Peristiwa isra wal mikraj
yang akan kita diskusikan dengan ringkas kali ini telah mendapat tempat dalam
panggung surau-surau mahupun masjid-masjid dengan pelbagai cerita epik,
kadangkala mistik, yang sebahagian riwayat kisah-kisah tersebut diragui
keabsahannya (tidak thabit). Terima kasih kita ucapkan kepada pejuang sunnah
tanah air yang berani membongkarkan polemik ini supaya menemukan jalan keluar pada
tahun-tahun akan datang dengan budaya celik ilmu yang makin menggunguli rakyat
Malaysia.
Riwayat-riwayat berkenaan
isra’ dan mikraj memang banyak, mengenai pelbagai aspek dan telah dibincangkan
sejak sekian lama. Umpamanya, masih diperdebatkan, apakah Rasulullah telah ‘diperjalankan’
secara jasadi dan ruhnya atau ruh semata-mata. Atau umpamanya, di manakah
Rasulullah sebenarnya tidur pada malam itu, di rumah saudara baginda ataupun di
sisi hijr Ismail, dan pelbagai sudut perbincangan lagi.
Kita berhenti sejenak di
hadapan perbincangan-perbincangan ini dan cukuplah kita mengambil satu jalan
keluar dengan kesimpulan yang matang, seperti mana yang telah ditunjukkan oleh
almarhun Sayyid Qutb, semoga Allah merahmati rohnya. Cukuplah kita beriman
bahawa peristiwa isra’ dan mikraj itu memang benar-benar berlaku. Adapun berkenaan
dengan pelbagai khilaf itu, kita tinggalkan sahaja.
Ternyata di sini ada dua
hal yang penting pada peristiwa-peristiwa lepas yang berlaku. Iaitu kisah
tersebut secara ilmiahnya atau akademiknya dan pengajaran dan hikmah yang boleh
dikupas.
Memang dari sudut ilminya ia penting untuk kita tahu detail
kisah-kisah ini, untuk memelihara kesucian dan kebenarannya, lebih-lebih lagi
bagi ahli akademik, namun ternyata mencari hikmah dan pengajaran disebalik
kejadian-kejadian yang Allah swt tetapkan ini justeru lebih penting. Kita tidak katakan tidak
penting untuk diketahui manakah yang dahulu antara Perang Badar dan Perang Ahzab,
pada tahun berapakah peperangan Mu’tah berlaku dan sebagainya. Cuma sering kali
pengetahuan-pengetahuan ini dibiarkan kaku tanpa ibrah untuk dinikmati dan
dibumikan dalam konteks zaman sekarang.
Maka di sini bukanlah
tempatnya untuk membincangkan tentang detailsnya isra’ dan mikraj, berapa jarak,
kelajuan, di mana titik mula dan titik akhir.....
Maaf.
Di sana sebenarnya ada
beberapa hikmah tersembunyi yang boleh kita ambil secara umum dari peristiwa
isra’ mikraj.
Allah swt telah
menghadiahkan Rasul-Nya satu kesempatan yang cukup menakjubkan di mana untuk
memikirkannya sahaja sudah tidak mampu digapai oleh logika akal manusia. Kira-kira
setelah bertahun-tahun memperjuangkan risalah akidah ini, sehingga Rasulullah
menempuhi tahun kesedihan ekoran kehilangan dua insan teristimewa dalam hidup
baginda, kini tiba saat Allah swt ‘menjemput’ baginda untuk dihiburkan sejenak.
Maka ditakdirkan, berlakulah perjalanan ajaib ini. Terlalu banyak yang boleh
kita kupas. Tetapi ternyata antara yang signifikan ialah isra’ mikraj dikaitkan
dengan pensyariatan solat buat seluruh umat islam, tidak ketinggalan Rasulullah
saw sendiri.
Ia memberi gambaran dan
pengajaran buat para daie yang sering kecewa dengan prestasi dakwah, sering
sedih dengan respon ajakan mereka kepada orang ramai untuk sama-sama beramal
dengan islam yang syumul dan membahagiakan ini. Pengajarannya ialah, kesedihan,
penat dan kekecewaan itu hanya akan terubat dengan dia meluangkan waktu untuk
bersendirian bersama sang pencipta, menikmati momen-momen istimewa tanpa
diganggu oleh anasir lain, dan ternyata ruang yang disediakan untuk ini ialah
solat yang wajib itu.
Kewajipan solat yang
sering ditanggapi dari sudut hukum sebenarnya telah hilang serinya dalam
kehidupan kita. Kita berasa berat kerana melihat ia satu kewajipan, satu
bebanan, satu tanggungjawab yang terpaksa kita lakukan tanpa pilihan ataupun
jika tidak, ganjarannya dosa dan berakhir dalam nereka. Begitulah skrip ringkas
dan dangkal yang kita fahami tentang solat.
Sedangkan, sedangkan ia
bukan begitu.
Sedangkan solat ini
perkara yang jauh lebih besar daripada sekadar kewajipan. Jauh lebih tinggi dan
dalam daripada sekadar hukum hakam. Jauh lebih bermakna dari sekadar
perhitungan dosa dan pahala. Ia adalah ruang khas yang Allah sediakan untuk
kita berbicara denganNya, setiap hari pada waktu-waktu tertentu, di celah-celah
aktiviti dakwah kita yang memeritkan itu. Ia adalah satu peluang untuk kita
melepaskan segala kelelahan, menyampaikan keluh kesah dan merehatkan ruh yang
penat bertarung di waktu-waktu lain.
Allah swt ternyata tidak
pernah memerlukan kita, apatah lagi waktu-waktu dengan kita. Tetapi betapa
Allah mengenali kita, betapa Dia tahu kita perlukan bekalan dan momen-momen
ini. Langsung, arahan untuk bersolat ini telah diberi kepada Rasulullah tanpa
pengantaraan, dijemput khas dalam peristiwa yang bersejarah ini.
Lalu kita bermuhaasabah
ikhwah.
Di hadapan ini juga kita
bermuhasabah.
Bagaimana kita mengambil
ruang dan peluang ini dengan sebaiknya, dengan itqan, penuh teruja dan nikmat.
Semoga sisi lain akan
tersingkap di waktu yang lain......
No comments:
Post a Comment