Khowatir Surah Qasas
Surah Qasas merupakan
antara surah yang sarat dengan pengajaran-pengajaran yang begitu dekat dengan
para duat, pejuang kebenaran yang menempuh jalan yang sukar dan hari-harinya
berhadapan dengan kejadian-kejadian yang boleh mengecewakan dan mematahkan semangat.
Sekali lagi, seperti mana banyak kesempatan dalam surah-surah yang
lain, Allah swt menjadikan kisah nabi Musa as sebagai latar surah ini, untuk
diambil dan dinikmati pengajarannya. Sungguh istimewa sosok nabi Musa ini
kerana kisah-kisahnya sering menjadi rujukan para daie. Alangkah besarnya
manfaat dan kebaikan yang mengalir buat nabi Musa. Ternyata beliau layak
mendapat kemuliaan dan penghargaan ini. Begitulah Allah mengangkat
hamba-hambaNya yang banyak bekorban dan berjuang untuk agamanya, mereka tidak
akan dilupakan dan ganjaran untuk mereka tidak putus-putus.
Baiklah, berbalik kepada
surah Qasas.
Uslub atau pendekatan
surah Qasas ini memiliki keistimewaan tersendiri. Di awal surah, Allah swt
menyebut beberapa janji Allah kepada bani Israel dan juga kepada keluarga nabi
Musa. Kumpulan ayat yang menyebut sebilangan janji-janji Allah ini boleh
dikatakan ‘trailer’ atau ‘prolog’ bagi keseluruhan surah. Kemudian, dalam saki
baki ayat yang seterusnya, sedikit demi sedikit, satu persatu janji yang Allah
sebutkan ini menjadi kenyataan dalam kisah nabi Musa. Storyboard nya sungguh
epik dan memukau.
Tidak hairanlah, Syeikh
Amr Khaled mengangkat tema “Thiqah dengan Janji Allah”[1]
bagi surah Qasas ini. Kerana bagi orang yang yakin dengan janji Allah, dia
tidak akan berhenti di separuh jalan perjuangannya, dia akan bertahan,
bertenang dan meneruskan perjalanan takdir yang Allah tetapkan sambil menunggu
dengan penuh tawakal dan sabar dalam beramal untuk menunggu kebenaran janji
Allah swt.
Keseluruhan sifat ini ada
pada nabi Musa as.
Selain daripada
mencungkil tema surah dengan mengkaji ayat-ayat dalam surah ini, Syeikh juga
berkongsi hikmah mengapakah surah ini dinamakan al-Qasas.
Dari segi bahasa, Qasas
bermaksud kisah-kisah. Dalam surah ini, perkataan ini muncul pada ayat ke 25
tatkala nabi Musa menceritakan kisahnya kepada si ayah kepada dua perempuan
yang ditemuinya dalam perjalanan pelariannya dari kezaliman firaun.
“...maka tatkala Musa
mendatangani bapanya dan menceritakan kepadanya cerita mengenai dirinya..”
(Al-Qasas :25)
Barangkali surah al-Qasas
diangkat menjadi nama surah berikutan kisah nabi Musa ini. Sebenarnya,
perkataan qasas berasal dari perkataan qoso, yang juga membawa maksud mengikuti,
to follow. Ini selari dengan pengunaannya dalam ayat ke sebelas. Ketika mana
ibu musa menyuruh kakaknya mengikut atau ‘trace’ jejak nabi Musa,
Al-Quran menyebut
perkaataan ‘qusiihi’..
“Dan berkatalah ibu Musa
kepada saudara perempuan Musa, ikutilah dia..”
(Al-Qasas:11)
Apa yang menarik adalah
komentar yang diberikan oleh syeikh berkenaan keselarasan makna perkataan ini. Surah
Qasas bukan sahaja menceritakan bagaimana sedikit demi sedikit janji Allah
terbukti dan materialised dalam kisah-kisah perjuangan nabi Musa, tetapi yang
lebih penting adalah untuk sampai kepada masa terbuktinya janji –janji tadi,
kita meski mengikut jejak perjuangan nabi Musa. Satu sisi pandang yang menarik.
Ia bukan sekadar
sekumpulan ayat berbicara tentang kisah-kisah, bukan sekumpulan kisah-kisah
untuk dinikmati plotnya, bukan untuk diceritakan sebagai lipur lara dan
sebagainya, tetapi satu petunjuk, kisah yang perlu diikuti secara
keseluruhannya untuk mendapatkan habuan berupa kebenaran kepada janji-janji
Allah swt. Janji Allah swt merupakan janji yang evergreen, relevant dan tidak
tertakluk kepada sebab kisah itu.
Ia akan terbukti.
Golongan lemah, yang
ditindas akan diberi kekuasaan mewarisi urusan dunia. Itu adalah pasti. Tetapi sejauh
mana kita yakin dan bersedia untuk mengikuti siri perjuangan nabi Musa itu
menjadi persoalannya.
Ikhwah fillah,
Pengajaran ini begitu
penting dan bermanfaat buat aktivis dakwah. Saban hari mereka diserang syubhah
tentang kemenangan islam. Hari-hari dakwah ditolak. Musuh-musuh islam semakin
kuat dan berkembang dengan cepat. Pada waktu yang sama orang yang meninggalkan
dakwah juga bertambah,bahkan kadang-kadang kadarnya lebih cepat berbanding
orang yang ingin bersama dakwah. Tidak hairan dan tidak mustahil, akn timbul
keraguan dan prasangka dalam benak ikhwah sekalian untuk meninggalkan jalan,
untuk berasa perjuangan ini tidak membawa ke mana-mana.
Tetapi tatapilah kisah
nabi Musa ini dengan sebetulnya.
Ikutilah ia. Qusiihi.
Dengan mengikut track
perjuangan inilah baru kita akan menikmati kebenaran janji Allah swt. Kita tidak
tahu bilakah masanya janji-janji itu akan tertunai dan menjadi kebenaran sekali
lagi dan lagi. Kita juga tidak tahu apakah kita sempat untuk menikmati janji
itu tertegak. Tetapi cukuplah kita yakin akannya dan terus mengikuti jejak
langkah nabi Musa, yang yakin dengan janji Allah.
Sekiranya kecewa dengan halaqah setelah hambar pengisiannya, atau
tidak yakin dengan keberkesannya, atau kecewa prestasi tajmik yang mencabar,
mad’u yang gila-gila, penolakan yang radikal, ancaman musuh, dirudum pelbagai
masalah kehidupan pula, janganlah jadikan berhenti daripada mengikut jejak ini
sebagai option yang wajar untuk diambil. Sebaliknya berilah diri kita sedikit
masa.
Ikutilah .
Teruskan perjalanan. Semakin
lama kita akan semakin yakin dan memahami tabiat jalan ini insya Allah.
Orang yang berhenti
setelah diuji berkali-kali, dan setelah begitu lama berada di titik kekecewaan
sebenarnya telah berhenti mempercayai kebenaran janji Allah swt. Di saat kita
mahu berhenti, sebenarnya jarak kita dengan janji itu telah terlalu dekat. Alangkah
ruginya jika kita tidak bersabar sedikit lagi.
Begitulah besarnya manfaat
surah ini. Ia patut dibaca oleh para ikhwah yang mulia berkali-kali, ditadabur
terus menerus dan dijadikan bahan hiburan tatkala semua perkara yang lain telah
mengecewakan dia.
Maka akhi,
Kembalilah! :)
No comments:
Post a Comment