Monday, June 9, 2014

MEMERAH SEBUAH USIA






Dalam Bahasa Arab, ada beberapa perkataan yang secara literal nya membawa maksud masa, time. Antaranya, waqti, murrah, fatrah, zaman, sa’ah, musim, ‘asr dan beberapa pilihan perkataan lagi. Namun yang menariknya, Allah swt memilih menggunakan perkataan ‘asr dalam surah al ‘asr untuk bersumpah demi masa, pasti ada hikmah tersendiri.


Tiada siapa tahu mengapa Allah memilih perkataan itu.
Wallahu’alam.


Namun dari satu sudut, ada beberapa perkara menarik tentang perkataan asr dari segi maknanya yang boleh kita taddaburi untuk lebih menghayati surah yang berlatar belakangkan masa ini. Perkataan ‘asr dari segi kata nama bermaksud masa atau era manakala dari segi kata kerja atau verb nya bermaksud memerah atau beberapa terjemahan Inggeris yang lebih tepat yakni squeeze, wring, compress atau strain.


‘Asir yang mempunyai kata dasar yang sama dengan ‘asr bermaksud jus manakalah dalam surah An Naba’ Allah menggunkan perkataan mu’sirat yang juga dari kata dasar ‘asr untuk menerangkan maksud awan.



 
Dan Kami telah menurunkan dari awan, air (hujan) yang mencurah-curah,-




Apa yang menariknya?


Daripada pemilihan perkataan ini untuk menerangkan tentang masa, Allah seakan memberitahu kita bahawa masa itu antara lain sesuatu yang perlu diusahakan, diperah untuk mendapatkan hasil yang sarat dengan manfaat. Sesuai dengan kata kerja ‘asr yang bermaksud memerah, squeeze.


Seperti mana jus yang lazat diminum dan membawa banyak manfaat yang terhasil setelah memerah buahnya atau seperti mana awan yang sarat dengan air seakan boleh diperah lalu turunya hujan yang memberi manfaat kepada sekelian umat manusia. Begitu juga dengan masa, jika ‘diperah’ dan diusahakan, maka banyaklah manfaat yang dapat diperolehi.


Sekarang,


Apa yang akan berlaku jika sebiji buah tidak diperah atau awan yang berarak tidak menurunkan hujan? Buah tadi akan melalui proses ‘penuaan’ dan lama kelamaan menjadi buruk dan dihuni ulat ulat decomposer persis buah kelapa yang akhirnya mengeras dan buruk. Manakala awan tadi akan berlalu sahaja memberi harapan palsu. Tanah kekal kontang. Tanaman tidak dapat diairi.


Masa juga akan berlalu begitu sahaja jika tidak diperah dan diusahakan, tidak membawa sebarang manfaat malah individu yang membiarkan masanya berlalu tanpa membawa hasil akan menyesal tidak berkesudahan di kemudian hari, memanggil-manggil masa yang telah jauh meninggalkan realiti.


Maka wajarlah, di permulaan surah ini Allah swt mengkhabarkan bahawa setiap insan dalam kerugian. Orang yang membiarkan masanya berlalu tanpa berusaha memerah masa mereka untuk mendapatkan manfaatnya akan kerugian. Sekiranya seseorang itu bangun tidur lambat, maka dia telah mensia-siakan tempoh tersebut yang boleh digunakan untuk beribadah dan mencari rezeki.


Sekiranya seorang da’ie menghabiskan masanya berjam-jam membaca komik komik lawak jenaka, dia telah mensia-siakan masa yang boleh digunakan untuk bergaul mesra dengan mad’unya. Seorang pelajar yang membiarkan masa nya dua jam habis dek menonton drama bersiri sedang merugikan diri sendiri kerana masa tersebut boleh digunakan untuk menelaah buku buku pelajaran.


Begitulah dan begitulah.
Contoh contoh lain, marilah kita fikirkan sendiri.



Saudaraku,


Dalam satu hadith, yang mafhumnya Rasulullah saw bersabda bahawa purata umur umat baginda ialah sekitar 60-70 tahun sahaja. Sekiranya kita ditakdirkan hidup lebih lama daripada itu, maka itu adalah umur subsidi. Umur yang panjang tidak berguna jika rentang waktu dalam usia tidak diperah dengan sepenuhnya.


