Photographed by Fiqri Omar
Ustaz Pahrol Juoi yang sering menjuarai hati sidang pembaca
dengan artikel yang sentiasa basah dan mampu menyirami hati hati yang telah
lama kekontangan pernah mengupas topic malam al qadr, ataupun lailatul qadr
dari sisi yang cukup menarik, seakan membahagiakan…
Menurutnya, kurang lebih sebagaimana yang difahami oleh
penulis dengan tahap kebolehan menghadam yang marhaen ini, manusia pertama yang
mendapat nikmat lailatulqadr ialah Nabi SAW. Malam yang sinonim dengan
penurunan Quran itu merujuk pada malam turunnya kelompok pertama wahyu dari
langit. Ia malam bersejarah seluruh isi langit dan bumi, bersejarah buat
manusia dan kepingan kepingan hatinya, bahkan bersejarah buat makhluk makhluk
lain. Ia adalah malam yang dimuliakan dengan kalamullah, wahyu dari langit yang
turun untuk memandu perjalan bumi dan seisinya.
Bermula pada malam itu, terus menerus langit dan bumi
dihubungkan, perjalanan manusia mula pendapat perhatian langit, seolah-olah
baru diangkat dan dimuliakan bangsa manusia. Malam itu sarat dengan nilai nilai
yang mengagumkan. Begitulah, kefahaman dan penjelasan yang ditokok tambah,
supaya rasanya lebih sedap dan kesannya bersangatan. Eh.
Tidak cukup sekadar itu, penulis menasihati semua untuk
merenung dengan tajam tulisan Sayyid Quttb dalam buku Fi Zilalil Quran tatkala
beliau berkongsi pandangan beliau tentang surah al Qadr dan Surah al Alaq.
Dengan kefahaman ini,
pendedahan ini dan sisi pandang ini, ia membuatkan lailatulqadar lebih
signifikan buat para du’at. Jika di mata orang awam, lailatulqadar adalah
peluang beramal kerana ada barokah pada ganjarannya, malam yang lebih baik
daripada seribu bulan, bahkan mungkin lebih daripada itu kerana tidak
dinyatakan secara spesifik limit perbandingannya sehingga sepuluh malam terakhir menjadikan masjid masjid tidar
tidur, maka sepatutnya di mata pendokong risalah an nubuwwah ini pula,
lailatulqadar adalah peluang, kesempatan dan perjalanan untuk kembali melihat
perkembangan risalah dakwah di muka bumi.
Lailatulqadar di mata para du’at sepatutnya dilihat sebagai
satu malam untuk refleksi amal amal dakwi, melihat sejauh mana kita sudah
menghayati perjalanan dakwah Nabi SAW, sejauh mana kita izzah dengan
penglibatan secara langsung dengan gerakan tarbiyah dan dakwah, sejauh mana
kita merenung dan cuba memahami wahyu
yang telah diturunkan ini serta sejauh mana kita berhempas pulas untuk
memastikan mesej dari langit ini terus menerus berlegar dalam kalangan
masyarakat sehingga berada di carta teratas topic perbualan mereka.
Ia adalah sesi
‘nazarat’, pandang semula akan tanggungjawab kekhalifahan yang berada di kedua
pundak mereka. Inilah pandangan baharu, pendedahan baharu, kefahaman baharu dan
dimensi fikir yang baharu, yang sepatutnya kita jiwai.
Biarpun lailatulqadar sudah berlalu, bahkan Ramadhan serta
nikmat nikmatnya telah pun berlalu, jadikanlah tempoh keluar dari bulan barokah
ini sebagai tempoh merenung kembali amal amal kita, dan semoga di akhirnya, ia
menjadi booster untuk lebih kencang di medan reality, bukan sekadar di blog,
facebook mahupun segenap media alam maya yang lain.
Bahkan saudaraku,
Ustaz Nouman Ali Khan telah terlebih dahulu menambah rasa
dalam kita memaknai lailatulqadar ataupun Ramadhan secara umumnya.
Sebelum mendedahkan sesuatu yang mind-blowing untuk
diotakkan, beliau terlebih dahulu menimbulkan persoalan, agak agak kenapa Allah
sering sebut dalam Quran yang maknanya lebih kurang agar Rasulullah saw dan
kita yang datang kemudian ini, mengikut millatul Ibrahim, cara hidup Ibrahim,
partikaliti Ibrahim. Persoalannya kenapa Nabi Ibrahim ? Kenapa tak Nabi Adam ke
? Nabi Nuh ke? Dan Nabi Nabi lain yang anda boleh senaraikan sendiri nama nama
mereka? Kenapa?
