Showing posts with label KHOWATIR. Show all posts
Showing posts with label KHOWATIR. Show all posts

Tuesday, April 11, 2017

BUAT AKH YANG KEKECEWAAN



Khowatir Surah Qasas



Surah Qasas merupakan antara surah yang sarat dengan pengajaran-pengajaran yang begitu dekat dengan para duat, pejuang kebenaran yang menempuh jalan yang sukar dan hari-harinya berhadapan dengan kejadian-kejadian yang boleh mengecewakan dan mematahkan semangat.


Sekali lagi, seperti  mana banyak kesempatan dalam surah-surah yang lain, Allah swt menjadikan kisah nabi Musa as sebagai latar surah ini, untuk diambil dan dinikmati pengajarannya. Sungguh istimewa sosok nabi Musa ini kerana kisah-kisahnya sering menjadi rujukan para daie. Alangkah besarnya manfaat dan kebaikan yang mengalir buat nabi Musa. Ternyata beliau layak mendapat kemuliaan dan penghargaan ini. Begitulah Allah mengangkat hamba-hambaNya yang banyak bekorban dan berjuang untuk agamanya, mereka tidak akan dilupakan dan ganjaran untuk mereka tidak putus-putus.

Baiklah, berbalik kepada surah Qasas.


Uslub atau pendekatan surah Qasas ini memiliki keistimewaan tersendiri. Di awal surah, Allah swt menyebut beberapa janji Allah kepada bani Israel dan juga kepada keluarga nabi Musa. Kumpulan ayat yang menyebut sebilangan janji-janji Allah ini boleh dikatakan ‘trailer’ atau ‘prolog’ bagi keseluruhan surah. Kemudian, dalam saki baki ayat yang seterusnya, sedikit demi sedikit, satu persatu janji yang Allah sebutkan ini menjadi kenyataan dalam kisah nabi Musa. Storyboard nya sungguh epik dan memukau.


Tidak hairanlah, Syeikh Amr Khaled mengangkat tema “Thiqah dengan Janji Allah”[1] bagi surah Qasas ini. Kerana bagi orang yang yakin dengan janji Allah, dia tidak akan berhenti di separuh jalan perjuangannya, dia akan bertahan, bertenang dan meneruskan perjalanan takdir yang Allah tetapkan sambil menunggu dengan penuh tawakal dan sabar dalam beramal untuk menunggu kebenaran janji Allah swt.


Keseluruhan sifat ini ada pada nabi Musa as.

Selain daripada mencungkil tema surah dengan mengkaji ayat-ayat dalam surah ini, Syeikh juga berkongsi hikmah mengapakah surah ini dinamakan al-Qasas.

Dari segi bahasa, Qasas bermaksud kisah-kisah. Dalam surah ini, perkataan ini muncul pada ayat ke 25 tatkala nabi Musa menceritakan kisahnya kepada si ayah kepada dua perempuan yang ditemuinya dalam perjalanan pelariannya dari kezaliman firaun.

“...maka tatkala Musa mendatangani bapanya dan menceritakan kepadanya cerita mengenai dirinya..”
(Al-Qasas :25)


Barangkali surah al-Qasas diangkat menjadi nama surah berikutan kisah nabi Musa ini. Sebenarnya, perkataan qasas berasal dari perkataan qoso, yang juga membawa maksud mengikuti, to follow. Ini selari dengan pengunaannya dalam ayat ke sebelas. Ketika mana ibu musa menyuruh kakaknya mengikut atau ‘trace’ jejak nabi Musa,

Al-Quran menyebut perkaataan ‘qusiihi’..


“Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara perempuan Musa, ikutilah dia..”
(Al-Qasas:11)


Apa yang menarik adalah komentar yang diberikan oleh syeikh berkenaan keselarasan makna perkataan ini. Surah Qasas bukan sahaja menceritakan bagaimana sedikit demi sedikit janji Allah terbukti dan materialised dalam kisah-kisah perjuangan nabi Musa, tetapi yang lebih penting adalah untuk sampai kepada masa terbuktinya janji –janji tadi, kita meski mengikut jejak perjuangan nabi Musa. Satu sisi pandang yang menarik.


Ia bukan sekadar sekumpulan ayat berbicara tentang kisah-kisah, bukan sekumpulan kisah-kisah untuk dinikmati plotnya, bukan untuk diceritakan sebagai lipur lara dan sebagainya, tetapi satu petunjuk, kisah yang perlu diikuti secara keseluruhannya untuk mendapatkan habuan berupa kebenaran kepada janji-janji Allah swt. Janji Allah swt merupakan janji yang evergreen, relevant dan tidak tertakluk kepada sebab kisah itu.

Ia akan terbukti.


Golongan lemah, yang ditindas akan diberi kekuasaan mewarisi urusan dunia. Itu adalah pasti. Tetapi sejauh mana kita yakin dan bersedia untuk mengikuti siri perjuangan nabi Musa itu menjadi persoalannya.


Ikhwah fillah,


Pengajaran ini begitu penting dan bermanfaat buat aktivis dakwah. Saban hari mereka diserang syubhah tentang kemenangan islam. Hari-hari dakwah ditolak. Musuh-musuh islam semakin kuat dan berkembang dengan cepat. Pada waktu yang sama orang yang meninggalkan dakwah juga bertambah,bahkan kadang-kadang kadarnya lebih cepat berbanding orang yang ingin bersama dakwah. Tidak hairan dan tidak mustahil, akn timbul keraguan dan prasangka dalam benak ikhwah sekalian untuk meninggalkan jalan, untuk berasa perjuangan ini tidak membawa ke mana-mana.

Tetapi tatapilah kisah nabi Musa ini dengan sebetulnya.

Ikutilah ia. Qusiihi.

Dengan mengikut track perjuangan inilah baru kita akan menikmati kebenaran janji Allah swt. Kita tidak tahu bilakah masanya janji-janji itu akan tertunai dan menjadi kebenaran sekali lagi dan lagi. Kita juga tidak tahu apakah kita sempat untuk menikmati janji itu tertegak. Tetapi cukuplah kita yakin akannya dan terus mengikuti jejak langkah nabi Musa, yang yakin dengan janji Allah.


Sekiranya kecewa dengan  halaqah setelah hambar pengisiannya, atau tidak yakin dengan keberkesannya, atau kecewa prestasi tajmik yang mencabar, mad’u yang gila-gila, penolakan yang radikal, ancaman musuh, dirudum pelbagai masalah kehidupan pula, janganlah jadikan berhenti daripada mengikut jejak ini sebagai option yang wajar untuk diambil. Sebaliknya berilah diri kita sedikit masa.

Ikutilah .



Teruskan perjalanan. Semakin lama kita akan semakin yakin dan memahami tabiat jalan ini insya Allah.


Orang yang berhenti setelah diuji berkali-kali, dan setelah begitu lama berada di titik kekecewaan sebenarnya telah berhenti mempercayai kebenaran janji Allah swt. Di saat kita mahu berhenti, sebenarnya jarak kita dengan janji itu telah terlalu dekat. Alangkah ruginya jika kita tidak bersabar sedikit lagi.

Begitulah besarnya manfaat surah ini. Ia patut dibaca oleh para ikhwah yang mulia berkali-kali, ditadabur terus menerus dan dijadikan bahan hiburan tatkala semua perkara yang lain telah mengecewakan dia.

Maka akhi,

Kembalilah! :)


[1] Khowatir Qur’aniyah

Sunday, July 26, 2015

LAILATULQADR DAN DOA YANG DILUPAKAN

Photographed by Fiqri Omar

Ustaz Pahrol Juoi yang sering menjuarai hati sidang pembaca dengan artikel yang sentiasa basah dan mampu menyirami hati hati yang telah lama kekontangan pernah mengupas topic malam al qadr, ataupun lailatul qadr dari sisi yang cukup menarik, seakan membahagiakan…


Menurutnya, kurang lebih sebagaimana yang difahami oleh penulis dengan tahap kebolehan menghadam yang marhaen ini, manusia pertama yang mendapat nikmat lailatulqadr ialah Nabi SAW. Malam yang sinonim dengan penurunan Quran itu merujuk pada malam turunnya kelompok pertama wahyu dari langit. Ia malam bersejarah seluruh isi langit dan bumi, bersejarah buat manusia dan kepingan kepingan hatinya, bahkan bersejarah buat makhluk makhluk lain. Ia adalah malam yang dimuliakan dengan kalamullah, wahyu dari langit yang turun untuk memandu perjalan bumi dan seisinya.


Bermula pada malam itu, terus menerus langit dan bumi dihubungkan, perjalanan manusia mula pendapat perhatian langit, seolah-olah baru diangkat dan dimuliakan bangsa manusia. Malam itu sarat dengan nilai nilai yang mengagumkan. Begitulah, kefahaman dan penjelasan yang ditokok tambah, supaya rasanya lebih sedap dan kesannya bersangatan. Eh.

Tidak cukup sekadar itu, penulis menasihati semua untuk merenung dengan tajam tulisan Sayyid Quttb dalam buku Fi Zilalil Quran tatkala beliau berkongsi pandangan beliau tentang surah al Qadr dan Surah al Alaq.


Dengan kefahaman ini, pendedahan ini dan sisi pandang ini, ia membuatkan lailatulqadar lebih signifikan buat para du’at. Jika di mata orang awam, lailatulqadar adalah peluang beramal kerana ada barokah pada ganjarannya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bahkan mungkin lebih daripada itu kerana tidak dinyatakan secara spesifik limit perbandingannya sehingga sepuluh  malam terakhir menjadikan masjid masjid tidar tidur, maka sepatutnya di mata pendokong risalah an nubuwwah ini pula, lailatulqadar adalah peluang, kesempatan dan perjalanan untuk kembali melihat perkembangan risalah dakwah di muka bumi.


Lailatulqadar di mata para du’at sepatutnya dilihat sebagai satu malam untuk refleksi amal amal dakwi, melihat sejauh mana kita sudah menghayati perjalanan dakwah Nabi SAW, sejauh mana kita izzah dengan penglibatan secara langsung dengan gerakan tarbiyah dan dakwah, sejauh mana kita merenung dan cuba memahami  wahyu yang telah diturunkan ini serta sejauh mana kita berhempas pulas untuk memastikan mesej dari langit ini terus menerus berlegar dalam kalangan masyarakat sehingga berada di carta teratas topic perbualan mereka.

Ia adalah sesi ‘nazarat’, pandang semula akan tanggungjawab kekhalifahan yang berada di kedua pundak mereka. Inilah pandangan baharu, pendedahan baharu, kefahaman baharu dan dimensi fikir yang baharu, yang sepatutnya kita jiwai.


Biarpun lailatulqadar sudah berlalu, bahkan Ramadhan serta nikmat nikmatnya telah pun berlalu, jadikanlah tempoh keluar dari bulan barokah ini sebagai tempoh merenung kembali amal amal kita, dan semoga di akhirnya, ia menjadi booster untuk lebih kencang di medan reality, bukan sekadar di blog, facebook mahupun segenap media alam maya yang lain.

Bahkan saudaraku,

Ustaz Nouman Ali Khan telah terlebih dahulu menambah rasa dalam kita memaknai lailatulqadar ataupun Ramadhan secara umumnya.

Sebelum mendedahkan sesuatu yang mind-blowing untuk diotakkan, beliau terlebih dahulu menimbulkan persoalan, agak agak kenapa Allah sering sebut dalam Quran yang maknanya lebih kurang agar Rasulullah saw dan kita yang datang kemudian ini, mengikut millatul Ibrahim, cara hidup Ibrahim, partikaliti Ibrahim. Persoalannya kenapa Nabi Ibrahim ? Kenapa tak Nabi Adam ke ? Nabi Nuh ke? Dan Nabi Nabi lain yang anda boleh senaraikan sendiri nama nama mereka? Kenapa?


Secara khulasahnya (kesimpulannya) kelima lima rukun Islam, asasnya datang atau bermula dari era Nabi Ibrahim. Rasanya tidak perlulah penulis ceritakan satu persatu daripada lima rukun tersebut supaya entry kali ini kekal short, simple yet sweet. Dan di Bulan Ramadhan, hubungan erat antara kita dan bapa kita Ibrahim lebih terserlah jika kita merenung ayat ayat Allah di sepanjang bacaan Quran kita dengan teliti.

Menurut beliau, puasa ataupun kita katakan Ramadhan yang ada padanya lailatulqadar, menjadi titik saksi bagaimana doa yang pernah diaminkan oleh Nabi Ibrahim serta Nabi Ismael suatu ketika dahulu di hadapan Kaabah dimakbulkan. Lailatulqadar seolah-olah mengajak kita mengenangkan kembali sejarah bapa kita Ibarahim a.s.

Tidak rugi kiranya kalau tinjau seketika doa doa tersebut;

Dimulai pada ayat 127 Surah al Baqarah sehinggala ke ayat ini;


“Ya Tuhan kami utuslah di tengah mereka (anak cucu kami) seorang rasul dari kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Mu, dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka, dan menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkau Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana”

(Al Baqarah :129)


Saudaraku, setelah melalui satu tempoh waktu yang panjang, sayu sekali kita dapati tatkala mengetahui dari keturunan Nabi Ibrahim yang mendiami kota baitullah itu, lahirnya zuriat zuriat yang menyembah berhala, menyekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak mereka ketahui, menafikan uluhiyyah kepada Allah swt, tidak seperti apa yang diharapkan dan didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s.

Begitulah perancangan Allah swt.

Ribuan tahun berlalu, siapa sangka akhirnya dari benih benih dan silsilah itulah akhirnya lahir seorang lelaki yang diangkat menjadi Rasul justeru repsresent makbulnyan doa yang begitu panjang usianya ini. Dan detik bersejarah di mana watikah pelantikan itu berlaku, yakni tatkala turunnya wahyu pertama yang berlaku pada lailatulqadar, di bulan Ramadhan!

Subhanallah, mind-blowing bukan?

Seakan-akan begitu dekat terasa kita dan Nabi Ibrahim a.s jika kita kenang-kenangkan semula. Sekali lagi, sisi pandang baharu tentang lailatulqadar, membawa kita mengembara ke zaman silam, merindukan sosok tubuh Nabi Ibrahim a.s. Rupa-rupanya usia dakwah ini sudah lama, bersambung di lorong-lorong yang jauh, merentasi zaman, generasi dan umat.

Maka,


Tidak cukuplah penghayatan Ramadhan mahupun lailatulqadar jika tidak kita telusuri kisah kisah berkenaan Nabi Ibrahim a.s. Dalam al Quran, ada satu surah khas yang dinamakan Ibrahim, mengambil nama Bapa kita Ibrahim a.s. Nama-nama surah ini tidaklah dipilih secara random, tetapi telah Allah swt tetapkan, tanpa ada siapa-siapa pun tahu kunci kunci rahsia kenapa.

Adapun begitu, menjadi tugas kitalah cuba untuk merungkaikan rahsia rahsia ini, berpandukan telunjuk wahyu dan akal yang sejahtera, untuk mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik penamaan Surah ini. Bukankah hikmah itu milik mu’min ?


Wajarlah untuk kita telusuri surah ini, secara kasar jika tidak secara detail, untuk kita tuai khasiat dan nilai yang tersurat mahupun tersirat. Barangkali di sana ada harapan baru. Eh.


Khowatir Surah Ibrahim


Bersambung….


(Mungkin tidak --’)

Sunday, July 12, 2015

ENGKAU BUKAN YANG DAHULU!



Engkau yang dahulu bukan yang sekarang.

Begitulah kurang lebih keratan lirik lagu yang dimainkan di corong radio tempoh hari. Ia tidak berada di carta yang teratas mahupun yang di bawah. Pasca Muktamar PAS yang penuh dengan kontroversi tempoh hari ini, penyanyi veteran Negara yang mula berkecimpung dalam arena politik mendedikasikan lagu ini buat PAS, merujuk kepada PAS yang kini bukan yang dahulu. Sudah pasti ada mesej tersembunyi yang Makcik Aishah mahu sampaikan.

Kita tinggalkan Aishah, PAS dan Muktamarnya.

Bahkan manusia pun berubah. Hari hari kita berubah. Perubahan adalah wajib berlaku. Saban detik dan saat, cell cell baharu terhasil daripada hasil proses mitosis, menggantikan cell lama yang mati. Gabungan cells yang banyak ini membentuk tisu yang baharu, lebih segar dan menghidupkan untuk fizikal makhluk yang bernyawa.

Pokok yang baru tumbuh dari semaian biji benih pun mengalami perubahan fizikal. Jika semalamnya akarnya berukuran 5 milimiter, barangkali sudah bertambah hari ini, seterusnya untuk esok dan hari berikutnya.

Bahkan al Quran dahulu telah menyampaikan berita ini kepada kita;


“Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Tetapi wajah Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal”

(Ar Rahman : 26-27)


Tidak dapat disangkal lagi akan perubahan perubahan yang berlaku. Yang perlu kita renungkan sejenak di sini, rugilah orang yang fizikalnya berubah, makin berisi, makin sehat, kehidupan makin baik dengan nikmat nikmat kurniaan Allah swt, gaji bertambah angkanya, tetapi spiritually tidak ada perubahan. Lewat ibadah ibadah khususnya, hanya pergerakan pergerakan kosong.

Sungguh, ia memuhasabahi kita!


Tinggalkan sejenak muhasabah yang ringkas ini.

Khowatir Surah Ali Imran

Tekanan hidup yang makin dahsyat setelah hijrah ke Madinah serta adanya ujian ujian bentuk baharu menyebabkan ada isu perubahan prinsip, akidah dan pegangan berlegar legar dalam kalangan masyarakat Muslim Madinah semasa zaman Nabi SAW. Begitulah khulasah Syed Quttb lewat menafsirkan secara kasar Surah Ali Imran sebelum perbicaraan ayat ke ayat. Ataupun boleh kita katakan itulah yang difahami penulis tatkala menyelusuri karya Syed Quttb itu.


Usai perang Badar al Kubra yang menghadiahkan harta rampasan yang sangat dahsyat buat para sahabat yang rata-ratanya berlatar belakangkan orang susah, miskin dan membutuhkan keperluan hidup itu, sedikit sebanyak prinsip dan perjuangan kaum Muslim tergoyahkan. Itulah kali pertama ‘dunia’  dibuka dan dihamparkan di depan mata mereka. Sehingga ada yang bertanya tanya soal pembahagian harta rampasan perang, seolah olah tidak ada topik lain yang patut dijadikan bualan.


Kemudian, kehidupan di Madinah merupakan titik mula interaksi besar besar-besaran Masyarakat Muslim dengan kaum Yahudi. Interaksi dengan Yahudi dalam kehidupan seharian di Madinah pada tahun tahun terawal pasca Hijrah sungguh menguji iman dan prinsip mereka. Yahudi yang begitu licik itu, dikatakan tidak henti henti melancarkan kempen dan propaganda untuk mensaiko muslim untuk meragui kepercayaan mereka.


Isu kenabian, peralihan kiblat dan sebagainya dijadikan modal politik mereka. Sebagai respon kepada pertarungan pemikiran, psiko war yang sangat dahsyat ini, banyak kali teguran teguran keras terhadap Ahli Kitab disisipkan sepanjang Surah Ali Imran. Ia memberi gambaran betapa ter-efeknya kaum muslimin terhadap kempen Yahudi ini sehingga teguran teguran dari langit turun untuk menyelesaikan isu dan konflik ini.


Tidak cukup dengan itu, kaum muslimin diuji pula dengan peristiwa peperangan Uhud yang secara kesimpulannya boleh kita katakan Kaum muslim mengalami kekalahan dan moral mereka begitu teruji. Ramai sahabat yang besar dan utama syahid dalam peperangan tersebut. Termasuklah penghulu syurga, Hamzah bin Abdul Mutalib r.a. bapa saudara Nabi SAW sendiri.


Cukuplah pakej ujian ini untuk menggoyahkan prinsip umat Islam daripada generasi terbaik itu. Lebih lebih lagi bagi yang baru sahaja memeluk Islam, yang masih belum mantap fikrah dan iman mereka.

Maka turunlah Surah Ali Imran di sepanjang tahun tahun terawal pasca Hijrah Madinah untuk menyelesaikan isu isu ini, dan mengubati para sahabat, yang sama ada terkesan secara kepercayaan mahupun pola fikir mereka.


Mungkin, mungkin ada yang sudah berubah pada waktu.

Barangkali ada yang sudah menyanyikan bait lirik tadi;

‘Engkau yang dahulu, bukan yang sekarang…’


Sehinggakan di pertengahan Surah, Allah swt mengingatkan kita semua akan satu perkara yang sangat besar. Perkara yang sudah mungkin dilupai oleh muslim Madinah setelah melalui kehidupan yang beragam setelah hijrah Madinah, juga yang mungkin telah dilupai oleh sebahagian besar daripada kita hari ini, yang sudah beberapa tahun melewati usia tarbiyah.


Sengkang waktu yang lama, perjalanan hidup yang makin berliku dalam usaha memenuhi tuntutan shahadah kita, dengan bisikan bisikan dunia yang datang dalam pelbagai bentuk yang kadang kadang tampak islami, barangkali kita sendiri sudah pun berubah, dari segi prinsipnya. Mungkin juga perubahan ini langsung berlaku kerana kekecewaan di jalan dakwah, kerana konflik sesama ahli gerakan islam dan kerana masalah masalah dalaman yang tidak menemukan titik penghujungnya.

Bahkan ia benar benar berlaku!

Allah swt mengingatkan kita semua akan sebuah perjanjian, mithsaq…!


“Dan ingatlah ketika Allah mengambil (mithsaq) perjanjian dari para nabi, “Sungguh apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah kemudian datang kepadamu seorang rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya”

Allah berfirman, “Apakah kamu berikrar dan menerima perjanjian-Ku terhadap yang demikian itu?” Mereka menjawab, “Kami berikrar”. Allah berfirman, “Kalau begitu saksikanlah dan Aku menjadi saksi bersamamu”

(Ali Imran :81)


Dalam karya Muntalaq, Sheikh Ahmad Rashid memberi komentar berikut seputar ayat ini,
Nabi Ibrahim a.s, Musa a.s., Isa a.s. dan seluruh para nabi a.s. telah mengambil bai’ah dari orang yang beriman dengan mereka supaya beriman dan membantu Muhammad saw menghadapi kufur jika sekiranya Nabi Muhammad diutuskan dan mereka masih hidup

Beliau turut sempat menukil kembali kata kata Ibnu Abbas r.a. tentang ayat ini;

‘Setiap kali Allah mengutuskan seorang nabi, Dia mesti mengambil perjanjian bahawa sekiranya Allah mengutus Muhammad saw, nabi itu mesti beriman kepada nabi Muhammad saw dan menolong baginda. Allah juga menyuruh nabi itu meminta umatnya berjanji sekiranya Muhammad saw diutus di zaman mereka hidup, mereka juga mesti beriman kepada Muhammad saw dan mesti menolong baginda saw’


Oleh itu, kita sebagai pewaris dan sebahagian daripada umat Nabi Muhammad saw pada hari ini adalah lebih wajib, lebih patut dan lebih utama memberikan perjanjian tersebut.


Perjanjian untuk beriman dan membantu Nabi SAW. Membantu meneruskan tugas tugas kenabian, membantu melaksanakan mesej dakwah di muka bumi ini.

Untuk menambahkan lagi perisa ayat ini,

Perhatikanlah, perkataan ‘mithsaq’ digunakan. Ada beberapa perkataan lain dalam bahasa Arab yang boleh membawa maksud perjanjian. Tetapi  perkataan mithsaq adalah yang paling tempat untuk keadaan ini kerana membawa kesan yang dalam, sesuai dengan mesej yang sangat besar. Ia bukan sekadar perjanjian biasa-biasa. Bukan janji temu untuk berjumpa dengan fulan dan fulanah di sekelain tempat. Bukan sekadar perjanjian dalam proses jual beli, tetapi berjanji untuk melaksanakan satu amanah yang sangat berat, besar dan dahsyat. Satu amanah yang tidak dapat dihuraikan dengan mana-mana kosa kata.

Sebagaimana orang Melayu menggunakan perkataan watikah, alih bahasa daripada perkataan mithsaq, untuk memberi amanah pelantikan kepimpinan kepada seseorang untuk menerajui mana-mana organisasi, begitulah ruh perkataan mithsaq, bahkan lebih tinggi tingkatannya. To place trust in anyone. Frasa simple nye begitula.

Lihatlah betapa bermakna dan memberi kesannya ayat ini. Dan ia dibawakan dalam surah Ali Imran ini, setelah kita berbicara tentang bentuk bentuk ujian yang dialami oleh kaum Muslim Madinah. Allah menyentak kita semua untuk kembali mengingati perjanjian yang telah diambil, amanah yang telah diletakkan pada kedua bahu kita dan mengingatkan kita akan prinsip prinsip islam yang kita pernah laung-laungkan sebelum ini.


Akhi Fillah,

Mari lah kita kenang-kenangkan kembali siapa kita. Bagaimana kita bermula, bagaimana episod episod awal, detik detik awal kita bersama gerabak tarbiyah dan dakwah. Luangkan sedikit masa untuk merenung amal amal kita sepanjang kita berada atas jalan ini dan lihatlah ke dalam diri kita hari ini. Apakah kita masih berpegang teguh dengan prinsip prinsip yang diajarkan dalam halaqah kita dahulu.

Setelah setahun, dua tahun, tiga tahun bahkan puluhan tahun bersama halaqah, adakah kita masih berada di lapangan amal dan melakukan kerja kerja membina manusia, mencari individu yang terbaik untuk dibentuk dalam halaqah? Kita yang dahulunya tidak penat dan lesu berkongsi tentang keterujaan melakukan kerja kerja mentaqwin manusia, mentarbiyah, hadir ke halaqah mingguan dan program program tarbawi, adakah kita masih bersama semua itu?

Kerana  diriku melihatmu dari jauh wahai akhi, engkau yang sekarang bukan yang dahulu.

Dari jauh kulihat, prinsip prinsip dakwah sudah mula meluntur dalam gerak kerja mu.

Kerja kerja membina manusia, mengajak mereka kepada islam dengan cara yang kita imani dahulu sudah makin lesu. Bahkan kau tampak bahagia dengan kerja kerja lain. Tidak perlulah kita senaraikan kerja kerja lain itu.

Akhi,


Apakah yang berlaku ?
Apakah dunia telah menyelinap masuk ke dalam hatimu?
Apakah aku telah membuatkan engkau kecewa lalu kau membawa diri?
Apakah?


Cerita cerita sedih ini, tidak mahu kami kenangkan lagi. Penulis berpendapat, sangat wajar seluruh aktivis gerakan islam, mereka yang bersama halaqah, sama ada pernah atau masih istiqomah, ataupun sudahpun melupakan sebahagian daripada kerja kerja dakwi yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu untuk menyimak kembali makna makna tersembunyi daripada surah Ali Imran ini.

Buat kali pertama ia turun untuk menyelesaikan isu dan konflik yang berlaku dalam kalangan masyarakat muslim di era Nabi saw, menenangkan mereka, mengembalikan mereka ke landasan yang betul dan mengingatkan akan tugas dan tanggungjawab mereka di muka bumi.

Kali ini, surah yang sama, struktur ayat dan mesej yang sama, tidak berubah walau sedikit pun terbentang di hadapan kita untuk kita tuai manfaat dan khasiatnya.

Penulis telah bersetuju dengan Syeikh Amr Khaled yang telah memilih tema “At thabat” bagi keseluruhan surah Ali Imran ini. Ya, tema yang tepat mengikut pikiran kita. At thabat, keteguhan. Teguh dengan prinsip dan perjuangan kita.

Sesuai lah juga dengan penutup surah ini, Allah swt menggesa kita untuk thabat;


“Hai orang-orang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetap bersiap siaga dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung!”
(Ali Imran :200)



Terjemahan yang kurang tepat. Telusurilah text aslinya untuk mendapatkan zouq, rasa bagi kalam Allah ini. Akhir sekali, tidaklah aku menulis untukmu akhi dan untuk diriku jua, melainkan kita tergolong dalam kalangan orang yang beruntung!

