Sedang kami
rancak berbalas whatsapp, larut dalam perbualan yang tidak berfaedah, tiba-tiba
tersentak dengan sebaris pesanan daripada seorang daripada “ahli” kumpulan
whatsapp,
“Aku sedang
bermaksiat, siapa mahu selamatkan aku?”
Entah
retorik atau realiti.
Sama ada
retorik atau realiti, persetankan. Tetapi ada mesej yang harus ditaddaburi.
Jika ia retorik, harus direnung ke dalam diri, sedalam-dalamnya dengan renungan
yang sukar dan tajam dan dimuhasabahi bersama. Jika ia realiti, maka mari
mengintropeksi diri, bertaubat dan beramal saleh.
Indah
tersusun firman Sang Pencipta tatkala Dia menyeru dalam kitabNya,
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah
dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan
batu;
Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras,
dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka
dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”
(At Tahrim:6)
Allah s.w.t
berseru supaya misi menyelamat ini harus dimulai dengan menyelamatkan diri
sendiri kemudian menyelamatkan “ahliikum” atau terjemahannya keluargamu atau
lebih tepat orang-orang yang dekat kita.
Bolehkah
selamatkan “ahli” dahulu kemudian menyelamatkan diri sendiri ?
Sudah tentu
boleh.
Kerana
akhirnya yang menyelamatkan ialah Allah s.w.t. Tangan-tangan dan usaha usaha
menyelamat oleh manusia hanyalah asbab, hanyalah satu manifestasi iman kepada
seruan berdakwah.
Lantas
mengapa Allah menyuruh para duat, yang diamanahkan untuk menyelamatkan ini
memulakan misi dengan mendahului diri sendiri?
Kerana
Allah s.w.t sangat cinta kepada pada
hamba hambaNya. Allah s.w.t mahu lebih ramai yang terselamat natijah misi itu.
Allah s.w.t mengharapkan keberhasilan daripada misi itu walaupun akhirnya
keberhasilan itu sendiri datang daripadaNya.
Bayangkan,
seorang pemabuk menegah anaknya daripada mendekati arak. Seorang penzina
menjauhkan anak-anak nya daripada perbuatan zina. Seorang kaki judi, ahli
maksiat tegar, pengedar dadah menasihati rakan-rakan mereka supaya menjauhi
perbuatan perbuatan terkutuk itu.
Salahkan
mereka menegah, menjauhkan dan menasihati?
Tidak
salah. Bahkah mereka wajib melakukan hal hal yang demikian. Cuma ia
bertentangan dengan formula yang sudah difirmankan, selamatkan dirimu terlebih
dahulu. Supaya misi menyelamat berhasil. Kerana hakikatnya manusia melihat
kepada qudwah si duat. Manusia melihat pada individu yang menasihati, bukan
nasihat semata-mata.
Kerana kita
juga manusia dan lebih kenal spesis kita.
Antara lain,
Allah s.w.t menyuruh didahului misi ini ke atas diri kita terlebih dahulu
supaya Dia redha. Dia mahu meredhai tetapi redhaNya bersyarat. Itulah yang kita
belajar daripada Musa a.s.
Tatkala Nabi
Musa a.s mengepalai Bani Israel, menyelamatkan diri mereka daripada gerombolan
firaun dan kafilahnya yang mengekori
dari belakang,
Lalu Allah
berfirman;
“Dan mengapa
engkau datang lebih cepat berbanding kaummu, wahai Musa?”
(Taha:83)
(Taha:83)
Retorik
sungguh soalan Allah s.w.t ini.
Bukankah
Allah juga berfirman supaya orang orang beriman menyelamatkan diri mereka
terlebih dahulu. Bukankah Musa sedang patuh kepada kefahaman itu? Ya meski
firman itu mungkin turun selepas zamannya.
Atau paling
tidak, retorik sungguh untuk Tuhan Yang Maha Mengetahui itu bertanya, sedangkan
Dia tahu apa yang tersembunyi dalam hati hamba-hambaNya.
Tidak lain,
Allah s.w.t sengaja bertanya. Supaya dialog Musa itu diteladani oleh manusia
yang datang sesudahnya. Lalu apa jawab Nabi Musa a.s ?
Dia (Musa) berkata,
“Itu mereka sedang menyusul aku dan aku bersegera kepadaMu ya Tuhanku agar
Engkau redha”
(Taha:84)
(Taha:84)
Aku bersegera kepadaMu ya Tuhanku, agar Engkau redha.
Agar Engkau redha.
Bersegera menyelamatkan diri bukan sahaja satu manifestasi
kefahaman kepada firman tadi yang satu. Tetapi juga sebagai satu usaha untuk
meraih redha Allah. Meraih redha Allah. Bukan menunjuk nunjuk dan meraih
sokongan, popularity dan pujian pujian yang merosakkan hati di jalan keselamatan
dunia dan akhirat ini.
Indah benar, jika dicantum inti inti kitab Quran ini. Di
situ ada Formula menyelamatkan manusia daripada azab yang dahsyat. Di situ kita
temui kasih sayang Allah swt. Di situ kita dapati tawaran redhaNya.
Lalu di sepanjang jalan dakwah,
Bermuhasabahlah kita meski persoalan dosa, maksiat dan
penyimpangan itu berlegar sama ada pernyataan retorik atau realiti.
Pernyataan retorik mengajak kita mentajdid niat.
Dan jika ia realiti, maka bersyukurlah kerana teguran
teguran dari langit ini datang menyapa. Bukankah ahli dakwah itu juga ahli yang
harus diselamatkan? Kerana akhirnya duat ialah manusia, tidak lekang daripada
melakukan dosa.
Beruntunglah mereka yang berada di jalan dakwah ini. Jalan
keselamatan, dunia dan akhirat. Jalan meraih redha Allah swt. Sebagaimana yang
diajarkan oleh Doktor Hammaam Abdurrahim Said tika mana beliau berkongsi ilmu
tentang fiqh ad dakwah, katanya;
“Ad da’wah ilaLlah, sabilu najjah fi dunya wal akhirah”
Namun, kerana hakikat manusiawi dan duniawi, merenung ke
dalam diri sepanjang kita meniti jalan ini adalah menjadi kebutuhan semua.
Sebagaimana pesan Imam al Banna;
“Wahai
Ikhwan sekalian, beramal untuk memelihara jiwa kita sendiri itu adalah
kewajipan pertama dalam susunan keutamaan wajibat kita. Maka hendaklah kamu
bersungguh-sungguh bermujahadah dengan diri kamu. Pastikan diri kamu berada di
atas ta’alim Islam dan hukum-hukumnya.
Jangan kamu
meremehkan (meringan-ringankan) ta’alim Islam dan hukum-hukumnya itu dalam apa
keadaan sekalipun. Hendaklah kamu sentiasa berada dalam ketaatan dan larilah
kamu dari dosa serta bersihkan diri kamu dari perkara-perkara maksiat.
Hubungkanlah hati-hati dan perasaan kamu sentiasa dengan Allah yang merupakan
pemilik langit dan bumi.
Lawanlah
kemalasan dan singkirkan perasaan lemah. Pastikan perasaan dan semangat syabab
(pemuda)kamu terarah kepada kebaikan dan kesucian. Hisablah diri-diri kamu
dalam hal ini dengan penghisaban yang sukar. Berhati-hatilah kamu agar jangan
sampai berlalu kepada kamu satu detik tanpa amal yang baik dan tanpa usaha yang
murni bagi kemaslahatan dakwah ini”.
Subhanallah.
Persis pesanan seorang ayah buat anaknya yang sudah berada
atas jalan keselamatan, kerana cinta. Begitulah.
Begitulah yang kita pelajari.
Kita
bermohon agar Allah s.w.t. menjadikan batin kita semua lebih baik dari zahir
(lahiriah) kita, yang tersembunyi pada kita lebih baik dari yang terserlah, dan
semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita benar dalam ucapan dan amalan serta
ikhlas dalam sunyi dan terbuka.
Ya muqallibal qulub, thabit qulubana ‘ala diinik, wa ‘ala
tho’atik
6 comments:
Assalamualaikum IS.
Pesanan ISHAB yang diquoted diambil dari "Ayuhal Syabab" ke?
Aku sedang bermaksiat.selamatkan aku :'(
Byk pesanan2 yg trkesan..truskan menulis ye..
Sedang berusaha selamatkan diri tapi kadangkala terjatuh dan tersasar.
��
Kecik merepek kantoi
Post a Comment