Friday, July 24, 2015

SURAT UNTUK MURABBI



Jangan risau, ia bukan surat layang berunsur kekecewaan dan teguran ‘direct’ untukmu murabbi, melainkan senaskah pesanan umum untuk kesemua al akh yang juga seorang murabbi.

Sebelum memulakan bacaan sekitar siri siri nasihat daripada Sheikh Abu Ammar untuk para nuqaba’; al akh yang juga seorang murabbi, kita akan terlebih dahulu ‘terserempak’ dengan sepotong ayat Quran yang cukup membekas ke dalam jiwa seorang murabbi, tatkala membuka lembaran buku tersebut. Buku yang dimaksudkan ialah Tazkiratun Naqib.

Allah swt berfirman;

“Dan sesungguhnya Allah swt telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israel dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang pemimpin (naqib) dan Allah berfirman,

‘Sesungguhnya aku bersama kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman dengan rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus”

(Maidah :12)


Cukup menggugah bukan ?!

Saudaraku,

Surah al Maidah merupakan surah yang sarat dengan perkataan janji. Ia mengingatkan kita kembali kepada janji janji yang telah termeterai dalam kalangan Yahudi dan Nasrani dan bagaimana mereka melupakan sebahagian janji janji ini. Bahkan, dipermulaan surah lagi, Allah sudah menyeru;


“Hai orang-orang beriman, penuhilah aqad-aqad itu…”

(Al Maidah :1)


Aqad ataupun dalam bahasa akademik bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam seperti penulis ini juga boleh difahami sebagai contract, tidak lebih dan tidak lari daripada makna janji. Dalam bahasa Arab, ada banyak lagi perkataan yang secara kasarnya membawa maksud janji. Kepelbagaian perkataan ini digunakan dalam Quran, untuk menceritakan tentang janji, dengan kadar maksud, rasa dan intensity yang berbeza beza.


On top of that, sekali lagi dalam buku fenomenal beliau, Khowatir Quraniyyah, Syeikh Amr Khaled telah memilih dan mengangkat tema “Perjanjian” bagi surah al Maidah. Menurut beliau lagi, nama surah yakni al Maidah sendiri dipilih untuk mengingatkan kisah dan perjanjian antara Bani Israel, Nabi Isa a.s dan Allah swt.

Bani Israel dari kalangan pengikut Nabi Isa a.s meminta agak Allah swt menurunkan hidangan (maidah) dari langit sebagai bukti kekuasaan Allah dan moga hati mereka lebih tenteram dan sejahtera dalam menetapkan keimanan kepada Allah swt.

Bacalah kisah ini, dalam surah al Maidah dari ayat 112 hingga 115.

Allah menutup kisah Maidah ini dengan firman-Nya;


“Sesungguhnya Aku akan menurunkannya (hidangan) kepadamu. Barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, maka sesungguhnya Aku akan menyiksanya dengan siksaan yang tidak pernah Ku timpakan kepada seorang pun di kalangan umat manusia”

(Al Maidah :115)


Fuh. Sekali lagi menggugah!


Tepatlah jika kita katakan perkataan Maidah yang menjadi nama bagi surah Maidah merupakan symbol kepada perjanjian ini, dan penulis telah bersetuju dengan Syeikh Amr Khaled dalam hal ini, tanpa taksub. Eh.

Buat sekalian akh Murabbi,

Dalam ayat 12 yang dinakal pada awal entry ini, kisah berkisar pelantikan 12 orang pemimpin dari kalangan Bani Israel, Allah telah menggunakan perkataan naqib. Maka, sepatutnya bertambah-tambahlah kesan penghayatannya kepada kita. Kisah ini tidak dibawakan dalam al Quran melainkan antaranya untuk kita melontarkan persoalan yang ditimbulkan ke dalam diri kita, yang juga naqib, murabbi kepada binaan masing-masing.


Meskipun tidak ada dokumen hitam putih beserta tanda tangan akur janji dan saksi, membariskan nama kita dalam senarai nama nuqaba ataupun murabbi dengan kesanggupan kita mentarbiyah, menguruskan halaqah halaqah tarbawi sudah cukup untuk mengiyakan bahawa ia satu pelantikan yang terjadi secara tidak langsung, daripada Allah swt kepada kita. Ia satu perjanjian!

Seakan berat bukan rasanya !

Ah. Beratnya perasaan itu, sehinggakan membaca dan mengenangkan hal ini, hampir sahaja kita ingin tinggalkan halaqah, menarik diri, memadam nama kita dalam senarai tersebut dan hampir sahaja kita kanselkan perjumpaan halaqah malam ini. Hampir sungguh!

Jangan terburu-buru akhi!

Sungguh, Allah telah terlebih dahulu menenangakan kita tatkala pelantikan itu disusuli dengan satu jaminan keselamatan, satu pengakuan hitam putih, satu perisytiharan atau kata-kata, press release yang mendamaikan tatkala Allah berfirman;

Inni ma’a-kum, Sesungguhnya Aku bersama kamu.


Wah. Mendengar sahaja pengumuman ini, tiba tiba perasaan kita kembali berbunga bunga, bercampur baur antara beratnya tanggungjawab dan nikmatnya kebersamaan ini. Inni ma’akum. Menggunakan kata ganti diri pertama yakni inni, ‘sesungguhnya Aku’ bukan InnaLlah, menunjukkan betapa dekat dan mesranya Allah swt dalam hal ini.

Mengasyikkan bukan! Lalu kenapalah kita masih memilih untuk tidak terus menjadi seorang murabbi ? Mengapa kita masih ragu ragu untuk menjadi seorang naqib? Apakah yang masih menghalangi langkah kita di lorong lorong keselamatan ini ? Ketahuilah, jika Allah sudah bersama kita, maka tidak perlulah lagi kita risaukan andaipun seluruh manusia berkumpul dan berhajat untuk memudaratkan kita. Cukuplah, Allah bersama kita.

Ia mengingatkan penulis kisah menyayat hati dan menyentuh perasaan antara Rasulullah saw dan Abu Bakr r.a dalam Gua Thur, ketika mereka dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Abu Bakr sangat merisaukan status keselamatan Baginda ar Rasul. Namun telitilah bagaimana respon Rasulullah saw yang diabadikan dalam surah at Taubah ayat 40 itu,


“ Janganlah kau sedih, sesungguhnya Allah bersama kita”

Wahai!

Akan tetapi wahai para murabbi,

Jangan terlalu asyik. Jangan jangan. Mari kita sambung. Kemudian Allah swt menggariskan syarat syaratnya;


 ‘Sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman dengan rasul-Ku dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik’


Lima syarat yang tidaklah sukar pada pandangan kasar. Tetapi inilah syarat syaratnya untuk terus berada di jalan dakwah! Syarat syarat inilah juga yang menyebabkan ramai yang memilih untuk kembali hidup seperti manusia kebanyakan.  Tiba tiba kita terasa berat bukan? Ah. Sungguh cepat hati berbolak balik.

Mendirikan solat. Menunaikan zakat. Beriman dengan rasul. Bukankah ini adunan rukun iman dan islam? Seakan tidak payah untuk terpenuhi syarat syarat ini. Tetapi membantu rasul di jalan dakwah dengan mengidupkan kembali suasana dakwah dan tabiyah, sanggup berhadapan penolakan, penghinaan, kutukan dan cercaan serta memberikan Allah pinjaman yang baik berupa masa, tenaga, wang ringgit, emosi, idea dan sebagainya, huh, tidak mudah, tidak mudah.


Boleh jadi memberi pinjaman pinjaman ini menyebabkan kita terlepas ‘peluang’ menikmati waktu bersantai santai bersama keluarga, ketinggalan dalam perlumbaaan mengejar pangkat dalam karier masing-masing, terlepas peluang memandu kereta berkuasa laju bersama yang tercinta, tidak cukup masa untuk menonton perlawanan bola sepak dan berkunjung ke stadium stadium terkemuka di dunia dan sebagainya. Boleh jadi, bahkan itulah sebahagian kecil yang boleh kita senaraikan!


Tetapi sekali lagi Allah swt menenangkan jiwa kita yang bergelojak itu, mententeramkan perasaan kita yang bergelora, dan merawat emosi kita yang tidak stabil itu. Sekali lagi dengan menggunakan kata ganti diri pertama sebagai tanda kedekatan dan kerapatan, Allah berfirman;


 ‘Sesungguhnya Aku akan menutupi dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Ku-masukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai sungai’


Allah, basah !
Tidak perlulah kita panjangkan lagi huraian nya.



Akh murabbi, beruntung sungguh kalian!

4 comments:

Mysura said...

assalamualaikum saudara, inta copy paste boleh? syukran jazilan :)

Inspector Saahab said...

silakan

Anonymous said...

Sy confuse. Penulis dah bertukar/bertambah atau dah bertukar course?

Saahab said...

Err... motif soalan ?