Teks Ucapan
Thumma alhamdulillah. Kita
telah pun memasuki hari-hari dalam sepuluh malam terakhir Ramadhan untuk
Ramadhan kali ini dengan keadaan penuh sihat dan disimbahi nikmat iman dan
hidayah. Betapa sedihnya meneropong beberapa hari ke belakang, melihat
hari-hari dalam Ramadhan yang berlalu pergi semakin bertambah dengan cepat,
tanpa sempat kita memanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Oleh itu ikhwah, marilah
kita merenung sejenak.
Dalam satu peristiwa yang
cukup bersejarah semasa hayat imam Hasan al-Banna memimpin Ikhwan Muslimin iaitu
pada tahun 1941, telah diadakan Muktamar Ikhwan yang keenam, yang menghimpunkan
wakil-wakil ikhwan dari seluruh pelosok Mesir. Siri-siri pertemuan berbentuk
Muktamar ini diadakan dua kali setahun untuk mempertemukan wakil ikhwan dengan
tujuan lain yang tertentu.
Muktamar keenam kali ini
diadakan selepas hampir 13 tahun ikhwan ditubuhkan, iaitu setelah satu tempoh
yang panjang kewujudan ikhwan dalam masyarakat Mesir secara khususnya. Imam al-Banna
telah memberikan ucapan beliau dalam muktamar kali ini seperti kelazimannya
yang kami kira terdapat beberapa penekanan yang relevan untuk kita teliti
bersama.
Antara lain, beliau
mengingatkan dan memperjelaskan siapkah ikhwan di era ini?
Persoalan ini sangat
penting untuk kita ingatkan kerana sudah menjadi lumrah apabila kita melazimi
sesuatu atau memposisikan diri dengan peranan tertentu, dalam tempoh yang
panjang perbuatan kita itu akan hilang ruhnya dan akan menjadi rutin. Sehingga kita
tidak lagi beramal dan wujud dalam rangka tujuan asal kita berada di dalam
sesuatu keadaan.
Inilah juga peringatan
yang telah Allah swt sebutkan ketika berbicara tentang Ramadhan, iaitu dengan
mengaitkannya dengan Quran dan mengingatkan para sahabat dan kita semua akan
fungsi asas dan asal Quran iaitu sebagai;
Bayyina
Furqan
Jadi siapakah dan apakah
tujuan adanya ikhwan di tengah-tengah masyarakat islam ini?
Daripada bacaan dan
kefahaman kami, imam al-Banna menggariskan sekurang-kurangnya 6 fungsi dan
tujuan keberadaan ikhwan dalam masyarakat. Secara tidak langsung, ia memberi
signal kepada penggerak tarbiyah dan dakwah, bahawa inilah 6 peranan mereka
yang perlu sentiasa dihidupkan saat keberadaan mereka.
“Saudara, ingatlah
baik-baik bahawa kamu adalah orang asing yang mengajak ke arah kebaikan ketika
nilai kemanusiaan sedang hancur luluh. Kamu adalah
pemikiran baru. Allah mahu dengan kewujudan kamu ini kamu akan dapat memisahkan
manusia kepada dua pihak, pihak yang benar dan pihak yang salah. Ketika ini
manusia sedang bergelumang dengan kebenaran dan kepalsuan. Kamu mengajak
manusia ke arah Islam, kamu pembawa al-Quran, kamu menghubungkan bumi
dengan langit, kamu adalah pewaris Muhammad saw. dan kamu adalah pengganti para
sahabat selepas ketiadaan baginda…..”[i]
Dalam kesempatan yang ringkas ini,
barangkali kita akan membahaskan salah satu daripada peranan atau fungsi kita
semua yang disebutkan dalam teks ucapan di atas iaitu sebagai pembawa al-Quran,
atau hamalatul Quran.
Hamalatul Quran
Terminalogi yang dipopularkan oleh sang
imam ini tidak kita temui dalam Quran sendiri ataupun dalam hadis (sekitar
bacaan penulis). Tetapi term ini cukup makruf dan difahami makna dan
tuntutannya. Pembawa Quran yang dimaksudkan adalah rijal yang memikul amanah
Quran, yang bertanggungjawab memelihara dan mendirikan arahan-arahan al-Quran,
persis generasi sahabat yang telah menjadi generasi pemikul al-Quran yang
terbaik.
Perkataan hamalatul berasal dari hamal yang
bererti membawa. Tidak hairanlah perempuan yang membawa kandungan yang sarat
disebut sebagai perempuan yang hamil, si pembawa (merujuk kepada kandungannya).
Yang kita cuba maksudkan dengan hamalatul Quran bukanlah dia seorang yang membawa
bebanan mushaf al-quran ke hulu dan ke hilir, tetapi orang yang memikul beban
amanahnya.
Dalam quran sendiri mungkin kita tidak akan
menjumpai ayat yang secara langsung berbicara tentang hamalatul-Quran. Tetapi Allah
swt ada merekodkan kisah bani Israel sebagi pemikul Taurat, atau hamalatul
Taurat sebagaimana firman-Nya;
مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا
التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ
بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا
يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan
kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang
membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan
ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
(Al-Jumuah :5)
Ayat ini secara ringkas
menyebut tentang Bani Israel yang telah diberi kemuliaan memikul amanah kitab
Taurat, sebagai hamalatul Taurat, kemudian setelah suatu tempoh (tsumma) mereka
tidak lagi memikulnya. Pengabaian mereka kepada kitab Taurat telah dicela dalam
ayat ini dan disifati oleh Quran persis keldai yang membawa barangan dalam
permusafiran... alangkah jeleknya perumpaan ini.
Sangat besar pengajaran
dan hikmah kenapa perbuatan dan akibat hamalatul Taurah ini disebut dalam surah
ini. Di sana adanya undang-undang persamaan dalam Quran ataupun Qanun
al-Tamatsul[ii].
Sekiranya Bani Israel yang mengabaikan Taurat dicela sedemikian rupa, maka umat
Islam yang mengabaikan Quran juga akan mendapat akibat dan persepsi yang sama
oleh Allah swt.
Kita berlindung daripada
keadaan yang menghinakan ini.
Jadi ikhwah yang dikasihi
Allah swt,
Apakah yang berlaku
kepada pemikul Taurat sehingga mereka enggan membawa amanah Taurat setelah pada
awalnya mereka membawanya dan akibatnya Allah menghinakan mereka?
Tempoh Masa
Disebut dalam ayat tadi,
mereka adalah pembawa taurat, yang kemudian berlalu satu tempoh masa yang lama
kemudian mereka tidak membawanya lagi. Kata kunci sini adalah pada perkataan
Tsumma yang memberi isyarat ada satu tempoh waktu amanah itu dibiarkan sehingga
mereka terus mengabaikannya.
Keadaan ini memberi
pengajaran kepada kita betapa bahayanya membiarkan diri kita dalam tempoh masa
yang lama berenggang dengan al-Quran atau mengabaikan tuntuntan-tuntutannya. Al-Quran
ibarat sang kekasih yang cepat merajuk, jika dibiarkan sejenak, ia akan
menjauhkan kita dan tidak lagi sudi untuk mendampingi kita.
Juga yang boleh difahami
dari menjauhkan diri dari al-quran dan tuntutan beramal dengannya adalah
menjauhi amanah-amanah dakwah, menjauhi suasana ibadah, menjauhi orang-orang
yang soleh, pertemuan-pertemuan tarbiyah dan majlis-majlis ilmu untuk suatu
tempoh sehingga tiba ke suatu keadaan kita berasa janggal dan tidak lagi sudi
untuk memenuhi peluang-peluang kebaikan ini.
Sudah ramai yang kita
dengari kisah dari ikhwah dan akhowat yang memencilkan diri dari amal islami
untuk suatu tempoh sehingga akhirnya mereka terus dilupakan dan melupakan
amal-amal yang memuliakan ini. Sehingga apabila diajak kembali mereka merasa
janggal dengan dakwah, segan dengan ikhwah serta rasa berdosa dan tidak layak
untuk mengisi saf dakwah menghantui diri-diri ini.
Begitu dasyat kesannya
mengabaikan amanah sebagai hamalatul Quran.
Buat ikhwah yang sedang
diuji dengan pelbagai bentuk ujian, yang dicampak dalam suasana jauh dari amal
islami, terputusnya hubungan dari biah solehah dan dikongkong oleh
keadaan-keadaan semasa yang mengekang penglibatan dengan dakwah dan tarbiyah,
janganlah terus kita mengabaikan tanggungjawab hamalatul Quran ini. Ambillah sekadar
sedikit masa untuk bermuhasabah dan jangan biarkan tempoh itu berlalu panjang
sehingga Allah mencabut rasa kenikmatan berdakwah dari dada-dada kita.
Jangan biarkan tempoh itu
panjang!
Kembalilah saat kita
terasa sudah lama tidak diisi. Rujuklah.
Sesungguhnya tempoh waktu
yang lama boleh mengeraskan hati, sehingga hilang rasa sensitif terhadap iman,
ibadah dan hidayah.
Belumkah datang waktunya
bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan
kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti
orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian
berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.
(Hadid :16)
No comments:
Post a Comment