Monday, March 7, 2016

DOA DI SISI AL-AKH






Kami tidak menjangkakan bahawa entry kali ini juga bakal menyedok haruman kata-kata atau tulisan siri nasihat Sayyid Quttb, as-syahid buat kali ketiga atau bahkan kali keempat dan kelima. Jika anda pun tidak jangkakan, maka jangkakanlah! Ternyata bukan obses ataupun taasub tidak bertempat, tetapi kami dapati tidak wajar tulisan beliau yang begitu mengesani jiwa kita itu dibiarkan tersimpan rapi pada buku dan tersusun tidak terjamahkan di rak-rak.

Sekali lagi seputar penafsiran Surah Nuh yang begitu memesonakan itu.

Baiklah,


Mari kita mulakan dengan sedikit kelainan.

Suatu hari Akh A bertanya kepada Akh B.



“Macam mana nak rasa dekat dengan Quran?”

“Nak rasa dekat macam mana?”

“Nak rasa yang Quran ni turun untuk kita, rasa bagaimana para Sahabat rasa dekat dengan Quran”

“Macam mana antum tahu para sahabat dekat dengan Quran?”

“Yelah, diorang bila ada masalah terus tunggu wahyu turun, nak tahu apa solusi dari langit”

“So boleh ana katakan Quran adalah solusi, dan masalah nya pada isu-isu dalam kehidupan sahabat?”

“Ya, benar akhi”

“Jadi apa isu dalam kehidupan kita akh?”


Lalu lama la kedua-duanya tercengang.


“Itu la bezanya kita dengan dorang akh. Para sahabat ada isu, ada masalah. Quran turun sebagai solusi. Kita pula ada al-Quran, ada solusi, tetapi masalahnya tiada. Sebab apa tiada masalah? Sebab tak beramal, macam mana nak ada masalah dan isu haha”

Lalu keduanya-duanya memuhasabah diri sendiri.

Sesi yang baik.


Begitulah barangkali juga kita dengan ibadah-ibadah kita. Tidak terhubung secara penghayatan dan perasaan. Sesi berdoa kita kering daripada suasana mengadu. Qiyamulail kita tidak basah, tidak diserikan dengan rintihan demi rintihan, tidak seperti suatu suasana istimewa kita dengan Rabbul Izzati. Tidak sebagaimana sesi laporan Nabi Nuh a.s;


“Nabi Nuh a.s keluar meneruskan perjuangannya yang luhur, ikhlas dan mulia untuk menyampaikan hidayat Allah kepada kaumnya tanpa sebarang kepentingan dan faedah peribadi. Demi mencapaikan matlamat ini, beliau telah menerima tentangan-tentangan dan penghinaan-penghinaan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun, sedangkan bilangan mereka yang menyambut dakwahnya hampir-hampir tidak bertambah dan darjah tentangan dan kedegilan mereka untuk mengikut jalan yang sesat semakin meningkat…”


Begitulah Sayid Quttb memulakan komentar beliau, sebelum menghurai dengan lebih lanjut, betapa istimewanya sesi berkhalwah si Nabi Nuh dan Allah swt, penuh dengan perasaan dan penghayatan, suasana di mana seorang hamba mengadu dan mempersembah laporannya kepada Tuhan sekelian alam. Lanjut beliau dalam Fi Zilalnya;


“Pada akhirnya Nuh kembali mengemukakan laporannya kepada kepada Allah yang telah menyerahkan tugas yang luhur dan bebanan yang berat ini kepadanya. Ia kembali menceritakan apa yang telah beliau telah buat dan apa yang beliau telah terima, sedangkan Allah memang tahu dan beliau juga tahu bahawa Allah memang tahu, tetapi beliau kemukakan laporan itu untuk menyampaikan rintihan hati yang letih lesu di akhir pusingan perjuangan kepada Allah sebagai satu-satunya pihak yang menjadi tempat para anbiya’, para rasul dan para mukminin yang tulen meluahkan rintihan dan rayuan”


Dalam surah Nuh yang belum puas kami tuai  ibrahnya itu, rangkaian doa Nabi Nuh di hadapan Allah swt dimulakan dengan bait doa berikut;



Nuh berkata, “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam,,,”
(Nuh : 5)


Seperti mana yang Sayyid Quttb telah jelaskan, sesungguhnya Allah swt Maha Mengetahui dan nabi Nuh pun menyedari akan hakikat ini. Beliau tahu bahawa Allah swt mengikuti dengan rapat perkembangan-perkembangan dakwahnya di muka bumi. Akan tetapi, tindakan yang diambil oleh Nabi Nuh yang melantunkan doa-doa yang begitu syahdu memprsembahkan report tugasannya kepada Tuhan semesta alam, kemudian direkod pula oleh al Quran adalah untuk menjadi pelajaran keada kita semua yang datang kemudian.


Dari tindakan Nabi Nuh ini, kita warisi betapa para Anbiya’ itu ketika mana menghadapi kesulitan dan kesukaran, ketika mana seolah-olah usaha dakwah mereka tidak menjadi, seruan mereka tidak mendapat tempat di hati-hati orang-orang yang diseru, lalu mereka mendapatkan Allah swt sebagai tempat pertama untuk meluahkan segalanya.


Berbeza pula dengan kita. Ketika dirudum masalah, barangkali yang kita dapatkan ialah manusia-manusia lain yang juga mempunyai masalah tersendiri. Ataupun kita redakan perasaan dan emosi yang berkecamuk itu dengan aktiviti aktiviti mubah yang kadang-kala tidak kena pada tempatnya, bukan dengan kembali mengadu kepada Allah swt.


Dari tindakan Nabi Nuh yang mungkin bersahaja ini, kita belajar bahawa kemesraan antara seorang hamba dengan Tuhannya terikat dengan rangkaian doa yang begitu indah, yang diisi dengan rintihan demi rintihan setelah berlalu hari yang penat dan panjang, setelah berusaha dengan gigih menyampaikan dakwah ini. Ketika mana Allah swt berada di posisi ghaib yang tidak terlihat oleh pancaindera hambanya, doa dan keimanan mengikat mesra hubungan dua hala ini.

Sekali lagi berbeza dengan kita. Doa-doa kita adalah rutin yang tidak kita ketahui kenapa. Bahkan kadang-kadang entah apa makna doa yang kita bacakan itu pun kita tidak jelas maknanya. Kita tidak merasakan doa-doa itu mengikat langit dan bumi sebagaimana hujan yang turun dengan lebatnya. Kita tidak merasakan doa itu begitu ajaib, symbol kedekatan dan kemesraan. Bahkan kita tidak melakukan kerja-kerja asasi seorang muslim yang melakukan dakwah, mana mungkin kita mampu menikmati doa sebagaimana terasa nikmatnya oleh Nuh as.


Dari tindakan Nabi Nuh kita mewariskan satu perkara yang cukup besar, yakni betapa mahalnya nilai sebuah doa di sisi seorang al-akh.

Perkara basics seperti ini semakin kita lupai setelah banyak berusaha dan beramal di lapangan dakwah. Lebih lebih lagi setelah amal-amal dakwah kita dengan izin Allah swt, membuahkan hasil yang banyak dan ranum, sehingga kita lupa untuk berdoa kepada Allah swt. Zaman-zaman kita berdoa bersungguh-sungguh untuk murabbi dan mutarabbi seakan semakin jauh meninggalkan kita semua.

Alhamdulillah baru-baru ini akh kita yang seorang ini mengingatkan kembali.
Perkara basics tetapi begitu penting.


Semoga kita kembali meletakkan doa kepada Allah swt, di tempat yang selayaknya, di sisi seorang al-akh!

3 comments:

Anonymous said...

deep sgt..memang betul saya sndiri pon klu ada masalah mesti cari manusia dulu..last skali baru cari Allah. Allahu..terasa jahil nya diri ni

Raihanah Ahmad said...

tersentap juga, best artikel ni

DIANKU said...

Renungan yang begitu mendalam...terima kasih...