Showing posts with label DOA. Show all posts
Showing posts with label DOA. Show all posts

Tuesday, June 24, 2014

DOA DOA LEJEN (2)




“Antara nikmat yang jarang jarang sekali disyukuri” Kata seorang al akh, lalu dia teruskan ayatnya, “Ialah nikmat ingatan dan kebolehan menghafal. Cuba bayangkan kita bangun pagi esok, nak solat tahajjud atau subuh, tiba-tiba Surah al Fatihah hilang dari ingatan, Kita kelu, nak solat pun tak sah, sebab tu rukun. Kalau tu berlaku, boleh jadi Allah pun dah ‘refuse’ dengan kita. Tapi hakikatnya Allah pelihara hafalan kita walaupun kita tak pernah doa macam tu atau mensyukuri satu nikmat ini”

Terkedu di situ.

In sha Allah kita akan teruskan dengan episode doa-doa lejen yang seterusnya. Sempena meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang kita rindui setelah sebelas bulan lamanya berjauhan dan menanti, elok juga kalau kita perbanyakkan sesi taddabur al Quran. Ramadhan dan al Quran merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Gituuh. Saya kira melihat dan meneliti doa-doa para anbiya’ daripada kitab al Quran juga merupakan satu taddabur dan usaha kita untuk lebih memahami al Quran.


Dan ketika Ibrahim berdoa, “Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada Allah dan hari akhirat……
(Al Baqarah :126)


Doa daripada Nabi Ibrahim di atas merupakan satu doa yang sangat power, khusus dan mempunyai ciri-ciri futuristic. Pertamanya Nabi Ibrahim mendoakan keamanan negeri tersebut yakni Mekah dan supaya penduduknya yang beriman dikurniakan rezeki berupa buah buahan.

Sebelum itu, perkara yang agak penting untuk kita menghayati doa ini ialah dengan study dan meneliti terlebih dahulu setting Kota Mekah waktu itu, atau mengetahui latar belakang ‘al balad’ yang dimaksudkan.

Wallahu’alam. Saya tidak tahu bagaimana kondisi keamanan kota itu. Tetapi jika kita menyoroti sirah Tanah Arab sebelum kelahiran Rasulullah saw, kabilah kabilah di sana berpecah belah dan hidup dalam sistem social yang porak peranda. Dengan kegiatan mencuri dan merompak sebagai sumber ekonomi, pastilah itu bukan yang dinamakan aman.

Berkenaan rezeki buah-buahan, atau kesuburan tanah pula, umum mengetahui kota Mekah bukanlah macam Malaysia, tanam apa pun hidup. Kota yang tanah tidak subur, hatta setahu saya pokok kurma pun tidak ada di Mekah melainkan di Madinah. Bahkan kita sedia maklum peristiwa Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail di sini, di tanah yang tandus. Kemudian rentetan cerita itu barulah menatijahkan adanya telaga zam zam yang menjadi sumber air kota Mekah.

Tetapi keamanan dicapai setelah kedatangan Islam. Dan sebelum itu lagi, Allah telah memakbulkan sebahagian doa dengan menjadikan Mekah sebagai kota peribadatan di mana masyarakat dari pelbagai tempat berkunjung untuk beribadah di Kaabah. Lalu adanya perdagangan. Hasilnya, buah buahan dan bermacam bentuk rezeki masuk ke kota Mekah.

Secara surface nya begitulah.
Yang paling menarik ialah pengkhususan bait bait doa yang seterusnya yang dipohon oleh Nabi Ibrahim a.s tatkala dia meminta rezeki berupa buah buahan tadi hanya dikurniakan kepada mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Bayangkan sekiranya doa doa ini benar benar dimaqbulkan sebiji seperti permohonan Nabi Ibrahim, pastinya yang tinggal di Kota Mekah hanyalah mereka mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Pendek kata, orang orang yang selainnya, akan mati kelaparan dan kebuluran kerana doa Nabi Ibrahim. Apa yang berlaku jika hanya orang yang beriman yang tinggal ?

Selesai la masalah umat manusia, paling kurang. Tidak berlakulah pertembungan antara al haq dan kenathilan.

In a way, kita boleh simpulkan mengikut kefahaman ini bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang yang berpandangan jauh, tidak pentingkan diri dan meletakkan harapan dan cita cita yang besar untuk masa depannya. Meskipun sebahagian doa dimaqbulkan, tetapi doa ini benar benar terjadi setelah berlalunya ‘zaman’ Nabi Ibrahim a.s. Boleh jadi Nabi Ibrahim sendiri tidak sempat menikmati hasil doanya namun dia tidak kisah, asalkan dia tinggalkan sesuatu yang baik buat ummah manusia yang mendatang.

Sehinggalah Allah swt menyambung ayat tadi dengan firman berikut;

Allah berfirman, “Dan kepada orang kafir sekalipun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”

Al Baqarah :126

Saudaraku,
Setelah sahih dan muntij, amal yang lebih baik yang merangkumi kedua ini ialah amal yang mempunyai ciri-ciri futuristic. Amal untuk masa depan. Begitulah juga dalam jalan dakwah, betapapun banyak usaha yang dilakukan oleh para duat pasca kejatuhan Islam di sepanjang sejarah Islam yang penuh dengan titisan darah yang terkorban, sehingga hari ini kita dapati masih belum kelihatan bibit bibit kemenangan untuk Umat Islam.

Bahkan, saban hari kita dimomokkan di media massa tentang betapa porak perandanya umat Islam. Pemimpinnya menggunakan nama agama untuk kepentingan diri sehingga darah mereka yang seaqidah dihalalkan. Rakyatnya pula disibukkan dengan isu isu sampingan, mudah melenting dengan perkara-perkara kecil dan sering tewas dengan gangguan emosi.

Sehinggakan inti islam tidak lagi terpamir. Makin hari, makin parah pula keadaan umat di serata tempat. Satu demi satu kejelekan yang melanda umat ini terbongkar, sehingga kadang-kadang ada dalam kalangan Umat Islam mula mempersoalkan agama ini.

Merasakan masih panjangnya gerhana ini, teramatlah penting untuk para duat melihat ke masa hadapan dan beramal selari dengan impian dan cita-cita itu, persis Ibrahim. Panjang dan jauhnya tujuan dan cita-cita kita membutuhkan kesabaran dan mujahadah yang tinggi. Tanpa kedua ini, ramai yang mengambil jalan pintas untuk beramal, kerana sudah tidak tahan lagi terlalu lama hidup tanpa sang mentari, meskipun matahari hanya dibayangi bulan.

Sejak dari awal lagi kita sudah nyatakan, berbincang dalam siri siri daurah dan konferens kita bahawa tatkala bersama dengan gerakan tarbiyah dan dakwah, core business kita adalah tarbiyah, membina manusia dalam halaqah halaqah kecil kita. Membina manusia dalam skala kecil, perlahan dan dengan kemungkinan kemungkinan tidak berhasil bukan kerja yang mudah.

Mereka yang membina manusia dalam halaqah kecil tidak popular. Nama mereka tidak diangkat di media massa. Wang, tenaga dan masa dikonsumsikan untuk hasil yang sekelumit cuma. Sehinggalah makin ramai yang mulai lari dari pondasi ini. Kerana sekiranya metode ‘tradisional’ ini diteruskan, maka cita-cita besar itu kemungkinanya tidak dapat kita kecapi selagi nyawa dikandung badan.

Lalu ada dalam kalangan duat memilih menggunakan jalan yang lebih pantas kerana terliur melihat sambutan yang hangat dengan program yang lebih besar dan termakan dengan himpunan angka angka manusia yang tersenarai. Dengan pertambahan yang cepat dan ramai ini, dilihatnya cita-cita itu makin mendekati. Kita berdoa semoga ia tidak menjadi pandangan mirage di padang pasir yang gersang.

Adapun sudah menjadi sunnah dan tabiat agama ini, ia membangun dengan perlahan dan konsisten, memerlukan kerja yang teliti, teratur, perancangan yang rapi dan pemilihan yang ketat kerana kita sedang mendirikan agama yang rabbani, bukan ideology cap ayam.

Sebenarnya tidak mengapalah sekiranya ajal menjemput kita terlebih dahulu menuju Tuhan yang Esa sebelum sempat kita melihat sistem khilafah untuk bangkit sekali lagi, kerana yang penting manusia masa hadapan yang akan menghabisi perjuangan ini lahir dan dibentuk melalui usaha-usaha tangan kita. In sha Allah kita juga akan mendapat pahalanya.

Begitulah Ibrahim a.s melihat masa depan manusia umumnya. Tidak mengapalah sekiranya doanya itu tidak sempat untuk dia nikmati, tetapi keamanan, dan rezeki yang melimpah ruah yang singgah di kota itu sedikit sebanyak adalah kerana doa Nabi Ibrahim. Maka setiap manusia yang mendapat manfaat daripada doa ini, Nabi Ibrahim a.s patutnya menjadi individu yang paling gembira.

Apakah sebenarnya yang menghalang kita untuk melakukan sesuatu untuk ad deen yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya ini ? Sesungguhnya kekecewaan, kesedihan dan keluhan kita setelah berlalu tidak membawa sebarang penambahbaikan. Yang diperlukan untuk kita turun padang dan memulakan misi ini dengan langkah pertama.

Maka saudaraku, melangkahlah!

Wednesday, June 4, 2014

DOA DOA LEJEN (1)




Dalam al Quran ada sangat banyak doa yang dilantunkan oleh para Anbiya’ di sepanjang sejarah kemanusiaan yang disematkan di pelbagai kisah epic. Kesemua doa ini mempunyai nilai dan maksud yang sangat tinggi dan mendalam.


Umpamanya doa yang diajarkan kepada kita sejak dari bangku sekolah lagi, yakni, “Rabbishrahli, shodri, wayassirli amri, wahlul ‘uqdatan millisani yafqohu qoulli” juga siapa sangka datangnya daripada kitab maha Agung ini. Puluhan tahun telah kian berlalu, tetapi kita tidak pun pernah mengetahui cerita asa usul doa yang dibaca setiap kali memulakan sesi pembelajaran ini.


Sehinggakan doa ini sekadar dibaca menjadi rutin tanpa dihayati sejarah yang terbuku disebaliknya. Untuk itu, saya dengan ini memulakan sesi merenung kembali doa-doa yang terpateri dalam al Quran. *tarian singa*


Sekali lagi kisah Nabi Musa a.s. yang mendominasi kisah kisah dalam al Quran yang tidak sunyi daripada pengajaran itu akan menjadi pemusatan idea penulisan kali ini. Ewah.


Tatkala Allah swt memerintahkan Musa a.s untuk mendatangi Firaun kerana dia (firaun) telah melampaui batas,


“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampui batas”
(Taha:24)


Maka Musa a.s melantunkan doa ini,


“Berkata Musa, “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekauan dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku..”
(Taha:25-28)


Ada sambungan rentetan doa di atas yang in sha Allah akan kita bicara di lain kesempatan.



 Ehsan Facebook

Inilah doa yang sering kita baca sejak dari kecil itu, di setiap sela waktu mahu memulakan sesi pembelajaran, yang waktu itu di bilik darjah kita akan bangun meraikan guru yang masuk dan sama-sama membaca doa ini beramai-ramai dengan irama yang sangat comel, dipimpin oleh ketua bilik darjah yang selalunya dipilih atas dasar untuk dikenakan. Adeh. Di zaman saya la.


Daripada kisah ini, pertama-tama sekali kita dapati Nabi Musa a.s seorang Nabi yang tidak  merungut. Tidak complain. Sebaik sahaja diperintahkan untuk berhadapan dengan Firaun, dia menyatakan kesediaan, cuma dengan harapan doanya dimakbulkan tentang beberapa perkara sebagai persiapan misi dakwahnya.


Untuk menikmati betapa bermaknanya doa ini, sangat la wajar untuk kita lihat sejenak latar belakang perjalanan hidup nabi Musa secara ringkas sebelum diamanahkan dengan tugas yang sangat berat itu.


Umum mengetahui Nabi Musa dipelihara oleh Firaun sendiri. Sudah pastinya waktu kecil dia dibesarkan dalam kalangan kerabat diraja, bermain-main dalam istana nan mewah itu dan dikenali ramai. Paling tidak, pasti para pembesar dan orang-orang kenamaan kerajaan Firaun itu mengenali beliau.

Kemudian ditakdirkan Allah swt, usai beliau membesar dan mencapai suatu usia, suatu hari Nabi Musa telah secara tidak sengaja memukul seorang lelaki daripada kaum Firaun atas dasar ingin menolong seorang dari Bani Israel. Lagi epik, pukulan itu membawa maut.



“Dan dia (Musa) masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka dia mendapati dalam kota itu dua orang lelaki sedang berkelahi, yang seorang dari kaumnya dan seorang lagi dari pihak musuhnya. Orang dari golongannya meminta kepadanya untuk (mengalahkan) orang yang dari pihak musuhnya,

Lalu Musa meninjunya, dan matilah musuhnya itu. Dia (Musa) berkata, “Ini adalah perbuatan setan. Sungguh dia (setan) adalah musuh yang jelas menyesatkan”
(Al Qasas:15)


Ekoran daripada kejadian ini, Musa menjadi popular dan menjadi most wanted person dalam kerajaan kota tersebut.


“Dan seorang lelaki datang bergegas dari ujung kota seraya berkata, “Wahai Musa! Sesungguhnya para pembesar negeri sedang berunding tentang engkau untuk membunuhmu, maka keluarlah. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”
(Al Qassas:20)


Bukan sahaja Nabi Musa ini akan dikenakan tahanan, tetapi arahan yang dikeluarkan ialah, terus bunuh ! Lalu Nabi Musa membawa diri ke kota Madyan. Dipendekkan cerita, di sana Nabi Musa berkahwin dan setelah selesai urusan di kota itu selama satu tempoh waktu, beliau berhajat untuk kembali ke kota yang ditinggalkan, membawa keluarga baharunya.


Di pertengahan jalan itulah Musa a.s disapa wahyu dan menerima arahan daripada Allah swt. Arahan yang cukup jelas. Satu misi yang cukup besar, berisiko yang mana risikonya ialah nyawa Musa a.s.!


Firman Allah;


“Izhab ila Fir’aun, innahu togho”
“Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia berlaku togho (melampau)”


Setelah mendengar arahan inilah doa tadi dibacakan oleh Nabi Musa as.


Yang menariknya, doa ini nampak biasa sahaja jika dibandingkan dengan misi Nabi Musa yang sangat besar dan mengerikan itu. Yang diminta, supaya hanya dilapangkan dada, difasihkan bicara dan dimudahkan urusan.


Padahal, arahan kepada Musa ialah untuk berhadapan dengan Firaun, di mana ? Dalam Istana di kota itu. Sudah pasti istana itu dikelilingi oleh para pembesar, hulubalang, laksamana atau apa sahajalah namanya. Dan Musa ini pergi sebagai seorang yang ‘most wanted’. Dan dia dikenali ramai, dibesarkan dalam istana.


Bagaimana dengan doa ini Musa a.s dapat laksanakan misi ini ? Kalau kita berada di tempat Musa a.s, pasti sudah bermacam macam doa kita minta daripada Allah swt. Mungkin kita minta MX16, atau invisible blanket macam Harry Potter, atau sayap supaya boleh terbang terus kepada Firaun, atau kuasa magic seperti Merlin dan bermacam-macam lagi.


