“Antara
nikmat yang jarang jarang sekali disyukuri” Kata seorang al akh, lalu dia
teruskan ayatnya, “Ialah nikmat ingatan dan kebolehan menghafal. Cuba bayangkan
kita bangun pagi esok, nak solat tahajjud atau subuh, tiba-tiba Surah al
Fatihah hilang dari ingatan, Kita kelu, nak solat pun tak sah, sebab tu rukun.
Kalau tu berlaku, boleh jadi Allah pun dah ‘refuse’ dengan kita. Tapi
hakikatnya Allah pelihara hafalan kita walaupun kita tak pernah doa macam tu
atau mensyukuri satu nikmat ini”
Terkedu di
situ.
In sha Allah kita akan teruskan dengan episode doa-doa lejen yang
seterusnya. Sempena meraikan kedatangan bulan Ramadhan yang kita rindui setelah
sebelas bulan lamanya berjauhan dan menanti, elok juga kalau kita perbanyakkan
sesi taddabur al Quran. Ramadhan dan al Quran merupakan dua perkara yang tidak
boleh dipisahkan. Gituuh. Saya kira melihat dan meneliti doa-doa para anbiya’
daripada kitab al Quran juga merupakan satu taddabur dan usaha kita untuk lebih
memahami al Quran.
Dan ketika Ibrahim berdoa,
“Ya Tuhanku jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah
rezeki dari buah-buahan kepada penduduknya yang beriman diantara mereka kepada
Allah dan hari akhirat……
(Al Baqarah :126)
Doa
daripada Nabi Ibrahim di atas merupakan satu doa yang sangat power, khusus dan mempunyai
ciri-ciri futuristic. Pertamanya Nabi Ibrahim mendoakan keamanan negeri
tersebut yakni Mekah dan supaya penduduknya yang beriman dikurniakan rezeki
berupa buah buahan.
Sebelum
itu, perkara yang agak penting untuk kita menghayati doa ini ialah dengan
study dan meneliti terlebih dahulu setting Kota Mekah waktu itu, atau
mengetahui latar belakang ‘al balad’ yang dimaksudkan.
Wallahu’alam. Saya tidak tahu
bagaimana kondisi keamanan kota itu. Tetapi jika kita menyoroti sirah Tanah Arab
sebelum kelahiran Rasulullah saw, kabilah kabilah di sana berpecah belah dan
hidup dalam sistem social yang porak peranda. Dengan kegiatan mencuri dan
merompak sebagai sumber ekonomi, pastilah itu bukan yang dinamakan aman.
Berkenaan rezeki buah-buahan, atau
kesuburan tanah pula, umum mengetahui kota Mekah bukanlah macam Malaysia, tanam
apa pun hidup. Kota yang tanah tidak subur, hatta setahu saya pokok kurma pun
tidak ada di Mekah melainkan di Madinah. Bahkan kita sedia maklum peristiwa
Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail di sini, di tanah yang tandus.
Kemudian rentetan cerita itu barulah menatijahkan adanya telaga zam zam yang
menjadi sumber air kota Mekah.
Tetapi keamanan dicapai setelah
kedatangan Islam. Dan sebelum itu lagi, Allah telah memakbulkan sebahagian doa
dengan menjadikan Mekah sebagai kota peribadatan di mana masyarakat dari
pelbagai tempat berkunjung untuk beribadah di Kaabah. Lalu adanya perdagangan.
Hasilnya, buah buahan dan bermacam bentuk rezeki masuk ke kota Mekah.
Secara surface nya begitulah.
Yang paling menarik ialah
pengkhususan bait bait doa yang seterusnya yang dipohon oleh Nabi Ibrahim a.s
tatkala dia meminta rezeki berupa buah buahan tadi hanya dikurniakan kepada
mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Bayangkan sekiranya doa doa ini
benar benar dimaqbulkan sebiji seperti permohonan Nabi Ibrahim, pastinya yang
tinggal di Kota Mekah hanyalah mereka mereka yang beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Pendek kata, orang orang yang selainnya, akan mati kelaparan dan
kebuluran kerana doa Nabi Ibrahim. Apa yang berlaku jika hanya orang yang
beriman yang tinggal ?
Selesai la masalah umat manusia,
paling kurang. Tidak berlakulah pertembungan antara al haq dan kenathilan.
In a way, kita boleh simpulkan
mengikut kefahaman ini bahawa Nabi Ibrahim merupakan seorang yang berpandangan
jauh, tidak pentingkan diri dan meletakkan harapan dan cita cita yang besar
untuk masa depannya. Meskipun sebahagian doa dimaqbulkan, tetapi doa ini benar
benar terjadi setelah berlalunya ‘zaman’ Nabi Ibrahim a.s. Boleh jadi Nabi
Ibrahim sendiri tidak sempat menikmati hasil doanya namun dia tidak kisah,
asalkan dia tinggalkan sesuatu yang baik buat ummah manusia yang mendatang.
