Friday, February 5, 2016

MARI MENJADI HAMBA




Menyebut nama adalah salah satu sifat yang mulia pada seorang da’ie tatkala menyantuni mad’u atau mutarabbinya. Bahkan menamakan atau memanggil teman-teman dalam lingkungan tarbiyah ataupun yang diluarnya dengan nama yang baik lagi disukainya adalah sunnah yang kita sama-sama pelajari daripada Rasulullah saw. Ia adalah satu akhlak yang diwarisi dari Rasulullah.


Adalah diceritakan bagaimana sunnah menyebut dan menghafal nama-nama ini telah dihidupkan kembali oleh Imam Syahid Hassan al-Banna. Satu kisah yang popular yang dikenang-kenang oleh para ikhwan. Bagaimana sang Imam bertindak sebagai murshid telah menyentuh qolb ikhwannya.

Diceritakan;


Ikhwan di Kota Abu Kabir Timur pergi menuju az-Zaqaqiq untuk menghadiri muktamar yang dihadiri oleh Ustadz Hassan al-Banna. Di sana Ustadz al-Banna berkenalan dengan semua ikhwan dan menghafal nama-nama mereka. Setelah lima tahun, beliau pergi ke Abu Kabir untuk satu kunjungan. Di sana beliau melihat seorang ikhwan yang pernah berkenalan dengannya sewaktu di  Zaqaqiq, kemudian menghampirinya dan memanggil dengan namanya, yaitu Akh Ahmad Syauhan, seorang tukang kayu yang bersahaja.


Akh Ahmad Syauhan merasa terkejut dan ia membanggakan hal itu, kerana di antara semua ikhwan, ia mempunyai tempat yang khusus di hati Hassan al-Banna. Adalah akhlak terpuji dari Hassan al-Banna bahawa beliau sangat memperhatikan setiap lapisan Ikhwan, ia tidak membezakan antara seorang tokoh masyarakat dengan seorang tukang kayu.


Subhanallah.

Dalam al-Quran pula diceritakan bagaimana,

Allah swt ketika mana menyeru Nabi Musa a.s. untuk memberikan ‘watikah’ pelantikan sebagai Rasul dengan menyebut nama Musa secara langsung.


“Ketika dia mendatanginya (ke tempat api itu) dia dipanggil, “Wahai Musa!” (Taaha:11)


Bayangkan apakah perasaan Nabi Musa. Pada pertama kali mendengarnya, mungkin baginda merasa nervous, terkejut ambeng, rasa ingin lari daripada situ, bingung dan ketakutan sambil mencari-cari dari mana datangnya suara itu, dengan penuh tegas memanggil namanya, seolah ia sedang diekori dan diperhatikan.

Tetapi bayangkan pula apabila Nabi Musa tahu baahawa itu adalah suara Allah swt, tuhan semesta Alam yang bercakap-cakap dengannya. Ia pasti menghadirkan suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bercampur aduk antara bangga dan berasa dimuliakan. Dia berasa mempunyai tempat yang istimewa di sisi Allah swt.

Ibaratnya kalau kita di zaman sekolah dahulu, para senior mengenali kita dan memanggil nama kita. Subhanallah, kita rasa dinaungi, rasa istimewa, rasa ada gang dan berada dalam cycle senior itu, lebih-lebih lagi kalau senior yang memanggil kita itu player ragbi sekolah, ketua pelajar ataupun figur hot yang menjadi gilaan dan pujaan pelajar-pelajar perempuan. Seperti itu lah lagaknya bahkan lebih-lebih lagi.


Persoalannya, apakah gelaran yang istimewa untuk kita semau disisi Allah swt yang ternyata bukan seorang nabi ataupun Rasul, yang tidak diberikan wahyu dan tidak langsung behubungan dengan malaikatnya?

Allah swt sebenarnya sudah reserve satu panggilan yang cukup istimewa iaitu,

‘Hamba-hambaku’

Buktinya,

Dalam surah Isra’ surah yang menceritakan peritiwa Isra’ dan mikraj Rasulullah saw, Allah swt memulakan ayat surah itu dengan mengangkat nilai seorang hamba;


“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan ‘abdihi (HambaNya) pada satu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”
 (Al Isra’ :1)


Jika kita memandang perkataan dan nilai seorang hamba di sisi Allah swt hanya satu entiti, gelaran dan pangkat yang biasa, kita ternyata telah membuat satu kesilapan yang besar. Keduduakan seorang Hamba Allah sangat tinggi darjatnya sehingga gelaran hamba itu dinisbahkan kepada Rasulullah saw, manusia paling unggul yang sejarah pernah hadapkan kepada kita.

Seolah-olahnya, menjadi hamba Allah yang sebenar tidak semudah menuturkan perkataan hamba yang merangkumi lima abjad itu, tetapi menjadi hamba Allah adalah selayaknya mesti mencontohi Rasulullah saw, seolah-olah Rasulullah lah bench marknya, kayu ukurnya. Ia bukan calang-calang gelaran dan kedudukan.

Sungguh istimewa dipanggil dengan gelaran hamba oleh Allah swt.

Adakah kita cukup layak untuk menjadi seorang hamba dan diakui oleh Tuhan Sekelian Alam yang tunggal itu?

Di tempat lain dalam al Quran, Allah swt menisbahkan gelaran hamba kepada orang-orang yang telah pun menempati syurgaNya dan mendapat keridhaanNya.


“Hai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhaiNya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hamba Ku. Masuklah ke dalam syurga Ku”
(Al-Fajr :27-30)


Subhanallah!

Sekali lagi al-Quran meletakkan nilai hamba kepada Allah swt di posisi yang begitu luhur dan tinggi, seolah-olah tidak mampu digapai oleh kita-kita ini. Penghuni syurga. Yang sudah menempati syurga. Yang bakal bersama mereka adalah jiwa-jiwa yang tenang dan sudah mendapat keredhaan Allah swt.

Lalu layakkah kita untuk digelar hamba Allah?

Sedangkan dalam hari-hari kita, kita sering ingkar kepada Allah swt. Kita tidak tunduk pada perintah Allah swt. Kadang-kadang kita mungkin melakukan ritual ‘menyembah’ Allah, tetapi jiwa kita tidak hadir bersama. Kita masih dalam suasana kotor dan jahiliyyah. Hati kita lalai mengingati Allah. Kita tidak takut pada Allah, tidak merasai yang Dia mengawasi kita setiap saat dan detik.
Allah.

Sudah lama rasanya kita sudah melupakan diri kita ni sebagai seorang hamba.
Masihkan Allah sudi untuk memaafkan kita dan menjemput kita bersama-sama hamba-hambaNya itu?

Masih ada kah kesempatan buat kita yang banyak dosa dan noda ini?

Akhi, jika kita menyangkakan matahari telah terbenam, sangkaan itu meleset sama-sekali. Matahari belum terbenam, ini hanya gerhana yang mengambil sedikit masa sahaja. Tempoh kegelapan ini akan berakhir. Di hujung sana, masih ada sinar harapan.

Sesungguhnya Allah swt tidak lokek untuk memanggil manusia seperti kita yang sering melampaui batas ini dengan gelaran hamba. Dia seolah-olah memahami tabiat kita ini. Marilah kita hayati ayat-ayat Allah yang memukau perasaan dan mempersonakan ini;


“Katakanlah, ‘Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Az-Zumar :53)


Subhanallah! Kali ini Allah telah sudi memanggil-manggil kita untuk kembali dengan gelaran hamba. Manakah kemuliaan yang mampu menandingi kemulian yang direkod oleh al Quran ini? Tidakkah kita berasa Tuhan sedang bercakap-cakap dengan kita, hamba yang kerdil dan sejumput ini?


Marilah kita kembali.

Kembali menjadi hamba!