Thursday, June 5, 2014

HUBB WAL ITTIBA'




Terdapat beberapa kualiti yang ada pada golongan terbaik yang pernah dihasilkan oleh tarbiyah Islamiyyah yakni generasi sahabat radiaLlahu anhum ajmain yang tidak ada pada umat Islam hari ini. Pertamanya, mereka pernah ‘merasai’ keberadaan Rasulullah saw. Namun, keberadaan Rasulullah bukanlah hujah yang kukuh untuk memberi alasan kepada umat Islam hari ini untuk redha dengan penindasan yang makin tenat menekan umat Islam.


Sekiranya keberadaan Rasulullah yang menjadi kunci utama keberhasilan Islam mara setapak demi setapak sehingga menguasai sebahagian besar dunia, pastilah manusia hari ini dapat menggunakan hujah ini kelak di hadapan Allah swt. Jika hujah itu valid, maka tidak wajar lagi manusia menggalas tugas dakwah hari ini.


Tetapi kualiti yang membezakan generasi pertama itu dengan kita hari ini antara lain adalah bagaimana mereka berinteraksi dengan al Quran. Mereka merupakan generasi al Quran yang unik. Satu term yang dipopularkan oleh Sayyid Quttb dan diperjelas dengan baik dalam bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan.


Adapun kualiti lain yang tidak ada pada kita hari ini ialah bagaimana kita berinteraksi dengan Rasulullah yang sudah pergi. Secara mudahnya, bagaimana kita mencintai Rasulullah saw. Itulah juga yang membezakan kita dengan para sahabat baginda saw.




Mutakhir ini, di negara tercinta Malaysia, bukan tak kerap bahkan terlebih kerap diadakan majlis memupuk cinta kepada Nabi saw atau dengan nama komersialnya Malam Cinta Rasul, atau Malaysia Berselawat, Selangor Berselawat, Bt Jalil Berselawat dan pelbagai lagi.


Alhamdulillah, sambutannya luar biasa. Barisan menteri bahkan turun padang, menghidupkan suasana. Cumanya, betulkah kita sudah benar benar cinta Rasulullah saw ?


Mencintai Rasulullah saw.


Bak kata Doc Maza dalam bentuk ayat yang telah diubahsuai,

Cinta kepada Rasulullah perlu dilengkapi dengan mengikut sunnah baginda saw. Hub yakni cinta perlu dilengkapi dengan ittiba’ yakni ikut. Cinta dan ikutan adalah dua perkara yang berbeza.



Ada orang sangat sayang, kasih dan cinta kepada Rasulullah. Tetapi malangnya mereka tidak ikut Rasulullah. Sebagai contoh, Abu Thalib, bapa saudara Rasulullah saw sendiri. Saya yakin, tidak ada dalam kalangan kita hari ini yang mampu menandingi kasih dan cintanya Abu Thalib kepada Sang Nabi sehingga beliau sanggup berhadapan dengan kaumnya sendiri untuk mempertahankan Nabi saw.


Tetapi malangnya, Abu Tahlib pergi menghadap Tuhannya tanpa sempat mengucap kalimah syahadatain. Tidak mengikut serta menyaksikan kebenaran yang dibawa oleh Nabi saw.


Ada juga orang yang ikut  tetapi tidak cinta. Mereka terpaksa ikut Nabi saw untuk melindungi kepentingan diri kerana di waktu waktu demikian, menuruti sunnah adalah satu trending. Contoh yang jelas, Abdullah bin Ubai, bapa Munafiq di zaman Madinah. Beliau ikut Rasulullah, dengar pada arahan. Mengekspresikan ‘keimanannya’. Turun bersolat dan bersetuju ikut berperang di awalnya meskipun membelot di saat akhir.


Ini kerana di zaman Madinah, Rasulullah saw menjadi ikutan. Orang yang tidak ikut Rasulullah akan disisih dalam kalangan masyarakat. Maka untuk menjaga kepentingan, mereka mengikut sunnah sunnah Rasulullah saw meskipun di hati ada perasaan benci.


Ini contoh di zaman dahulu. Sudah pasti manusia fe’el ini wujud hari ini. Yang ikut tanpa cinta atau cinta tanpa ikut.


Sebagai contoh, apabila timbul isu isu penghinaan kepada Rasulullah, berapa ramai pejuang Islam alam maya yang cinta kepada Rasulullah saw tampil mempertahankan imej Rasulullah. Mereka buat demontrasi menentang pihak yang menghina. Mencaci dan meghina mereka ini dengan kata-kata sesat. Bergaduh di alam maya. Reply post. Buat page. Invite friends. Bawa spanduk dan turun di jalan. Dek kerana cinta kepada Rasulullah.


Tetapi berapa pula sebenarnya dalam kalangan pencinta tegar Nabi saw ini yang benar benar mempraktikkan sunah baginda ar Rasul dalam kehidupan seharian. Berapa ramai yang turun solat berjemaah. Yang membaca kita kitab hadis yang sohih. Berapa ramai yang membaca seerah hidup dan perjuangan Nabi. Dan paling penting berapa ramai yang turun kepada masyarakat dan menyampaikan dakwah, yakni sunnah terbesar Nabi saw?


Cinta, tetapi tidak ikut.

Yang ikut tetapi tidak cinta pula, masih wujudkah ?
Haruslah.


Kalau kita lihat hari ini perniagaan perniagaan yang menggunakan imej ala-ala mengikut sunnah tetapi untuk kepentingan diri. Adanya individu yang memakai pakaian sunnah tetapi untuk melariskan produk mereka. Ada yang menghafal banyak hadis untuk menarik kepercayaan orang ramai lalu ditawarkanlah produk produk mereka.

Samalah seperti orang yang menggunakan nama Islam untuk menarik pelanggan. Contoh mudah, institusi institusi kewangan yang terang terang diuruskan oleh bukan Islam tetapi adanya nama Islam atau berasaskan sistem Islam,mengikut sunnah gitu kerana permintaan semasa. Hong Leong Islamic Bank, bukankah mengikut sunnah itu?


Begitulah.

Tidak lengkap cinta tanpa ikut dan ikut tanpa cinta.


Konflik besar kita hari ini ialah kita mampu cinta, atau menyatakan cinta, tetapi sukar sekali untuk kita ikut Rasulullah saw. Mengikut Rasulullah memerlukan kita untuk mengorbankan kemewahan hidup, sikap mementingkan diri, harta, tenaga dan emosi. Sukar! Padahal bukankah cinta itu membutuhkan pengorbanan?


Kalau kita hari ini cinta tetapi tidak ikut, sebenarnya cinta itu harus diragui. Cinta Abu Thalib adalah atas dasar hubungan nasab. Kalau kita kata cinta tetapi tidak ikut, maka atas alasan apa?


Mencintai dan mengikut Rasulullah adalah kewajipan, perintah dan tanggungjawab.
Al Quran banyak menggariskan hal ini;


“Katakanlah inilah jalanku. Aku mengajak kalian kearah Allah swt atas kejelasan. Aku dan orang orang yang mengikutiku dan Maha Suci Allah dan aku tidak sama sekali termasuk golongan yang musyrik”
(Yusuf;108)


“Inilah jalanKu yang lurus, maka hendaklah kamu ikuti. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, kelak kamu akan bercerai berai dari jalanNya. Inilah dipesankan oleh Tuhanmu kepadamu mudah mudahan kamu bertaqwa”
(Al An’am :153)

“Katakanlah, ‘Kalau kamu benar benar kasihkan Allah maka ikutilahku, nescaya Allah akan mengasihimu”
(Ali Imran :31)


Dan di ayat ayat yang lain.

Buat para duat pula, yang sudah tahu benar akan hakikat ini, yang sudah menghafal sekelian banyak ayat berkenaan ini, tidak lain artikel ini merupakan peringatan buat kita kerana kita sudah melaungkan azam dalam siri siri daurah dan program tarbiyah untuk mengikuti jalan ini, untuk membuktikan kecintaan kita pada Rasulullah saw.


Saudaraku,


Aku hidangi kalian dengan keratan tulisan Syeikh Fathi Yakan dalam buku Bahtera Penyelamat untuk kita sama-sama renungkan;


Kecintaan kepada Rasul sayogianya mendorong seseorang menjejaki sunnah beliau. Iltizom dengan syariatnya dan bersama-sama Rasulullah dalam susah senangnya. Mengamalkan sunnahnya, baik dalam hidup persendirian mahupun dalam hidup bermasyarakat.

Rasa cinta kepada Rasul ini hendaknya lebih besar dan hebat di sisi pendakwah dari rasa kasih kepada keluarga anak dan manusia seluruhnya. Mereka hendaklah insaf bahawa para leluhur Islam pada zaman silam tidak menempa martabat “khairan ummatin ukhrijat linnas” melainkan kerana kehebatan cinta mereka kepada Rasulullah.

Satu contoh yang nyata ialah peristiwa Sa’ad bin Rabie. Ketika beliau hendak menghembuskan nafas terakhirnya di Medan Uhud, beliau menoleh kepada Zaid bin Thabit. Dengan perlahan lahan beliau berkata, “Sampaikanlah salamku kepada Rasulullah, katakanlah bahawa aku telah menghidu bau syurga. Katakan kepada kaumku golongan Ansar bahawa tidak ada apa-apa alasan untuk kamu sekiranya Rasulullah diapa-apakan sedangkan di kalangan kamu masih ada orang yang hidup”.

Suatu contoh yang lain mengenai seorang wanita Ansar. Bapanya, saudara lelaki dan suaminya, semuanya terbunuh dalam pertempuran di Medan Uhud. Tetapi apabila disampaikan berita kepadanya ia bertanya, “Bagaimana dengan Rasulullah?”

Orang-orang yang menyampaikan berita itu lalu menjawab, “Rasulullah Alhamdulillah sepertimana yang anda harapkan selamat” Wanita itu berkata, “Tunjukkan aku di mana Rasulullah agar dapat kulihat”. Sebaik sahaja ia melihat Rasulullah iapun berkata, “Jika engkau selamat, maka segala musibah yang lain adalah enteng”


Subhanallah !


Maka sudah benarkah cinta kita ini?

3 comments:

MisakiPureBlood said...

TT^TT terasa...
tapi betul..
cinta betul.. seriously mmg cinta Rasulullah tapi sunnah baginda, apa yg baginda suruh buat, apa yg baginda ajar tentang Islam kita main cedok apa yg kita selesa ja TT^TT

Astaghfirullahal'azim..

Anonymous said...

Is this situation similar to doing dakwah superbly, but having weak connection to Allah?

Cos im feeling like, why on earth are we doing dakwah (since its to bring ppl close to Him) while we here, are no where near Him. Buat krn cinta, atau buat krn ikutan?


Atau buat krn apa sebenarnya? Adakah kita mengharapkan org yg kita pimpin dipimpin oleh org yg lagi rendah hubungannya dengan Allah? Harapan spt apakah itu?


Self-BOB! *sigh*


Jzkk. Moga Rasulullah juga cinta.

Inspector Saahab said...

ok enonimos reverse BOB !T_T