Thursday, January 14, 2016

BALAGH & MUBIN




 Tiada kaitan. Boleh abaikan :)


Lately kami dihujani permintaan (cewah), untuk berkongsi penulisan berkaitan al Quran, atau yang boleh digunakan dalam halaqah. Tidak dapat dinafikan, sebagaimana yang pernah kita ceritakan suatu ketika dahulu, sudah makin berkurang post alam maya yang berbicara khsusus tentang tarbiyah, al Quran, dakwah, usrah, halaqah dan sebagainya. Sehinggakan freshie atau adik-adik yang baru mula berjinak dengan halaqah kekontangan, sehingga ada yang menggelar situasi mereka sepeti, “..kami yang tidak tercater ini...”

Sedih sungguh. Memang. Ia tidak seperti suatu ketika dahulu.

Lebih menyedihkan ada yang menyifatkan tahun-tahun kebelakangan ini bukanlah tahun yang praktikal untuk dakwah dan tarbiyah, tetapi more to untuk maintenance sahaja.  Katanya, zaman idealisme usrah, tarbiyah, halaqah dan seumpanya itu sudah berakhir.

Dari manakah datangnya fahaman ini?!

Sedikit curahan perasaan untuk sama-sama kita renung-renungkan. Kami juga bermuhasabah. Kadang-kadang prinsip dalam penulisan tergoyah kerana faktor yang pelbagai ini.


---


Tadabbur.

Entah yang ke berapa kali.



 


 "Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata".
(Yasiin :17)


Dalam buku qawaid dakwah karya Dr Hamam Said, beliau mengajukan antara keperluan seorang daie dalam menyampaikan mesej risalah ialah untuk sampai kepada tahap balagh, yakni menyampaikan dalam erti kata mesej itu sampai kepada audience, tepat menuju hati.

Surah Yasiin, pada ayat 17 di atas memberi makna yang lebih mendalam kepada kita. Ada sesuatu yang bernilai untuk kita cedok dan amalkan daripada surah ini, terutamanya pada potongan ayat ini.


Pada terjemahan ayat di atas kita dapati ada sesuatu yang kurang memuaskan. Kerana kedua-dua perkataan al-balagh dan al-mubin merupakan isim, yakni kata nama dan bukannya kata kerja. Setiap mesej yang disampaikan oleh seorang pendakwah perlu merangkumi kedua ciri ini, balagh dan mubin.


Balagh daripada segi bahasa secara mudahnya bermaksud sampai. Namun begitu, perkataan sampai ini boleh digunakan dalam pelbagai konteks. Dari segi masa, jarak, umur, penyampaian dan sebagainya. Sebagai contoh, al-Quran menggunakan perkataan yang sama untuk menggambarkan umur yang sudah ‘balagh’ yakni sampai waktu sedia, tatkala mencerita tentang perihal Nabi Ismael as.


“Maka tatkala anak itu balagh (sampai pada umur sanggup) berkorban bersama-samanya (Ibrahim), dia (Ibrahim) berkata, ‘Hi anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?’...

Ia(Ismael) menjawab, ‘Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”
(As Saffaat :102)


Dalam ayat ini, perkataan balagh dibicarakan dalam konteks usia.

Juga, di sini ada satu tasawwur atau pandangan yang menarik yang dibawa oleh al Quran. Selalunya, usia balagh atau kita selalu sebut sebagai usia baligh, kita kaitkan dengan pysiology atau tumbesaran si anak. Anak-anak yang baligh atau puberty kita nisbahkan kepada anak-anak yang menuju usia remaja, yang mengalami perubahan-perubahan fisiologi seperti mula tumbuh bulu-bulu roma pada bahagian tertentu, suara bertambah garau bagi lelaki, perubahan bentuk badan pada kawasan tertentu bagi perempuan, err, datang bulan, bintang dan sebagainya. Tidak dilupakan juga hormone kejantinaan yang dirembeskan.

Tetapi al Quran ternyata mempunyai definisi yang berbeza.

Anak-anak yang mencapai usia baligh ialah anak-anak seperti Ismael as, yang sanggup bersama-sama menjayakan suruhan dan perintah Allah. Yang sanggup meletakkan Allah swt di kedudukan pertama. Walaweh!

Ada sesuatu yang boleh kita sama-sama muhasabahkan, kalau kita ni jenis liat untuk lakukan suruhan Allah, susah untuk solat berjemaah, menutup aurat, menjauhi perkara-perkara haram apatah lagi berkorban nyawa kerana Allah, mungkin kita belum lagi ‘baligh’ pada pandangan al-Quran, walaupun dah berjanggut berjambang!

Adapun begitu,

Topik balagh kita kali ini adalah dalam konteks penyampaian. Yang dimaksudkan dengan penyampaian secara al-balagh ialah mesej itu ditujukan kepada audience sehingga sampai dan menyentuh hati mereka. Sehingga mesej itu membuatkan mereka terasa, terkesan dan tergugat. Sehinggakan mereka akhirnya rasa ingin bertindak dek mesej yang sampai itu. Begitulah, al-balagh dalam penyampaian sesuatu mesej, ia basah dan mengesankan.

Tetapi ikhwah,

Al-balagh semata-mata tidak memadai.

Kerana betapa ramai sebenarnya orang di luar sana, jurucakap, speaker terutamanya ahli politik yang boleh bercakap dengan begitu balagh, sehingga mengesani hati para pendengar, sehingga membuatkan penonton terpukau, tertarik bahkan ada yang menitiskan air mata. Bahkan kalau kita dengar bagaimana missionaries Kritian juga menyampaikan mesej dakyah mereka dengan balagh, menuju hati, mengesankan, basah.

Sesungguhnya basah dan mengesankan tidak mencukupi.

Sebab itulah mesej yang basah perlu ada bersamanya elemen al-mubin.

Al-mubin

Mubin bermaksud yang menjelaskan. Asal perkataan baina, (ba, ya, nun) yang juga bermaksud, pemisah, antara, yang membezakan dan perkataan seumpamanya. Al-mubin yang kita maksudkan di sini ialah mesej yang memberi pencerahan al-haq dan al-bathil. Yang memberi penjelasan, sama  ada ini islam atau sebaliknya, ini halal atau haram, ini boleh atau tidak.

Begitulah mesej dakwah perlu menjelaskan islam itu begitu dan begini. Ia jelas sejelas mentari di siang hari. Ia memberi pencerahan, supaya akhirnya yang mendengar boleh memilih jalan yang betul. Ia tidak sekadar basah dan mengesankan, tetapi memberi pencerahan.

Kedua-dua elemen ini adalah perlu disematkan tatkala seorang da’ie cuba untuk mentaujih mutarabbinya, atau binaanya.

Mesej yang ada al-mubin tetapi tidak ada al-balagh juga tidak akan ke mana. Ia mungkin kata-kata yang menjelaskan, memberi pencerahan, tetapi tidak mengesankan. Seperti perbincangan fekah yang kering, tidak ada ruh, yang memberikan ilmu semata-mata.

Al-balagh dan al-mubin keduanya-duanya memenuhi keperluan rational dan emotional manusia.  Begitulah kita belajar daripada sepotong ayat Quran yang ringkas, tentang bagaimana patutnya kita menyantuni manusia dalam usaha memahamkan mereka tentang ad-din ini. Quran sentiasa membawakan kita mesej, pengajaran dan hikmah yang segar dan berguna, meraikan fitrah manusia.


Alangkah indahnya hidup berpandukan al-Quran.

Semoga entry kali ini membantu antum.
Wallahu’alam

No comments: