Saturday, October 4, 2014

ENTRY SYOK SENDIRI




Subhanallah, sebulan lebih sudah saya tidak menulis kerana beberapa masalah teknikal yang akhirnya, Alhamdulillah sudah diberesi. Eh. Tiba-tiba sahaja, kita sudah di penjuru (around the corner) meraikan Idul Adha. Elok juga kita lihat beberapa masukan berkenaan Hari Raya Haji ini.





Memperingati 'Eid al-Adha, Ibrahim as dan anaknya Ismail tidak pernah dilupa. Nabi Ibrahim merupakan seorang nabi yang diuji begitu dahsyat dengan siri ujian yang sangat banyak. Siri siri ujian yang dilalui baginda direkodkan di banyak tempat dalam al Quran. Sehinggalah antara kemuncak ujian yang menimpa baginda ialah mendapat wahyu untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagaimana yang direkodkan dalam ayat berikut;



"Maka ketika anak itu sudah sampai baligh (dewasa), Ibrahim berkata kepadanya: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku, bahawa aku menyembelih engkau, maka bagaimana pendapatmu?" Kata anaknya: "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar."

 (As Shaffaat:37:102)




Semasa menulis artikel berkenaan pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail a.s ini yang mana kisah mereka berdua begitu sinonim dengan perayaan Idul Adha, saudari Yasmin Mogahed (boleh google kalau nak tahu siapa beliau) memberikan komentar berikut dalam artikel beliau;



Many years ago, our father Ibrahim (AS) made a choice. He loved his son. But He loved God more. The commandment came to sacrifice his son. But it wasn’t his son that was slaughtered. It was his attachment to anything that could compete with his love for God. So let us ask ourselves in these beautiful days of sacrifice, which attachments do we need to slaughter?
-Yasmin Mogahed



Ya. Besar benar pengorbanan itu. Kerana Ismail lahir setelah Ibrahim menuju usia emasnya. Namun kerana perintah Allah swt, Nabi Ibrahim langsung tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah yang dia dapati melalui mimpinya itu. Tidak hairanlah, saban tahun kisah epic ini menghiasi laman-laman peringatan alam maya buat kita semua tatkala meraikan Idul Adha.



Namun, disebalik mesej pengorbanan yang sangat besar kerana ketaatan kepada Allah swt, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya juga menggariskan beberapa hal lain dalam kehidupan yang sepatutnya menjadi teladan kita semua. Antaranya kepentingan syura, isu taat, wala’ dan thiqah. Err. Macam panas je entry ini.



Ibrahim as sekalipun diperintahkan untuk menyembelih Ismail as, baginda bertanya dahulu kepada anaknya Ismail as, walhal ia sebuah perintah daripada Tuhan.




“... Ibrahim berkata kepadanya: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku, bahawa aku menyembelih engkau, maka bagaimana pendapatmu?.."



Begitulah, sopan dan beradabnya soalan yang diajukan oleh Ibrahim kepadanya, menanyakan pendapat Ismail tentang wahyu Ilahi itu. Jika difikirkan logiknya, Nabi Ibrahim mempunyai banyak sebab untuk tidak menanyakan Nabi Ismail akan hal itu. Antaranya, perintah itu datang daripada Allah swt, meskipun Nabi Ismail refuse, perintah tetap wajib dijalankan.


Keduanya, apalah sangat kualiti pendapat yang mampu dilontarkan oleh anak kecil seperti Ismail as dalam memberi pendapat pada isu yang besar ini. Ketiganya, posisi Nabi Ibrahim sebagai ayah kepada Ismail, sepatutnya dalam fikiran Nabi Ibrahim, pastilah anak ini kena taat kepadanya, kena wala’, kena thiqah. Gituuuh.


Tetapi tidak, babak antara dua anak beranak ini begitu mahal buat kita semua. Demikian, ia bukan sekadar soal pengorbanan, ia persoalan etika yang sungguh indah, menghormati pandangan dan tidak bersifat diktator walaupun ke atas kanak-kanak kecil. Ia soal syura yang menjadi prinsip penting dalam Islam, soal hak untuk bersuara, soal menghormati manusia lain yang ada hak untuk berpikir. Kalau antara bapa dan anak sudah diadakan perbincangan, apatah lagi antara pemerintah, pemimpin, warganegara, masharakat sivil dan ahli.


Jika dalam hal yang besar dan jelas perintahnya pun bisa dilaksanakan syura, apatah lagi dalam hal yang masih kabur dan halus. Walaupun atas nama perintah Tuhan, sesuatu perundangan itu wajar ditanya kepada pihak yang akan dilaksana.


Lebih manis dalam kisah ini apabila kita merenung jawapan Nabi Ismail as,



“Kata anaknya: "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.”



Jawapan ini kita dapati bersifat positif, dan neutral, tanpa ada sebarang pengaruh dan paksaan daripada pihak si ayah. Meskipun Nabi Ibrahim as tidak menggunakan kuasa veto sebagai seorang ayah atau tidak menimbulkan persoalan tentang taat, thiqah dan wala’, sebenarnya Nabi Ibrahim as telahpun berjaya mengajak anaknya Ismail as untuk sama-sama menjayakan seruan Ilahi itu.



Di sini dapat kita simpulkan bahawa Nabi Ibrahim telah berjaya mendidik anaknya Ismail yang masih berusia kecil itu, untuk memahami seruan Rabbani, untuk sanggup berkorban sehingga menggadaikan nyawa demi ketaatan kepada Allah swt. Nabi Ibrahim sebelum apa-apa telah menunaikan hak didikan kepada anaknya, telah memenuhi hak hak tarbiyah yang wajar diperolehi oleh seorang anak daripada si ayah, sehinggalah akhirnya timbul kerjasama yang baik, sehingga adanya thiqah, wala’ dan taat.



Saudaraku,


Begitu menyedihkan hari ini kita dapati ada segelintir manusia yang berada di posisi kepimpinan mengharapkan persetujuan orang bawahan dalam mengambil sesuatu keputusan tanpa terlebih dahulu berbincang atau membuka ruang untuk ‘si kecil’ melontarkan pendapat dan padangan mereka. Jika ‘si kecil’ bersuara, mereka kata ‘si kecil’ ini tidak taat, tidak wala’.


Mereka mengharapkan orang di bawah memberikan ketaatan dan thiqah kepada kepimpinan tetapi tidak terlebih dahulu menunaikan hak hak tarbiyah, tidak terlebih dahulu memberi kefahaman tentang islam yang sebenar, menyantuni orang bawahan dengan sewajarnya.


Dari sudut yang lebih praktikalnya, sebagai ketua kelas umpamanya, sudahkah kita mengambil kira pendapat rakan sekelas yang lain sebelum membuat sebarang keputusan, atau kita guna sahaja title ketua kelas kita itu? Sebagai naqib usrah, bagaimana kita mengendalikan usrah kita? Sebelum kita mengagihkan tugas, sudahkah ditanyakan pendapat kesemua mutarabbi kita?


Atau adakah kita juga sebenarnya mengharapkan mereka thiqah dan taat kepada kita tanpa terlebih dahulu melunaskan hak hak tarbiyah? Ini dalam hal hal yang kecil. Bagaimana pula jika kita berada di posisi kepimpinan bagi sebuah organisasi yang lebih besar seperti parti politik atau gerakan Islam yang membawa mesej yang sangat besar, sudahkah kita menghayati mutiara berharga daripada kisah Ibrahim dan Ismail ini?


Mengharapkan ketaatan atau thiqah atau wala’ tanpa syura, tanpa didikan dan kefahaman yang sempurna sebenarnya merupakan satu proses doktrinasi yang mematikan akal. Kelak akan ada sekumpulan manusia yang bangun memberontak. Pada waktu itu, kita terpaksa membina kembali kepercayaan yang sangat bernilai itu. Waktu itu, kita mungkin tepaksa menangisi isu keretakan ukhuwah kerana kita yang terlebih dahulu syok sendiri.


Sedangkan Ibrahim a.s. yang berstatus seorang nabi meraikan pendapat si kecil Ismail a.s, inikan pula kita yang banyak kemungkinannya berada di posisi yang salah.


Jadi,

Adakah entry ini akan menjadi text khutbah esok hari?

Insya Allah tidak.

Kerana Malaysia Masih Aman.


Kullu am wa antum bi kheir

1 comment:

peace said...

isu taat ni
macam kontroversi macam tak..huhu

papepun
we really DO know which attachment we have to slaughter...hard n painful, indeed