Wednesday, June 18, 2014

TITIK TITIK LEMAH






Diceritakan oleh banyak orang satu sosok tubuh seorang akh yang santun budi pekertinya. Amal da’wi nya gempak. Kerjayanya tip top. Isteri solehah, anak-anak menjadi, membesar sebagai anak mukmin yang soleh dan solehah bahkan musleh. Baik anak biologi mahupun anak ideology. Walaupun tidak bersekolah di sekolah musleh. Eh.


Sosok tubuh akh itu seakan sentiasa berada di dataran amal yang paling tinggi, memuncak. Dia senang membawa halaqah dan menghadiri halaqah. Sanggup menghadapi karenah banyak jenis manusia demi menyampaikan risalah yang mulia itu. Sehingga banyak yang menjadikan dia idola mereka, untuk diteladani dan diambil ibrah.


Akh itu suatu hari didatangi seekor kucing. Kucing itu merenget-renget di kakinya, tatkala dia mahu bersiap dengan sepasanag kasut beserta stokin untuk ke kantor. Kucing kurap. Kurang senang. Namun hari pertama, bisa tertahan lagi.

Hari kedua, kucing yang sama datang lagi.
Dan bisa tertahan lagi.

Hari ketiga, keempat, kelima dan seterusnya, entah kenapa. Datang lagi si kucing kurap.
 
Dalam banyak-banyak waktu seharian, di pagi yang sibuk itu juga si kucing ini datang.
Sehingga akh itu hilang sabar. Disepak (bukan terajang) kucing itu. Dan diceritakan perihal kucing ini kepada sahabatnya.


“Akhi, enta amal fardi bagus, dakwah cemerlang, boleh sabar dengan manusia. Sanggup korban masa, wang, tenaga, Alhamdulillah. Tetapi Allah akan tetap uji.
Kalau bukan dengan kucing, dengan apa lagi Allah nak uji?”


Begitulah ujian datang, di titik lemah kita.


Diceritakan dalam Al Quran suatu bentuk ujian yang tampak biasa-biasa sahaja, mungkin sesimple kucing tadi, yang didatangkan kepada Bani Israel, tetapi cukup berat buat mereka sehingga tertewas dengan ujian itu. Walau meski ada yang berkata, “Bani Israel memang sering tewas.”

Dalam Surah al ‘Araf, Allah menceritakan ujian di hari Sabtu kepada Bani Israel.



“Dan tanyakan kepada Bani Israel tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan ikan, mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari yang bukan Sabtu, ikan ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikian Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik”
(Al ‘Araf :163)


Pada waktu itu, sudah ditetapkan bagi Bani Israel untuk meninggalkan segala urusan pada hari Sabtu sebaliknya dikhususkan semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Tetapi, yang epiknya, pada hari Sabtu itu juga la ikan ikan di laut mahu timbul. Hari hari lain tak nak pula. Begitulah Allah menguji. Lalu ada lah yang ingkar dan melanggar aturan tersebut.


Sekali baca,

Kita mungkin rasa, “Fail betul Bani Israel, ikan je pun.”

Tetapi begitulah dalam kehidupan ini, ujian datang di titik lemah.


Setiap orang, berbeza titik lemah mereka. Ada orang lemah dengan MacDonald, bila disuruh boikot, punyalah susah. Ketagih. Siapa sangka, disebalik muka yang tenang itu, dia sedang berjuang untuk mengekang keinginannya terhadap hidangan MacDonald. Ini contoh simple la.


Kehidupan para duat juga tidak sepi daripada ujian ujian yang datang di titik lemah. Orang yang suka berkata-kata, mungkin Allah uji dia dengan kecendurangan berkata-kata buruk tentang orang lain. Para lelaki yang tampan menawan diuji dengan ujian tarikan perempuan perempuan yang meliar. Mereka yang banyak duit, diuji dengan kemewahan.


Ada orang mungkin tidak tergoda dengan wang dan harta, tetapi lemah bila diuji dengan pasangan masing-masing, lalu menyebabkan mereka tewas dek bisikan suami atau isteri.


Kadang-kadang waktu ujian itu datang just nice, tepat pada waktunya. Waktu kita mahu keluar dengan rakan-rakan itulah tiba-tiba ada panggilan daripada mutarabbi. Dan dan sahaja kita rancang untuk keluar melancong bersama keluarga, tiba tiba ada panggilan mengisi program tarbiyah.

Allah Maha tahu di mana titik lemah kita.


Dalam kisah Bani Israel tadi, mungkin diuji mereka kerana kefasikan mereka. Tetapi kita jadikanlah ujian yang mendatang dalam hidup ini sebagai proses menutup titik lemah itu. Jadikan ia satu perjalanan tarbiyah untuk menjadikan kita hamba yang quwwah.


Saudaraku,

Janganlah kita memandang enteng saudara-saudara kita yang sedang bergelut dengan ujian yang pada mata kita biasa-biasa sahaja. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berada dalam fasa baru berubah, baru cuba untuk belajar dan beramal dengan Islam. Mereka sedang berjuang dengan begitu dahsyat melawan tarikan ujian ini.

Ikan ikan timbul tepat pada waktunya. Keluarga. Kawan-kawan. Pelajaran. Kerjaya. Minat dan cita-cita. Hobi. Rakan sebilik dan serumah. Guru dan para pensyarah.

Buat yang sedang diuji, ketahuilah lebih banyak masa dalam kehidupan ini adalah masa senang dan kenikmatan. Ujian tidak selalu datang. Jika ia datang, pasti ada mesej dari langit yang mahu kita sama-sama renungkan. Mungkin itu panggilan untuk kita kembali menunaikan hak hak Nya.


Bahkan sebenarnya, sudah jelas dalam al Quran bahawa syarat untuk ke syurga adalah diuji di dunia. Sudah kita sama-sama baca kisah mereka yang terdahulu pergi dan meninggalkan legasi perjuangan yang lejen, tidak sepi hidup mereka daripada ujian. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan sekelumit ujian yang kita hadapi.


Teruslah menjadi kuat dan kokoh. Ujian datang di titik lemah. Di saat kita rasa diuji, ketahuilah di situ titik lemah kita. Dan jika kita berjaya hadapinya, maka sudah tertampal la satu kelemahan. Kita sudah setapak kuat. Ujian akan mendatangi titik lemah yang lain.


Maka bersedialah!

*kering* 

No comments: