Kiyai Haji Rahmat
Abdullah al-Akh pernah berpesan kepada kita dalam siri pesanan beliau;
“Di antara
sekelian banyak kemiskinan, kemiskinan azam dan tekad la yang paling
memprihatinkan”
Begitulah Syaikhul
Tarbyah kita ini meninggalkan pesanan yang sungguh bermakna. Mari kita alihkan
perhatian kepada al-Ustaz yang tidak kurang menggugah juga, yang kami dapatkan
dalam kesempatan yang tidak disangka-sangka.
Taujihat untuk akh
Fillah,
Beberapa bulan
yang lalu, kami menghadiri kelas atau boleh kita katakan kursus Bahasa Arab
intensif. Kursus yang berlangsung selama kurang lebih dua hari itu benar-benar
pantas, dan intensif. Sehingga mahu juga gugur rambut di kepala. Err. Adapun
yang ingin dikongsikan bukanlah kepantasan atau daya intensif itu, akan tetapi
beberapa taujih al ustaz yang masih kami kenangkan.
Ia benar-benar
taujihat jiwa. Untuk jiwa.
Taujihat jiwa
al-akh Ustaz pada pagi yang bercahaya itu tidak pantas kami biarkan di
gegendangan telinga kami sahaja. Langsung kami catat, dan renungkan banyak
kali. Ia seakan-akan bergema, berlegar-legar dalam kepala kami dan membuatkan
kami yang hadir mendengar, memikirkannya banyak kali. Kami kongsikan di sini,
mudah-mudahan akh Fillah yang lain turut menikmati taujihat jiwa itu, dan
semoga Allah sampaikan pahala kebaikan itu terus menerus kepada al-akh Ustaz,
Fillah.
Boleh juga kita
kelaskan taujihat ustaz al akh sebagai sentuhan al akh!
Pada hari itu
al-akh Ustaz membawakan kami semua merenung dan mentaddabur beberapa ayat dari
surah Al-Maedah.
“Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah
ditentukan Allah bagimu dan janganlah kamu berbalik ke belakang, nanti kamu
menjadi orang yang rugi” (Al Maidah :21)
Lalu,
“Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Sesungguhnya dalam negeri itu ada
orang-orang yang sangat kuat dan kejam, kami tidak akan memasukinya sebelum
mereka keluar darinya. Jika mereka keluar dari sana nescaya kami akan masuk” (Al-Maidah :22)
“Ikhwah Fillah,”
Sang Ustaz memulakan bicara,
“Ayat Allah yang
kita bacakan tadi membedakan dengan ketara umat bani Israel berbanding umat
kita Nabi Muhammad saw. Mereka itu bangsa penakut, miskin azam dan tekad.
Meskipun arahannya hanya suruh masuk, tidak pun berperang, mereka langsung
lemah kelesuan dan beralasan. Bahkan lebih kurang ajar mereka berkata
kemudiannya,
“..Wahai Musa….pergilah engkau bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu
berdua…” (Al Maidah :24)
“Bedanya besar
jika kita imbau kembali bagaimana respon orang-orang di sekeliling Rasulullah
saw. Tatkala bibit-bibit perang Badar al Kubra menghampiri, dalam keadaan penuh
keterbatasan dan tiada persediaan untuk perang, Rasulullah cuba mendapatkan
pendapat sahabat-sahabat baginda tentang kemungkinan-kemungkinan mereka
berperang..”
Kami mendengar
pada kesempatan itu dengan penuh minat dan cemas. Cuba menangkapi setiap kata-kata
yang terpacul daripada mulut beliau. Ada yang bersedia dengan salinan nota, ada
juga yang terus merekod dengan MP3 player.
Lanjutan,
“Lalu Abu Bakar
al-Siddiq sendiri berucap dan menegaskan sesuatu yang amat baik, kemudian Umar
bin al-Khattab pun berucap dan menegaskan segalanya adalah amat baik, disusuli
dengan al-Miqdad bin Amru yang menegaskan:
"Wahai
Rasulullah teruskanlah sebagaimana yang Allah perlihatkan kepada tuan hamba,
sesungguhnya kami tetap bersama-sama tuan, demi Allah kami tidak akan berkata
kepada tuan, seperti Banu Israil berkata kepada Musa:
"Pergilah dikau bersama Tuhan kau, dan
berperanglah kamu berdua kami akan tunggu di sini".
Tetapi kami akan
berkata:
"Ayuh maralah dikau bersama Tuhan kau dan
berperanglah, sesungguhnya kami bersama kamu untuk berperang, demi Dia Tuhan
yang telah mengutuskan dikau dengan kebenaran, seandainya kau membawa kami ke
"Birak al-Ghimad" nescaya kami bertempur bersama tuan tanpa
menghiraukan apa pun, sehinggalah kita sampai ke sana".
Wahai kalian
berilah pandangan kamu, lafaz Rasulullah itu dituju kepada al-Ansar, pemimpin
al-Ansar dan pembawa panji, Sa'd bin Muaz segera menangkapi maksud Rasulullah
itu dan terus beliau berkata: "Demi Allah, bagaikan tuan hamba memaksudkan
kami"? Jawab Rasulullah: "Bahkan".
Sa'd terus dengan
ucapannya:
"Sebenarnya
kami telah pun beriman dengan dikau ya Rasulullah, kami membenarkan dikau, kami
bersaksi bahawa apa yang kau bawa itu adalah benar, telahpun kami beri
janji-janji dan kepercayaan kami untuk mendengar dan mentaati, ayuh teruskan
wahai Rasulullah untuk mencapai sesuatu yang dikau kehendaki, demi Tuhan yang
mengutuskan tuan hamba dengan kebenaran, seandainya tuan hamba membawa kami mengharungi
lautan nescaya kami harungi, tak seorang pun akan berkecuali.
Kami bersenang hati dikau membawa kami untuk
menemui seteru pada esok hari, kami ini jenis bersabar dan bertahan di dalam
peperangan, penuh kepercayaan untuk bertarung dan berhadapan dengan musuh,
semoga Allah memperlihatkan sesuatu yang menyenangkan mata melihat, ayuh
bawalah kami ke hadapan penuh keberkatan dari Allah"
Allah, Allah!
“Ikhwah Fillah
yang dirohmati Alloh Taala, begitulah sikap dan tindakan yang diambil oleh
rijal yang berada di sekeliling Rasulullah. Allah swt membentangkan kepada kita
kisah dua kelompok ini dalam sejarah peradaban kemanusiaan antara lain untuk
kita langsung bercermin pada diri, adakah kita ini sikapnya seperti Abu Bakr
dan rekan-rekannya ataupun terdapat ciri-ciri Bani Israel pada kita?!”
Persoalan yang
ustaz tinggalkan begitu padu, sehingga tidak ada yang mampu berkata-kata.
Sememangnya ia satu soalan yang retorik, yang membunuh kelalaian si pendengar.
Kisah Bani Israel
dan kedegilan mereka ini bukannya kita tidak pernah tahu dan tidak pernah baca
dalam al-Quran. Kisah betapa taat dan setianya para sahabat dalam seerah
nabawiyah itu juga bukan kita tidak pernah baca dan pelajari. Akan tetapi,
taujihat hari itu yang membandingkan kedua-duanya menyebabkan sebahagian
daripada kami merasakan itulah kali pertama kami mendengarnya.
Benarlah, sentuhan
akh itu begitu berbeza. Lebih-lebih lagi tatkala ia bawakan pula ramuan dari al
Quran dan sunnah orang berjuang. Lengkaplah kiranya akhi, moga jiwa kita hidup
dan memilih yang benar. Terima kasih ustaz untuk sentuhan mu itu!
---
Dari sudut
tarbiyah dan dakwah nya, begitulah kita semua perlu memiliki jiwa yang besar,
dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan-kemungkinan. Di mana posisi
kita yang telah Allah swt takdirkan, ternyata Allah swt tidak membiarkan kita
bersendirian menongkah arus. When He brings us to it, He will surely bring us
through it.
Akhi fillah, di
jalan dakwah, kita semua berada di posisi masing-masing dan mempunyai amanah
dan tanggungjawab. Lantas jadilah seperti rijal di sekeliling Rasulullah saw,
yang tidak gentar dan sentiasa bersedia berkorban untuk Islam. Jangan pula kita
jadi seperti Bani Israel yang banyak alasan dan sering lepas tangan.
Meskipun adakalanya
amanah yang diletakkan di bahu kita itu berat, sehingga terpakssa mengorbankan
sebahagian cita-cita, kesukaan dan kepentingan peribadi kita, bersabarlah! Ternyata,
al jaza’, ganjaran yang menanti di hadapan kita sungguh setimpal. Ia salah satu
daripada dua, hidup mulia meneraju manusia ataupun mati syahid bertemu Allah
swt. Kedua-duanya adalah cita-cita kita yang tertinggi.
Wallahu'alam!
No comments:
Post a Comment