Secara khulasahnya
(kesimpulannya) kelima lima rukun Islam, asasnya datang atau bermula dari era
Nabi Ibrahim. Rasanya tidak perlulah penulis ceritakan satu persatu daripada
lima rukun tersebut supaya entry kali ini kekal short, simple yet sweet. Dan di
Bulan Ramadhan, hubungan erat antara kita dan bapa kita Ibrahim lebih terserlah
jika kita merenung ayat ayat Allah di sepanjang bacaan Quran kita dengan
teliti.
Menurut beliau, puasa ataupun kita katakan Ramadhan yang ada
padanya lailatulqadar, menjadi titik saksi bagaimana doa yang pernah diaminkan
oleh Nabi Ibrahim serta Nabi Ismael suatu ketika dahulu di hadapan Kaabah
dimakbulkan. Lailatulqadar seolah-olah mengajak kita mengenangkan kembali
sejarah bapa kita Ibarahim a.s.
Tidak rugi kiranya kalau tinjau seketika doa doa tersebut;
Dimulai pada ayat 127 Surah al Baqarah sehinggala ke ayat
ini;
“Ya Tuhan kami utuslah di tengah mereka (anak cucu kami) seorang rasul
dari kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Mu,
dan mengajarkan kitab dan hikmah kepada mereka, dan menyucikan mereka.
Sesungguhnya Engkau Yang Mahaperkasa, Mahabijaksana”
(Al Baqarah :129)
Saudaraku, setelah melalui satu tempoh waktu yang panjang,
sayu sekali kita dapati tatkala mengetahui dari keturunan Nabi Ibrahim yang
mendiami kota baitullah itu, lahirnya zuriat zuriat yang menyembah berhala,
menyekutukan Allah dengan sesuatu yang tidak mereka ketahui, menafikan
uluhiyyah kepada Allah swt, tidak seperti apa yang diharapkan dan didoakan oleh
Nabi Ibrahim a.s.
Begitulah perancangan Allah swt.
Ribuan tahun berlalu, siapa sangka akhirnya dari benih benih
dan silsilah itulah akhirnya lahir seorang lelaki yang diangkat menjadi Rasul
justeru repsresent makbulnyan doa yang begitu panjang usianya ini. Dan detik
bersejarah di mana watikah pelantikan itu berlaku, yakni tatkala turunnya wahyu
pertama yang berlaku pada lailatulqadar, di bulan Ramadhan!
Subhanallah, mind-blowing bukan?
Seakan-akan begitu dekat terasa kita dan Nabi Ibrahim a.s
jika kita kenang-kenangkan semula. Sekali lagi, sisi pandang baharu tentang
lailatulqadar, membawa kita mengembara ke zaman silam, merindukan sosok tubuh
Nabi Ibrahim a.s. Rupa-rupanya usia dakwah ini sudah lama, bersambung di
lorong-lorong yang jauh, merentasi zaman, generasi dan umat.
Maka,
Tidak cukuplah penghayatan Ramadhan mahupun lailatulqadar
jika tidak kita telusuri kisah kisah berkenaan Nabi Ibrahim a.s. Dalam al
Quran, ada satu surah khas yang dinamakan Ibrahim, mengambil nama Bapa kita
Ibrahim a.s. Nama-nama surah ini tidaklah dipilih secara random, tetapi telah
Allah swt tetapkan, tanpa ada siapa-siapa pun tahu kunci kunci rahsia kenapa.
Adapun begitu, menjadi tugas kitalah cuba untuk merungkaikan
rahsia rahsia ini, berpandukan telunjuk wahyu dan akal yang sejahtera, untuk
mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik penamaan Surah ini. Bukankah hikmah
itu milik mu’min ?
Wajarlah untuk kita telusuri surah ini, secara kasar jika
tidak secara detail, untuk kita tuai khasiat dan nilai yang tersurat mahupun
tersirat. Barangkali di sana ada harapan baru. Eh.
Khowatir Surah Ibrahim
Bersambung….
(Mungkin tidak --’)
No comments:
Post a Comment