Monday, October 6, 2014

HIFZULLAH LI DINIHI





Mari kita taddabur setelah sekian lama tidak bertemu. Entah mengapa begitu produktif menulis setelah lama berehat.






Artinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Qur’an dan pasti Kami (pula) yang menjaganya.”  (Al Hijr [15] : 9)



Al Quran mempunyai beberapa nama yang disebut dalam ayat-ayat dalam al Quran sendiri. Antaranya ialah, al Quran sendiri, al Furqan, al kitab, huda, an nur, as syifa, az zikr dan banyak lagi. Setiap nama nama al Quran ini mempunyai maksud yang khusus yang menjelaskan kefungsian Quran yang tersendiri, selari dengan namanya.



Allah Azza Wajal tidak setiap masa merujuk Quran sebagai al Quran. Kadang-kadang Allah swt akan menggunakan perkataan al kitab. Kadang-kadang al huda. Kadang-kadang nama nama yang lain, sesuai dengan mesej yang hendak disampaikan.


Sebagai contoh,


Apabila berbicara tentang Quran yakni sebagai sesuatu yang dibaca dan dikaitkan dengan bahasa Arab (sesuai dengan fungsi al Quran untuk dibaca) Allah menggunakan perkataan al Quran. Err, faham ke?


Cuba lihat ayat kedua dan ketiga surah Yusuf. Dua kali perkataan Quran disebut, kerana membawa mesej bacaan iaitu baca untuk memahami dan baca untuk mengetahui kisah Yusuf. Tidak pula di ayat ayat ini, Allah gunakan perkataan al kitab atau as syifa. Meskipun perkataan al kitab dan as syifa juga merujuk kepada al Quran, tetapi ia tidak kena dengan mesej yang hendak disampaikan.


Ok.

Disebabkan contoh di atas kelihatan sukar untuk difahami, mari kita lihat satu lagi contoh. Perkataan al kitab, bermaksud secara surfacenya buku , atau sesuatu yang mengandungi tulisan, atau ketetapan, kewajipan. Secara spesifik al kitab ini merujuk kepada buku perundangan. Bahkan, jika merujuk kepada literature bahasa Inggeris kita sering dengar dalam trial omputih hakim menggunakan frasa,


Throw the book at….

Ini bukanlah bermaksud si hakim ambil buku dan lempar sekuat iman kepada tertuduh, tetapi maksudnya to charge or punish someone as severely as possible. Entah dosa apa yang dilakukan oleh tertuduh sehingga terkeluar frasa azab ini. Eheh.


Maka, apabila Allah Azza Wajal menggunakan perkataan al kitab dalam ayat ayat Quran, kebiasaannya mesej yang hendak dibawa berkaitan dengan fungsi al Quran sebagai buku perundangan. Cuba tengok surah al Maidah ayat empat puluh lapan, 48.


(Peringatan: kalau kita baca terjemahan Melayu sahaja, semuanya dia bantai Quran, jadi mereka yang tidak mentadabur ayat Quran secara harfiyah (per huruf) mungkin tidak dapat menghargai perbezaan dan pendetailan ini. Sebagai contoh ayat yang dibawa di permulaan entry ini, tiba tiba sahaja terjemaham Melayu dibawakan perkataan al Quran, walhal dalam bahasa Arabnya tiada pun perkataan al Quran)


Pun begitu, taddabur saya ini tidak applicable di semua tempat. Boleh jadi tidak kena pun. Ini hanyalah perkongsian marhaen yang mungkin boleh membantu kita untuk menghargai kenapa berbeza nama Quran digunakan dalam ayat ayat Allah ini.






Baiklah, mari kita u turn kepada tadabur ayat di atas.



Artinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Qur’an dan pasti Kami (pula) yang menjaganya.”  (Al Hijr [15] : 9)


Cuba perhatikan betul betul bahasa Arabnya. Kali ini Allah swt menggunakan perkataan az zikra, yang kemudian diterjemah sebagai al Quran oleh penterjemah. Maknanya, boleh kita tadaburi bahawa Allah swt sedang berbicara tentang al Quran yang fungsinya sesuai dengan perkataan az zikr.


Allah swt nak bagitahu, Dia akan memelihara al Quran in the sense of Quran sebagai az zikr, sebagai peringatan, bukan Quran sebagai helaian kertas yang mengandungi tulisan bahasa Arab. Sebab itu mushaf al Quran, helaian helaian al Quran boleh dibakar jika hendak dilupuskan, kertas kertas tu akan hancur kalau dah lama disimpan tidak dibaca dan kalau dimakan anai-anai, tetapi mesej Quran sebagai peringatan, sebagai az zikr kekal terpelihara.


 Sekarang, az zirk, peringatan, apa maksudnya?