Bahkan mungkin kita terlebih dahulu akan merungut dengan alasan-alasan yang sering kita berikan tatkala ada panggilan da’wi seperti,


“Kereta ana masuk workshop, tak boleh la ya akhi”

“Ana dah janji nak keluar dengan zaujah weekend ni”

“Allah ada paper esok, nak kena baca banyak ni”

“Allah jauhnya, dekat dekat tak boleh ke akhi?”


Dan bermacam lagi la.
Ok self-BOB.


Daripada perkaitan inilah kita dapati doa ini cukup powerful.


Dengan permohonan supaya dilapangkan dada, Nabi Musa as telah mengajar kita bahawa pertama sekali sebagai seorang da’ie kita mestilah sentiasa tenang, cool dari segi minda dan emosinya. Dengan emosi yang tidak terganggu inilah kita nampak lebih yakin, waras di mata mad’u dan tidak cepat melatah apabila dakwah ditolak.

Tidak juga cepat melenting bila tengok mutarabbi kita terkantoi buat perkara tidak senonoh. Di waktu waktu yang kritikal begitu, kita kena remain tenang. Kalau ada orang ejek, buat post fitnah, buat status berbau hasutan, comment mengarut di alam maya, kita punya emosi kekal stabil. Begitulah sepatutnya. Bukan ikut sekali terlibat dan memalukan diri akhirnya.

Hatta kalau mad’u terbuat kesalahan, datang lambat halaqah, tidak turun solat berjemaah, tidak reply whatsapp dan seumpamanya, janganlah kita bertindak melulu, menengking tidak tentu fasal. Lapangkan dada, meskipun di hadapan kita itu manusia sezalim Firaun.


Keduanya Nabi Musa mengajar kita bahawa Islam ini agama yang praktikal, bukan ajaib. Urusan urusan menyampaikan risalah yang maha Agung ini terkadang, atau pada banyak kesempatannya sukar. Misinya besar, harapan pula tinggi. Tambahan pula, ragam mad’u ini bermacam-macam. Tetapi, tidak ada jalan mudah melainkan kesemua urusan itu dimudahkan oleh Allah swt.

Nabi Musa tidak minta perkara-perkara yang tidak manusiawi untuk memudahkan urusannya berhadapan dengan para pembesar Firaun dan Firaun sendiri meskipun risikonya adalah nyawa beliau sendiri, cukuplah dengan apa sahaja rancangan yang Allah swt tetapkan untuk memudahkan urusannya. Beliau tetap harus berusaha.


Akhir sekali daripada doa ini kita belajar daripada Nabi Musa as. betapa pentingnya untuk menyampaikan mesej Islam ini dengan jelas tatkala beliau meminta difasihkan lidahnya. Jelasnya dakwah ini kerana ia berdiri atas ilmu dan hujah yang kukuh. Untuk itu, menjadi kebutuhan bagi kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan kelengkapan yang sewajarnya sesuai dengan misi kita itu.


Hebat bukan doa ini?
Atau saya sahaja yang terlebih teruja ? Err.


Saudaraku,


Begitulah besar dan penuh bermakna mesej daripada doa ini. Setelah kita mengetahui kesemua ini, sepatutnya mulai saat ini, kita tidak hanya membaca doa ini di bibir tetapi berusaha merealisasikan mesej mesej yang besar itu. Dan bukan sahaja doa ini dibaca dalam kelas, tetapi di setiap kesempatan sebelum kita memulakan suatu misi dakwah ini.


Semoga Allah swt sentiasa melapangkan dada kita agar kita sentiasa tenang dan yakin atas jalan ini. Semoga Allah swt memudahkan urusan kita dalam menegakkan kembali ad deen yang kita cintai ini dan semoga Allah swt melepaskan kekauan lidah kita supaya mesej kita mudah difahami dan diterima oleh target dakwah kita sehendaknya.


Wallahu’alam