Sehinggalah
Allah swt menyambung ayat tadi dengan firman berikut;
Allah berfirman, “Dan
kepada orang kafir sekalipun Aku beri kesenangan sementara, kemudian Aku paksa
ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali”
Al Baqarah :126
Saudaraku,
Setelah sahih dan muntij, amal yang lebih baik yang merangkumi kedua ini
ialah amal yang mempunyai ciri-ciri futuristic. Amal untuk masa depan. Begitulah
juga dalam jalan dakwah, betapapun banyak usaha yang dilakukan oleh para duat
pasca kejatuhan Islam di sepanjang sejarah Islam yang penuh dengan titisan
darah yang terkorban, sehingga hari ini kita dapati masih belum kelihatan bibit
bibit kemenangan untuk Umat Islam.
Bahkan, saban hari kita dimomokkan di media massa tentang betapa porak
perandanya umat Islam. Pemimpinnya menggunakan nama agama untuk kepentingan
diri sehingga darah mereka yang seaqidah dihalalkan. Rakyatnya pula disibukkan
dengan isu isu sampingan, mudah melenting dengan perkara-perkara kecil dan
sering tewas dengan gangguan emosi.
Sehinggakan inti islam tidak lagi terpamir. Makin hari, makin parah pula
keadaan umat di serata tempat. Satu demi satu kejelekan yang melanda umat ini
terbongkar, sehingga kadang-kadang ada dalam kalangan Umat Islam mula
mempersoalkan agama ini.
Merasakan masih panjangnya gerhana ini, teramatlah penting untuk para
duat melihat ke masa hadapan dan beramal selari dengan impian dan cita-cita
itu, persis Ibrahim. Panjang dan jauhnya tujuan dan cita-cita kita membutuhkan
kesabaran dan mujahadah yang tinggi. Tanpa kedua ini, ramai yang mengambil
jalan pintas untuk beramal, kerana sudah tidak tahan lagi terlalu lama hidup
tanpa sang mentari, meskipun matahari hanya dibayangi bulan.
Sejak dari awal lagi kita sudah nyatakan, berbincang dalam siri siri
daurah dan konferens kita bahawa tatkala bersama dengan gerakan tarbiyah dan
dakwah, core business kita adalah tarbiyah, membina manusia dalam halaqah
halaqah kecil kita. Membina manusia dalam skala kecil, perlahan dan dengan
kemungkinan kemungkinan tidak berhasil bukan kerja yang mudah.
Mereka yang membina manusia dalam halaqah kecil tidak popular. Nama mereka
tidak diangkat di media massa. Wang, tenaga dan masa dikonsumsikan untuk hasil
yang sekelumit cuma. Sehinggalah makin ramai yang mulai lari dari pondasi ini. Kerana
sekiranya metode ‘tradisional’ ini diteruskan, maka cita-cita besar itu
kemungkinanya tidak dapat kita kecapi selagi nyawa dikandung badan.
Lalu ada dalam kalangan duat memilih menggunakan jalan yang lebih pantas
kerana terliur melihat sambutan yang hangat dengan program yang lebih besar dan
termakan dengan himpunan angka angka manusia yang tersenarai. Dengan pertambahan
yang cepat dan ramai ini, dilihatnya cita-cita itu makin mendekati. Kita berdoa
semoga ia tidak menjadi pandangan mirage di padang pasir yang gersang.
Adapun sudah menjadi sunnah dan tabiat agama ini, ia membangun dengan
perlahan dan konsisten, memerlukan kerja yang teliti, teratur, perancangan yang
rapi dan pemilihan yang ketat kerana kita sedang mendirikan agama yang rabbani,
bukan ideology cap ayam.
Sebenarnya tidak mengapalah sekiranya ajal menjemput kita terlebih
dahulu menuju Tuhan yang Esa sebelum sempat kita melihat sistem khilafah untuk
bangkit sekali lagi, kerana yang penting manusia masa hadapan yang akan
menghabisi perjuangan ini lahir dan dibentuk melalui usaha-usaha tangan kita. In
sha Allah kita juga akan mendapat pahalanya.
Begitulah Ibrahim a.s melihat masa depan manusia umumnya. Tidak mengapalah
sekiranya doanya itu tidak sempat untuk dia nikmati, tetapi keamanan, dan
rezeki yang melimpah ruah yang singgah di kota itu sedikit sebanyak adalah
kerana doa Nabi Ibrahim. Maka setiap manusia yang mendapat manfaat daripada doa
ini, Nabi Ibrahim a.s patutnya menjadi individu yang paling gembira.
Apakah sebenarnya yang menghalang kita untuk melakukan sesuatu untuk ad
deen yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya ini ? Sesungguhnya
kekecewaan, kesedihan dan keluhan kita setelah berlalu tidak membawa sebarang
penambahbaikan. Yang diperlukan untuk kita turun padang dan memulakan misi ini
dengan langkah pertama.
Maka saudaraku, melangkahlah!
No comments:
Post a Comment