Dan orang-orang yang
terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang
"Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut
(jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka
dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
(At-Taubah :100)
Beberapa kali dalam kesempatan yang berbeza kami dimuhasabah
dan diajak untuk mentaddabur ayat Allah yang begitu indah ini. Ada suatu mesej
yang begitu istimewa tentang ayat ini, lebih-lebih lagi tatkala kita berbicara
perihal rijal disisi Rasulullah saw dalam kalangan Ansar.
Al-Quran telah memuliakan kedudukan kaum Ansar dengan
menggelar mereka sebagai assabiqun al-awwalun, sebaris dengan kedudukan yang
diberikan kepada kaum Muhajireen, meskipun kita tahu dan sedar bahawa
Muhajireen adalah golongan sahabat yang terlebih dahulu memeluk Islam, yang
lebih banyak sengsara, menderita dan merasai pengalaman berjuang mempertahan
akidah di bumi Mekah itu. Bahkan dari segi usia tarbiyah juga, muhajireen boleh
dikatakan lebih ‘abang’ dan lebih dahulu mengenal ‘halaqah’ berbanding kaum
Ansar dengan beza masa hampir 13 tahun lamanya.
Lalu,
Apakah yang membuatkan kaum Ansar cukup istimewa sehingga
mereka mendaki ke puncak kedudukan yang tinggi ini?
Barangkali ada sesuatu yang boleh kita pelajari dan teladani
daripada kaum Ansar.
Tidak sekadar itu, satu peristiwa yang menyentuh hati dalam
Riwayat hidup Rasulullah saw telah menghilangkan sebarang keraguan dalam dada
kita berkenaan betapa istimewanya menjadi Ansar, di sisi Rasulullah saw
sendiri.
Perang Hunain.
Usai perang Hunain yang berlangsung pasca pembukaan kota
Mekah itu menyaksikan Rasulullah saw telah kelihatan ‘berat sebelah’ dalam
proses pembahagian harta rampasan perang. Dan harta rampasan dalam peperangan
tersebut jumlahnya cukup lumayan, boleh jadi mengalahkan jumlah ‘derma keluarga
diraja Arab ‘ yang kita maklum pada hari ini. Pembahagian itu jelas sekali
mengutamakan Abu Sufyan dan konco-konconya yang ternyata baru sehari dua
memeluk islam.
Untuk bahagian kaum Ansar yang ternyata lebih banyak
berkorban dalam peperangan tersebut seolah-olah langsung tidak dihargai jasa
dan pengorbanan mereka dari sudut portion pembahagian harta itu. Kaum Ansar
jelas tidak dapat membaca langkah diplomasi dan politik Rasulullah saw sehingga
terdetik lah dalam kalangan mereka cakap-cakap dan rasa tidak puas hati kepada
Rasulullah.
Desas-desus dan cakap-cakap belakang ini akhirnya sampai ke
gegendangan telinga Nabi saw sehingga beliau mengeluarkan kata-kata lejen
berikut;
“Wahai semua orang Ansar aku mendengar ada suara-suara yang
tidak senang terhadapku. Bukankah aku dulu datang dan kalian dalam kesesatan
kemudian Allah memberi petunjuk kepada kalian? Bukankah kalian dahulu miskin
lalu Allah membuat kalian kaya juga yang telah menyatukan hati-hati kalian?”
Petikan ini diambil dalam buku Seerah Raheeq Makhtum, kita
sambung lagi,
“Apakah dalam hati kalian masih mahukan harta keduniaan
sedangkan dengan harta keduniaan itulah aku mahu gunakan untuk mengambil hati
segolongan orang agar masuk islam sedangkan aku sudah yakin dengan keislaman
kalian?”
Lagi baginda meneruskan bicara;
“Wahai orang Ansar, apakah kalian tidak suka jika orang lain
pergi membawa domba dan unta sedangkan kalian bersama Rasul Allah ke tempat
tinggal kalian? Demi jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, kalau bukan kerana
hijrah tentu aku termasuk dalam kalangan orang-orang Ansar. Jika orang-orang
menempuh suatu jalan di celah gunung dan orang-orang Ansar menempuh suatu celah
gunung yang lain, tentu aku memilih celah yang ditempuh oleh orang Ansar. Ya
Allah rahmatilah orang-orang Ansar, anak-anak dan cucu-cucu orang-orang Ansar”
Istimewa.
Ternyata orang-orang Ansar cukup istimewa kedudukan mereka
di sisi Rasulullah saw. Kami bawakan kisah-kisah ini supaya perasaan kita semua
yang membaca sehingga ke patah perkataan ini membuak-buak untuk tahu dan
mencontohi sikap orang-orang Ansar ini. Lalu apakah yang membuatkan mereka
berada di posisi tersendiri di sisi Quran dan Rasulullah saw?
Pengorbanan.
Iya. Itulah yang dapat kami simpulkan tentang Ansar setakat
ini. Dan, dalam banyak jenis pengorbanan,
kaum Ansar telah meletakkan nama mereka di martabat yang tinggi dengan
mengorbankan pelbagai perasaan dan kebutuhan pribadi, untuk maslahah dakwah dan
tarbiyah, untuk kelangsungan islam ini, subhanallah!
Betapa ramai orang yang boleh berkorban wang ringgit untuk
dakwah ini, sehingga tidak pernah putus-putus menghulurkan bantuan kewangan
untuk program pemantapan akidah ahli sunnah wal jamaah sebagai contohnya,err,
menyumbang kan wang untuk pembangunan masjid dan bahkan untuk program-program
tarbiyah. Berapa ramai pula yang boleh menyumbang tenaga untuk islam. Ada yang
boleh berkorban masa untuk islam, mengorbankan kecergasan, kesiapan, buah
fikiran dan idea dan pelbagai lagi untuk islam. Cukup ramai bahkan!
Tetapi ada kala, ketika kita berada di posisi mempunyai
kepentingan diri, berada di posisi terdesak, berada di titik paling berhajat
dan memerlukan kepada kesemua ini, wang, masa, tenaga, idea, kecergesan,
kebahagian, dan di saat itu dakwah, tarbiyah, Quran, jihad dan islam menuntut
kesemuanya, masih kah ramai yang sudi memenangankan iman atas perasaan dan
emosi mereka?
Ketika mana kita penat dengan urusan peribadi, sehingga
hampir seluruh waktu cergas di siang hari kita dipenuhi dengan urusan mencari
rezeki, menuntut ilmu dan bekerjaya, ketika saki baki waktu kita diminta untuk
tugas mentarbiyah, adakah kita masih mampu membuang jauh rasa malas, rasa
penat, panas baran, masih mampu mengendahkan pergolakan dalam jiwa dan emosi
kita itu? Barangkali kita tidak mampu.
Ketika kita berada di persimpangan antara dua kepentingan,
kepentingan untuk diberikan kepada pekerjaan atau pelajaran dari segi masanya,
dan pada saat itu pula seruan dakwah dan jihad datang berhajatkan kita berada
di lokasi yang lain, mampukah kita mengorbankan
kepentingan peribadi ini? Mampukah kita menahan kata-kata dan tohmahan
orang-orang yang berharap kan kita untuk menjalani hidup seperti orang biasa? Yang
barangkali akan menuduh kita ekstremis, akan memulau kita, memandang kita
dengan jelingan serong lagi tajam dan berhadapan dengan pelbagai
persoalan-persoalan daripada pihak atasan, sanggupkah kita? Barangkali tidak.
Di saat kita berada di titik konflik kewangan, saki baki
wang tabungan yang cukup-cukup untuk keperluan asas harian kita, masih ada
ruangkah untuk dakwah dan tarbiyah menagih daripada kita yang begitu dalam
kebutuhan itu? Adakah kita masih sanggup dan mampu untuk menghulurkan dan
memberi lebih dari sekadar yang kita
mmpu? Barangkali tidak kan?
Atau ketika kita mempunyai perancangan hidup sendiri,
rancangan kerjaya sendiri, membina keluarga atas rancangan sendiri, dan di saat
itu pula dakwah dan tarbiyah menghendaki kita untuk mengikut
rancangan-rancangan yang lain, yang boleh jadi cita-cita kita dari kecil itu
terpaksa di korbankan, yang boleh jadi angan-angan bangku sekolah kita itu
terpaksa dikuburkan begitu sahaja, adakah kita cukup bersedia untuk itu semua?
Ketika dakwah dan tarbiyah meminta-minta di saat kita rasa
kitalah yang paling memerlukan, dan di saat kita merasakan kita sudah memberi
dengan kadar yang cukup banyak, di saat emosi kita tidak stabil, stamina kita
sedang merudum, di saat kita membutuhkan tidur yang panjang, di saat kita rasa
kita perlukan ruang dan masa untuk diri sendiri, dan di pelbagai saat yang lain
seumpamanya, adakah kita akan terus menjadi orang yang memberikan ? atau kita
terlebih dahulu yang melarikan diri?
Kita meragui akan kesiapan kita bahkan!
Boleh jadi inilah yang membezakan kita dengan Ansar. Kesanggupan
mereka untuk memberi dan berkongsi, dalam keadaan mereka juga memerlukan untuk
diri sendiri telah melayakkan mereka berada di posisi tersendiri dalam sejarah
islam dan di sisi Rasulullah saw.
Sikap mereka ini juga telah dirakamkan dalam Quran;
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta
beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan
tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi
kepada orang-orang yang berhijrah itu;
dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah
itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta
memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah
orang-orang yang berjaya.
Al Hasyr :9
Bacalah dengan lebih lanjut dalam kitab-kitab seerah
bagaimana Ansar telah memberikan yang terbaik daripada diri mereka untuk islam.
Dan marilah kita sama-sama merenung ke dalam diri dan bertanya, apakah yag
telah kita sumbangkan??
Hari ni, 3 Mac 2016,
Ulangtahun kejatuhan Khalifah yang ke 97.
97 tahun dibiarkan berlalu, mana mungkin kita boleh terus
duduk berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa. Jika kita telah memberikan
untuk agama ini sebagaimana Ansar
berikan, pasti derita umat islam hari ini sudah lama berakhir.
Moga Allah ampuni kita atas keraguan kita untuk memberi. Semoga
Allah kurniakan kita kekuatan untuk mencontohi orang-orang Ansar. Begitulah munajat
kita di malam yangsunyi ini, sambil mencela diri. Mudah-mudahan gerhana ini
cepat berakhir, dan fajar bakal menyinsing tidak lama lagi.
Amin
Puncak Jalil
3 Mac 2016
3 Mac 2016
No comments:
Post a Comment