Dua masalah utama yang
menyebabkan munculnya disipilin ilmu ekonomi menurut pandangan ekonomi
konvensional ialah sumber yang terhad dan juga keinginan manusia yang tidak
terhad. Dua konflik ini melanda kehidupan manusia sehingga dikatakan munculnya
ilmu perekonomian untuk membantu menguruskan sumber yang terhad yang sudah
tertentu tidak mampu memenuhi keinginan manusia yang tidak terhad.
Sesetengah ahli ekonomi,
mereka telah mendefinisikan ekonomi sebagai: "sains sosial yang mengkaji
gelagat individu dan masyarakat membuat pilihan yang cekap dalam menggunakan
sumber-sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak yang tidak terhad.”
(Ahmad,2001).
Persoalannya, adakah
pandangan ini selari dengan islam?
Sejak ekonomi islam mula
mendapat tempat dalam lapangan kajian akademik, muncullah jaguh ekonomi islam
dengan kerangka pemikiran islam atau islamic worldview menyaggah tanggapan atau
isu yang dibangkitkan ini menggunakan dalil Quran dan Sunnah disertakan
pendapat dan tafsiran ulamak muktabar.
Masalah sumber yang
terhad atau ‘scarcity’ sebenarnya tidak tepat di sisi islam. Ini kerana, Allah
swt telah menyediakan keperluan dan sumber yang mencukupi untuk seluruh manusia
di bumi. Begitu banyak ayat Quran yang begitu sorih (jelas) berbicara akan
fakta ini.
Namun begitu,
sumber-sumber ini mungkin kelihatan ataupun ditanggap sebagai terhad bukan
kerana keadaan alam ini, tetapi kerana kelemahan manusia itu sendiri. Ia sama
ada manusia gagal menguruskan sumber yang memang mencukupi bahkan banyak itu ataupun
ilmu-ilmu yang ada pada manusia belum mampu menerokai kekayaan sumber alam ini
ataupun juga kerana kedangkalan manusia yang melihat sumber dari sudut
kebendaan semata-mata.
Jadi adakah mempelajari
ilmu ekonomi merupakan suatu yang sia-sia?
Ternyata tidak!
Mereka yang menuntut ilmu
ini di bawah naungan wahyu dan sunnah pasti menemukan satu tempoh tarbiyah
rabbaniyah yang tinggi nilainya. Dengan ilmu ekonomi inilah kita berasa
kerdilnya ilmu manusia dalam meneroka sumber alam ini. Sungguh menginsafkan.
Betapa ia mengajak kita membesarkan Allah swt, selaku pemilik Tunggal alam ini.
Begitu banyak rahsia dan khazanah alam yang belum mampu kita terokai. Alangkah!
Jadi, kita keluar dari
masalah asas yang didakwa oleh ahli ekonomi konvensional ini dengan keimanan
bahawa sumber sebenarnya tidak terhad. Pada waktu yang sama, kita akui
kelemahan diri kita dalam menyikapi sumber alam ini sehingga ia tampak terhad.
Lalu apakah yang boleh kita pelajari lagi?
Di sinilah tuntunan wahyu
memainkan peranan.
Allah swt mengajarkan
manusia satu formula untuk berinteraksi dengan batasan ini melalui kitabnya
yang tinggi dan mulia itu. Kitab yang datang dari sisi Allah, berupa kalam
Allah swt itu diiktiraf ketinggian nilainya. Sehingga mengkaji rahsia-rahsia
isi Quran mengangkat pemikiran umat ke suatu tingkatan yang tidak mampu diangkat
oleh mana-mana kajian lain selain kajian Al-Quran.
Dan sesungguhnya Al-Quran
itu dalam Ibu Suratan di sisi Kami - sangat tinggi (kemuliaannya), lagi
amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh
Tetapi sedihnya hakikat
ini tidak lagi diketahui secara umum. Jika tahu pun, belum lagi sampai ke
dataran mahu mengamalkannya. Masih ramai umat islam terpusu-pusu dan
terhegeh-hegeh mencari ketinggian dan kemuliaan dengan instrumen yang lain
sehingga ada yang menempuh jalan kebathilan.
Bersambung?
Rujukan
Ahmad, S. (2001). Masalah
Asas Ekonomi Dan Penyelesaiannya Menurut Islam. Jurnal Syariah, 9(1),
77–90.
No comments:
Post a Comment