Jika kita lihat sejenak warga warga emas yang sudah mencecah usia 50 tahun dan ke atas di sekeliling kita, sudah tidak banyak kudrat yang tinggal untuk memerah masa masing-masing. Kebanyakan daripada mereka hanya duduk duduk di rumah sambil membaca surat khabar dan menunggu panggilan daripada anak-anak di perantauan. Maka, di usia muda inilah sepatutnya kita memanfaatkan sehabis baik masa kita yang percuma itu, sementara upaya masih tinggi.


Sebenarnya kehidupan di dunia ini sangat singkat. Angka 60 tahun atau 70 tahun mungkin banyak jika dihitung. Tetapi cuba kembalikan fikiran kita ke sepuluh atau duapuluh tahun yang lampau, semuanya dapat diimbas dalam sekelip mata. Tiada apa pun pencapaian yang telah kita lakukan. Begitulah cepatnya masa berlalu.


Atas sebab itu mungkin, masa ini perlu diperah dengan sebaiknya dan Allah swt telah dengan tepat memilih perktaan ‘asr untuk menerangkan mesej yang tersembunyi ini. Dalam rentang usia yang berbaki ini, kita sering berangan-angan melakukan banyak perkara. Namun tidak semua dapat kita lakukan dalam baki usia yang ada dek banyaknya kelemahan kita.


Dalam memerah sebuah usia, sangat wajar untuk kita memilih amal manakah yang patut diutamakan. Oleh hal yang demikian, Allah swt bukan sahaja memberitahu kita bahawa masa semakin suntuk dan perlu diperah, tetapi Allah telah mengajarkan teknik ‘memerah’ yang paling baik untuk mendapatkan hasil yang paling bermanfaat.


Amal yang paling muntij, (efisien) adalah tarbiyah dan dakwah. Sebagaimana Allah swt pertamanya mengecualikan orang-orang yang beriman daripada mereka yang rugi.


Dalam ayat ini, orang yang beriman difirmankan sebagai “amanu” dalam bentuk kata kerja. Mereka yang ‘amanu’ini sedang memerah usia dan masa mereka untuk membina iman. Bekerja untuk menumbuhkan iman, sedang mentarbiyah diri mereka untuk tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi.


Formula seterusnya untuk memilih amal yang paling baik tatkala kita memerah usia ini ialah berpesan pesan dengan kebenaran dan dengan kesabaran. “Tawasau” atau pun terjemahan Melayunya berpesan pesan sebenarnya lebih tepat jika digantikan dengan maksud berwasiat. Wasiat mesti disampaikan. Begitulah juga dengan pesanan dengan kebenaran dan dengan kesabaran.


Dalam surah al Asr Allah bukan sahaja telah memberitahu kita bahawa kita kesuntukan masa dan perlu memerah masa yang berlalu, bahkan mengajar kita memilih amal yang muntij untuk dilakukan dalam rentang usia yang ada.


Berbanggalah kalian jika kalian sedang memerah masa yang ada untuk membina iman masing-masing. Menggunakan masa untuk mendalami ad deen ini dengan lebih mendalam, membaca dan memahami ayat Quran, mempelajari dan menghafal hadis Nabi saw dan hal hal yang selayaknya untuk membina iman.


Berbanggalah juga jika kalian kini sedang turun ke medan amal yang sebenar, mengajak manusia kembali kepada Islam, menghidupkan sunnah dakwah yang semakin diketepikan, menghidupkan Islam di sekeliling kalian sama ada di rumah, di tempat kerja, di tempat belajar atau di mana sahaja kalian berada.



Akhir sekali wahai saudara,


Marilah kita luangkan masa sejenak menilai kembali bagaimana kita beriman dengan surah al ‘asr ini. Mudah mudahan pencerahan yang tidak seberapa ini dapat menggandakan motivasi kita untuk terus beramal, memerah sebuah usia. Bukan itu sahaja, bahkan semoga kita bijak memilih amal yang lebih utama atau lebih efisien untuk dilakukan sementara waktu yang berbaki ini makin berkurang.


Wallahu’alam


Ps : Inspirasi daripada artikel Ustaz Hasrizal daripada blog beliau, menggunakan tajuk dan gist yang sama cuma diolah sesuai dengan menu walimah di musim cuti. Eh. Harap ust ok. Erk.

No comments: