Wednesday, October 22, 2014

SENTUHAN AL AKH #26






Dalam satu sesi perjumpaan bersama ikhwah tatkala akh itu sedang dalam liburan, bercuti lalu pulang ke kampung halaman buat sekelian kalinya, dia dapati banyak juga muka muka baharu yang mula bersama gerabak tarbiyah dan dakwah yang asing ini. Ini sesuatu yang memberangsangkan! Maknanya tajmi’ berlaku dengan baik dan progresif di sekelian tempat.


Begitulah sepertimana yang pernah diluahkan oleh seorang akh ini suatu ketika dahulu,

“Dakwah ini akan mendapat tempat di hati para pemuda”


Benarlah, makin lama makin ramai. Berkembang dan berkembang. Cumanya, ada juga di sesetengah tempat, walaupun sudah lama bertapak, walau pernah suatu ketika dahulu subur dengan penggerak yang lincah, namun kini makin sepi. Entah mengapa!

Tetapi di sesi yang lain akh yang satu ini pernah khabarkan juga,

“Kat mana-mana pun ada tajmi’ akhi, ramai boleh dan suka buat tajmi’, tapi bila taqwin semua lari. Itulah masalah kita”

No comments.

Berbalik kepada sesi perjumpaan pada petang yang nyaman itu, rata-rata yang hadir juga adalah dari institusi pengajian tinggi yang lain, yang juga sedang liburan, persis akh itu. Maka mereka memulai  perjumpaan itu dengan sesi suai kenal, atau dalam bahasa orang tarbiyahnya, ta’aruf.


Lalu seorang akh yang lebih ‘senior’ dalam kalangan semua memulakan bicara. Seperti biasa, apabila masuk bab ta’aruf, pasti ada yang memetik untuk berkongsi ayat ta’aruf dari al Quran, surah al Hujurat ayat 13. Dibacanya ayat itu dan diterjemah secara harfiyah dan ditaddaburi dengan mengambil contoh contoh praktikal. Basah!


“Kalau tengok kita semua hari ini, masing masing dari latar keluarga berbeza, belajar tempat lain-lain, ada yang dari bandar, ada dari desa dan kampung. Rupa-rupanya Allah cipta kita ini dari pelbagai latar belakang, supaya kita berkenalan.”


Ditambahnya lagi,

“Dan on top of that, Allah tak tengok pun perbezaan tu. Tak kisah la belajar di ipta ke, ipts ke, results exam cemerlang ke idak, anak datuk atau anak tan sri, ayah kerja apa sekalipun, sebab yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertakwa.”


Tuntas di situ. Diulang-ulang peringatan ini. Tetapi sangat mahal sebenarnya tazkirah berkenaan taqwa ini, kerana mayoritas manusia hari ini memandang sesama yang lain dengan pandangan eksternal. Kadang-kadang kita pilih kawan atas dasar rupa paras, atau atas dasar pencapaian akademik. Bukan atas dasar taqwa. Iblis dikeluarkan daripada syurga pun kerana memandang Adam a.s. yang dicipta dengan tanah. Iblis pun melihat dari sudut luaran. Judge bukan based on taqwa.


Sesi ta’aruf dimulakan, satu demi satu.

Sehinggalah turn nya kepada seorang akh ini. Seorang akh yang mendapat didikan atau sedang melanjutkan pelajaran di luar negeri dalam bidang perubatan, tetapi masih istiqomah dan cukup merendah diri dengan status nya itu. Membuatkan kami yang hadir makin hadam dan memahami pengajaran erti menilai berdasarkan taqwa.


Dia memulakan bicaranya.  Memperkenalkan namanya. Asalnya. Menetap di mana. Perihal keluarganya dan sedikit perkongsian, yang point tertuju kepada ikhwah yang lain, terutamanya yang baru bersama gerabak ini.


Lalu satu soalan diajukan,

“Kenapa masih bersama tarbiyah?”


Retorik sungguh soalan itu. Jawapannya mudah, bukankah Allah yang memegang hati-hati kita? Bukankah Allah yang membolak balikkan hati kita? Jika hari ini kita bersama tarbiyah, tidak mustahil esok kita meniggalkannya. Tetapi itu jawapan yang diketahui umum. Sudah pasti ada kiat kiat tersembunyi yang langsung mahu diketahui oleh akh yang menanyakan soalan itu. Dan jawapan akh tadi cukup mahal dan berharga, harus direnung sedalam-dalamnya, oleh kita semua.


“Susah nak jawab soalan tu sebenarnya”

Aku pun cukup mengerti perasaan itu.

“Dulu-dulu, masa awal awal ikut usrah di kolej ni, ana macam lari lari juga la. Ana tengok budak budak usrah ini macam lifeless. Buat benda pelik pelik. Against the mainstream. Tak mingle dengan perempuan, tak pergi tengok movie, malam malam merayau dekat surau. Ana rasa pelik la”


Begitulah dia berkongsi dengan kami. Sudah tentu belum tamat di situ. Hadirin yang mendengar begitu fokus. Tertarik dengan masukan masukan yang diberikannya, seakan tepat dan dekat ciri ciri yang digambarkan dengan kami.


“Sampai la ana pernah terbaca satu ayat ini. Ana tak ingat surah berapa, dan ayat mana. Tapi gist dia lebih kurang, Allah cakap, wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul apabila diserukan kepadamu sesuatu yang memberi kehidupan”


Seakan  biasa didengar ayat ini. Lalu seorang akh yang duduk disamping beliau, mencari-cari ayat itu, menggunakan bantuan aplikasi Quran di telefon pintarnya. Ya. Seperti yang sudah dia jangkakan,surah al Anfal, ayat 24. Cukup mendalam.


“Bila terserempak ayat ini, ana macam tersentap la sekejap. Sebenarnya benda benda pelik yang kita duk buat ni, sama ada kat sini atau kat tempat belajar kita, inilah yang memberi kehidupan. Bila time weekend kita pergi daurah instead of pergi cinema, itulah seruan yang menghidupkan. Ikut usrah, bawa usrah, cari mad’u, itulah seruan yang menghidupkan. Bahkan, kalau kita pilih untuk tinggalkan semua ini, kita memilih kematian, in that sense la.”


Allah, Allah.


“Ana rasa tu la jawapan yang ana boleh bagi sebab apa masih bersama tarbiyah, insya Allah semoga kita semua juga istiqomah”


Seakan pertama kali kedengaran taddabur ayat itu. Cukup memberi kesan kepada beliau dan aku yakin, juga memberi kesan kepada yang hadir pada sesi kali itu. Inilah kehidupan yang sebenarnya. Dan kita sebenarnya tidak mahu menikmati kehidupan ini hanya bersama kenalan kita dalam bulatan kecil itu, bahkan kita mahu berkongsi nikmat dan kefahaman ini kepada lebih ramai rakan-rakan lain yang masih mencari-cari makna sebuah kehidupan di luar sana.


Terima kasih kepada akh yang menanyakan soalan itu. Dan juga terima kasih tidak terhingga kepada yang menjawabnya, dengan jawapan yang mematikan sebarang keraguan dalam hati hati kita yang masih melihat kegiatan di jalan tarbiyah dan dakwah sebagai kegiatan yang pelik dan wajar dihentikan.


Jika ditanya suatu hari nanti bahkan, mungkin aku juga akan bawakan perkongsian sekitar memahami firman Allah yang sama. Inilah yang kami dapati, di setiap sela waktu berkenalan dengan seorang al akh di jalan ini. Dan kami masih tertunggu-tunggu kemunculan lebih ramai akh yang lain, untuk kami ajukan soalan yang sama,


“Mengapa masih bersama tarbiyah?”


Sentuhan al akh.

Tidak dapat disangkal lagi !

No comments: