Prinsip ke-34
“Al-Quran telah mengisyaratkan dalam
sebilangan ayat bahawa sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang bermanfaat
kepadanya dengan kesanggupannya sendiri, dia akan diuji dengan disibukkan
dengan perkara-perkara yang memudaratkannya dan dia tidak lagi dapat melakukan
perkara yang ditinggalkannya pada awalnya tadi..”[1]
Inilah prinisp ke-34 yang dikemukan oleh
Imam Sa’di dalam karyanya, Qawaid Hisan Tafsir al-Quran. Ternyata ia prinsip
yang kita semua harus setujui. Jika ia bukan datang dari himpunan maksud
sebilangan ayat Quran sekalipun, ia berlaku dalam reality kehidupan kita.
Beliau melanjutkan lagi dalam buku beliau
itu;
Diingatkan bahawa sesungguhnya Allah telah
mengulangi dalam banyak ayat bahawa apabila orang musyrikin meninggalkan ibadah
kepada ar-Rahman, mereka akan diuji dengan penyembahan berhala. Apabila mereka
berlaku sombong daripada mentaati para Rasul – dengan dakwaan buruk mereka
terhadap para rasul – mereka akan diuji dengan kepatuhan kepada apa sahaja yang
ditawarkan akal dan agama mereka. Apabila mereka ditawarkan dengan keimanan
pada pertama kalinya dan mereka mengetahuinya tetapi mengabaikannya, Allah akan
membolak-balikkan hati mereka dan menguncinya, lalu mereka tidak lagi dapat
beriman sehinggalah mereka ditimpa azab yang pedih.
Apabila dijelaskan pula kepada mereka jalan
yang lurus lalu mereka berpaling daripada memilihnya, dan mereka lebih meredhai
jalan kesesatan berbanding jalan petunjuk, maka mereka akan dihukum dengan
dipalingkan hati mereka oleh Allah dan Allah akan menjadikan mereka orang yang
sesat di jalan itu. Apabila mereka menghina ayat-ayat Allah dan rasul-Nya, maka
Allah akan menghina mereka dengan azab yang menghinakan dan apabila mereka
menyombongkan diri daripada menerima kebenaran, Allah akan menghina mereka di
dunia dan akhirat.[2]
Kita sendiri mungkin pernah mengalami
keadaan ini. Apabila kita mengabaikan sesuatu yang bermanfaat kepada kita,
sedang kita mampu untuk melakukannya, maka Allah swt akan menguji kita dengan
menyibukkan kita dengan perkara yang boleh memudaratkan kita dan mengharamkan
ke atas kita perkara dan manfaat yang kita abaikan.
Contoh mudah, apabila pendakwah tidak turun
padang melakukan kerja-kerja mengingatkan orang ramai tentang kebenaran, mereka
disibukkan dengan aktiviti mengutuk umat dan masalah orang ramai, bukan turun
sebagai penyelesai masalah. Bila al-akh tidak sibuk di medan masing-masing,
mereka diuji dengan masalah ukhuwah, dengki, iri hati, rasa serba tak kena, gaduh di Facebook dan
sebagainya.
Fenomena-fenomena ini telah pun disebut
dalam Quran dalam banyak kesempatan.
Antaranya;
فَلَمَّا
زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ
Maka
tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka
(As Saff :5)
(As Saff :5)
Ayat di atas merujuk kepada kaum Nabi Musa
yang diajak untuk beriman kepada Allah dan risalah yang beliau bawa. Mereka sedar
bahawa Nabi Musa adalah utusan Allah. Tetapi mereka menyakiti beliau dan
membelakangi ajakan ini. Akhirnya Allah memalingkan hati mereka dan mereka
dihinakan. Begitulah, manfaat itu ditukar dengan kemudaratan.
Seterusnya;
وَلَمَّا
جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ
مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ
كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan
setelah datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah yang membenarkan apa
(kitab) yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang diberi kitab
(Taurat) melemparkan kitab Allah ke belakang (punggung)nya, seolah-olah mereka
tidak mengetahui (bahwa itu adalah kitab Allah).
وَاتَّبَعُوا
مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ
Dan
mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan
Sulaiman
(Al
Baqarah 101-102)
Inilah pula ayat berkenaan suatu umat yang
menolak keimanan kepada rasul dan kitab sehingga Allah uji mereka dengan mereka
mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan. Alangkah jeleknya apa yang
mereka pilih. Mereka membeli kemudaratan dengan jalan hidayah!
Begitu banyak lagi ayat-ayat lain yang
menceritakan akan keadaan ini.
Alangkah berguna dan bermanfaatnya prinsip
ini kepada kita semua terutamanya umat islam, umat dakwah ini. Ketika diberi
peluang dan dibukakan pintu-pintu kebaikan yang banyak dalam keadaan kita mampu
untuk melakukannya, janganlah memerah otak mencari alasan untuk mengelakkan
diri. Jika kita meninggalkan kebaikan-kebaikan ini, Allah akan uji kita dengan
kesibukan kepada perkara yang memudaratkan kita.
Prinsip ini memberi teguran yang keras buat
kita ikhwah sekalian yang sering memberi alasan dan bertangguh-tangguh.
Kadang-kadang kita memberi alasan untuk
menangguhkan amal dakwi kita sama ada tajmik mahupun takwin dengan alasan mahu focus
pada bisnes, bina karier terlebih dahulu, focus pelajaran semata-mata, masalah
itu dan ini dalam keadaan kita sebenarnya mampu, nescaya kita akan diuji dengan
kesibukkan yang lain.
Keadaan ini telah diumpamakan dalam Quran
seperti berikut;
وَمِنْهُمْ
مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ
وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ
Dan
diantara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya
jika Allah memberikan sebahagian karunia-Nya kepada kami, pastilah kami akan
bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang saleh
فَلَمَّا
آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ
Maka
setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari karunia-Nya, mereka
kikir dengan karunia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang
selalu membelakangi (kebenaran).
(At-Taubah
:75-76)
Seorang masyaikh da’wah ketika selesai
menamatkan pendidikannya di Madinah, mengajak rekannya untuk mulai aktif
berda’wah. Diajak menolak, dengan alasan ingin kaya dulu, karena orang kaya
suaranya didengar orang dan kalau berda’wah, da’wahnya diterima. Beberapa tahun
kemudian mereka bertemu. "Ternyata kayanya kaya begitu saja", ujar
Syaikh tersebut.[3]
Semoga prinsip ke-34 ini mengetuk-ngetuk
jiwa kita yang keras ini. Mudah-mudahan dapatlah kami berkongsi lagi prinsip
dakwi yang lain dari Quran.
No comments:
Post a Comment