehidupan di lembah tandus itu. Dari sini bermula
kisah lejen beliau berlari lari anak antara Safa & Marwah untuk mencari
bekalan air.
Kegigihan, pengorbanan dan keimanan Hajar
ini sudah tentu mendapat perhatian langit dan mempunyai kedudukan tertentu
dalam Islam.
Buktinya,
Berlari-lari anak dari Safa & Marwah
dijadikan salah satu pelengkap ibadah Haji, yang dikerjakan oleh umat Islam
yang berhaji. Supaya mereka mengenangkan Hajar dan seterusnya belajar meyakini seperti
beliau.
Supaya kita semua beriman dengan kalimat ;
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا.
Para hamba yang mengambil arahan arahan
dari Allah swt dengan kalimah ini akan dikenang, disanjung dan dijadikan sumber
inspirasi. Jika tidak oleh manusia di sekelilingnya, insya Allah oleh para
makhluk di sisi Allah swt.
Ayuh ikhwah sekalian. Tanggapi setiap
ketentuan Allah untuk kita dengan ungkapan,
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا.
Sekiranya inilah takdir Allah bagi kita,
jika inilah....
Nescaya Allah tidak akan mensia-siakan
kita. Pastikan keputusan keputusan kita dilandasi dengan neraca ini. Neraca
untuk tunduk, patuh dan menjalankan suruhan suruhan Allah.
Bukan neraca kepuasan diri. Bukan neraca
persepsi orang lain apatah lagi neraca jahiliah.
Setelah itu, yakinlah.
إِذًا لاَ يُضَيِّعُنَا
Akhmu,
Yang masih mencintai kamu, meskipun dari
kejauhan....
Maaf atas tajuk yang kotorversi itu.
1 comment:
still reading..
tajuk xde relation ni. huhu
papepon nice writing.
moga Allah terus beri kekuatan utk istiqamah menulis
Post a Comment