Secara mudah boleh kita katakan, az zikr ini ialah dakwah. Jika kita faham sedemikian rupa ruh ayat ini, dapat kita rephrase, bahawa Allah sedang bagitahu Dialah yang menurunkan dakwah dan Dialah yang akan memelihara dakwah ini. Allahu akbar!


Jadi kalau kita tak nak buat dakwah pun, dakwah akan tetap hidup. Bagi mereka yang berasa dakwah akan affected kalau dia meninggalkan gerabak ini, boooo kepada mereka. Kerana dakwah ini, Allah swt yang pelihara. Tidak hairanlah, walau setelah 1400 tahun lebih lamanya, mesej Islam masih sampai kepada kita, kerana Allah swt yang memeliharanya!


Yang lebih menarik, jika kita go deeper, umum mengetahui az zikr, dakwah dan Islam ini bukan sesuatu yang ajaib, tetapi bersifat praktikal. Ia adalah satu manhaj yang tidak boleh stand alone sebaliknya mesti didokong oleh manusia, barulah terpelihara. Kerana akhirnya az zikr ini untuk manusia juga. Kalau kita faham benda ini, dapat la pula kita extract daripada ayat ini bahawa Allah swt akan memastikan sentiasa ada hamba-hambaNya yang sudi untuk mendokong, menjaga dan menghidupkan az zikr ini di tengah tengah umah yang ketenatan.


Jika bukan kita, pasti ada orang lain.


Dan mereka yang memilih untuk bersama dakwah, bersama az zikr, sebenarnya telah memilih untuk turut sama berada dalam penjagaan dan pemeliharaan Allah swt. Kerana apabila Allah swt memelihara az zikr, secara automatic Allah swt akan memelihara orang-orang yang mendukung az zikr ini. Allahu akbar!


Ini adalah satu motivasi besar buat para daie untuk sentiasa bersama dakwah!


Untuk menambakan lagi perisa kepada perkongsian ini, mari saya bagitahu anda beberapa perkara menarik tentang surah Hijr secara umumnya.


Menurut Sheikh Amr Khalid dalam buku Khowatir Quraniyyah, tema bagi surah ini ialah penjagaan Allah swt  terhadap agamanya, hifzullah li dinihi. Allah swt akan menjaga az zikr, lantas menjaga mereka yang bersama az zikr ini.


Sebab itu kita dapati, setelah Allah swt berbicara akan az zikr ini, Allah swt bawakan dalam ayat ayat seterusnya kisah umat terdahulu. Dalam rentetan seerah klasik itu, sentiasa ada pertembungan dua golongan manusia. Satu golongan ialah mereka yang bersama az zikr manakala satu lagi ialah golongan yang menolak az zikr.


Dan di setiap pertembungan ini kita dapati golongan yang memilih bersama az zirk la yang akhirnya menjadi heroes bagi zaman masing-masing. Kerana mereka dijaga dan dipelihara oleh Allah swt, walaupun mereka tampak lemah, golongan minority dan tertindas.


Golongan yang menolak az zikr berakhir dengan kebinasaan, walaupun mereka orang yang kuat, ada kedudukan, pangkat tinggi, kaya raya tetapi tanpa pemeliharaan Allah swt, mereka dibinasakan oleh azab Allah.


Untuk menghayati mesej ini, cuba baca dari ayat 80 hingga ayat 84.  Kita dapati kisah penduduk Hijr yang medustakan rasul dalam ayat ayat ini. Kemudian, mereka memahat rumah daripada gunung batu dengan aman, tetapi akhirnya tetap dibinasakan. Walaupun berlindung disebalik rumah batu, atau disebalik kondominium mewah, rumah bungalow bertingkat tingkat, sebenarnya kita tetap tidak selamat, selagi mana tidak bersama az zikr.


Kisah penduduk negeri Hijr ini mewajarkan surah ini dinamakan al Hjir. Dan tema surah ini sebagai hifzullah li dinihi nampak lebih jelas dengan contoh kisah umat terdahulu yang dibawakan.


Jadi jelaslah, berdasarkan dalil naqli ini, lantas kita membenarkan kata-kata Sheikh Doktor Hamman Said, Dakwah di jalan Allah ialah jalan keselamatan di dunia dan di akhirat.


Buat para daie yang bersama az zikr, tidak henti-henti melaso dan membina manusia, yang saban hari fikirannya berada seputar mentakwin mutarabbi masing-masing, berbahagialah kerana kalian insya Allah berada dalam penjagaan Allah.


Dan buat mereka yang ada terfikir dalam benaknya untuk meninggalkan dakwah ini, fikirkan semula. Untuk kalian, saya akhiri dengan sepotong ayat Quran;



“Mereka itulah orang-orang yang telah kami berikan kitab, hikmah dan kenabian. Jika orang-orang itu mengingkarinya, maka Kami akan menyerahkannya kepada kaum yang tidak mengingkarinya”

(Al An’am :89)